Rencana
Minda sains orang Melayu dipasung
Sejuk-Sejuk Panas
Sesiapa yang membaca buku Islam and Science oleh Pervez Hoodbhoy akan mendapat gambaran yang agak menyedihkan mengenai kedudukan sains di negara-negara Islam. Pervez menempatkan kelembapan perkembangan sains kepada pengaruh ortodoks atau tradisionalis Islam yang takut agama Islam akan tercemar dengan pengaruh sekular yang dibawa oleh sains.
Sememangnya sains itu sekular. Ini ialah kerana setiap fenomena atau hukum sains tidak memerlukan kepercayaan atau doa untuk ia terjadi. Asas sains ialah berbentuk empirikal dan sesuatu teori atau hipotesis sains mengikut Karl Popper mestilah boleh membuat ramalan yang boleh diselidik sama ada ia benar atau tidak. Sebagai contoh teori gelombang partikel - fizik kuantum menyatakan bahawa satu partikel elektron boleh bertindak sebagai gelombang. Terdapat satu eksperimen dikenali sebagai eksperimen Davisson dan Germer di mana satu pancaran elektron ditembak ke permukaan kristal nikel dan corak pantulan mempunyai corak diffraction seperti yang terjadi kepada gelombang cahaya.
Ini menunjukkan bahawa elektron dalam keadaan ini bertindak sebagai gelombang seperti cahaya dan bukan partikel yang bersifat discrete. Inilah yang membuat para saintis kuantum menyatakan bahawa God play dice kerana teori ini menyatakan bahawa sesuatu elektron boleh diwakili oleh satu gelombang probabiliti dan terdapat probabiliti yang elektron saya sedang berinteraksi dengan pembaca (probabiliti kecil tetapi bukan kosong). Asas fizik kuantum ini membolehkan teknologi industri mikrocip komputer yang merangsang revolusi maklumat sekarang.
Satu teori lagi ialah teori Big Bang. Ini ialah sebuah teori yang berkait dengan teori graviti. Teori ini menyatakan bahawa alam kita bermula sebagai satu jisim padat yang meletup dan mencetuskan satu perkembangan. Letupan seperti dikenali sebagai supernova telah dicerap dalam kajian ahli-ahli astronomi dan astrofizik. Kalaulah kita membaca buku The origin of Chemical Elements oleh R.J. Tayler dikatakan asas semua atom kimia ialah dari atom hidrogen dan tindakan nuklear fusion yang membina atom-atom yang lebih besar. Jadi mengikut teori ini, perjanaan atom-atom ini dilakukan oleh kuasa tindakan nuklear di bintang-bintang seperti matahari kita.
Bintang-bintang ini merupakan kilang yang menghasilkan atom-atom kimia dari atom asas seperti hidrogen. Bila bintang-bintang ini meletup sebagai nova atau super nova ia akan menyemai alam ini dengan atom-atom berat seperti besi, karbon yang merupakan asas atom untuk bahan organik dan kehidupan dunia. Bayangkan asal usul atom yang sedang berada di dalam badan kita ini ialah dari satu letupan bintang pada masa lampau. Jadi walaupun seorang bayi itu baru lahir atom yang membentuk tisu dan organnya sangatlah tua dan dijanakan di sebuah bintang primitif berjuta-juta tahun yang lampau. Lagu Desiderata yang menyatakan bahawa manusia adalah children of the stars adalah secara zahirnya betul kerana mengikut teori ini semua atom berat hanya boleh dijanakan di dalam ketuhar nuklear bintang-bintang.
Letupan bintang-bintang ini akan menjadikan planet-planet yang akan mewarisi atom-atom berat ini dan membekal atom untuk menjadikan kehidupan di planet tersebut. Jadi atom-atom ini akan dikitar semula kerana planet merupakan satu sistem tertutup jisim. Semua jisim yang terdapat di sesebuah planet yang tidak terlepas dari tarikan graviti akan kekal dan tetap, tiada jisim baru yang dijanakan kerana planet tidak mempunyai keupayaan tindakan nuklear fusion seperti bintang. Hanya tindakan nuklear fusion sajalah yang dapat menjanakan keseluruhan atom berat kimia yang terdapat di dalam alam ini. Di dalam sesebuah bintang terdapat dua kuasa yang terimbang, satu ialah kuasa graviti yang cuba menarik semua jisim ke satu pusat titik dan memadatkan bintang tersebut. Satu lagi ialah kuasa nuklear yang bertindak untuk mengembangkan bintang tersebut.
Akhirnya bila bintang tersebut telah kehabisan bahan api untuk tindakan nuklear, kuasa graviti akan menang dan bintang tersebut akan mengejut dan memampat kepada bintang neutron ataupun lohong hitam (black hole). Bagaimanakah ahli astrofizik mengkaji kehadiran logam di bintang-bintang dan fenomena bintang neutron dan lohong hitam yang sangat jauh ini? Satu cara mengkajinya ialah dengan mengkaji meteorit ataupun mengkaji spektrum pancaran yang dikeluarkan oleh bintang-bintang ini. Dengan membandingkan struktur spektrum ini dengan teori dan juga cerapan spektrum matahari iaitu bintang yang terdekat dengan Bumi, kita bolehlah membuat unjuran mengenai nisbi atom-atom yang hadir di sesebuah bintang.
