http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
Banjir di Jeddah ragut 77 nyawa
SEBAHAGIAN jemaah haji yang berpakaian ihram berdoa di Padang Arafah
ketika menunaikan fardu haji. - AP
--------------------------------------------------------------------------
JEDDAH 26 Nov. - Hujan lebat dan banjir menyebabkan sekurang- kurangnya 77
orang maut dan beribu-ribu jemaah haji terkandas di bandar pelabuhan Jeddah
pada permulaan ibadah haji semalam.
Sesetengah mangsa mati lemas atau terbunuh dalam insiden jambatan runtuh dan
nahas jalan raya, manakala pasukan penyelamat melaporkan, mereka menyelamatkan
900 orang yang terperangkap dalam banjir.
Perjalanan sebilangan jemaah haji ke Mekah turut tergendala apabila sebatang
lebuh raya menuju ke kota suci itu ditutup kerana ditenggelami air.
Hujan lebat luar biasa semalam, menyebabkan jalan-jalan dan bangunan dinaiki
air di Jeddah, pintu masuk utama bagi jemaah haji.
Kira-kira tiga juta jemaah dari luar negara sudah tiba di Arab Saudi untuk
menunaikan haji tetapi tiada seorang pun daripada mereka dilaporkan menjadi
korban banjir.
Seorang saksi melaporkan dia melihat beberapa mayat bersebelahan sebuah bas
yang terbalik dalam hujan lebat.
Kesesakan teruk masih berlaku di jalan-jalan utama malam tadi selepas hujan
berhenti dan air banjir surut.
Pegawai kerajaan, Jassem al-Yaquout berkata, dua jambatan di lebuh raya ke
Mekah runtuh manakala agensi berita rasmi SPA melaporkan, beberapa kawasan di
Mekah terputus bekalan elektrik.
Di Mekah, jemaah melakukan tawaf dengan membawa payung yang biasanya digunakan
untuk berlindung daripada panas matahari.
Sesetengahnya bimbang mereka tidak dapat bermalam di kawasan perkhemahan di
Mina, dalam perjalanan yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW lebih 14 abad
lalu.
"Kami menginap di dalam khemah buat masa sekarang. Hujan lebat menyebabkan
koridor yang dibentang permaidani merah bertukar menjadi laluan air yang
menghanyutkan tin-tin minuman ringan yang kosong," kata jemaah dari Maghribi,
Zohra Nasef yang mengerjakan haji buat kali kedua.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mansour Turki berkata, sebilangan jemaah
tidak mendapat tempat di dalam khemah dan pihaknya terpaksa mendirikan khemah
tambahan bagi memenuhi keperluan mereka. - Reuters
[Non-text portions of this message have been removed]