http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Rakyat Indonesia kecam Susilo

Oleh Borhan Abu Samah
borhan.sa...@utusan.com.my



     
      AKTIVIS dan para pelajar melaung slogan dan mengibarkan kain rentang 
berarak menuju ke Istana Presiden semasa menunjuk perasaan membantah terhadap 
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Budiono di Jakarta, semalam. Dianggarkan 
10,000 orang menyertai tunjuk perasaan yang melumpuhkan lalu lintas Jakarta 
itu. - AFP 

--------------------------------------------------------------------------
     


JAKARTA 28 Jan. - Puluhan ribu penunjuk perasaan hari ini membanjiri 
jalan-jalan utama di Jakarta dan beberapa bandar utama lain di Indonesia bagi 
mengecam 100 hari pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang dianggap 
gagal.

Tunjuk perasaan bermula pukul 11 pagi di hadapan Istana Presiden di Jakarta dan 
juga di Surabaya, Makassar dan Ambon.

Di Jakarta, kira-kira 10,000 orang ahli pelbagai pertubuhan kesatuan sekerja 
mengadakan tunjuk perasaan secara aman dengan membawa kain rentang dan poster 
serta melaungkan slogan anti-rasuah yang menjadi masalah kepada pemerintahan 
penggal kedua dan terakhir Susilo.

Tunjuk perasaan lain pula adalah bagi membantah pelaksanaan perjanjian kawasan 
perdagangan bebas dengan China dan kelompok yang mengecam sistem ekonomi 
neo-liberal yang dikatakan dianuti oleh Naib Presiden, Boediono yang juga bekas 
Gabenor Bank Indonesia itu.

Antara kain rentang yang dipasang adalah berbunyi 'Tukar Rejim, tukar sistem 
dan tolak SBY' iaitu nama panggilan Susilo di Indonesia. Namun dilaporkan 
Susilo tiada di Jakarta kerana menghadiri majlis di Banten.

Di hadapan pejabat Naib Presiden, polis terpaksa menghalang sekumpulan 150 
penunjuk perasaan yang terdiri daripada mahasiswa yang bergabung di bawah 
Aliansi Mahasiswa Nusantara daripada memecah masuk.

Pada mulanya, mereka hanya menyampaikan ucapan menggunakan alat pembesar suara 
tetapi kemudian mara ke dawai kawat yang dipasang di sekeliling pejabat 
Boediono di Jalan Merdeka Selatan itu.

Para petugas keselamatan membentuk satu barisan bagi menahan kelompok mahasiswa 
itu daripada menerobos masuk.

Demonstrasi yang dilakukan serentak itu juga telah mengakibatkan Jakarta lumpuh 
akibat kesesakan lalu lintas yang teruk. 

Seorang penunjuk perasaan yang mewakili Gerakan Indonesia Bersih, Adhie Masardi 
berkata, tindakan yang diambil hari ini adalah permulaan bantahan terhadap 
pemerintahan Susilo yang tidak mesra rakyat.

Dia juga menyerukan agar semua pihak yang terlibat dalam kes menyelamatkan Bank 
Century dipecat dan diganti dengan para pemimpin yang lebih berjiwa rakyat.

Sementara itu, polis menganggarkan kira-kira 10,000 orang terlibat di dalam 
tunjuk perasaan sekitar Jakarta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Republik Indonesia, Komisioner Jeneral Ito 
Sumardi berkata, data itu diperolehi hasil daripada pemerhatian anggotanya di 
lokasi kejadian.

"Maklumat yang diperoleh ada sekitar 10,000 orang menunjuk perasaan. Tidak kira 
kecil atau besar jumlahnya tetapi jangan bersifat ganas," kata Ito ketika turut 
terlibat mengawal penunjuk perasaan di Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Senayan 
di sini.

Menurutnya, polis mengambil pendekatan bertolak-ansur dalam menangani 
demonstrasi kali ini bagi memastikan ia berjalan dengan aman.

"Kita harus fleksibel, tidak kaku menerapkan peraturan. Kalau mereka mahu 
sampai malam, ya silakan. Mudah-mudahan hari ini selesai dengan baik," katanya. 
- Utusan


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke