Jama'ah milis yang dirahmati Allah.
Sekedar menyampaikan tulisan seorang pengarang malaysia tentang biografi ulama'
nusantara. Karya-karya ulama tersebut, yakni syeikh nawawi al-bantani banyak
juga jadi rujukan di dunia arab.
ada seorang teman yang nyeletuk: kalau dulu abad 18, nusantara banyak
menyumbangkan secara ilmiah ke dunia arab, sekarang malah terkenal dengan
TKW-nya.
Wassalam,
Widi
SYEIKH NAWAWI AL-BANTANI
DIGELAR IMAM NAWAWI KEDUA
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
NAMA Imam Nawawi tidak asing lagi bagi dunia Islam terutama dalam lingkungan
ulama-ulama Syafi'iyah. Ulama ini sangat terkenal kerana banyak karangannya
yang dikaji pada setiap zaman dari dahulu sampai sekarang. Pada penghujung abad
ke-18 lahir pula seorang yang bernama Nawawi di Banten, Jawa Barat. Setelah dia
menuntut ilmu yang sangat banyak, mensyarah kitab-kitab bahasa Arab dalam
pelbagai disiplin ilmu yang sangat banyak pula, maka dia digelar Imam Nawawi
ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua. Orang pertama memberi gelaran
demikian ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Gelaran yang
diungkapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam seuntai gubahan syairnya itu
akhirnya diikuti oleh semua orang yang menulis riwayat ulama yang berasal dari
Banten itu. Sekian banyak ulama dunia Islam sejak sesudah Imam Nawawi yang
pertama (wafat 676 Hijrah/1277 Masehi) sampai sekarang ini belum ada orang lain
yang mendapat gelaran Imam Nawawi ats-Tsani,
kecuali Syeikh Nawawi, ulama kelahiran Banten yang dibicarakan ini. Rasanya
gelaran demikian memang dipandang layak, tidak ada ulama sezaman dengannya
mahupun sesudahnya yang mempertikai autoritinya dalam bidang ilmiah keislaman
menurut metode tradisional yang telah wujud zaman berzaman dan berkesinambungan.
Sungguhpun Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani diakui alim dalam semua bidang
ilmu keislaman, namun dalam dunia at-thariqah ash-shufiyah, gurunya Syeikh
Ahmad Khathib Sambas tidak melantik beliau sebagai seorang mursyid Thariqat
Qadiriyah-Naqsyabandiyah, tetapi yang dilantik ialah Syeikh Abdul Karim
al-Bantani, iaitu ayah saudara kepada Syeikh Nawawi al-Bantani, yang sama-sama
menerima thariqat itu kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Apakah sebabnya
terjadi demikian hanya diketahui oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan Syeikh
Nawawi al-Bantani. Syeikh Nawawi al-Bantani mematuhi peraturan yang diberikan
itu, sehingga beliau tidak pernah mentawajuh/membai'ah seseorang muridnya
walaupun memang ramai murid beliau yang menjadi ulama besar yang berminat dalam
bidang keshufian.
LAHIR DAN PENDIDIKAN
Nama lengkapnya adalah Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu Arabi bin Ali
al-Jawi al-Bantani. Beliau adalah anak sulung seorang ulama Banten, Jawa Barat,
lahir pada tahun 1230 Hijrah/1814 Masehi di Banten dan wafat di Mekah tahun
1314 Hijrah/1897 Masehi. Ketika kecil, beliau sempat belajar kepada ayahnya
sendiri, dan di Mekah belajar kepada beberapa ulama terkenal pada zaman itu, di
antara mereka yang dapat dicatat adalah sebagai berikut: Syeikh Ahmad
an-Nahrawi, Syeikh Ahmad ad-Dumyati, Syeikh Muhammad Khathib Duma al-Hanbali,
Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Maliki, Syeikh Zainuddin Aceh, Syeikh
Ahmad Khathib Sambas, Syeikh Syihabuddin, Syeikh Abdul Ghani Bima, Syeikh Abdul
Hamid Daghastani, Syeikh Yusuf Sunbulawani, Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus
Shamad al-Falimbani, Syeikh Yusuf bin Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdus Shamad
bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Mahmud Kinan al-Falimbani, Syeikh Aqib
bin Hasanuddin al-Falimbani. Demikian
saja para gurunya yang dapat dicatat daripada berbagai-bagai sumber, dan
berkemungkinan banyak yang belum dapat dicatat di sini.
