Siapa Bilang Al-Kitab Telah Dirubah?
Oleh Hans Wijngaards
Apabila umat Kristian memetik daripada Injil, umat Muslim seringnya menegur :
Nas yang kamu membaca itu bukanlah Injil yang benar. Injil Isa al-Masih yang
asli itu sudah pun hilang. Generasi Kristian yang lampau telah memalsukan Kitab
suci kamu, jadi, pada hari ini Kitab kamu tidak berguna lagi.
Pra-sangka ini begitu meyakinkan bagi para Muslim sehingga ianya menggugat
perhubungan dan apa-apa komunikasi yang bermakna di antara mereka dan
saudara-saudara Kristian mereka. Bagaimanakah umat Kristian dapat menjelaskan
pemahaman dan akidah mereka mengenai Hazrat Isa al-Masih apabila para Muslim
yakin bahawa 'Injil yang asli' menggambarkan Hazrat Isa yang berlainan? Dakwaan
itu sentiasa ditonjolkan bahawa "Kamu umat Kristian bergantung kepada
Kitab-kitab yang sudah dipalsukan."
Dakwaan-dakwaan ini ada juga terdapat pada bahan-bahan bercetak. Tidak berapa
lama dahulu sebuah buku berjudul "Jesus Prophet of Islam" (Isa Nabi Islam)
telah diterbitkan. Sejajar dengan ajaran Islam, penulisnya mendakwa bahawa
Hazrat Isa telah mengemukakan diri-nya hanya sebagai seorang Rasul dan dia
tidak mati disalib (beliau telah diselamatkan oleh sekumpulan malaikat), bahawa
dia telah 'menyebut tentang kedatangan Muhammad'. Akidah umat pada Kristian
hari ini adalah satu penyelewengan yang telah diperkenalkan dengan sengajanya
pada tahun-tahun selepas kebangkitan Hazrat Isa. Dan pembidaah-pembidaah ini,
si penulis terus mendakwa, sanggup 'mengudungkan' kitab suci mereka. Malah
mereka juga telah memperkenalkan tulisan-tulisan palsu bagi menyokong
ajaran-ajaran mereka.
"Buku-buku yang mengandungi ajaran-ajaran Hazrat Isa itu telah dimusnahkan,
sengaja ditumpaskan atau diubah bagi mengelak apa-apa percanggahan dengan
ajaran baru mereka.Ajaran yang asli itu telah mengalami perubahan secara
menyeluruh dan telah hilang selama-lamanya sama sekali."
Tidak puashati dengan menjatuhkan hukuman umum itu, si penulis cuba menunjuk
kepada satu titik permulaan 'tepat' bagi 'proses pemalsuan itu'.
"Pada 325 Tahun Masihi, Sidang Nicea yang terkenal itu telah bersidang. Ajaran
Tritunggal telah diisytiharkan sebagai ajaran rasmi bagi 'Gereja Pauline' dan
salah satu daripada akibatnya ialah daripada lebih kurang tiga ratus 'Injil'
yang wujud pada masa itu, hanya empat telah dipilih sebagai 'Injil rasmi'
gereja. Yang bakinya termasuk 'Injil Barnabas' diperintahkan untuk dimusnah.
Satu lagi perintah telah dikeluarkan yang menyatakan bahawa sesiapa yang
dijumpai memiliki Injil tidak rasmi itu akan dihukum mati. Ini adalah
detik-detik awal percubaan secara teratur bagi menghapuskan segala catitan dan
rekod ajaran Isa al-Masih, baik di dalam manusia mahupun di dalam buku-buku."1
Bagi mereka yang fasih dengan hakikat-hakikat sejarah, tuduhan-tuduhan dan
dakwaan seperti di atas dengan mudah sekali dapat ditolak. Apakah yang boleh
dikata kepada mereka yang percaya bahawa kota London terletak di negeri Libya?
Akan tetapi bukanlah semudah bagi para Kristian yang kurang mempelajari teologi
atau pun sejarah gereja. Mereka mungkin kurang pasti apa jawapan sepatutnya
diberikan kepada tanggapan dan prasangka saudara-saudara Muslim mereka.
Bagi pihak merekalah, saya akan senaraikan beberapa fakta-fakta dan hujah-hujah
yang menunjukkan Injil pada hari ini tidak mengalami perubahan. Tetapi ianya
berguna untuk menanyakan: Dari manakah para Muslim memperolehi tanggapan ini
bahawa Injil Kristian telah diubah?
