*Salur darah tersumbat <http://www.biovco.com/>*
*BACA LAIN-LAIN INFO - KLIK DISINI <http://www.biovco.com/>* SETIAP kali mendengar ibunya berkata 'masa muda macam tidak payah hendak pantang makan, bila sakit nanti tengok makanan sedap pun tiada selera', teman sepejabat tersenyum dan berulang kali memberitahu konsep itu kurang tepat. Betulkah ketika muda boleh makan ikut selera? Tidak. Pakar perubatan sependapat kita memang boleh makan apa saja yang diingini, tetapi secara bersederhana dan bukan ikut selera. Pada umur semuda 20 tahun, kita sebenarnya perlu bimbangkan kesihatan salur darah kerana proses pembentukan lapisan lemak (aterosklerosis) bermula sejak kecil; seawal umur dua tahun. Jika tidak jaga makan dan tidak pernah pula bersenam, proses pembentukan lemak dalam salur darah menjadi lebih cepat. Tidak hairan jika pada umur 30-an atau awal 40-an sudah mengalami masalah salur darah tersumbat yang boleh menyebabkan serangan jantung. Semua orang tahu penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di dunia yang mengorbankan kira-kira 16.7 juta orang setahun (maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO pada 2003) dan satu pertiga daripadanya adalah orang dewasa pertengahan umur. Lebih membimbangkan, 80 peratus adalah penduduk negara miskin dan sederhana. Walaupun diketahui masalah serangan jantung lebih banyak berlaku pada lelaki, ia juga menjadi pembunuh utama wanita; lebih banyak kematian akibat serangan jantung iaitu setinggi 26 peratus pada 2006 berbanding jumlah keseluruhan kes kanser yang berjumlah hanya 11.9 peratus. Dalam kata mudah, satu daripada tiga wanita di negara ini mati akibat serangan jantung. Soalnya, mengapa masalah salur darah tersumbat selalu dikaitkan dengan serangan jantung? Ini kerana jantung mempunyai salur darah paling halus (diameter dua hingga tiga milimeter berbanding empat hingga lima milimeter bagi salur darah pada otak) dan plak kolesterol lebih mudah berkumpul di sini berbanding salur darah bahagian lain. Menurut Ketua Jabatan Kardiologi Hospital Besar Sarawak, Profesor Dr Sim Kui Hian, penyelesaian bagi masalah salur darah tersumbat ialah prosedur angioplasti belon, sama ada bersama atau tanpa stent (paling popular), pengambilan ubat atau pembedahan pintasan koronari jantung. Boleh dikatakan setiap hari ada saja prosedur angioplasti belon dijalankan. Berdasarkan data penyakit kardiovaskular, sebanyak 2,349 prosedur angioplasti dilakukan dalam tempoh enam bulan dari Januari hingga Jun 2007, dengan catatan kes tertinggi iaitu 1,339 kes di Institut Jantung Negara (IJN). Apa itu prosedur angioplasti belon? Ini adalah kaedah 'membuka' bahagian tersumbat supaya aliran darah menjadi lancar semula menggunakan alat khas yang disambungkan pada kateter. Kateter ini dimasukkan ke dalam salur darah dan apabila sampai ke bahagian tersumbat, ia dikembangkan seperti belon yang menolak plak ke dinding salur darah. Selepas beberapa ketika, ia dikuncup semula dan ditarik keluar. Masalahnya, bahagian salur darah yang 'diperbaiki' ini boleh menguncup sendiri dan menyebabkan aliran darah tersekat. Jika keadaan ini berlaku, doktor memasukkan satu alat dipanggil stent supaya salur darah kembali ke saiz asal. "Dua jenis stent digunakan iaitu stent tanpa ubat (BMS) atau berubat (DES). Setiap satu ada kelebihan dan doktor akan berbincang dengan pesakit terlebih