ADAT PERPATIH ASAS PERPADUAN MELAYU

Adat Perpatih galakkan semangat tanggungjawab, kolektif, jatidiri, toleransi dan bertimbangrasa - MB.

Masyarakat Melayu Negeri Sembilan, khususnya pewaris, pemegang dan pemakai Adat Pepatih disaran supaya terus mengamalkannya kerana terdapat banyak ciri-ciri yang baik di dalam pemakaian adat tersebut.

Malah, usaha harus dibuat bagi meyebarkan dan memberi kefahaman kepada masyarakat terbanyak berhubung kemurnian Adat Pepatih. "Saya bersetuju banyak nilai-nilai baik yang terdapat dalam Adat Pepatih yang perlu kita amalkan dan kita teruskan amalannya sampai bila-bila kalau kita ingin lihat sistem Adat Pepatih ini terus berjalan.

"Dalam mengamalkan cara hidup beradat ini kita akan dapat lihat kekesanan daripada sistem ini yang boleh mewujudkan perpaduan dan kesepaduan umat Melayu, orang Islam dan rakyat di negara kita ini", kata Menteri Besar, Dato' Seri Utama Tan Sri Haji Mohd Isa bin Dato' Haji Abdul samad, ketika berucap merasmikan Pesta Persukuan Adat Perpatih di perkarangan Muzeum Diraja, di Sri Menanti, baru-baru ini.

Menurut beliau, kemurnian Adat Perpatih terjamin kerana walaupun kini kita sudah berada di abad yang ke 21, Adat Pepatih masih terus berjalan dan bukan suatu perakra mustahil untuk Adat ini terus diamalkan.

Menyedari hakikiat inilah kata beliau, beliau bersetuju supaya Kerajaan Negeri menganjurkan Pesta Persukuan Adat Pepatih ini pada setiap tahun, agar dapat diketengahkan adat serta pemakaiannya kepada masyarakat terbanyak, khususnya generasi muda, supaya mereka lebih kenal kepada perjalanan adat itu.

Beliau percaya, sejak tiga tahun Kerajaan Negeri Sembilan menganjurkan Pesta Persukuan Adat Pepatih itu, tentu sekali sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada masyarakat umum dalam dan luar Negeri Sembilan, samada generasi lama,apatah lagi generasi muda dalam mengetahui sekurang-kurangnya sebagai asas, berhubung Adat Pepatih yang diamalkan di negeri ini.

"Kerana Adat Pepatih jugalah saya percaya Negeri Sembilan adalah negeri yang unik dan istimewa jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang terdapat di tanah air kita ini, kerana kita mengamalkan sistem Adat Pepatih sejak dari kurun ke 14 lagi.

"Sehubungan itu, saya percaya sebagai satu-satunya negeri yang mengamalkan sistem ini, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk terus mengekal dan mempopularkannya", kata beliau.

Dato' Seri Utama Tan Sri Haji Mohd Isa menambah, penganjuran Pesta Persukuan Adat itu tidak bertujuan untuk memperdagangkan, ataupun menjadikan Adat Pepatih ini sebagai bahan dagangan. "Yang lebih penting ialah melalui Pesta ini, kita fikirkan bagaimana kefahaman adat ini dapat kita pupuk generasi muda kita supaya pelaksanaan, dan amalanya pada masa-masa akan datang berterusan.

"saya bersetuju banyak nilai-nilai baik yang terdapat dalam Adat Pepatih yang perlu kita amalkan dan kita teruskan sampai bila-bila, kalau kita ingin lihat sistem Adat Pepatih ini terus berjalan".

Menteri Besar itu yakin, setiap rakyat negeri ini, khususnya pemegang dan pengamal Adat Pepatih ini akan dapat melihat kekesanan daripada sistem ini ke arah mewujudkan perpaduan dan kesepaduan umat Melayu, orang Islam dan rakyat di negara kita ini.

Hakikat bahawa Adat Pepatih dapat mewujudkan perpaduan dan kesepaduan umat Melayu, orang Islam dan rakyat di negara jelas kerana walaupun kini kita sudah memasuki ke abad yang ke 21, namun sistem Adat Pepatih kita masih terus berjalan, dan bukan suatu perkara mustahil untuk diteruskan.