Begitu juga dengan teori Big Bang dengan mengkaji pancaran dari bintang yang jauh. Saintis telah menunjukkan bahawa pancaran ini menunjukkan Doppler shift seolah-olah bintang tersebut sedang bergerak secara mengembang dari Bumi. Semua bintang yang dicerap menunjukkan pergerakan ini, jadi saintis membuat deduksi bahawa alam kita sedang mengembang dan tidak statik.
Mengapakah saintis berminat untuk mengkaji asal usul alam cakerawala? Memetik daripada kata Stephen Hawking seorang ahli fizik terkemuka di dalam bukunya, A Brief History of Time bahawa kajian manusia mengenai saat-saat mulanya kejadian alam (universe) ini mungkin akan mengilham satu teori fizik yang menyeluruh dan penuh. Katanya lagi ini, ia akan menjadi satu kemenangan kepada kuasa rasional manusia - kita akan tahu minda Tuhan. Begitu sekali kepercayaan Prof. Hawking kepada kuasa sains dalam menjawab soalan ``what the universe is.''
Betrand Russell seorang ahli matematik dan falsafah rasional pernah menyatakan: ``Sekira saya menyatakan bahawa saya telah meletupkan sebuah bom atom dan meranap sebuah gunung, kenyataan ini akan dipercayai oleh semua orang, sebaliknya sekiranya saya menyatakan saya telah berdoa bahawa gunung tersebut diranapkan tidak semua yang akan percaya bahawa doa saya akan termakbul.''
Mengapa saya memetik contoh-contoh ini ialah untuk menyatakan kepercayaan kukuh masyarakat Barat kepada sains. Ilmu sains dipercayai dapat membuka jalan memahami kewujudan segala-galanya. Jadi pandangan ilmu sains ialah satu pandangan yang menyatakan bahawa tiada had dan batasan kepada daya kreatif manusia.
Saya mengambil contoh telefon bimbit. Kini teknologi telah mengecil dan memurahkan telefon bimbit ini. Semasa ia mula digunakan hanya eksekutif korporat saja yang mampu membayar RM10,000 untuk satu set. Kini saya pernah lihat pekerja sapu sampah di Chow Kit bercakap dengan telefon bimbitnya. Pada masyarakat Barat kesempurnaan belum lagi tercapai dan berada di masa hadapan. Sebaliknya bila saya bertemu dengan sesetengah pemikir ortodoks dan tradisionalis, kesempurnaan tamadun telah tercapai di zaman Nabi s.a.w. dan empat khalifah dan sekarang kita akan hanya menjadi lebih buruk.
Kerangka pemikiran ini sudah tentu tidak akan merangsang penerokaan idea dan sains baru kerana semuanya telah dijawab di dalam al-Quran. Pervez merujuk kepada pengurangan penekanan dalam sistem pendidikan Pakistan kepada bidang-bidang yang bersifat sekular (sains) dan penekanan kepada religious and nationalistic indoctrination yang membantut pengaruh pemikiran rasional dan kritikal daripada proses pembelajaran. Beliau seterusnya menyatakan bahawa dalam keghairahan pengislaman pendidikan di Pakistan, ia telah merangsang pengembangan pendidikan swasta yang menggunakan bahasa pengantar Inggeris dan mengunakan banyak buku yang dicetak di luar negara yang mempunyai kandungan ilmu sekular yang lebih tinggi. Apa yang terjadi di Pakistan merupakan satu cabaran kepada negara Islam lain yang sedang menghadapi krisis identiti yang sama. Krisis ini timbul daripada pemodenan yang dibawa oleh sains yang dikaitkan dengan tamadun Barat.
Adakah kita akan mengangkat tabir keagungan tamadun Islam semasa zaman Nabi dan kurun keagungan Islam Harun Al-Rashid dan meminggirkan masyarakat kita dari arus pemodenan ala Barat yang diterajui oleh sains? Adakah kita akan membuka lebih banyak madrasah ataupun kita merangsang rakyat kita untuk mengaut sebanyak mana ilmu sains seperti apa yang dilakukan oleh cendekiawan Barat semasa zaman renaissance. Mereka mengaut dan mengkaji sains Ibn Sina, falsafah seperti Aristotle dan Plato yang disampaikan kepada mereka di dalam bahasa Arab daripada cendekiawan Is-lam.
Inilah cabaran untuk anak watan kita untuk bersaing dan menandingi perkembangan sains dan teknologi seperti yang dilakukan oleh masyarakat Jepun semasa zaman Meiji dahulu. Cabaran ini tidak akan diatasi sekiranya minda kita masih lagi dipasung oleh kerangka ortodoks dan dogmatisme. Sains memangnya sekular dan bersifat demokratik. Tiada terdapat apa-apa halangan untuk sesiapa pun menguasai ilmu sains sama ada individu tersebut seorang penganut Islam, Hindu ataupun Kristian.
Join the world�s largest e-mail service with MSN Hotmail. Click Here
RantauNet http://www.rantaunet.com Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/register.php3 =============================================== Mendaftar atau berhenti menerima RantauNet Mailing List di http://www.rantaunet.com/subscribe.php3 ATAU Kirimkan email Ke/To: [EMAIL PROTECTED] Isi email/Messages, ketik pada baris/kolom pertama: -mendaftar--> subscribe rantau-net [email_anda] -berhenti----> unsubscribe rantau-net [email_anda] Keterangan: [email_anda] = isikan alamat email anda tanpa tanda kurung ===============================================

