http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

Pengebumian Montazeri jadi medan antikerajaan Iran

     
      RIBUAN orang bersama-sama mengiringi kenderaan yang membawa jenazah 
Ayatollah Hossein Ali Montazeri di Qom, Iran, semalam. - AP 

--------------------------------------------------------------------------
     


TEHERAN 21 Dis. - Orang ramai yang berkabung, berhimpun beramai-ramai sambil 
berteriak menyebut slogan antikerajaan ketika pengebumian ulama pembangkang 
Iran, Ayatollah Hossein Ali Montazeri, di bandar suci Qom hari ini.

Montazeri yang meninggal dunia malam Sabtu lalu, ketika berumur 87 tahun 
dianggap sebagai penaung rohaniah pergerakan pembangkang yang berkembang 
selepas pertikaian pilihan raya presiden Jun lalu dan terbukti mampu bertahan 
walaupun terdapat usaha-usaha menumpaskannya.

Laman web reformasi, Jaras berkata, beratus-ratus ribu orang menyertai 
perarakan untuk Montazeri, perancang revolusi Islam 1979 yang menjatuhkan Shah 
Iran yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS).

Beliau kemudiannya menjadi pengkritik tegas terhadap kerajaan yang tidak 
mempunyai sifat bertolak ansur itu.

"Mereka berteriak menyebut slogan yang menyokong beliau dan juga menyokong 
ketua pembangkang, Mirhossein Mousavi," lapor Jaras.

Laman web Ayande, yang rapat dengan ahli politik konservatif, Mohsen Rezaie 
berkata, 'majlis pengkebumian itu telah menjadi satu matlamat dan orang ramai 
berhimpun di jalanan seluruh tempat suci itu dan menyebut slogan antikerajaan'.

Menurut laman web reformasi Kaleme pula, mereka yang berhimpun membawa 'simbol 
hijau' sambil berteriak : 'Hari ini adalah masa untuk berkabung untuk rakyat 
hijau Iran', merujuk kepada warna kumpulan penentang.

Media luar telah dihalang daripada membuat laporan berhubung demonstrasi 
tersebut atau datang ke Qom iaitu tempat pengebumian Montazeri.

Polis antirusuhan ditempatkan di Qom, 125 kilometer ke selatan Teheran sempena 
majlis pengkebumian ulama kanan Syiah itu.

Kematian beliau yang berpunca daripada serangan jantung berlaku ketika 
saat-saat tegang apabila kerajaan berusaha untuk menghapuskan sebarang 
percubaan oleh pembangkang menggunakan perhimpunan keagamaan Ashura sebagai 
demonstrasi berskala besar. - Reuters


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke