Hang Tuah Mall eratkan Melaka-Sumatera Barat
Oleh ABDUL HAMID MOHAMMAD
(Yang mengikuti Lokakarya Dunia Melayu Dunia Islam di Bukit Tinggi, Indonesia)
KATA sepakat yang dicapai pada Lokakarya Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang berlangsung di Bukit Tinggi, Indonesia baru-baru ini dilihat mampu menjanakan kekuatan dua serumpun Malaysia dan Indonesia, khususnya antara Melaka dan Sumatera Barat.
Bukan sahaja dari segi mengeratkan hubungan silaturahim yang sedia wujud antara masyarakat Islam kedua-dua negara, malah kekuatan yang dijana menerusi lokakarya (Persidangan) itu turut merangkumi bidang ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan juga sosial.
Lokakarya DMDI di Bukit Tinggi, Indonesia adalah persidangan yang ketiga diadakan oleh DMDI selepas Sri Lanka dan Kemboja.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang turut mengakui kekuatan yang pasti terjalin itu berkata, lokakarya di Bukit Tinggi itu dianggap berjaya kerana banyak perkara yang dipersetujui di samping tindakan konkrit untuk kebaikan bersama.
Menurutnya, persidangan itu telah memutuskan sebanyak 18 resolusi yang digariskan dalam dua pelan tindakan utama sekali gus diberi perhatian serius dan diambil tindakan oleh pihak sekretariat bagi kepentingan memperkasakan DMDI.
Dalam bidang ekonomi, lokakarya itu memutuskan untuk melaksanakan pengembangan Hang Tuah Mall, penggubalan perlembagaan DMDI, mewujudkan Anugerah Ciptaan DMDI dalam bidang teknologi, kemajuan agroindustri dalam menghasilkan produk bermutu.
Selain itu, pengembangan pembiakan benih dan kemajuan perikanan, pengembangan pengusaha wanita dalam industri kecil dan sederhana (IKS), mewujudkan pengembangan dan pemanfaatan jaringan masyarakat dan pengembangan Lembaga Perundangan dan Perlindungan bagi Wanita.
Manakala dalam bidang pendidikan, resolusi yang diputuskan pada persidangan itu ialah pertukaran pensyarah dan guru dalam mengembangkan pendidikan, pertukaran maklumat pelajar rendah dan menengah, kegiatan pertukaran informasi dan teknologi pendidikan.
Lain-lain ialah program pertukaran mahasiswa antara negara anggota, program pertukaran tenaga pelatih, pertukaran ahli kraftangan, melahirkan tenaga dalam bidang agama dan pembangunan serta penerbitan tabloid DMDI.
Dalam bidang pendidikan, resolusi banyak ditumpukan dalam aspek pertukaran tenaga pengajar serta pensyarah dengan tujuan untuk mempertingkatkan mutu kerja masing-masing bagi melonjakkan kualiti pendidikan.
Program pertukaran itu juga diharap dapat mempertingkatkan pentadbiran di institusi pengajian tinggi (IPT), maktab dan sekolah di kalangan negara anggota.
Menurut Mohd. Ali daripada sejumlah 18 resolusi yang diputuskan itu, lima resolusi dipertanggungjawab kepada Melaka manakala bakinya diberikan kepada beberapa wilayah di Indonesia seperti Riau dan Palembang.
Lima resolusi yang diamanahkan kepada Melaka untuk dilaksanakan ialah pengembangan Hang Tuah Mall, penggubalan perlembagaan DMDI, pertukaran mahasiswa dan tenaga pelatih serta penerbitan tabloid DMDI.
Keputusan untuk mengembangkan Hang Tuah Mall dibuat untuk menjadikan kawasan itu sebagai pusat pasaran dan promosi produk yang dihasilkan oleh anggota-anggota DMDI.
Mohd. Ali yakin pusat beli-belah itu mampu memainkan peranan bagi mencapai maksud itu memandangkan kawasan itu popular di kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, katanya, keputusan untuk menggubal perlembagaan DMDI dibuat bagi membolehkan enam buah pelan tindakan pembangunan iaitu ekonomi, teknologi, maklumat, belia, sosio budaya dan agama, wanita dan pendidikan dilaksanakan.