Menurut beliau, semasa berlaku migrasi adat ini pada kurun ke 14 dahulu tentu ada yang menjangkakan adat ini tidak boleh bertahan lama.

Tetapi sudah hampir enam kurun dan dalam kita memasuki ke abad ke 21 bukanlah suatu yang mustahil untuk kita terus amalkan dan adat ini terus hidup dalam masyarakat kita di Negeri sembilan.

"Yang penting kita selaku pengamal adat ini mesti memahami dan menunjukkan nilai-nilai yang baik yang terdapat dalam Adat Pepatih ini supaya kita boleh menjadikannya sebagai suatu alat untuk kita menyatupadukan rakyat, menyatupadukan ummah dan sekaligus boleh menimbulkan suasana yang cukup selesa dalam sistem Adat Pepatih ini.

"Inilah menjadi tnaggungjawab kita pada masa ini, dan saya yakin ia bukan suatu perkara yang mustahil. Ini boleh kita buat. "Ini adalah kerana kalau kita lihat, nilai-nilai baik yang terdapat dalam adat ini kalaupun berlaku sedikit sebanyak perubahan oleh kerana pengaruh zaman dan waktu, tidaklah jadi maslaah ianya disesuaikan dengan keadaan supaya adat kita terus berjalan", kata Menteri Besar.

Beliau bagaimanapun berkata, kita tidak mahu juga adat kita ini kita pertahankan dalam bentuk yang terlalu rigit sehingga akhirnya tidak ada orang yang mahu memakainya. Beliau mengambil contoh banyak bahasa-bahasa di duniaseperti bahasa Sunskrit yang dahulu menjadi bahasa ilmu sekarang ini sudah hilang, walaupun ada yang belajar dalam bahasa Melau dan bahasa Inggeristerdapat juga beberapa perkataan yang berasal dari bahasa Sunskrit tetapi bahasa itu sudah lenyap. Tidak lagi menajdi bahasa perantaraan kerana keadaan bahasa itu sendiri yang terlalu rigit dan sukar untuk dipelajari.

Sebaliknya menurut beliau bahasa-bahasa yang terkemudian, seperti bahasa Inggeris dan kini bahasa Jepun sudahpun boleh menjadi bahasa perantaraan bahasa yang digunakan di dunia, kerana ia mudah diolah dan dipelajari.

"Kerana itu, adat kita ini pun, jika berlaku sedikit sebanyak perubahan untuk membawa kepada kebaikan untuk mempastikan adat kita boleh terus berjalan dan diamalkan, bukanlah suautu perkara yang luar biasa, kerana dalam adat ini terdapat begitu banyak sekali nilai-nilai yang baik", katanya.

Tambah Dato' Seri Utama Tan Sri Haji Mohd Isa: Kalau kita amati sistem Adat Pepatih ini, kita boleh lihat peranannyadari semua struktur masyarakat, iaitu daripada yang memimpin, kepada yang dipimpin, bagaimana tanggungjawab kolektif, atau tanggungjawab bersama sikap tolenrasi, timbang rasa, kekitaan dan jatidiri, termasuk dalam adat Pepatih yang kita amalkan selama ini.

"Kalau nilai-nilai positif ini masih wujud dan ada dalam Adat Pepatih kita, kenapa mesti kita tukar dan kenapa kita tidak amalkan. "Kalaupun berlaku kesilapan, bukannya silap adat, tetapi silap pengamalnya, silap yang mengelolakanya, silap yang melaksanakan, dan ini bukan suatu perkara yang luar biasa yang boleh kita baiki, asalkan adat itu terus menjadi amalan kita.

"Kita tidak mahu, disebabkan kesilapan dua tiga orang dan kita tidak perbetulkan sekarang, maka timbul rasa tidak suka di kalangan kita di Negeri Sembilan terhadap Adat Pepatih ini, sedangkan di dalam Adat Pepatih ini kalau kita kaji secara mendalam meliputi semua aspek kehidupan, daripada peringkat pemimpin, rakyat, dari segi semangat kerjasama, tolenrasi , perpaduan, kekitaan, persefahaman bagaimana kita menyelesaikan masalah.

