http://www.eramuslim.com/br/as/53/17649,1,v.html


eramuslim - Dari mana datangnya konsep 'pendatang asing'? Walaupun 
istilah ini kerapkali digunakan baik oleh media arus perdana maupun 
dalam perbualan omong-omong kosong di warung jalanan, ia merupakan 
suatu konsep yang amat padat dan berat dengan signifikansi politik-
ideologisnya. 

Dua perkataan yang penuh bermakna: 'Pendatang' dan 'Asing'. Kedua-
duanya dengan konotasi tertentu, dimuatkan dalam suatu relasi 
dialektik yang amat berkesan. Apakala sesuatu objek atau fenomena 
diberikan label 'Asing', dengan terus-menerus ia diletakkan dalam 
ruang yang berbeda dari apa yang 'Sama'. Fenemona 'Asing' itu selalu 
dianggap sesuatu yang luar dari yang biasa; sesuatu yang ganjil, 
aneh, tidak konformis, bertentang dengan arus norma-norma dominan, 
dan juga sudah tentu merbahaya. Apatah lagi apabila label 'Asing' itu 
dicantumkan dengan perkataan 'Pendatang'. Tiba-tiba insan manusia 
yang lain itu diberi imej dan konotasi yang begitu negatif sekali: 
Bukan lagi seorang pelancong (tourist) atau kawan yang mengunjung 
kemari (visitor), tetapi seorang 'pendatang' yang karakternya 'asing' 
sekali. 

'Pendatang asing' merupakan suatu karakter liminal, existensnya jauh 
di sempadan imaginasi kolektif masyarakat. Kerapkali apabila saja 
istilah 'pendatang asing' itu digunakan, agenda politik-ideologis 
yang ada disebaliknya tidak jauh dibelakang. Baik di Eropah, di mana 
budaya Islamofobia semakin marak, ataupun di Asia, konsep 'pendatang 
asing' itu selalu digunakan oleh regim dan pihak berkuasa untuk 
mengkambing-hitamkan suatu kelompok minoritas yang lemah dan 
terpinggir. Dari sinilah lahirnya budaya pogrom dan kempen-kempen 
diskriminasi. Inilah benih tabiat rasisme yang begitu merbahaya.

Dewasa ini istilah 'pendatang asing' digunakan oleh pihak-pihak 
tertentu yang menerajui media arus perdana di Malaysia, lebih lagi di 
koran-koran tabloid yang begitu populer. Bagi mereka yang lebih 
prihatin kepada perkembangan politik dalaman Malaysia, wujudnya 
istilah 'pendatang asing' ini merupakan tanda pertama bahawa suatu 
kempen politik akan dilancarkan. Nah, sekarang jelas sekali bahawa 
kombinasi retorika dan praxis politik telah bersetubuh dan melahirkan 
suatu kempen politik, untuk menangkap dan menghantar 
kembali 'pendatang-pendatang asing' yang dikatakan tenaga perkerja 
tampa izin di Malaysia. Mangsa-mangsanya warganegara Indonesia, 
Filipina dan negara ASEAN lain. Masyarakat Malaysia, yang begitu 
terpesona dengan retorika politik ini juga meluahkan persetujuan 
mereka, meng-iakan sesuatu yang memang patut disoal. 

Pada masa yang sama, masyarakat Malaysia nampaknya telah lupa fakta-
fakta historis yang telah dibenamkan atau dipinggirkan langsung oleh 
golongan elit-politikus. Naratif dan wacana politik Malaysia pasca-
era kolonial memberi suatu gambaran asimetris: Negara Malaysia yang 
sempadan geografinya ditentukan bukan oleh rakyat Malaysia sendiri 
tetapi oleh pentadbir zaman imperialis diterima tampa soal. Sama juga 
dengan thesis bahawa Malaysia itu suatu negara-bangsa yang homogen, 
dengan sempadan politik, budaya dan historis yang tetap dan kekal. 
Status kewarganegaraan kita juga diterima tampa soal, bersama dengan 
perbedaan kita dari bangsa-bangsa jiran lain. 

Dari thesis ahistoris dan tampa asas inilah konsep kewarganegaraan 
Malaysia itu wujud. Konsep negara Malaysia (sama dengan negara-negara 
ASEAN yang lain), yang merupakan suatu konstruk bukan-semulajadi 
(artificial) menentukan siapa yang layak dimuatkan dalam 
kategori 'dalam' dan 'luar'; siapa yang layak dianggap 'warganegara' 
dan 'pendatang'. Segala fobia, prejudis, rasisme warga Malaysia 
dibentuk oleh logik negara-bangsa dan kewarganegaraan moden ini.

Waktu ini kelihatan bahawa perasaan takut dan prejudis terhadap 
fenomena yang 'asing' dan 'lain' itu diluahkan dalam kempen populer 
anti-pendatang asing. Tetapi kita lupa bahawa warga Indonesia itu 
bukan 'pendatang' yang 'asing' dari kita sendiri. Dimanakah habitus 
semulajadi rakyat Indonesia, jikalau bukan di bumi Nusantara ini? Dan 
manakah habitus semulajadi rakyat Malaysia, jikalau bukan di bumi 
Nusantara yang sama? 

Dapatkah kita mengenal pasti mana-mana individu ataupun kerajaan 
Melayu yang wujud ex nihilio, tampa berinteraksi dengan teman-saudara 
kita dari Indonesia? Bukankah kerajaan Melaka zaman lalu, yang 
kemegahannya dilaungkan berkali-kali oleh golongan elit Malaysia ini, 
suatu kerajaan yang dibina oleh Paramesvara, putera Sumatra yang 
berasal dari Palembang dan kerajaan Srivijaya? 

Dan lupakah kita bahawa kebanyakkan dari pemimpin, penaung dan ahli 
gerakan nasionalisme dan reformis Kaum Muda di bumi Malaysia ini juga 
datang dari tanah seberang, yang waktu ini digelar 'Indonesia'? 
Lupakah kita bahawa Syed Sheikh al-Hady, Sheikh Tahir Jalaluddin, Tok 
Janggut, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestaman dan lain-lain 
pangkat kerabat gerakan modernis-nasionalis yang merupakan bapa-bapa 
negara-bangsa kita semuanya berketurunan Sumatra ataupun Jawa? 

Dan lupakah kita bahawa dalam dekad tahun 1930-an and 40-an begitu 
ramai warga Malaya yang menyeberangi selat Melaka untuk berjuang 
bersama teman-teman Indonesia kita, untuk menentang bala tentera 
kolonialis Belanda, Jepang dan Inggeris? Kita tidak patut lupa bahawa 
Ibrahim Yaakob, pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Partai 
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) langsung berpindah ke Indonesia, 
menyumbang tenaga, masa dan nyawanya demi nama republik Indonesia 
yang dianggap sebagai sebahagian Nusantara-Raya? (Akhirnya Ibrahim 
Yaakob langsung diangkat pangkatnya dan dilantik menjadi duta 
Indonesia di Manila dan Phnom Penh. Beliau meninggal di Indonesia dan 
dikebumikan di Makam Pahlawan Kalibata di Jakarta, dikebumikan dalam 
bumi Nusantara ini sendiri.) 

Persoalan status halal atau haramnya tenaga perkerja luarnegara itu 
merupakan persoalan undang-undang teknis. Hakikatnya ialah Malaysia, 
sebagai suatu negara yang membangun dengan pesat, memerlukan tenaga 
perkerja dari luarnegara kerana kapital buruh di Malaysia itu memang 
jelas tidak mencukupi. Jikalau adapun begitu banyak perkerja haram di 
Malaysia, soalan itu dapat ditanya dari perspektif yang lain: 
Mengapakah pihak kerajaan dan kompeni-kompeni Malaysia membiarkan 
keadaan ini berterusan begitu lama, sehingga sampai ke tahap yang 
kritikal begini?

Persoalan yang lebih penting, kritikal dan sensitif ialah mengapakah 
kempen mengembalikan tenaga perkerja luarnegara ini diwarnai oleh 
sentimen-sentimen prejudis yang begitu kental sekali? Mengapakah 
dalam koran-koran tabloid, halaman-halaman web, forum diskusi 
internet dan ruang-ruang publik yang lain, sentimen anti-Indonesia 
itu begitu jelas kelihatan? Bukankah ini membangkitkan persoalan yang 
lebih rumit, iaitu sentimen komunitarianisme kaum warga Malaysia itu 
sendiri?

Kita, warga Malaysia, sepatutnya bermula dengan proses menyoal nilai-
nilai dan pendirian kita sendiri dahulu. Jikalau begitu ramai warga 
Malaysia terasa bahawa Malaysia dewasa ini dilanda ombak 
lautan 'pendatang asing', kita juga patut bertanya kepada diri kita 
sendiri: Bukankah perkerja asing ini yang telah menolong kita 
menjayakan wawasan kita untuk membina suatu negara Malaysia yang 
serba-moden, kaya dan sempurna? Kalau tidak kerana sumbangan tenaga 
dan usaha 'pendatang asing' ini, mungkinkah kita membina suatu negara 
Malaysia yang membangun lagi megah, bersaing dengan kerajaan Melaka 
yang lalu, yang terkenal seluruh dunia? Dari Melaka ke Putrajaya dan 
menara kembar KLCC, kemegahan negara-bangsa Malaysia itu merupakan 
hasil interaksi dan kerjasama antara masyarakat Malaysia dan jiran-
jiran serantau kita.