Pendaftaran bagi pertubuhan organisasi DMDI akan membabitkan dua badan iaitu Sekretariat DMDI dan Jawatankuasa Kecil Pembangunan (JKKP) DMDI. Melaka dipertanggungjawab untuk menetapkan jawatankuasa terbabit.
Program pertukaran mahasiswa antara negara-negara anggota pula dibuat bagi mempertingkatkan motivasi mahasiswa untuk berhadapan dengan dunia luar selain memupuk persahabatan dengan rakan-rakan di kalangan negara anggota.
Langkah itu diyakini akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka selain mengekalkan kelompok yang berbudaya.
Program pertukaran tenaga pengajar pula dibuat untuk menjalinkan hubungan kerjasama antara tenaga pengajar negara-negara anggota.
Sementara keputusan DMDI untuk menerbitkan tabloid sendiri adalah untuk memberikan informasi meluas mengenai kemajuan yang telah dicapai oleh wanita dari negara anggota selain mempertingkatkan pembentukkan budaya Melayu Islam.
Mohd. Ali berkata, Melaka akan memberikan komitmen yang jitu dalam mengendalikan resolusi yang dipertanggungjawabkan kepada negeri itu bagi memastikan hubungan kerjasama dengan negara-negara anggota dapat ditingkatkan serta menjana kekuatan negara anggota.
Dalam melaksanakan tanggungjawabnya itu di peringkat awal, Melaka telah bersetuju untuk mengambil 10 pelajar dari DMDI Indonesia untuk belajar di Kolej Teknologi Islam di negeri itu.
Pelajar-pelajar itu, kata Mohd. Ali, akan mengikuti kursus Teknologi Maklumat (IT) dan segala kos kursus serta penginapan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Melaka juga, kata beliau, akan menghantar dua orang pelajarnya untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Sriwijaya, Palembang dengan dibiayai oleh Tabung Pendidikan Negeri.
Dalam bidang pelancongan pula, menurut beliau, kerajaan negeri akan mengadakan pakej pelancongan baru yang diuruskan oleh Maim Travel Sdn. Bhd., meliputi Padang, Bukit Tinggi dan Sawahlunto di Sumatera Barat.
Menerusi pakej itu, pelancong dari Sumatera Barat yang datang ke Melaka turut akan dibawa melawat Negeri Sembilan kerana mereka mengamalkan kebudayaan yang sama di negeri itu serta sebahagiannya di Alor Gajah iaitu budaya Minangkabau.
Dalam bidang ekonomi, selain keputusan untuk melaksanakan pengembangan Hang Tuah Mall dan penggubalan perlembagaan DMDI, persidangan berkenaan turut memutuskan untuk mewujudkan Anugerah Ciptaan DMDI dalam bidang teknologi.
Menerusi pemberian anugerah itu diharap lebih banyak produk dan industri yang berkualiti dihasilkan sekali gus dapat melahirkan usahawan yang berjaya di kalangan negara itu.
Persidangan di Bukit Tinggi turut meluluskan resolusi yang bermatlamat ke arah meningkatkan produktiviti hasil pertanian. Resolusi mengenai kemajuan agroindustri misalnya, adalah untuk menghasilkan produk-produk pertanian seperti jagung dan kopi secara lebih bermutu.
Peranan wanita dalam membangunkan negara-negara anggota turut diberi perhatian dalam persidangan itu apabila resolusi penglibatan mereka dalam IKS turut diluluskan.
Resolusi itu berpendapat wanita berpotensi menjayakan program IKS namun disebabkan kesempitan modal mereka mungkin tidak dapat meningkatkan mutu perniagaan masing-masing.
Dalam hubungan itu, DMDI memutuskan supaya negara-negara anggota bersama-sama membiayai modal untuk program tersebut bagi meningkatkan keberkesanan usahawan wanita dalam bidang perniagaan.


Protect your PC - Click here for McAfee.com VirusScan Online RantauNet http://www.rantaunet.com Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/daftar.php ----------------------------------------------- Berhenti menerima RantauNet Mailing List, silahkan ke: http://www.rantaunet.com/unsubscribe.php ===============================================

Kirim email ke