http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm


Susilo mahu rundingan berjaya

     
      Anifah Aman (kanan) mewakili kerajaan Malaysia dan Menteri Luar Indonesia 
Dr. Marty Natalegawa (kiri) ketika Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) di Kota 
Kinabalu semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri 

--------------------------------------------------------------------------
     


JAKARTA 6 Sept. - Kesepakatan hasil rundingan yang dicapai antara Malaysia 
dengan Indonesia yang berlangsung di Kota Kinabalu hari ini diharap mampu 
menangani sebarang isu berkaitan dengan sempadan maritim kedua-dua negara di 
masa depan. 

Perkara ini dinyatakan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono melalui 
pegawai Pejabat Sementara Staf Khusus Presiden bidang Hubungan Internasional, 
Teuku Faizasyah. 

Dalam pertemuan itu, Malaysia dan Indonesia diwakili oleh Menteri Luar 
masing-masing, Datuk Seri Anifah Aman dan Dr. Marty Natalegawa bagi 
membincangkan mengenai isu persempadanan yang menjadi pertikaian sejak sekian 
lama.

"Diharapkan rundingan itu mampu untuk mencapai kesepakatan pada masa hadapan 
dan mempercepatkan penyelesaian berhubung isu persempadanan maritim antara 
kedua-dua negara," kata Teuku yang juga jurucakap bagi Kementerian Luar 
Indonesia.

Ketika ditanya apakah ada sebarang perkara yang diminta oleh Susilo kepada 
Marty dalam rundingan itu, Teuku berkata tiada sebarang arahan dikeluarkan 
memandangkan ia dilaksanakan mengikut prosedur. 

Katanya, Susilo akan memantau setiap hasil keputusan yang dicapai melalui 
kesepakatan rundingan persempadanan dengan pihak Malaysia.

Isu mengenai persempadanan maritim kedua-dua negara kembali hangat diperkatakan 
setelah berlakunya insiden penangkapan tiga pegawai Kementerian Kelautan dan 
Perikanan oleh polis Malaysia.

Ia mencetuskan protes segelintir rakyat Indonesia yang bertindak melempar najis 
ke arah Kedutaan Besar Malaysia.

Jelas Teuku, Susilo berpendapat, penyelesaian segera isu itu merupakan langkah 
efektif memulihkan kembali hubungan yang terjalin sejak sekian lama.

Bagaimanapun, timbul pertikaian mengenai ucapan Susilo yang menyatakan perlunya 
bersopan-santun dalam menyelesaikan konflik itu.

Pemerhati Hubungan Antarabangsa Universiti Indonesia, Hikmahanto Juwana, 
kesopanan adalah perkara wajib dalam sesuatu hubungan antarabangsa namun itu 
tidak bermakna Indonesia tidak boleh bersikap tegas. 

Hikmahanto mengambil Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sebagai contoh 
kerana mampu memerintahkan angkatan tentera ke negara-negara berkonflik tetapi 
pada masa sama meletakkan diri sebagai seorang yang cintakan kedamaian. - AGENSI






[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke