Antah dek sagan, antah dek lupo, alun ado nan manganakan ka dunsanak awak di subarang ko..... Bialah ambo cubo...hehehehehhhe
 
Dunsanak Mhd Fadzil Yth,
 
Kami sangat berterima kasih atas berita-berita yang anda kirimkan dari tanah seberang. Akan tetapi sesuai dengan tujuan dari mailing list RantauNet ini maka berita-berita yang layak dibawa ke RantauNet ini adalah berita-berita yang berhubungan dengan Minangkabau dan Sumatera Barat.
 
Semoga anda maklum. Maaf jika ada silap kate. Terima kasih.
 
Hilman
 
 
Original Message -----
Sent: Wednesday, April 24, 2002 6:48 PM
Subject: [RantauNet] lantikan rajo

rencana

Patah tumbuh hilang berganti - Institusi Yang di-Pertuan Agong selepas kemangkatan Seri Paduka

Oleh: DR. RAIS YATIM
PADA hari ini genaplah 12 hari Yang di-Pertuan Agong mangkat. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, Yang di-Pertuan Agong ke-11 meninggalkan kita dalam usia 75 tahun.

Walaupun tempoh berkabung peringkat Persekutuan selama seminggu baru sahaja selesai, kesedihan rakyat jelata masih terdaftar dalam suasana sugul dan murung. Doa rakyat semasa baginda gering tetap untuk baginda sembuh, sihat dan meneruskan pemerintahan dan tugas negara. Tetapi Allah memutuskan untuk menghimbau baginda ke alam baqa.

Tak dapat kehendak padi

Kehendak bilah jua yang berlalu

Tak dapat kehendak hati

Kehendak Allah jua yang berlaku.

Mengikut adat istiadat Raja Melayu, apabila seseorang Raja Melayu mangkat, penggantinya hendaklah dilantik dan dimasyhurkan sebelum jenazahnya dikebumikan. Inilah yang dinamakan adat penggantian takhta yang prosesnya diberi nama ``putus-putus diulas''.

Pemasyhuran raja baru yang menggantikan raja yang mangkat dilaksanakan di hadapan majlis rasmi di balairong seri di mana istiadat pertabalan dilakukan. Setelah keris panjang dikucup, lafaz diraja diungkapkan dan meriam dibedilkan, maka tertaballah seseorang raja itu sebagai raja yang sah dari segi adat istiadat kerajaan Melayu.

Demikianlah upacara yang disaksikan oleh pembesar-pembesar negeri Selangor pada petang 22 November yang lalu di Balairong Seri Istana Lama (Alam Shah) Klang di mana Sultan Sharafuddin Tuanku Idris ditabalkan sebagai Sultan Selangor yang baru bagi menggantikan ayahandanya yang baru mangkat.

Semasa upacara itu berlangsung, jenazah masih terbujur di atas pentas diraja di samping Sultan Selangor yang baru. Dengan bergemanya teriakan Daulat Tuanku tiga kali dan susulan ikrar diraja yang baru maka beredarlah satu lagi zaman, dan bergilirlah satu lagi pesaka.

Sebaik sahaja selesai upacara pelantikan itu barulah jenazah diusung ke permakaman diraja. Pada saat itu yang patah sudah pun tumbuh, yang hilang sudah pun berganti.

Jika di England, kemangkatan seseorang raja itu diikuti dengan teriakan The King is Dead, Long Live the King; di alam Melayu ia tersirat apabila rakyat berteriak, Daulat Tuanku.

Semenjak merdeka, semua negeri beraja di Semenanjung di samping mengamalkan tradisi penggantian dan pengebumian tersendiri, terpaksa mematuhi kehendak dan tuntutan perlembagaan negeri masing-masing. Salah satu daripada tuntutan tradisi berkenaan ialah mewujudkan institusi Raja Muda (misalnya di Kedah, Perak dan Selangor) atau Tengku Mahkota (misalnya, Johor, Kelantan dan Pahang) yang bakal menggantikan sultan apabila berlaku kemangkatan atau lain-lain sebab yang ditentukan perlembagaan negeri masing-masing.

Hanya di Negeri Sembilan sistem Raja Muda atau Tengku Mahkota tidak wujud. Ini adalah kerana negeri itu tertakluk kepada sistem pemilihan Adat Perpatih yang diputuskan oleh Datuk-Datuk Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.

Bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong pula, yang tempohnya di bawah Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan tidak melebihi lima tahun, ia tidak tertakluk kepada institusi Raja Muda atau sistem Tengku Mahkota dalam perkara berkaitan naik takhta susulan kemangkatan atau lain-lain sebab yang memerlukan penggantian sebagai raja sesebuah negeri.

Pelantikan Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada tuntutan Perkara 32 hingga 36 serta Jadual 3 dan 5 Perlembagaan Persekutuan. Kehendak Perlembagaan ini tidak boleh diketepikan atau diabaikan kerana jika mana-mana peruntukannya yang substantif tidak dipatuhi akibatnya ialah kenaikan takhta seseorang raja itu mungkin dicabar atau dipertikaikan sebagai tidak sah.

Yang di-Pertuan Agong adalah jawatan Ketua Negara yang dicipta oleh Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan, Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong dan klausa (2) Perkara 32 memperuntukkan bagi Permaisuri Agong.

Kedua-dua personaliti ini mendahului semua orang dan pihak di dalam negara. Peruntukan ini berkuat kuasa semenjak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Sebelum itu Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu yang dijajah oleh British tidak mempunyai seorang raja bertaraf Agong atau Supreme Ruler. Pada zaman itu British berurusan secara langsung dan berasingan dengan raja sesebuah negeri.

Suruhanjaya Reid yang membuat syor-syor perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu awal 1957 sebenarnya tidak menamakan ketua negara Malaya sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Panggilan diraja yang disyorkan oleh Suruhanjaya Reid ialah Yang Dipertuan Besar yakni gelaran yang sama seperti tradisi yang diamalkan di Negeri Sembilan.

Di negeri Adat Perpatih itu Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin memilih seorang raja daripada kalangan keturunan Raja Radin di Negeri Sembilan untuk dilantik sebagai raja yang bergelar sedemikian sebaik sahaja berlaku kemangkatan atau apabila berlaku proses turun takhta (abdicate).

Model pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang seakan-akan amalan di Negeri Sembilan ini disahkan oleh Tunku Abdul Rahman dalam bukunya Looking Back. Justeru Yang di-Pertuan Agong pertama disetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya disandang oleh Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Untuk mengelakkan daripada kekeliruan antara tradisi di Negeri Sembilan dan proses diraja di peringkat Persekutuan, Tunku telah mencadangkan supaya pemerintah tertinggi Tanah Melayu dinamakan Yang di-Pertuan Agong.

Oleh kerana jawatan Yang di-Pertuan Agong merupakan jawatan ciptaan perlembagaan dan bukan institusi semula jadi atau secara tradisi seperti halnya dengan keadaan di negeri-negeri yang beraja, barang sudah tentu fungsi, kuasa, bidang tugas dan kedaulatan diraja Yang di-Pertuan Agong itu juga disusun secara yang diizinkan oleh perlembagaan.

Lantaran kuasa rakyat melalui kuasa politik mendahului kuasa dan bidang tugas yang lain di bawah perlembagaan, kuasa dan fungsi diraja Yang di-Pertuan Agong juga adalah tertakluk kepada kuasa rakyat. Justeru, baginda hendaklah bertindak dalam kebanyakan hal mengikut nasihat kabinet atau nasihat salah seorang yang bertindak bagi pihak kabinet. Biasanya Perdana Menteri adalah penasihat wajib bagi melunaskan semua tugas rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Tetapi dalam hal-hal berkaitan agama Islam, adat istiadat Melayu atau salur-galur pemilihan ketakhtaan, Majlis Raja-Raja yang terbentuk di bawah Perkara 38 Perlembagaan menjadi institusi yang berkuasa dalam bidang ini. Ada pihak-pihak daripada kalangan pakar perlembagaan mengatakan bahawa institusi Majlis Raja-Raja itu sebenarnya adalah institusi pengimbang kepada sistem pemerintahan secara Persekutuan. (Misalnya, jika apa-apa perubahan hendak dilakukan kepada Perkara 153 Perlembagaan mengenai hak-hak keistimewaan orang Melayu, Majlis Raja-Raja hendaklah terlebih dahulu dirundingi).

