SYEIKH MUHAMMAD ZAIN SIMABUR
Mufti Kerajaan Perak

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SEKURANG-KURANGNYA  ada  dua  ulama yang berasal dari Minangkabau yang
berkedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Perak. Yang pertama ialah
Syeikh Muhammad Salleh bin Abdullah al-Minankabawi.

Beliau  ialah  Syeikh al-Islam Perak. Yang kedua ialah Syeikh Muhammad
Zain  Simabur.  Beliau  pernah  dilantik menjadi Mufti Kerajaan Perak.
Saya  mengakui  nama beliau terdapat pada beberapa tulisan namun masih
banyak  perkara  yang  belum jelas. Dalam buku Fatwa Dalam Perundangan
Islam  oleh  Othman  Haji Ishak, terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1981,
ada  disebutkan susunan Mufti Kerajaan Perak yang dimulai dengan Daeng
Selaili  atau Haji Besar yang diberi gelar Orang Kaya-Kaya Imam Paduka
Tuan.  Mufti  Perak  yang  kedua  ialah  Tuan  Haji Wan Muhammad, yang
berkhidmat  pada  1887  hingga  1916. Mufti Kerajaan Perak yang ketiga
ialah Tuan Haji Muhammad Zain yang berkhidmat dari 1934 hingga 1940.

Nama Syeikh Muhammad Salleh bin Abdullah al-Minankabawi sebagai Syeikh
al-Islam  atau  Mufti Kerajaan Perak tidak disebut dalam buku di atas.
Saya  belum  mengetahui mengapa nama yang sangat terkenal itu terlepas
daripada kajian Othman, pengarang buku di atas. Padahal jika kita baca
buku  Sejarah  Perak  oleh Haji Buyong Adil, terbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka,  1981,  halaman  111, cukup jelas bahawa beliau dilantik oleh
Sultan Iskandar menjadi Syeikh al-Islam Perak.

Jika  kita  semak  tulisan  di  atas,  senggang waktu yang begitu lama
antara  1917  hingga  1933,  bererti  kerajaan  Perak tidak ada Mufti.
Terdahulu  daripada ini telah saya tulis bahawa cita-cita Sultan Perak
untuk  melantik  seorang  Syeikh  al-Islam  bermula pada 1922 M. Namun
secara  rasminya Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi memegang jawatan
itu pada 6 Jamadilakhir 1343 H/1 Januari 1925 M (Halaman Agama, Utusan
Malaysia,  26  April  2004).  Dengan demikian, bererti Syeikh Muhammad
Zain  Simabur  bukan Mufti Perak yang ketiga seperti yang disebut oleh
Othman Haji Ishak. Kemungkinan beliau ialah Mufti Perak sesudah Syeikh
Muhammad Salleh Minangkabau.

Selanjutnya  nama  ulama  yang  menjadi  topik  perbicaraan dalam buku
Othman  yang  disebut  ialah  Tuan  Haji Muhammad Zain. Dalam beberapa
karangannya,  Buya  Hamka  pula  menyebut  nama  Syeikh  Muhammad Zain
Simabur.  Saya belum menemui satu tulisan pun, sama ada karangan orang
yang  berasal  dari Minangkabau sendiri atau orang luar, yang menyebut
secara  lengkap  berserta  nama  orang tua ulama yang dibicarakan ini,
kecuali  daripada  karya  beliau  sendiri  yang  diberi judul Nashihat
al-Mu'minin ila 'Ibadah Rabb al-'Alamin.

Oleh  itu,  di  sini  saya catat nama lengkapnya iaitu Syeikh Muhammad
Zain  Lantai  Batu  bin  Syeikh  Abdul  Halim  al-Khalidi  Labuh, Batu
Sangkar.   Beliau  meninggal  dunia  Pariaman,  Minangkabau  (Sumatera
Barat), tahun 1376 H/1957 M.

