http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_03.htm
Buruh Indonesia edar kanabis dihukum gantung
SHAH ALAM 4 Dis. - Seorang buruh warga Indonesia tidak mampu memperdayakan
Mahkamah Tinggi di sini dengan cerita rekaannya apabila dia hari ini dihukum
gantung sampai mati setelah didapati bersalah mengedar 1,734 gram kanabis,
tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa ketika menjatuhkan hukuman ke atas
Alan Setiawan, 39, berpendapat, watak Udin yang didakwa oleh tertuduh sebagai
rakannya merupakan suatu keterangan yang sengaja diada-adakan dan difikirkan
kemudian.
Alan dalam keterangan ketika membela diri mendakwa kononnya Udin yang berjalan
di depannya sambil membawa bungkusan kanabis, telah mencampakkan bahan tersebut
ke tanah sebaik ditahan.
Tertuduh mendakwa, dia bersama Udin pergi ke sebuah gudang baja untuk bertemu
mandur bagi memohon pekerjaan.
Namun keterangan tersebut pada hemat Mohd. Yazid tidak munasabah kerana menurut
anggota polis, Alan bersendirian di tempat kejadian ketika ditangkap.
Oleh itu, ujar Mohd. Yazid, keterangan Alan ketika membela dirinya telah gagal
menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Alan dari Tanjung Balai, Asahan didapati mengedar kanabis pada pukul 8.30 malam
25 April 2008 di kawasan lapang di sebuah gudang baja di Pelabuhan Klang, dekat
sini.
Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang
boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
[Non-text portions of this message have been removed]