Dipercayai beliau datang ke Mekah dalam usia 15 tahun dan selanjutnya setelah
menerima pelbagai ilmu di Mekah, beliau meneruskan pelajarannya ke Syam
(Syiria) dan Mesir. Setelah keluar dari Mekah kerana menuntut ilmu yang tidak
diketahui berapa lamanya, lalu beliau kembali lagi ke Mekah. Keseluruhan masa
beliau tinggal di Mekah dari mulai belajar, mengajar dan mengarang hingga
sampai kemuncak kemasyhurannya lebih dari setengah abad lamanya. Diriwayatkan
bahawa setiap kali beliau mengajar di Masjidil Haram sentiasa dikelilingi oleh
pelajar yang tidak kurang daripada dua ratus orang. Kerana sangat terkenalnya
beliau pernah diundang ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk memberi ceramah atau
fatwa-fatwa pada beberapa perkara yang tertentu.
Belum jelas tahun berapa beliau diundang oleh ahli akademik di Universiti
al-Azhar itu, namun difahamkan bahawa beliau sempat bertemu dengan seorang
ulama terkenal di al-Azhar (ketika itu sebagai Syeikhul Azhar), iaitu Syeikh
Ibrahim al-Baijuri (wafat 1860 Masehi) yang sangat tua dan lumpuh kerana
tuanya. Kemungkinan Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikhul Azhar yang terkenal itu
termasuk salah seorang di antara guru kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.
MURID MURID
Diriwayatkan bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani mengajar di Masjidil Haram
menggunakan bahasa Jawa dan Sunda ketika memberi keterangan terjemahan
kitab-kitab bahasa Arab. Barangkali ulama Banten yang terkenal itu kurang
menguasai bahasa Melayu yang lebih umum dan luas digunakan pada zaman itu. Oleh
sebab kurang menguasai bahasa Melayu, maka tidak berapa ramai muridnya yang
berasal dari luar pulau Jawa (seperti Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu dan
Patani). Tetapi Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa beliau menerima satu
amalan wirid daripada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani, dan Syeikh
Abdul Qadir itu menerimanya daripada Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Abdul
Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II) sebenarnya bukan peringkat murid kepada
Syeikh Nawawi al-Bantani tetapi adalah peringkat sahabatnya. Syeikh Nawawi
al-Bantani (1230 Hijrah/1814 Masehi) lebih tua sekitar empat tahun saja
daripada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II,
1234 Hijrah/1817 Masehi). Adapun murid Syeikh Nawawi al-Bantani di pulau Jawa
yang menjadi ulama yang terkenal sangat ramai, di antara mereka ialah, Kiyai
Haji Hasyim Asy'ari, Pengasas Pondok Pesantren Tebuireng, Jawa Timur, bahkan
beliau ini dianggap sebagai bapa ulama Jawa dan termasuk pengasas Nahdhatul
Ulama. Murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang terkenal pula ialah Kiyai Haji Raden
Asnawi di Kudus, Jawa Tengah, Kiyai Haji Tubagus Muhammad Asnawi di Caringin,
Purwokerto, Jawa Barat, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Badawi as-Sumbawi, Syeikh
Abdus Satar bin Abdul Wahhab as-Shidqi al-Makki, Sayid Ali bin Ali al-Habsyi
al-Madani dan ramai lagi.
Salah seorang cucunya, yang juga mendapat pendidikan sepenuhnya daripada beliau
ialah Syeikh Abdul Haq bin Abdul Hannan al-Jawi al-Bantani (1285 Hijrah/1868
Masehi - 1324 Hijrah/1906 Masehi). Pada halaman pertama Al-Aqwalul Mulhaqat,
Syeikh Abdul Haq al-Bantani menyebut bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani adalah
orang tuanya (Syeikhnya), orang yang memberi petunjuk dan pembimbingnya. Pada
bahagian kulit kitab pula beliau menulis bahawa beliau adalah `sibthun' (cucu)
an-Nawawi Tsani. Selain orang-orang yang tersebut di atas, sangat ramai murid
Syeikh Nawawi al-Bantani yang memimpin secara langsung barisan jihad di Celegon
melawan penjajahan Belanda pada tahun 1888 Masehi. Di antara mereka yang
dianggap sebagai pemimpin pemberontak Celegon ialah: Haji Wasit, Haji Abdur
Rahman, Haji Haris, Haji Arsyad Thawil, Haji Arsyad Qasir, Haji Aqib dan
Tubagus Haji Ismail. Semua mereka adalah murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang
dikaderkan di Mekah.