Sementara di negeri-negeri bersultan pula, proses kenaikan takhta ditentukan melalui keturunan dan disahkan oleh suatu Lembaga atau Dewan Diraja mengikut perlembagaan negeri masing-masing.

Di peringkat Persekutuan soal siapa jadi Yang di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah ditentukan oleh Majlis Raja-Raja yang fungsi serta bidang kuasanya diperuntukkan di bawah Perkara 38 bersekali dengan Jadual Ke-3 dan Ke-5 Perlembagaan Persekutuan.

Prosedur menentukan siapa yang harus dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong diasaskan kepada suara majoriti atau dalam sesuatu kes yang melibatkan pemecatan seseorang Yang di-Pertuan Agong atau timbalannya adalah diasaskan kepada undi sulit dan sekurang-kurangnya lima undi diraja daripada jumlah sembilan kesemuanya hendaklah diperoleh sebelum sesuatu ketetapan mengenai pemecatan itu menjadi sah (Seksyen 8 Bahagian III Jadual Ke-3 Perlembagaan).

Dalam sejarah negara, belum pernah berlaku mana-mana kes pemecatan diraja.

Apabila sesuatu agenda itu melibatkan pemilihan Yang di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong, hanya raja-raja yang dibenarkan hadir dan membuat pemilihan.

Para gabenor negeri-negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang tidak boleh hadir dan mengambil bahagian dalam proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong (Seksyen 7 Jadual Ke-5 Perlembagaan). Para Menteri Besar selaku penasihat sultan masing-masing juga tidak hadir dalam sesuatu sesi pemilihan.

Begitu juga halnya apabila isu-isu kedaulatan, adat istiadat dan kebesaran diraja sahaja yang dibincangkan di mana-mana sesi Majlis Raja-Raja.

Pegawai yang menyelia segala urusan yang hendak dilaksana atau disempurnakan di dalam sesuatu persidangan Majlis Raja-Raja ialah Penyimpan Mohor Raja-Raja yang berkhidmat sebagai pegawai tertinggi bagi menguruskan segala hal ehwal diraja bagi pihak Persekutuan. Namun demikian apabila sesuatu perkara yang bersifat undang-undang muncul dalam sesuatu persidangan, Peguam Negara biasanya dijemput turut hadir untuk memberi nasihat atau pandangan dari sudut perundangan.

Setakat ini, semenjak 1957 hingga 1994 kesemua sembilan orang sultan bagi negeri-negeri Tanah Melayu telah pun secara bergilir-gilir menjadi Yang di-Pertuan Agong daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (1957) hinggalah ke Sultan Perak (1989). Raja-raja Melayu yang tertakluk kepada Senarai Pemilihan Pertama ini ialah dalam jadual di halaman 8 akhbar ini.

Giliran di bawah Senarai Pemilihan Pertama tersebut adalah diputuskan sendiri oleh Majlis Raja-Raja mengikut kuat kuasa Seksyen 4(1)(a) Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut kehendak perlembagaan, sebelum seseorang raja atau sultan menerima gilirannya untuk berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda hendaklah diberi tawaran terlebih dahulu oleh Majlis Raja-Raja (Seksyen 2 Jadual Ketiga).

Seseorang raja berhak menolak sesuatu tawaran untuk dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Yang di-Pertuan Agong. Dan jika seseorang sultan sesebuah negeri itu sudah sampai gilirannya, katakanlah Sultan Bilangan 7 tetapi enggan menerima gilirannya sebagai Yang di-Pertuan Agong maka Majlis Raja-Raja akan menawarkan kepada raja atau sultan Bilangan 8 di dalam senarai yang dikuatkuasakan oleh Majlis Raja-Raja.

Jika Sultan Bilangan 8 juga enggan menjadi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Bilangan 9 akan ditawarkan pula. Demikianlah seterusnya sehingga ada sultan atau raja yang menerima tawaran itu (Seksyen 2, Bahagian I, Jadual Ke-3 Perlembagaan).