Syeikh  Muhammad  Zain  Simabur  dan  ayahnya  masih tetap mengekalkan
istilah  al-Khalidi  pada hujung nama. Istilah tersebut adalah sebagai
petanda   bahawa   beliau   seorang  pengamal  Tarekat  Naqsyabandiyah
al-Khalidiyah,  iaitu salah satu aliran tarekat yang ramai pengikutnya
di  Minangkabau,  Sumatera Barat. Dari segi pegangan keislaman, beliau
berpihak  kepada  Kaum Tua , yang dalam golongan ini termasuk beberapa
sahabatnya  seperti  Syeikh  Sulaiman ar-Rasuli, Syeikh Jamil Jaho dan
lain-lain.   Mereka  menolak  golongan   Kaum  Muda   yang  dipelopori
antaranya  oleh  Syeikh  Abdul Karim Amrullah, Syeikh Jamil Jambek dan
lain-lain.

Sungguhpun   Syeikh  Muhammad  Zain  Simabur  dan  Syeikh  Jamil  Jaho
berpegangan   Kaum  Tua ,  ia  ada  sedikit  perbezaan  dengan  Syeikh
Sulaiman  ar-Rasuli. Syeikh Sulaiman ar-Rasuli sejak awal lagi menolak
kemasukan  organisasi  Muhammadiyah  di Minangkabau, sebaliknya Syeikh
Muhammad  Zain  Simabur  dan  Syeikh  Jamil  Jaho,  menurut  kaca mata
golongan    Kaum   Tua   yang  berhaluan  keras,  kedua-duanya  pernah
terkecoh.

Syeikh   Muhammad   Zain  Simabur  dan  Syeikh  Jamil  Jaho  menyambut
kedatangan  Muhammadiyah  di  Minangkabau,  bahkan kedua-dua ulama itu
menjadi  anggota  Muhammadiyah.  Buya  Hamka  dalam  bukunya,  Ayahku,
menulis,   Pada 1927 terjadilah Kongres Muhammadiyah ke-16 Pekalongan.
Kedua-dua ulama itu pun turut hadir dalam kongres itu. Di sanalah baru
diketahui  tujuan sebenar Muhammadiyah, iaitu membela faham Wahabi dan
lain-lain yang selama ini sangat beliau tentang.  (Ayahku, hlm. 248)

Setelah  pulang  dari  kongres  itu,  Syeikh Muhammad Zain Simabur dan
Syeikh  Jamil  Jaho mengundurkan diri dan selanjutnya bergabung dengan
PERTI  (Persatuan Tarbiyah Islamiyah) yang berpegang teguh pada Mazhab
Syafie.   Organisasi  ini  pula  adalah  sangat  kontroversi  terhadap
Muhammadiyah.

TAKLID

Sekiranya  kita  membahaskan  tulisan Buya Hamka, khusus dalam konteks
ini, penulisannya mencerminkan kejujuran. Sebagai contoh pada kalimat,
 ... tujuan yang sebenarnya daripada Muhammadiyah, iaitu membela faham
Wahabi dan lain-lain.... 

Buya  Hamka  ialah aktivis organisasi Muhammadiyah yang sangat penting
pada  zamannya.  Namun aneh juga kerana sangat berbeza dengan beberapa
orang  aktivis  golongan  Wahabi  dalam  perkembangan  terkini. Ada di
antara  mereka  memang  marah disebut Wahabi, kerana mereka lebih suka
disebut  dengan istilah  Salaf . Dalam percakapan dan penulisan memang
sukar mencari istilah yang pihak lain tidak tersinggung dengan istilah
yang tidak disukai oleh suatu golongan.