KARYA KARYA
Berapa banyakkah karya Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani yang sebenarnya belum
diketahui dengan pasti. Barangkali masih banyak yang belum masuk dalam senarai
yang ditulis oleh penulis-penulis sebelum ini. Saya telah memiliki karya ulama
Banten ini sebanyak 30 judul. Judul yang telah saya masukkan dalam buku
berjudul Katalog Besar Persuratan Melayu, sebanyak 44 judul. Semua karya Syeikh
Nawawi al-Bantani ditulis dalam bahasa Arab dan merupakan syarahan daripada
karya orang lain. Belum ditemui walau sebuah pun karyanya yang diciptakan
sendiri. Juga belum ditemui karyanya dalam bahasa Melayu, Jawa ataupun Sunda.
Oleh sebab kekurangan ruangan di antara 44 judul di bawah ini saya catat
sekadarnya saja, ialah:
1. Targhibul Musytaqin, selesai Jumaat, 13 Jamadilakhir 1284 Hijrah/1867
Masehi. Cetakan awal Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah.
2. Fat-hus Shamadil `Alim, selesai awal Jamadilawal 1286 Hijrah/1869 Masehi.
Dicetak oleh Mathba'ah Daril Kutubil Arabiyah al-Kubra, Mesir 1328 Hijrah.
3. Syarah Miraqil `Ubudiyah, selesai 13 Zulkaedah 1289 Hijrah/1872 Masehi.
Cetakan pertama Mathba'ah al-Azhariyah al-Mashriyah, Mesir 1308 Hijrah.
4. Madarijus Su'ud ila Iktisa'il Burud, mulai menulis 18 Rabiulawal 1293
Hijrah/1876 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir,
akhir Zulkaedah 1327 Hijrah.
5. Hidayatul Azkiya' ila Thariqil Auliya', mulai menulis 22 Rabiulakhir 1293
Hijrah/1876 Masehi, selesai 13 Jamadilakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi.
Diterbitkan oleh Mathba'ah Ahmad bin Sa'ad bin Nabhan, Surabaya, tanpa menyebut
tahun penerbitan.
6. Fat-hul Majid fi Syarhi Durril Farid, selesai 7 Ramadan 1294 Hijrah/1877
Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1304 Hijrah.
7. Bughyatul `Awam fi Syarhi Maulidi Saiyidil Anam, selesai 17 Safar 1294
Hijrah/1877 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Jadidah al-'Amirah, Mesir, 1297
Hijrah.
8. Syarah Tijanud Darari, selesai 7 Rabiulawal 1297 Hijrah/1879 Masehi. Cetakan
pertama oleh Mathba'ah `Abdul Hamid Ahmad Hanafi, Mesir, 1369 Masehi.
9. Syarah Mishbahu Zhulmi `alan Nahjil Atammi, selesai Jamadilawal 1305
Hijrah/1887 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah,
1314 Hijrah atas biaya saudara kandung pengarang, iaitu Syeikh Abdullah
al-Bantani.
10. Nasha-ihul `Ibad, selesai 21 Safar 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua
oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
11. Al-Futuhatul Madaniyah fisy Syu'bil Imaniyah, tanpa tarikh. Dicetak di
bahagian tepi kitab nombor 10, oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323
Hijrah.
12. Hilyatus Shibyan Syarhu Fat-hir Rahman fi Tajwidil Quran, tanpa tarikh.
Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1332 Hijrah.
13. Qatrul Ghaits fi Syarhi Masaili Abil Laits, tanpa tarikh. Dicetak oleh
Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.
14. Mirqatu Su'udi Tashdiq Syarhu Sulamit Taufiq, tanpa tarikh. Cetakan pertama
oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah 1304 Hijrah.
15. Ats-Tsimarul Yani'ah fir Riyadhil Badi'ah, tanpa tarikh. Cetakan pertama
oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, Syaaban 1299 Hijrah. Dicetak juga oleh
Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1342 Hijrah.
16. Tanqihul Qaulil Hatsits fi Syarhi Lubabil Hadits, tanpa tarikh. Dicetak
oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, tanpa tarikh.
17.Bahjatul Wasail bi Syarhi Masail, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah
al-Haramain, Singapura-Jeddah, tanpa tarikh.
18. Fat-hul Mujib Syarhu Manasik al- 'Allamah al-Khatib, tanpa tarikh. Dicetak
oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1328 Hijrah.
19. Nihayatuz Zain Irsyadil Mubtadi-in, tanpa tarikh. Diterbitkan oleh Syarikat
al-Ma'arif, Bandung, Indonesia, tanpa tarikh.
20. Al-Fushushul Yaqutiyah `alar Raudhatil Bahiyah fi Abwabit Tashrifiyah,
tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, awal Syaaban 1299
Hijrah.
[Non-text portions of this message have been removed]