Giliran pertama ini dinamakan Senarai Pemilihan Pertama (Seksyen 2 dan 4 Jadual Ketiga Perlembagaan). Apabila Senarai Pertama selesai disempurnakan semenjak 2 September 1957 iaitu tarikh Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama hinggalah ke 25 April 1994 apabila Sultan Azlan Shah iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-9 habis tempohnya, maka Senarai Pemilihan Kedua yakni senarai sekarang, beroperasi.

Raja-raja yang setakat ini telah menyempurnakan giliran di bawah Senarai Pemilihan Kedua ialah:

1. Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan: Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Rahman (Yang di-Pertuan Agong ke-10) yang ditabalkan pada 22 September 1994 dan memegang jawatan itu sehingga 25 April 1999.

2. Sultan Selangor: Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah (Yang di-Pertuan Agong ke-11) yang ditabalkan pada 23 September 1999 tetapi mangkat dalam jawatan pada 21 November 2001.

Jika diteliti dan dibandingkan antara Senarai Pemilihan Pertama dan Senarai Kedua, akan dapat diperhatikan bahawa lima orang Duli Yang Maha Mulia telah mangkat semasa bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Juga, berasaskan senarai giliran kedua yang diperakukan oleh Majlis Raja-Raja, Tuanku Raja Perlis kini berhak menerima tawaran untuk dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-12 (ayahanda baginda, Tuanku Syed Putra adalah Yang di-Pertuan Agong ke-3).

Jika baginda memutuskan untuk menolak tawaran Majlis Raja-Raja, maka Tuanku Mizan ibni Sultan Zainal Abidin, Sultan Terengganu sekarang yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong berhak menerima tawaran sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Demikianlah seterusnya giliran yang disenaraikan di bawah kuat kuasa perlembagaan. Penentuan atas soalan siapa yang bakal dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, setelah berlakunya sesuatu kemangkatan hendaklah disempurnakan oleh Majlis Raja-Raja dalam tempoh empat minggu daripada tarikh sesuatu kemangkatan itu.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja akan datang untuk penentuan ini dijangka diadakan pada 12 Disember ini.

Seseorang Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang sedang bersemayam tidak semestinya secara automatik menjadi Yang di-Pertuan Agong. Contohnya, apabila Sultan Haji Ahmad Shah (Pahang) habis tempoh baginda selaku Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada 25 April 1984, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar, yang pada tempoh itu bersemayam selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8. Sebaliknya Sultan Johor, Sultan Mahmood Iskandar, dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8.

Walau bagaimanapun apabila Yang di-Pertuan Agong yang sedang bersemayam ditakdirkan mangkat, seperti halnya dengan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 21 November lalu, Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baru hendaklah dipilih semula oleh Majlis Raja-Raja sebaik sahaja Yang di-Pertuan Agong baru dipilih.

Ini dikehendaki di bawah Perkara 33(3) Perlembagaan. Ada kemungkinan Timbalan Yang di-Pertuan Agong sekarang Sultan Terengganu, Tuanku Mizan, dipilih semula ke jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja.

Rakyat Malaysia yang bertradisi dan berteraskan budaya bangsa akan sentiasa menghormati institusi raja. Walaupun sebahagian daripada takrif dan amalan kedaulatan Raja Melayu itu sudah diubahsuai pada tahun 1993 dan 1994 melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 181, kedaulatan dan institusi raja akan terus terpelihara dan hidup subur.

Apabila selesai persidangan Majlis Raja-Raja sekitar 11 hari dari sekarang, akan tersempurnalah satu lagi babak kenegaraan Malaysia. Benarlah bak kata seni kata lagu kebangsaan Negaraku: Raja Kita Selamat Bertakhta.

Bila raja kita selamat bertakhta, rakyat juga selamat bahagia. Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Daulat Tuanku.

* Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.



MSN Photos is the easiest way to share and print your photos: Click Here
RantauNet http://www.rantaunet.com Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/register.php3 =============================================== Mendaftar atau berhenti menerima RantauNet Mailing List di http://www.rantaunet.com/subscribe.php3 ATAU Kirimkan email Ke/To: [EMAIL PROTECTED] Isi email/Messages, ketik pada baris/kolom pertama: -mendaftar--> subscribe rantau-net [email_anda] -berhenti----> unsubscribe rantau-net [email_anda] Keterangan: [email_anda] = isikan alamat email anda tanpa tanda kurung ===============================================

Kirim email ke