dulu untuk memilih jenis mana akan digunakan. "Tidak kira sama ada BMS atau DES, pesakit masih perlu mengambil ubat selama tiga, enam atau 12 bulan tetapi dalam dos berbeza untuk mencairkan darah dan mengelak berlaku pembentukan darah beku yang boleh berkumpul pada stent," katanya. Walaupun dipasang stent, salur darah masih boleh tersumbat di tempat sama dan kadar penyumbatan ini lebih tinggi pada salur darah lebih halus, kata Ketua Jabatan Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Wan Azman Wan Ahmad. Antara masalah lain ialah penggunaan polimer pada stent berubat yang berfungsi sebagai 'kenderaan' untuk membawa dan melepaskan ubat secara perlahan-lahan selepas ia dipasang. Walaupun ia penemuan baik, sesetengah pesakit alah terhadap polimer hingga mengalami keradangan dinding salur darah. Malah, penggunaan polimer dikaitkan dengan peningkatan risiko pembekuan dan pengumpalan darah yang boleh menyebabkan pesakit mendapat serangan jantung. Kajian menunjukkan lima hingga 25 peratus pesakit yang menerima DES mengalami masalah penyumbatan semula salur darah selepas enam bulan ia dimasukkan. Keadaan ini membuatkan ramai pakar jantung lebih suka menggunakan BMS untuk merawat pesakit mereka yang terbukti kebaikannya. Bagaimanapun, kini ada kaedah lebih baik iaitu penggunaan kateter belon berubat (BES). Konsep BES lebih kurang sama dengan DES, bezanya ia menggunakan matriks pembawa ubat bebas polimer yang mudah diresap serta tidak meninggalkan kesan polimer atau besi selepas rawatan. "Apabila belon dikembangkan pada bahagian salur darah tersumbat, ia dibiarkan sekurang-kurangnya 30 saat supaya ubat dibebaskan sepenuhnya. "Sama ada pesakit masih memerlukan stent (BMS) atau tidak bergantung kepada keadaan setiap individu," katanya ketika pelancaran kateter belon berubat, SeQuent Please anjuran B Braun Melsungen AG. Kajian klinikal Kateter Belon Membebaskan Paclitaxel bagi Penyakit Arteri Koronari (PEPCAD) I ke atas 120 pesakit untuk merawat masalah salur darah halus mendapati, kadar penyumbatan semula salur darah jauh lebih rendah iaitu 5.5 peratus dan 6.1 peratus risiko kejadian buruk penyakit jantung berbanding 31.2 peratus (kadar penyumbatan semula salur darah) dan 18.9 peratus (kejadian buruk penyakit jantung) yang berlaku dengan penggunaan DES. Dalam kajian PEPCAD II yang membandingkan antara belon dan stent membebaskan ubat, didapati pesakit dirawat dengan belon berubat mengalami 3.7 peratus kadar penyumbatan semula salur darah dan 4.8 peratus kejadian buruk penyakit jantung berbanding DES iaitu 20.8 peratus (kadar penyumbatan semula salur darah) dan 22 peratus kadar kejadian buruk penyakit jantung. Ubat pada belon ini bertindak pada bahagian salur darah yang tersumbat dan ia juga boleh memendekkan tempoh pengambilan ubat mencairkan darah. Pada masa sama, pakar jantung boleh menggunakan stent biasa (BMS) yang terbukti manfaatnya, jika diperlukan. Berdasarkan perkembangan positif itu, kini kajian PEPCAD IV dijalankan ke atas 128 pesakit kencing manis yang mengalami mengalami penyakit jantung koronari di Malaysia dan Thailand. Jika ia terbukti berkesan, lebih ramai pesakit akan dapat mendapat manfaatnya, terutama untuk memendekkan tempoh pengambilan ubat anti gumpalan darah (yang mahal harganya) daripada 12 kepada tiga bulan saja. *BACA LAIN-LAIN INFO - KLIK DISINI* <http://www.biovco.com/>