Bermulanya satu mitos (cerita dongeng)
Dalam al-Qur'an umat Muslim diperintahkan untuk menghormati Injil Isa-al-Masih
yang dibaca oleh umat Kristian. Al-Qur'an menganggap Injil yang dimiliki oleh
umat Kristian pada hakikatnya sama dengan yang telah diisytiharkan oleh Hazrat
Isa.2 'Dalam empat abad yang pertama selepas wafatnya nabi Muhammad (600-1000
TM) tidak ada satu pun ahli Ulamak yang membawa tuduhan bahawa nas-nas Kitab
Injil bukan sahih. Mereka mungkin menuduh para Kristian memberi salah-tafsiran
kepada perkataan-perkataannya; tetapi mereka tidak mempertikaikan
perkataan-perkataan itu sendiri. Kajian ke dalam apologetik Islam telah
membuktikan bahawa tuduhan 'pemalsuan' ini telah hanya bermula dengan seorang
tokoh Islam, Ibn-Khazem(*) yang meninggal dunia di Kordoba pada 1064 T.M.'3
Ibn-Khazem telah memerintah di selatan Andalus(Sepanyol) sebagai wazir kepada
khalifah. Dia telah keluar berperang banyak peperangan saudara bagi pihak
khalifah. Dia juga melibatkan diri di dalam perbincangan-perbincangan polemik
agama dan teologi. Dia memegang kepada fahaman Zahiri dan telah menentang ahli
Shi'a dengan setegas-tegasnya. 'Di dalam kedua-dua jurusan politik mahupun hal
hal keagamaan, dia bersikap pahlawan yang sangat tegas. Sesiapa yang berani
menentangnya akan mencederakan dirinya umpama dihentam oleh batu karang.
Penanya sehebat sebilah pedang pahlawan.' Oleh kerana sifatnya yang terlalu
taasub Ibn Khazem telah gagal menarik murid-murid kepada dirinya, tetapi
penulisannya amat berpengaruh pada masa yang akan datang.4
(*) nama penuhnya: Abu Muhammad Ali bin Ahmad ibn-Khazem(994 - 1064 T.M.)
Semasa perjuangannya menentang para Kristian, Ibn Khazem telah terserempak
dengan beberapa percanggahan di antara al-Qur'an dan al-Injil. Satu contoh yang
jelas ialah nas al-Qur'an "Padahal bukanlah mereka membunuhnya dan bukan pula
menyalibnya" (Q.4:156). Pada hemat Ibn Khazem : "Qur'an seharusnya dianggap
benar, jadi ajaran Injil yang bercanggah dengan al-Quran ini adalah salah.
Tetapi nabi Muhammad telah menyuruh umatnya supaya menghormati Injil, oleh itu,
nas-nas al-Kitab itu telah dipalsukan oleh umat Kristian." Tanggapannya ini
tidak berdasarkan kepada hakikat-hakikat sejarah, tetapi hanya di atas pendapat
dan hemat Ibn Khazem semata-mata, dan juga pada hasratnya untuk menjaga
kebenaran al-Qur'an.5 Setelah dia memutus untuk mengambil jalan ini, tiada
sebarang daya yang dapat menghentikan Ibn Khazem mengejar keazamannya.
Nampaknya cara yang paling mudah ialah untuk serang dan mengecam
musuh-musuhnya. "Kalau kita dapat membuktikan kepalsuan Kitab mereka, semua
bantahan-bantahan
mereka akan kehilangan apa-apa kewibawaan."6 Ini telah mendorongnya membuat
pernyataan sinis "Umat Kristian telah kehilangan Injil yang telah diwahyukan
bagi mereka kecuali segelintir yang dibenarkan oleh Tuhan sebagai satu
kesaksian untuk menentang mereka."7
Penulis-penulis seterusnya telah memeluk dan memperkembangkan tanggapan ini.
Pemalsuan Al-Kitab terus didakwakan oleh Salikh ibn-al-Khusain (meninggal dunia
1200 TM), Ahmad at-Qarafi (meninggal dunia 1285 TM), Sa'id ibn-Khasan (1320
TM), Muhammad ibn-Abi Talib (1327 TM), ibn-Taimija (1328 TM) dan lain-lain.
Sejak itu dakwaan dan tanggapan ini telah menjadi bahan tetap dalam 'resipi'
polemik Islam menentang syiar Kristian.
Penulis-penulis ini telah mendakwa Maharaja Konstantine dan Paulus sebagai
pemalsu-pemalsu yang utama. Watak Konstantine yang telah dikelirukan oleh
penulis-penulis ini (kononnya beliau telah melibatkan diri dalam Sidang Nicea)
dipersalahkan oleh kerana kononnya dia telah merekakan cerita penyaliban Hazrat
Isa bagi sebab-sebab politik dan dialah menghadkan catatan-catatan Injil kepada
empat jilid. Mengenai Paulus pula, banyak lagi cerita yang tidak masuk akal
telah direkakan oleh mereka. Menurut satu cerita, Paulus adalah seteru utama
kepada umat Kristian dan ingin sangat untuk menghapuskan ajarannya. Usaha
awalnya melalui kekerasan dan kezaliman tidak berjaya, jadi dia mencuba helah
lain iaitu dengan 'berpura-pura' memeluk akidah Kristian termasuk dibaptiskan.