Pada masa yang sama, warga Malaysia juga patut berterus-terang dengan 
diri mereka sendiri. Tatkala semangat patriotisme dan nasionalisme 
kita begitu membara, kita menipu diri kita sendiri jikalau kita masih 
berfikir bahawa kemegahan dan kejayaan Malaysia ini dicapai dengan 
tenaga rakyat Malaysia semata-mata. Walhal tenaga perkerja Indonesia 
(dan juga Filipina, Bangladesh dan India) telah mendirikan asas 
kepada pembangunan Malaysia, apa pula sumbangan Malaysia kepada 
perkembangan negara-negara jiran kita? 

Waktu ini ada seorang warga Malaysia Dr. Azahari yang telah melarikan 
diri dari Malaysia dan menjalankan kempen terror bawah-tanah di 
Indonesia. Aksi-aksi beliau, termasuklah kempen meletupkan bom di 
sekitar bumi Indonesia, telah merumitkan dan merepotkan lagi keadaan 
hidup di negara jiran kita. Apakah masyarakat Malaysia masih jahil, 
dan tidak sedar bahawa aksi-aksi terroris ini disebabkan oleh seorang 
warga Malaysia? Apakah tanggungjawab kita, sebagai warga Malaysia, 
jikalau kita tidak menolak, mengkritik dan memprotes segala aktiviti 
beliau di Indonesia? Dimanakah semangat solidaritas kita dengan jiran-
jiran serantau? Ironinya ialah, walhal tenaga perkerja Indonesia 
datang ke Malaysia demi untuk menjayakan projek pembangunan Malaysia; 
warga Malaysia seperti Azahari telah ke Indonesia hanya untuk 
membalas dendam, melancarkan terror dan merosakkan imej Indonesia! 

Dalam konteks perkembangan rantau ASEAN jangkamasa panjang, semangat 
dan sentimen solidaritas antara-bangsa dan antara-kaum mesti 
dihidupkan kembali oleh kita semua, baik warga Malaysia dan juga 
Indonesia. Kita, pangkat kaluwaraga Nusantara Merdeka, mesti ingat 
dan sedar bahawa perbedaan kewarganegaraan, politik dan ideologi itu 
hanya perbedaan normatif yang ditentukan oleh fakta-fakta sejarah. 
Namun begitu kesinambungan budaya, bahasa dan tamadun Nusantara 
merupakan suatu realitas yang tidak dapat dinafikan, malah patut kita 
kembangkan dan jayakan lagi, bersama. 

Tidak ada perbedaan ontologis antara Malaysia dan Indonesia, baikpun 
Filipina dan negara-negara ASEAN yang lain. Masa depan ASEAN dan 
masyarakat ASEAN mesti ditentukan oleh warganegara ASEAN itu sendiri. 
Walaupun golongan elit politikus mungkin memecah-belahkan kita, 
pertalian darah, budaya dan sejarah itu masih kekal dan kukuh. 

Kondisi pertama yang perlu diterima kita semua ialah perlunya konsep 
dan praxis politik negara-bangsa dikritik dan disoal kembali. 
Sempadan geografi-politik tidak patut dijadikan sempadan mutlak yang 
membelah-bagikan masyarakat rantau Nusantara ini. Atas nama dan 
legasi generasi yang lalu, dan demi nama generasi yang akan datang, 
marilah kita wujudkan suatu fahaman identitas Nusantara yang lebih 
inklusif, abstrak, komprehensif dan sempurna. Kita semua, warga 
rantau ASEAN ini, baik yang yang miskin ataupun yang kaya, yang muda 
maupun yang tua, semuanya anak bumi Nusantara yang sama: Berdiri 
bersama teguh, berkecuali kita rempuh.

***
Farish A. Noor
* Penulis adalah kolumnis web www.ummahonline.com, warga negara 
Malaysia







------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Does he tell you he loves you when he's hitting you?
Abuse. Narrated by Halle Berry.
http://us.click.yahoo.com/aFQ_rC/isnJAA/E2hLAA/BRUplB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

***************************************************************************
Berdikusi dg Santun & Elegan, dg Semangat Persahabatan. Menuju Indonesia yg 
Lebih Baik, in Commonality & Shared Destiny. www.ppi-india.org
***************************************************************************
__________________________________________________________________________
Mohon Perhatian:

1. Harap tdk. memposting/reply yg menyinggung SARA (kecuali sbg otokritik)
2. Pesan yg akan direply harap dihapus, kecuali yg akan dikomentari.
3. Lihat arsip sebelumnya, www.ppi-india.da.ru; 
4. Satu email perhari: [EMAIL PROTECTED]
5. No-email/web only: [EMAIL PROTECTED]
6. kembali menerima email: [EMAIL PROTECTED]
 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/ppiindia/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke