http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm
13 dipercayai anggota militan ditahan
ANGGOTA polis Indonesia memeriksa mayat seorang lelaki yang ditembak mati
setelah cuba melarikan diri daripada pusat pemeriksaan keselamatan di Pidie,
wilayah Aceh semalam. - AP
--------------------------------------------------------------------------
JAKARTA> 3 Mac - Polis Indonesia menahan 13 lelaki dipercayai anggota kumpulan
militan dalam beberapa serbuan terhadap sarang jaringan pengganas Jemaah
Islamiah (JI) Asia Tenggara di wilayah Aceh.
Jurucakap polis, Mejar Jeneral Edward Aritonang hari ini berkata, semua suspek
ditahan dalam beberapa serbuan sejak 22 Februari lalu selepas satu kejadian
berbalas tembakan di sebuah kem dipercayai tempat latihan militan di kawasan
pergunungan Aceh.
Menurutnya, semua lelaki tersebut dipercayai dilatih di kem yang sama.
Aritonang berkata, polis turut merampas tiga senapang, lebih 9,000 peluru,
buku-buku tentang jihad dan beberapa keping cakera padat digital (DVD)
berkaitan pengeboman di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 nyawa, yang
kemudian dipertanggungjawabkan ke atas JI.
Polis bagaimanapun masih belum mengesahkan laporan media yang mengatakan,
sekurang-kurangnya beberapa suspek telah didakwa atas kesalahan berkaitan
keganasan.
"Kami masih menyiasat kumpulan mereka dan kaitannya dengan jaringan pengganas
JI," kata Aritonang.
Sarang JI tidak pernah ditemui di wilayah konservatif Aceh sebelum ini dan
penganalisis bebas keganasan pernah menyuarakan keraguan berhubung sama ada
suspek-suspek tersebut mempunyai kaitan dengan JI.
Tiada kumpulan pengganas diketahui aktif menjalankan operasi di Aceh.
Pemberontak pemisah telah menandatangani satu perjanjian damai dengan kerajaan
Indonesia pada 2005, sekali gus menamatkan pertelingkahan selama 29 tahun.
Aritonang dalam pada itu enggan mengulas satu laporan yang mengatakan polis
telah menembak mati seorang lelaki yang melarikan diri dari sebuah bas di
tempat pemeriksaan polis dekat daerah Pidie, Aceh, sebelum waktu subuh hari ini.
Saksi berkata, mangsa adalah antara tiga lelaki yang melarikan diri dari bas
tersebut, sementara dua daripada mereka berjaya ditangkap. - AP
[Non-text portions of this message have been removed]