http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm
Kempen lindungi Islam
GAMBAR fail menunjukkan penunjuk perasaan di Pakistan mengadakan protes
terhadap penyiaran kartun dalam akhbar Denmark yang mempersendakan Nabi
Muhammad di Quetta, Pakistan pada 20 Mac 2008. - AP
--------------------------------------------------------------------------
GENEVA 20 Nov. - Empat tahun selepas kartun Nabi Muhammad SAW mencetuskan
bantahan hebat di seluruh dunia Islam, negara-negara Islam melancarkan satu
kempen membentuk satu perjanjian antarabangsa bagi melindungi lambang keagamaan
dan kepercayaan daripada sindiran.
Ia pada dasarnya adalah satu larangan menghalang kelakuan menghina agama yang
amat bercanggah dengan undang-undang ucapan bebas di Barat.
Dokumen yang diperoleh AP menunjukkan bahawa Algeria dan Pakistan mengetuai
usaha melobi bagi membawa cadangan itu ke Perhimpunan Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk diundi.
Jika perjanjian itu disahkan di negara-negara yang mengamalkan kebebasan dalam
menzahirkan perasaan sebagai hak utama, perjanjian seumpama itu memerlukan
mereka mengehadkan ucapan bebas sekiranya ia secara serius menyinggung
kepercayaan beragama. Proses tersebut akan mengambil masa bertahun-tahun.
Cadangan tersebut mendapat tentangan kuat daripada negara-negara Barat termasuk
Amerika Syarikat (AS), yang pada masa lalu pernah mengenepikan
perjanjian-perjanjian PBB lain seperti satu perjanjian yang berkaitan dengan
pekerja asing.
Pakar berpendapat, cubaan itu meletakkan peluang yang akan berakhir dengan
kejayaan jika negara-negara Islam berterusan mendesaknya.
Dan apa juga keputusannya, risiko kempen tersebut boleh menyemarakkan semula
ketegangan antara Islam dan Barat di mana Presiden AS, Barack Obama pernah
berjanji untuk memulihkannya, menghidupkan semula kebimbangan berlakunya
'pertempuran peradaban'.
Empat tahun lalu, sebuah akhbar Denmark menyiarkan kartun mempersenda Nabi
Muhammad SAW, menyebabkan kumpulan penunjuk perasaan yang berang menyerang
kedutaan-kedutaan Barat di negara-negara Islam termasuk Lebanon, Iran dan
Indonesia. Sebagai tindakan balas, beberapa akhbar Eropah turut mencetak semula
kartun yang sama.
Negara-negara yang membentuk 56 anggota Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) kini
melobi sebuah jawatankuasa PBB yang kurang dikenali agar bersetuju dengan
kenyataan bahawa satu perjanjian melindungi agama adalah perlu.
Langkah itu merupakan satu langkah pertama ke arah mendraf satu protokol
antarabangsa yang akan dikemukakan kepada Perhimpunan Agung PBB iaitu satu
proses yang mungkin mengambil masa sedekad atau lebih.
Cadangan itu juga mungkin mendapat sedikit sokongan di Perhimpunan Agung
tersebut. Sekiranya perjanjian itu diluluskan, mana-mana 192 negara anggota PBB
yang mengesahkannya akan terikat di bawah peruntukannya. Negara-negara juga
boleh berdepan kritikan sekiranya enggan mengesahkan perjanjian berkenaan.
AS sebelum ini pernah menyatakan, pihaknya tidak akan menerima perjanjian
antarabangsa yang menyekat Perlembagaan Pindaan Pertamanya berhubung hak ucapan
bebas. - AP
[Non-text portions of this message have been removed]