Tujuannya ialah bagi merosakkan ajaran Kristian dari dalam. Untuk
memperkukuhkan lagi kesan pemelukan akidah Kristiannya itu, Paulus ingin
dikenang sebagai seorang yang telah bermati syahid bagi ugama Kristian. Jadi,
dia telah
reka cerita bahawa Hazrat Isa telah menjelma kepadanya pada suatu malam dan
menyuruhkannya pergi mengorbankan diri di kaki sebuah gunung. Pada hari sebelum
kematiannya kononnya Paulus telah memanggil tiga orang raja Kristian yang utama
dan menyampaikan kepada setiap satu wahyu rahsia yang berlainan. Kepada yang
pertama diberinya 'wahyu' Al-Masih itu adalah Anak Tuhan, yang kedua diberi
'wahyu' Siti Maryam itu isteri Tuhan dan yang ketiga pula ialah Tuhan itu
adalah 'tiga'. Apabila matahari terbit pada pagi seterusnya maka keluarlah
Paulus dengan berkain selubung berwarna kelabu dan membawa sebilah pisau. Dan
beliau telah menikam dirinya sehingga mati dengan tangannya sendiri. Orang
ramai yang menyaksikannya kagum dan menganggap dia sebagai seorang pesuruh
Tuhan. Inilah cerita kononnya bagaimana umat Kristian telah terima
ajaran-ajaran serong mereka dan telah dibahagikan kepada mazhab-mazhab yang
berlainan8. Menurut cerita-cerita lain Paulus adalah seorang raja Yahudi, atau
seorang
biarawan di kota Roma 150 tahun selepas Hazrat Isa al-Masih. Semua
cerita-cerita ini bersetuju dengan dakwaan bahawa beliau ialah seorang yang
telah membuat pemalsuan dengan licik, dan 'telah berpura-pura memeluk agama
Kristian supaya dapat merosakkan agama itu dari dalam.'
Dongeng-dongeng ini mengenai raja Konstantin dan Paulus berasal daripada
campuran sumber-sumber anti-Kristian Yahudi, legenda-legenda Parsi dan
tulisan-tulisan Marcion.9 Untuk membuktikan bahawa cerita-cerita ini tidak
mempunyai kesahihan sejarah bukan menjadi satu perkara yang rumit. Paulus hidup
dari 5 TM ke 67 TM, beliau memperkembangkan ajaran yang sama dengan
Hawariyun-hawariyun yang lain dan dia telah mengarang kebanyakan daripada
warkah-warkah dalam kitab Perjanjian Baru. Konstantin ialah Maharaja Roma dari
312 - 337 TM. Beliau telah membenarkan umat Kristian mengamalkan agama mereka
dengan aman. Konstantin tidak mereka cerita penyaliban Hazrat Isa atau cuba
membuat pindaan kepada Kitab Injil. Sidang Nicea yang bersidang dari 20 Mei ke
25 Ogos tahun 324 TM tidak mengeluarkan apa-apa perintah tentang
tulisan-tulisan 'apocrypha'. Seramai 300 uskup-uskup yang berjemaah di sana
telah berbincang tentang pentafsiran dan pemahaman nas Al-Kitab dan BUKAN
tentang isi kandungan Al-Kitab
itu sendiri. Semua pemimpin-pemimpin Kristian di Jemaah itu mempunyai
persetujuan penuh mengenai nas Al-Kitab dan kesahihannya pada masa itu. Semua
ini adalah hakikah-hakikah sejarah yang nyata.
Kalau kita mengetahui apa yang menyebabkan sesuatu penyakit, itulah langkah
pertama untuk mencari ubatnya. Umat Islam seringkali membaca tulisan-tulisan
dan karya-karya mereka sendiri yang hanya mengulangi dakwaan-dakwaan lama
mereka terhadap ajaran Kristian sehingga hanya itulah yang meyakinkan mereka.
Seekor katak yang hidup di dalam perigi boleh yakin ia telah mengalami lautan.
Apakah jawapan kepada jalan buntu ini? Untuk benar-benar mencapai kemajuan
dalam proses berdialog yang ikhlas, kedua-dua para Muslim mahupun Kristian
sewajarnya mengabaikan dan melepaskan prasangka-prasangka,salah tafsiran dan
tanggapan lama mereka masing-masing terhadap Kitab-kitab suci mereka dan
mengkaji fakta-fakta objektif dengan teliti dan dengan fikiran yang terbuka.