Oleh  itu,  Syeikh Muhammad Zain Simabur dan Syeikh Jamil Jaho setelah
mendengar  beberapa ucapan dalam kongres itu menyedari perbezaan jalan
pemikiran  mereka  yang  berpegang  cara   Kaum Tua . Yang dimaksudkan
dengan  istilah Wahabi ialah fahaman yang diperkenal dan diperjuangkan
oleh  Syeikh  Muhammad  bin  Abdul  Wahhab.  Yang  dimaksudkan  dengan
sambungan  kalimat  Buya  Hamka,   ...  dan  lain-lain...  ialah semua
fahaman  Islam  yang  mirip dengan jalan pemikiran Syeikh Muhammad bin
Abdul  Wahhab.  Menurut  golongan  Kaum Tua , pegangan Syeikh Muhammad
bin  Abdul  Wahhab  adalah berasal daripada Ibnu Taimiyah dan muridnya
Ibnu  Qaiyim.  Selain  menolak Wahabi golongan  Kaum Tua  juga menolak
beberapa  pendapat  yang  diperkenalkan oleh Syeikh Muhammad Abduh dan
muridnya Saiyid Rasyid Ridha dengan Tafsir al-Manarnya.

Selanjutnya  Buya  Hamka  menyatakan,   Apatah  lagi setelah mendengar
khutbah  Kiyahi  H.  Mas  Mansur  yang  pada  waktu  itu  mengemukakan
pentingnya  Muhammadiyah  mendirikan  Majlis  Tarjih, untuk merajihkan
hukum  dan jangan hanya taqlid kepada ulama-ulama saja.  (Ayahku, hlm.
249)

Kalimat  yang  disebutkan  Buya Hamka,  ... untuk merajihkan hukum dan
jangan hanya taqlid kepada ulama-ulama saja , bukan hanya ditolak oleh
Syeikh  Muhammad  Zain Simabur tetapi juga ditolak oleh semua pengikut
 Kaum  Tua .  Mereka  berpandangan  golongan  manapun  sama ada mereka
mengaku  taklid  ataupun  tidak,  sebenarnya  tidak siapa pun terlepas
daripada  taklid.  Sebagai  contoh,  orang  yang dapat menerima ucapan
Kiyahi  H.  Mas  Mansur yang tidak membenarkan taklid kepada ulama itu
bererti mereka juga taklid.

Bertaklik

Mereka  tidak mahu bertaklid kepada ulama, tetapi dalam masa yang sama
bererti bertaklid kepada Kiyahi H. Mas Mansur. Oleh itu pengikut ulama
 Kaum  Tua   termasuk Syeikh Muhammad Zain Simabur berpandangan bahawa
taklid  kepada ulama yang muktabar seperti Imam Syafie dan ulama-ulama
yang  berada  dalam  lingkungan  mazhab  tersebut lebih selamat diikut
daripada orang-orang yang bertentangan faham dengan mereka.

Syeikh  Muhammad  Zain  Simabur  dan  Syeikh Muhammad Jamil Jaho (1280
H/1863  M -- 1360 H/1941 M) yang jauh lebih tua dan dianggap peringkat
ayah  bagi  Kiyahi  H.  Mas  Mansur  (1314  H/1896 M -- 1365 H/1946 M)
nampaknya  tidak  bersedia  taklid  kepada  Kiyahi  H.  Mas Mansur dan
golongan ulama dalam Muhammadiyah.

Berertilah   kedua-dua   ulama  Minangkabau  itu  mempunyai  penilaian
tersendiri.  Kedua-duanya  menolak taklid pada yang satu, tetapi dalam
masa  yang  sama  mereka mempertahankan taklid kepada yang lain. Jalan
yang  selamat  ialah  taklid  seperti  yang diamalkan oleh ramai ulama
bukan hanya di Minangkabau saja tetapi di seluruh dunia Islam.

Belum  dijumpai  maklumat  tentang  penghijrahan  Syeikh Muhammad Zain
Simabur  dari  Minangkabau  ke  Perak  kecuali  yang ditulis oleh Buya
Hamka.  Katanya,   harta benda beliau (kebun-kebun getah) ada di Perak
(Malaya),  dan isteri beliau pun orang sana. Maka beliau pun pindah ke
Perak,  sebab negeri Simabur rupanya tidak mengikutinya lagi. Di Perak
beliau  mendapat  kedudukan  yang  baik  dalam  kerajaan  Perak, iaitu
menjadi Mufti.  (Ayahku, hlm. 248)

Setelah  cukup  lama bertugas sebagai Mufti di Perak, pada 1955 Syeikh
Muhammad  Zain  Simabur pulang Minangkabau dan akhirnya beliau menetap
di  Pariaman.  Tentang  perjalanan  terakhir  ulama  fiqh ahli Tarekat
Naqsyabandiyah  al-Khalidiyah  tersebut,  Buya Hamka juga mencatatkan,
 Beliau    daripada    mudanya    memang   condong   kepada   Thariqat
Naqsyabandiyah.

 Padahal di Simabur sendiri tidak ada lagi orang yang menyukai tarekat
itu.  Yang  berpengaruh  sekarang  ialah pemimpin-pemimpin  Kaum Muda 
daripada Muhammadiyah. Maka atas permintaan murid-murid beliau, beliau
berdiam di Pariaman dalam suluk dan khalwatnya sampai beliau meninggal
dunia tahun 1957. Rahimahullah.  (Ayahku, hlm. 248)

Sungguhpun  ada  orang  menyalahkan   suluk  dan  khalwat  yang mereka
anggap   sesat,  namun  Buya  Hamka  pada  akhir  kalimatnya  menyebut
 Rahimahullah   yang  bermaksud Allah telah memberi rahmat. Berertilah
Syeikh  Muhammad  Zain  Simabur  dalam rahmat Allah. Yang bererti pula
orang  yang  meninggal  dunia  dalam  menjalankan   suluk dan khalwat 
adalah tidak sesat.

PENULISAN

Karangan  Syeikh  Muhammad Zain Simabur yang telah dijumpai hanya satu
judul  saja  ialah  Nashihat  al-Mu'minin ila 'Ibadah Rabb al-'Alamin.
Kitab   tersebut   terdiri  daripada  4  juzuk.  Juzuk  pertama  tidak
bertarikh, cetakan pertama Mathba'ah Al-Islamiyah, Port de Kock (Bukit
Tinggi),  10  Syawal 1344 H. Kandungannya dinyatakan pada kulit kitab,
 Terhimpun  di  dalam  kitab  ini ilmu tauhid, dan ilmu fiqh, dan ilmu
tasawuf . 

Jilid  yang  pertama  hingga  jilid  yang keempat merupakan terjemahan
daripada  kitab  bahasa  Arab berjudul Mau'izhah al-Mu'minin min Ihya'
'Ulumid  Din,  iaitu kitab keringkasan Ihya' 'Ulumid Din karangan Imam
al-Ghazali.  Juzuk  yang pertama dimulai dengan Mukadimah dan disudahi
dengan Fasal Pada Menyatakan Kelebihan Perhimpunan Duduk Berzikir.

Sebagai  kenangan, saya sebutkan di sini bahawa kitab yang berjudul di
atas  saya  miliki  daripada  bekas koleksi Imam Haji Muhammad Isa bin
Syamsuddin,  Imam  di  Cemage,  Pulau Bunguran (Natuna). Ia diserahkan
kepada saya oleh dua orang anaknya pada hari Sabtu, 14 Rabiulawal 1421
H/17 Jun 2000 M di rumahnya di Cemage, Pulau Bunguran.




--~--~---------~--~----~------------~-------~--~----~
Berhenti (unsubscribe), kirim email ke: [EMAIL PROTECTED]

Konfigurasi dan Webmail Mailing List: http://groups.google.com/group/RantauNet
Tapi harus mendaftar dulu di: https://www.google.com/accounts/NewAccount dengan 
email yang terdaftar di mailing list ini.
-~----------~----~----~----~------~----~------~--~---

Kirim email ke