"Semuanya ada di dalam Adat Pepatih. "Kerana itu, Adat Pepatih adalah suatu cara kehidupan yang cukup baik dan lengkap yang perlu kita amalkan. "Saya yakin nilai-nilai muafakat dan kebulatan yang selalu terdapat di dalam perbilangan Adat Pepatih mestilah kita kekalkan dan kita terus amalkan.

"Saya yakin jika kita terus berusaha menghebahkan Adat Pepatih supaya difahami dengan cara yang lebih meluas, kita tidak akan kehilangnya".

Menteri Besar berkata, "Dalam zaman Teknologi Maklumat (IT) ini, kita selaku pemakai Adat Pepatih, mesti bersedia dengan laman Web dan internet kita di dalam bahasa Melayu, Inggeris, Jepun dan Cina, kerana inilah bahasa-bahasa yang begitu besar digunakan oleh masyarakat di dunia.

"Langkah ini perlu dibuat kerana masyarakat global hari ini suka melayari internet dan melawat laman web. "Apabla mereka melawati laman web Adat Pepatih yang dibuat dengan begitu menarik, mereka akan faham. "langkah ini perlu kita buat supaya kefahaman terhadapa Adat Pepatih ini bukan sahaja boleh diketahui oleh masyarakat di negeri ini dan negara ini tetapi dalam konteks yang lebih meluas.

"Usaha ini saya yakin akan berkesan kerana Adat Pepatih yang kita amalkan di Negeri Sembilan merupakan cara hidup yang hampir sama yang diamalkan di Sumatera Barat walaupun mungkin ada sedikit sebanyak perbezaan.

"Dengan itu kita dapat menjadikan Adat Pepatih ini lebih menarik, dan dapat difahami oleh masyarakat global",. Kerana itu, kata beliau, jika kita harus terus memberikan perhatian yang serius terhadap perjalanan dan pengamalan Adat Pepatih, agar kita akan dapat kekalkan Adat Pepatih ini sebagai suautu cara hidup yang lebih tersusun dan demokratik.

Dalam hubungan ini kata beliau lagi, kita tidak boleh marah jika ada orang luar yang mempersendakan Adat Pepatih kerana mereka tidak faham. Apa yang akan menjadi masalah ialah bila ada di kalangan orang Negeri Sembilan sendiri tidak faham, atau tidak mahu memahami Adat Pepatih ,katanya.

Kerana itu tambah beliau, kita harus mengambilangkah untuk memberi kefahaman kepada masyarakat negara ini dan masyarkat luar juga tentang Adat Pepatih. Menurut beliau, dalam zaman IT ini, soal untuk memberi kefahaman tidak menjadi masalah kerana bermacamcara dan kaedah boleh kita gunakan.

Saya percaya, jika kita tingkatkan usaha untuk memberi kefahaman tentang Adat Pepatih melalui saluran IT, suatu ketika nanti masyarakat global akan lihat dan tahu tentang Adat Pepatih. Sekarang inipun menurut beliau, pengkaji-pengkaji budaya tahu bahasa Adat Pepatih sebagai cara hidup atau adat yang demokratik yang diamalkan sejak puluhan tahun, malah mungkin lebih awal daripada sistem demokrasi yang diwujudkan oleh Abraham Lincoln di Amerika.

Kita tahu, katanya Adat Pepatih ini telah diperkenalkan dan diamalkan sejak berkurun lamanya dan ia menjadikan hidup kita lebih tenteram. Dengan kata lain, tambahnya, kita telah amalkan sistem demokrasi yang cukup baik di Negeri Sembilan ini menerusi Adat Pepatih.

Tetapi, katanya oleh kerana kita di Asia Tenggara, teramsuk Indonesia, tidak dianggap sebagai kuasa besar di dunia, maka orang tidak memberikan perhatian terhadap sistem demokrasi yang dibawa oleh Adat Pepatih itu.

Kalaulah Adat Pepatih ini diamalkan di Amerika Syarikat, saya ingat separuh dari dunia ini mengamalkan Adat Pepatih, katanya. Menurut beliau, disamping Negeri Sembilan dan sebahagian dari Sumatera di Indonesia yang mengamalkan Adat Pepatih, ada juga bangsa-bangsa lain di dunia ini yang mengamalkan cara hidup atau adat seperti yang kita amalkan di negeri kita ini. Yang penting, tegas beliau kita selaku pewaris Adat Pepatih ini mesti meneruskan penggunaannya.