Teks al-Injil
Ini membawa kita kepada penilaian teks Injil sendiri. Bolehkah kita menemui
teks-teks asal dan menentukan ketepatan kata-kata yang diilhamkan Tuhan itu
yang telah dicatat di antara 50 dan 90 TM? Banyak saintis-saintis dan para
ilmuan yang lain telah menumpukan tenaga dan kehidupan mereka bagi memperoleh
jawapan kepada soalan ini. Pengkajian 'text criticism' telah membuat penelitian
yang begitu rapi kepada banyak penulisan-penulisan yang kuno dan lama; di
antaranya buku-buku Perjanjian Baru (New Testament). Saya akan cuba menjelaskan
dalam perenggan-perenggan berikut proses ini yang sebenarnya satu kaedah yang
cukup rumit dan teliti.
Pada zaman Hazrat Isa al-Masih semua buku-buku dan surat-surat kena ditulis
dengan tangan. Apabila semua tulisan-tulisan Perjanjian Baru telah sempurna
dicatat, mereka hanya dapat diperkembangkan kepada jemaah-jemaah Kristian di
merata tempat dengan mengambil catitan-catitan yang telah sempurna ditulis.
Jenis surat ini digelar 'manuskrip'(dr.bahasa Latin yang bermaksud 'ditulis
dengan tangan'). Bahan yang digunakan pada masa itu ialah 'papyrus', sejenis
kertas berkualiti rendah yang disediakan daripada sejenis buluh. Oleh kerana
kitab-kitab suci sering digunakan -semasa pembacaan peribadi ataupun semasa
Sembahyang Ahad, manuskrip-manuskrip terawal itu mudah menjadi luntur dan
susuh, dan kena diganti dengan catitan-catitan manuskrip yang baru.
Pada abad keempat tahun Masehi, sejenis bahan yang lebih tahan lasak telah
dijumpai, iaitu kertas kulit(parchment). Kertas kulit ini dibuat daripada
jalur-jalur kulit kambing atau biri-biri yang telah dikikis, disamak dan
dijahit rapi untuk dijadikan gulungan. Kulit gulungan ini semestinya lebih
mahal untuk dihasilkan, akan tetapi keistimewaannya ialah satu bahan yang amat
susah untuk dimusnahkan. Sedikit demi sedikit lebih banyak buku-buku Perjanjian
Baru dicatit di atas gulungan-gulungan kulit tersebut, yang diberi nama
'Kodis(codice)' atau buku-buku dimana kepingan-kepingan kulit disusun satu demi
satu sama seperti buku yang ada pada hari ini. Ada juga kemajuan dalam bidang
penulisan. Pada abad pertama T.M. setiap huruf bahasa Yunani mengunakan huruf
besar (tulisan Majuskul). Lepas itu satu jenis yang berbeza telah muncul
(tulisan Miniskul). Apabila para ahli sains menjumpai manuskrip yang lama,
mereka cuba menentukan umur dokumen itu. Lepas itu, mereka akan menyalin teksnya
dengan sebaik-baiknya dan mengkaji segala ciri-ciri catatan itu. Teks-teks
yang telah dibaik-pulih dari sesuatu manuskrip itu akan dibandingkan dengan
teks-teks lain yang telah dijumpai.
Untuk membuat pengkajian tulisan-tulisan Perjanjian Baru, ahli-ahli sains
mempunyai banyak sekali bahan-bahan sejarah. Ada tidak kurang daripada 4,680
buah naskhah yang ditulis di dalam bahasa Yunani (Perjanjian Baru ditulis dalam
bahasa Yunani). 68 buah daripada mereka adalah dalam bentuk papyri, 241 adalah
dalam salinan bentuk majuskul, 2,533 adalah salinan miniskul dalam gulungan
kulit (parchments) dan terdapat 1,838 koleksi petikan-petikan nas Al-Kitab bagi
ibadat hari Ahad.
Ada juga lebih daripada 6,000 naskhah terjemahan dalam bahasa-bahasa lama
seperti bahasa bahasa Latin, Syria, Koptic Mesir, Eropah tengah (Gothic),
Armenia, Habsyah, Georgia, Arab Nubia, Parsi dan Slav.
Sumber ketiga bagi tujuan perbandingan ialah petikan-petikan Kitab suci yang
terdapat pada lebih dari 220 tokoh-tokoh dan pemimpin gereja awal (church
Fathers) dan para ulama-ulama Kristian.
