http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm
Dilarikan bekas tunang Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS [email protected] KUALA LUMPUR 3 Dis. - Nor Mohammad Sham Maidi Shah, suami malang yang kehilangan isterinya selepas 14 hari berkahwin baru-baru ini mendakwa isterinya itu melarikan diri bersama bekas tunangnya. Beliau memberitahu, isterinya itu, Noor Sharmaine Mat Esa, 20, pernah bertunang dengan lelaki tersebut namun terpaksa memutuskan pertunangan itu atas desakan keluarga. "Pertunangan isteri saya dengan bekas teman lelakinya itu diputuskan kerana saya dimaklumkan ibu bapa isteri saya tidak menyukai sikap lelaki berkenaan. "Selepas beberapa bulan pertunangan itu putus, ibu bapa Sharmaine menemui keluarga saya untuk menjodohkan kami. Semua pihak bersetuju termasuk isteri saya sendiri sebelum majlis pertunangan diadakan. "Majlis pertunangan itu diadakan sebulan sebelum kami bernikah 24 Oktober lalu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Kisah malang Nor Mohammad Sham tersiar hari ini apabila isterinya yang baru 14 hari dikahwini telah menghilangkan diri, dipercayai mengikut bekas teman lelakinya. Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi, 6 November lalu di rumah Nor Mohammad Sham di Taman Kosas, Ampang. Nor Mohammad Sham dalam pada itu memberitahu, sehingga petang ini, dia belum menerima sebarang berita mengenai isterinya itu setelah gambarnya tersiar dalam semua akhbar. "Sudah berpuluh-puluh SMS (khidmat pesanan ringkas) saya hantar dan berusaha untuk menghubungi isteri saya, bagaimanapun tiada satu pun dia balas. "Saya dimaklumkan oleh kakak ipar saya bahawa Sharmaine kini menetap di rumah keluarga bekas tunangnya itu di Paya Terubong, Pulau Pinang. "Apa yang menghairankan saya, bagaimana ibu bapa bekas tunangnya boleh membiarkan isteri saya melakukan maksiat di dalam rumah itu sehingga ditangkap khalwat baru-baru ini," katanya. Nor Mohammad Sham berkata, dia bimbang bekas tunang isterinya itu akan menjadikan isterinya pelacur atau menjualnya di luar negara. "Sekiranya isteri saya itu insaf dan kembali ke pangkuan, saya sedia menerimanya. Saya tidak mahu akidahnya rosak dan memilih jalan salah," katanya. [Non-text portions of this message have been removed]

