http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm
Feri karam dekat Karimun
SEORANG mangsa feri karam terapung di permukaan laut sebelum diselamatkan
oleh pihak berkuasa maritim.
--------------------------------------------------------------------------
JAKARTA 22 Nov. - Sekurang-kurangnya 26 orang mati lemas manakala 250 orang
berjaya diselamatkan selepas sebuah feri yang mereka naiki karam di perairan
pulau Sumatera, Indonesia hari ini, menurut pihak berkuasa maritim.
Pengarah Besar pengangkutan laut, Sunaryo berkata, jumlah itu berdasarkan
laporan daripada pegawai kanan di pulau Karimun dekat Singapura, berhampiran
kawasan di mana feri itu karam.
"Operasi mencari masih diteruskan walaupun hujan dan ombak kuat. Kita bimbang
bilangan mangsa akan bertambah.
''Ini kerana bilangan sebenar penumpang feri itu tidak diketahui dan ramai yang
mungkin masih hilang," katanya kepada AFP.
Beliau berkata, kapasiti kapal itu hanya boleh membawa sehingga 273 penumpang
dan siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan sekiranya lebihan muatan
menyumbang kepada kemalangan itu.
"Jika ia didapati membawa lebihan muatan dan melanggar peraturan, maka kami
tidak akan bertolak-ansur mengenainya," katanya.
"Kami akan menyiasat sekiranya feri itu sesuai untuk belayar dan jika segala
dokumen perjalanannya mencukupi. Kami juga akan memeriksa sama ada kapten kapal
itu dan ketua pelabuhan menyedari atau tidak berhubung cuaca buruk atau cuaca
berubah," katanya.
Dumai Ekspres dikatakan sedang berlayar di pulau Batam menuju ke Pekanbaru di
daerah Riau apabila ia karam kira-kira pada pukul 10 pagi di pulau Karimun
berdekatan Singapura, menurut pegawai polis tempatan, Boy Herlambang kepada AFP.
Terdahulu, pegawai menganggarkan jumlah penumpang dan krew di atas kapal adalah
sekitar 226 hingga 269, namun tiada seorang pun yang dapat memastikan jumlah
sebenar penumpang yang diselamatkan dan berapa ramai daripada mereka yang
hilang di laut.
Anggota penyelamat memeriksa mayat-mayat mangsa feri yang karam di
perairan dekat Pulau Karimun, Sumatera,
--------------------------------------------------------------------------
"Kapal itu menyenaraikan seramai 213 penumpang dan 13 krew berada di atas kapal
semasa kejadian termasuk kapten kapal," katanya.
"Ketika ini, kebanyakan mereka masih terapung di laut dan kami semua sedang
berusaha untuk menyelamatkan mereka secepat mungkin.
"Bot itu karam akibat hujan lebat dan ombak besar dan agak sukar untuk
mendapatkan mereka kerana faktor cuaca buruk," katanya.
Jurucakap tentera laut Indonesia, Iskandar Sitompul berkata, kapal itu membawa
269 penumpang termasuk krew.
Menurutnya, kapal itu karam sejurus selepas dipukul ombak setinggi tiga meter.
"Kami tidak pasti sama ada terdapat mangsa yang terperangkap di dalam feri itu
tetapi mereka yang diselamatkan berada dalam keadaan trauma," katanya.
Jumlah kepadatan 234 juta penduduk di Indonesia merangkumi mereka yang menghuni
17,000 pulau dan bergantung sepenuhnya kepada rangkaian pengangkutan kapal dan
bot, yang mempunyai rekod keselamatan yang buruk.
Sehingga 335 orang telah terkorban apabila feri karam di pulau Sulawesi pada
Januari lalu.
Pada Disember 2006, sebuah feri karam selepas dipukul ribut di pantai Jawa
menyebabkan lebih 500 orang terkorban. - AFP
[Non-text portions of this message have been removed]