Ada di antara naskhah-naskhah tersebut yang sangat tua. Salah satu daripada
koleksi papyrus dikenali sebagi 'P52' mengandungi sebahagian daripada Injil
yang dicatit oleh Yahya-seorang Hawariyun dan murid Hazrat Isa al-Masih.
Tarikhnya telah ditetapkan pada 130 T.M., yakni salinan Injil ini tidak
melebihi empat puluh tahun selepas catatan asalnya. Satu lagi contoh salinan
Injil yang sahih ialah Kodeks Sinaiticus yang telah disalin pada tahun 350 T.M.
di Mesir. Sebanyak 347 muka suratnya telah dipelihara dan ini pula menjangkau
lebih kurang keseluruhan jangka masa Perjanjian Baru. Dengan membandingkan
tulisan manuskrip tersebut boleh disimpulkan bahawa tiga orang penyalin telah
mengusahakannya.
Ciri-ciri dalil-dalil itu
Untuk membandingkan ribuan naskhah-naskhah ini dan sumber-sumber lain yang
menjangkau jangka masa lebih kurang dari abad kedua sehingga abad keempat-belas
merupakan satu tugas yang amat berat. Tetapi ia telah dilakukan! Proses
penyalinan yang telah berulang-ulang dari abad ke abad telah menyebabkan
penyerapan beberapa perbezaan yang kecil kepada teks-teks. Ini dikenali sebagai
'perbezaan bacaan'. Sekali terjadinya suatu perbezaan kecil ini kepada
kandungan sesuatu teks, ia akan 'diwarisi' oleh naskhah-naskhah yang telah
disalin daripadanya. Dengan menganalisis semua perbezaan-perbezaan kecil ini,
ahli sains telah dapat mengumpulkan banyak naskhah-naskhah kepada beberapa
kelompok utama dan daripada ini dapat mengesan bahawa semua naskhah-naskhah
tersebut telah berpunca daripada sumber yang sama. Dalam cara begini,
versi-versi teks yang paling awal dapat dikesan dan dibentuk semula dengan rapi
dan sangat tepat. Kita dapat mengesahkan bentuk dan keadaan teks pada
penghujung abad yang
ketiga T.M. mengikut empat aliran transmisi iaitu Iskandariah, Barat, Kaisari
dan Antiokus. Dengan proses ekstrapolasi ke lebih dalam lagi mengenai sejarah
teks-teks itu, kita dapat tentukan teks yang asal bagi semua teks-teks tersebut.
Hasilnya semua penyelidikan dan kajian-kajian ini ialah kesahihan dan
kewibawaan teks Perjanjian Baru telah dikukuhkan kedudukannya tanpa apa-apa
keraguan lagi. Kita dapat menentukan hakikat dengan muktamad bahawa teks yang
ada pada kita hari ini adalah sama dengan teks Perjanjian Baru yang asal.10
Untuk menyatakannya secara yang kuantitatif pula: kesan perbezaan-perbezaan
kecil yang telah menyerap kedalam teks dalam proses penyalinan selama
berabad-abad ini ialah hanya kepada satu perpuluhan lima peratus jumlah teks
asal (yakni sepatah perkataan bagi setiap enam puluh patah perkataan); dan
tiada membawa apa-apa kesan pengajaran atau pun perbezaan kepada akidah
Kristian pada hari ini. Sebanyak sembilan puluh lapan perpuluhan lima peratus
teks Alkitab mempunyai dasar sahih yang kukuh yang tidak dapat dipertikaikan.
Ini membuktikan bahawa teks itu tidak dipalsukan. Sesungguhnya, kalau ada
seseorang yang ingin cuba membuat suatu pemalsuan, muslihat ini dapat dikesan
dengan mudahnya. Cubalah fikirkan satu senario di mana seorang pemilik Bank
yang kaya di Singapura telah menulis surat wasiatnya yang menghuraikan
bagaimanakah harta bendanya akan dibahagikan selepas lima puluh tahun yang akan
datang. Orang kaya ini mempunyai lima orang anak dan setiap satu daripada
mereka telah menyalin satu salinan surat wasiat tersebut masing-masing. Setiap
satu di antara mereka telah membawa salinan surat masing-masing semasa
berhijrah ke lima tempat yang berlainan di dunia iaitu London, Cape Town, Los
Angeles, Sydney dan Rio de Janeiro. Setiap orang anak orang kaya tersebut telah
mempunyai lima orang anak masing-masing dan mereka pula telah membuat salinan
surat wasiat yang asal itu. Cucu-cucu orang kaya ini pun telah memperolehi lima
orang anak mereka masing-masing dan mereka juga telah membuat salinan surat
wasiat datuk mereka bagi anak-anak mereka. Pada suatu hari, pemilik bank yang
kaya di Singapura itu telah kehilangan surat wasiatnya yang asal, dengan
membandingkan salinan-salinan yang banyak yang telah dibuat oleh anak-anak,
cucu-cucu dan cicit-cicit pemilik itu di seluruh dunia, Surat wasiat yang asal
itu dapat disahkan. Kalau mana-mana anak atau cucu si orang tua itu ingin
membuat pindaan kepada teks Surat yang asal itu, pemalsuannya itu akan
didedahkan serta-merta kerana berbeza dengan salinan-salinan surat asal yang
sudah ada!
