http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm
Banjir Pakistan semakin melarat
MANGSA-MANGSA banjir beratur panjang di luar sebuah pusat bantuan untuk
mendapatkan bekalan makanan di Peshawar, semalam. - AP
--------------------------------------------------------------------------
ISLAMABAD 4 Ogos - Banjir memusnahkan beratus-ratus perkampungan, membinasakan
kediaman, menenggelamkan tanaman dan mengancam lebih banyak nyawa di tengah
Pakistan hari ini ketika angka kematian melebihi 1,500 orang.
Pasukan bantuan memberi amaran paras air sungai akan terus meningkat di selatan
negara ini dan mencetuskan lebih banyak pemindahan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bergelut menyediakan makanan dan bantuan
lain kepada 3.2 juta penduduk yang terjejas di negara yang sememangnya
berhadapan dengan pemberontak dan kemiskinan ini.
Menurut PBB hari ini, beberapa bahagian di barat laut Pakistan yang dilanda
banjir terburuk dalam tempoh 80 tahun turut menghadapi masalah kekurangan
makanan yang mengancam nyawa mereka.
Senario itu akan mencetuskan krisis baru kepada Presiden Asif Zardari, di
negara yang mana kerajaan awam mempunyai sejarah buruk dalam menguruskan krisis
sehingga memaksa campur tangan tentera.
Jurucakap Program Makanan Dunia (WFP), Amjad Jamal berkata, mereka dengan
segera cuba untuk sampai ke kawasan banjir yang terputus bekalan makanan di
barat laut negara ini, kawasan di mana agensi bantuan PBB menyatakan lebih 3
juta orang terjejas.
Sebelum banjir melanda, seramai sejuta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka
di barat laut Pakistan ekoran pertempuran antara tentera dan pemberontak
Taliban.
Jika banjir ini memburukkan lagi keadaan, ia akan menjadi halangan kepada usaha
kerajaan untuk mengembalikan penduduk ke rumah mereka bagi membantu
menstabilkan negara kuasa nuklear ini.
"Kami telah menghantar permohonan kepada kerajaan dan memperolehi enam
helikopter.
"Kami menyalurkan bantuan menggunakan kaedah pengguguran dari udara di kawasan
yang terputus hubungan," kata Amjad lagi.
Tambahnya, pasukan WFP kini berada di kawasan bencana sejak semalam dan mungkin
tidak dapat menghantarkan laporan sehingga malam ini.
Ujar Amjad lagi, banjir selama hampir seminggu telah memusnahkan kawasan ini
tidak dapat dibayangkan. Orang ramai telah kehilangan simpanan makanan mereka.
"Pasar-pasar tidak beroperasi, kedai-kedai runtuh dan mereka kini amat
memerlukan makanan. Inilah yang kami bimbangkan," katanya.
Amjad berkata, bantuan ke kawasan yang terputus hubungan sejak beberapa minggu
lalu perlu disegerakan. - Reuters
[Non-text portions of this message have been removed]