Percayalah, kata beliau Adat Pepatih cukup baik, kerana ia memberikan kita cara hidup yang cukup aman dan tenteram. Adat Pepatih ini sebenarnya akan boleh menyatupadukan kita semua. Kata Menteri Besar, kalaupun ada bahagian-bahagian Adat Pepatih yang dianggap berlawanan atau bertentangan dengan agama, kita boleh perbaiki.

Yang penting ialah kita memerlukan kefahaman tentang perjalanan Adat Pepatih itu sendiri, katanya. Dalam hubungan ini, jelas beliau, Dewan Keadilan dan Undang telah membuat beberapa penyesuaian terhadap perjalanan Adat pepatih sejak beberapa tahun lalu berikutan beberapa pertanyaan daripada Jabatan Peguam Negara mengenai beberapa isu, dan ia telah diselesaikan dengan baik.

Menurut beliau, Kerajaan telah perbetulkan, seperti soal harta pesaka dan soal harta sepencarian. Menurut beliau lagi, kalau masih wujud petentangan antara Adat Pepatih dengan agama Islam, kita boleh bentangkan pada Dewan Keadilan dan Undang dan kita perbetulkan, seperti yang telah kita lakukan di masa-masa yang lalu.

Katanya kita boleh dapatkan pakar-pakar Adat Pepatih dan tokoh-tokoh agama untuk kita berbincang berhubung perkara tersebut.

Dahulu, menurut beliau, kita ada Allahyarham Dato' Haji Mustapha dari Batu Kikir, seorang tokoh agama yang hebat. Beliau juga merupakan seorang yang pakar tentang Adat Pepatih. Hari ini, katanya, di Negeri Sembilan kita ada tokoh-tokoh Adat Pepatih seperti Tan Sri Tan Sri Samad Idris yang sentiasa membantu Kerajaan dalam banyak perkara, dan jasa beliau dalam bidang ini dan bidang-bidang lain juga cukup besar.

Di samping itu, tambah beliau kita berharap akan lahir tokoh-tokoh muda seperti Ismail Hadi, Profesor Madya Norhalim, dan lain-lain tokoh yang boleh menjadi tempat rujukan kita di masa hadapan.

Katanya, dengan adanya tokoh-tokoh adat ini, kita akan terus perbetulkan mana yang silap disamping terus mengamalkan Adat Pepatih.

Kita bersyukur, katanya di Negeri Sembilan Adat Pepatih berjalan dengan baik, walaupun ada sedikit sebanyak permasalahan di sana sini tetapi ia tidaklah menjadi suatu permasalahan yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Menurut Menteri Besar banyak unsur lain yang boleh memecahkan perpaduan Melayu. "Setakat yang saya nampak, tidak ada unsur-unsur Adat Pepatih yang memecahbelahkan perpaduan orang Melayu Negeri Sembilan. "Ini kerana Adat Pepatih tidak membenarkan kita berbohong. Adat Pepatih tidak suruh kita menipu.

"Adat Pepatih yang kita amalkan puluhan tahun ini tidak menyuruh orang Melayu berpecah, ia juga tidak menjadikan kita sebagai masyarakat yang tidak ada jatidiri, malah Adat Pepatihlah yang membantu kita menyatupadukan rakyat untuk hidup dalam aman damai dan tersusun", katanya.

Berhubung dengan penganjuran Pesta Persukuan Adat itu, Dato' Seri Utama Tan Sri Haji Mohd Isa berkata, Kerajaan Negeri akan teruskan Pesta Persukuan Adat ini di masa-masa akan datang.

Menurut beliau, penganjuran Pesta Persukuan Adat itu penting kerana masih banyak lagi perkara-perkara yang ada kaitannya dengan Adat Pepatih yang boleh kita ketengahkan.

Di samping itu, kita juga telah dan akan mengadakan beberapa seminar berhubung Adat Pepatih supaya masyarakat umum akan benar-benar faham akan perjalanan Adat ini.

 



Add photos to your e-mail with MSN 8. Get 2 months FREE*. RantauNet http://www.rantaunet.com Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/daftar.php ----------------------------------------------- Berhenti menerima RantauNet Mailing List, silahkan ke: http://www.rantaunet.com/unsubscribe.php ===============================================

Kirim email ke