Dalam cara yang sama, mana-mana percubaan memalsukan teks Al-Injil akan
didedahkan dengan serta-merta kerana percanggahan dan perbezaannya dengan
beribu-ribu salinan teks asal yang ada.
Raja Ashoka yang beragama Buddha telah memerintah di India dari 273 S.M. ke 240
S.M., dia telah mengumumkan suatu perlembagaan berlandaskan perikemanusiaan
yang unik. Dia perintah supaya perlembagaannya itu diukir pada tempat-tempat
umum di empayarnya saperti batu-batan besar, tiang-tiang dan tembok-tembok gua.
Lebih kurang tiga-puluh lima ukiran-ukiran tersebut dijumpai dan telah
dibaik-pulih.
Oleh sebab itu kita dapat mengesahkan kandungan perlembagaan Raja Ashoka yang
asal. Walaupun seorang daripada pengukir-pengukir itu cuba meminda teks asal
Ashoka untuk memperdayakan kita, pemalsuan itu dapat dibuktikan dengan
membandingkan ukiran-ukiran lain yang ada.
Injil merupakan perlembagaan bagi gereja yang awal. Beribu-ribu salinannya
telah dibuat daripada teks asalnya dari awal lagi, kalaulah kononnya suatu
pemalsuan telah berlaku, tentu sekali ia dapat didedahkan dengan mudah.
H.K.Moulton yang telah menyelidiki dan mengkaji manuskrip-manuskrip Injil lebih
daripada empat puluh tahun, boleh dipetik bagi memberi kesimpulan bagi hakikat
ini. Dia telah mencapai kesimpulan bahawa perbezaan-perbezaan kecil di antara
beberapa teks tidak membawa kesan yang buruk kepada mana-mana ajaran-ajaran
Kristian. Katanya lagi:
"Setelah semua dokumen-dokumen ditapis dan diteliti serapi-rapinya didapati
bahawa pada dasarnya mereka adalah secocok�"
Tidak ada buku yang telah diteliti dan diselidik dengan sehebatnya buku-buku
Perjanjian Baru. Tiada mana-mana pemalsuan yang dapat tahan pengujian dan
penyelidikan sedemikian rupa (yang telah diadakan terhadap buku-buku Perjanjian
Baru). Kita boleh meyakini Kitab-Asal yang ada pada kita (hari ini), ia telah
dikenakan pengujian yang runcing tetapi ini tidak dapat mengemukakan apa-apa
kelemahan padanya.11
Penjaga-penjaga Ajaran.
Jadi, telah dibuktikan di atas bahawa umat Kristian dari awal-awal lagi telah
memelihara dengan setia ajaran-ajaran yang diterima mereka daripada Isa
al-Masih. Ini pula bukanlah perkara yang menghairankan. Pengikut-pengikutnya
amat mengutamakan pemeliharaan mutiara-mutiara rohani yang telah dianugerahkan
mereka oleh Tuhan. Seawal T.M. 50 Paulus telah menulis: "Saudara-saudaraku,
kamu harus tetap percaya dan berpegang kepada ajaran-ajaran yang telah kami
sampaikan�"(2 Tesalonika 2 ay.15). "Sentiasa mengikut ajaran yang aku berikan
kepada kamu (1 Korintus 11 ay.2). "Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah
apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Al-Masih mati kerana dosa
kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam AlKitab�Dia dikuburkan dan pada hari
ketiga Dia dihidupkan semula�Kami semua mengisytiharkan perkhabaran yang sama
dan maku semua percaya kepadanya�Berita Baik itu akan menyelamatkan kamu jika
kamu berpegang kepadanya dengan teguh (1 Korintus 15:3-4,11,2).
Umat Kristian yang terawal amat mementingkan apa-apa yang telah dikatakan dan
dilakukan oleh Isa Al-Masih. Orang-orang Yunani dan Roma telah mengikut taraf
yang agak tinggi di dalam penulisan-penulisan sejarah. Mereka tahu ini
memerlukan mereka melapurkan fakta-fakta yang objektif, yang dapat dibuktikan
oleh saksi-saksi dan dokumen-dokumen yang asal.
Para ilmuan moden telah memutus bahawa beberapa ahli-ahli sejarah pada masa
kuno boleh diyakini dan dipercayai dalam tulisan-tulisan mereka. Herodotus,
Thucydides, Polybius dan Tacitus adalah cemerlang dalam bidang ini; Josephus,
Kaisar(Caesar), Polynius dan Livy adalah boleh diyakini. Walaupun mungkin ada
di antara mereka yang cuai, umat Kristian yang awal itu akur kepada peraturan
dan cara-cara mencatat rekod-rekod yang benar dan sahih.12 Oleh itu, kita
seharusnya menerima dengan serius kenyataan Lukas bahawa dia telah merujuk
kepada saksi-saksi (Lukas 1 ay.2) dan seterusnya bersambung: "Saya sendiri
telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya
juga menulis satu laporan yang teratur untuk Tuan..supaya Tuan dapat tahu
dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada Tuan memang benar."
(Lukas 1 ay.3-4). Umat Kristian secara lazimnya telah sentiasa ingin mengetahui
kebenaran sepenuhnya segala-gala yang telah diajari kepada mereka.
Satu Permulaan Baru
Umat Kristian dan Muslim berkongsi banyak kepercayaan yang sama. Tuhan yang
maha Esa, Pencipta segala-galanya dan Punca segala wahyu-wahyu. Hakim yang
penyayang; yang akan menghukum penjahat dan menganjarkan mereka yang salih.
Pada masa kini apabila fahaman materialisme menonjol-nonjolkan kepalanya yang
berpengaruh di seluruh dunia, amatlah penting dan mustahak supaya semua
ahli-ahli Kitab menekankan bidang-bidang yang dikongsikan bersama-sama di
antara mereka dan bukanlah perbezaan-perbezaan yang membawa kepada percanggahan
dan perselisihan sesama sendiri. Ini bermakna bahawa prasangka-prasangka yang
tidak berasas di kedua-dua pihak seharusnya dijatuhkan. Pada bulan Februari
1976, seramai 1,200 para rombongan daripada enam puluh buah negara mengambil
bahagian di dalam satu Seminar 'Dialog Islam-Kristian'. Para Kristian disitu
telah memohon peserta-peserta Muslim supaya mengenal dan mengkaji Perjanjian
Baru secara lebih terbuka dan mendalam dan untuk menjatuhkan tuduhan 'pemalsuan'
terhadap mereka. Untuk berdialog memerlukan kedua-dua pihak menerima kesahihan
Kitab-kitab suci mereka masing-masing.13
Sesungguhnya kebanyakan tokoh dan pemikir-pemikir Islam yang agung telah
menerima kesahihan teks Injil dan Perjanjian Baru. Untuk menghuraikan nama-nama
mereka disini merupakan penutup yang sesuai bagi karangan ini. Kesaksian mereka
membuktikan bahawa dialog di antara para Muslim dan Kristian tidak usah
dibelenggui oleh tuduhan yang telah dipelopori oleh Ibn-Khazem. Dua ahli
sejarah Islam yang agung, Al-Mas'udi (meninggal 956 T.M.) dan Ibn-Khaldun
(meninggal 1406 T.M.) telah memegang kepada kesahihan teks Al-Injil. Empat
orang ahli ulamak yang terkenal pun telah menyetujui hakikat ini: Ali at-Tabari
(meninggal 855 T.M.), Qasim al-Khasani (meninggal 860 T.M.), 'Amr al-Ghakhiz
(869 T.M.) dan tokoh yang terutama, imam Al-Ghazzali (1111 T.M.).14 Pandangan
ini pula disokong oleh Abu Ali Husain Ibn Sina, lebih dikenali di Barat sebagai
'Avicenna' (m. 1037 T.M.). Al-Bukhari (m.870 T.M.) yang terkenal kerana
mengumpulkan hadith-hadith yang terawal, telah memetik daripada Al-Qur'an
sendiri
(Surah Ali-Imran 3 ay.72,78) bagi membuktikan bahawa teks Al-Kitab Al-Mukaddis
tidak pernah dipalsukan.15
Akhir kata, seorang tokoh Muslim terkemuka di zaman moden, Muhammad Abduh
Sayyid Ahmad Khan, seorang 'ulamak Islam moden' yang telah menerajui
pembaharuan sosial pada era moden ini, telah menerima keputusan-keputusan sains
moden. Beliau telah berkata:
"Bersabit dengan teks Al-Kitab (Bible), ia tidak mengalami apa-apa perubahan.
Juga tiada sesiapa yang dapat mengemukakan sesuatu teks (alternatif) yang
berbeza sebagai teks yang sahih".16
Bersyukurlah kepada Tuhan kerana kesaksian tokoh-tokoh yang jujur ini!
NOTA-NOTA
1. MUHAMMAD ATA UR-RAHIM, Jesus Prophet of Islam, Omar Brothers Publications,
Singapore 1978, ms. 12, 15 and 40.
2. G. PARRINDER, Jesus in the Qur'an, Faber and Faber, London 1965, bab 15.
3. P. A. PALMIERI Die Polemik des Islams, German tr. Holzer, Salzburg 1902; E.
FRITSCH, Islam und Christentum im Mittelalter, M�ller & Seiffert, Breslau 1930;
see also. H. HIRSCHFELD, `Muhammadan Criticism of the Bible'. Jewish Quarterly
Review 13 (1901) 222-240.
4. F. M. PAREJA, Islamologia, Orbis Catholicus, Roma 1951, ms. 460-461.
5. I. DI MATTEO, `Il "takhrif" od alterazione della Bibbia secondo i
musulmani', Bessarione 38 (1922) 64-111; 223-260; `Le preteze contradizzioni
della S. Scrittura secondo Ibn-Hazm', Bessarione 39 (1923) 77-127, E. FRITSCH,
op. cit., ms. 66.
6. IBN KHAZEM, Kitab al-fasl fi'l-milah wa'l ahwa'l nikhal, II,6; E. FRITSCH,
op cit., ms.55.
7. IBN KHAZEM, ibid.; E. FRITSCH, op. cit, ms. 64.
8. Ringkasan drpd. AL-QARAFI; E. FRITSCH, op. cit., ms. 49.
9. Cerita2 yg.sama terdapat dalam versi Pasri Tustari: "Qisas al-anbija
(Sejarah Nabi-nabi)" di dalam manuskrip bertarikh 1330 TM, dan
drpd.Ghalal-addin Rumi: "Metnewi (Satu Cerita raja Yahudi dan wazirnya, 1273
TM)"; E. FRITSCH, op. cit., ms. 50-65.
10. Bagi penjelasan lebih mendalam mengenai 'text criticism' dan
kesimpulan2nya, saya syorkan penulis2 F.G.KENYON:The Text of the Greek Bible,
London 1937,1949;L.D.TWILLEY, The Origin and Transmission of the New
Testament,Edinburgh 1957; V.TAYLOR, The Text of the New Testament, London and
New York 1961; J.H.GREENLEE, An Introduction to New Testament Textual Criticism
, Grand Rapids 1964; B.M.METZGER, The Text of the New Testament, Oxford 1968.
11. H. K. MOULTON, Pa pyrus, Parchment and Print; the story of how the New
Testament text has reached us, London 1967, ms. 9-10, 70-71.
12. A.M. MOSLEY, Historical Reporting in the Ancient World, New Testament
Studies 12 (1965) ms.10-26.
13. Teks Pengisytiharan Penutup bagi Seminar Tripoli, L'Osservatore Romano
(English Edition), Feb. 26, 1976, ms. 6-7.
14. I. DI MATTEO, loc. cit (nota 5), AT-TABARI dan AL-GHAKHIZ menyatakan bahawa
penterjemahannya mungkin kurang tepat, tetapi mereka tidak meragui kesahihan
teks bahasa Yunani. Mengenai AL-GHAZZALI pula, lihat F. M. PAREJA, op. cit, ms.
463.
15. G. PARRINDER, Jesus in the Qur'an ('Isa di dalam Quran), Faber and Faber,
London 1965; Terjemahan Belanda, Ten Have, Baarn 1978, ms. 124.
16. M. H. ANANIKIAN, `The Reforms and Religious Ideas of Sir Sayyid Ahmad
Khan'. The Moslem World 14 (1934) ms. 61
Kepada kaum muslimin/muslimah saya berwasiat : Mencari seribu satu alasan untuk
memaklumi orang lain adalah cara melatih diri agar berprasangka baik kepada
orang beriman dan waspada terhadap orang zhalim, kafir dan musrik
__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around
http://mail.yahoo.com
[Non-text portions of this message have been removed]
------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~-->
In low income neighborhoods, 84% do not own computers.
At Network for Good, help bridge the Digital Divide!
http://us.click.yahoo.com/S.QlOD/3MnJAA/Zx0JAA/uTGrlB/TM
--------------------------------------------------------------------~->
Post message: [EMAIL PROTECTED]
Subscribe : [EMAIL PROTECTED]
Unsubscribe : [EMAIL PROTECTED]
List owner : [EMAIL PROTECTED]
Homepage : http://proletar.8m.com/
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/proletar/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/