Tulisan Jawi Pancaran Identiti Bangsa Oleh HAJI MUHAMMAD BUKHARI LUBIS BAHASA Osmaniah Kuno di Turki tamat pada abad ke-15M apabila Sultan Fatih Mahmet berjaya membuka Istanbul. Sejak itu, bermulalah bahasa Turki Osmani (Osmanlica) yang menggunakan satu aksara baru, aksara Arab. Penggunaan bahasa ini yang begitu rancak dan mendominasi, khasnya dalam kesusasteraan Sufi dan puisi rakyat, berakhir pada tahun 1922, apabila Mustafa Kamal Ataturk mendapat tampuk pemerintahan. Dengan berpegang pada dasar "kemajuan ialah pembaratan", Ataturk mengambil langkah yang drastik dan tragik dengan memperkenalkan bahasa Turki moden (Turkge), yang mengetepikan aksara Arab. Lantas diperkenalkan aksara Latin atau tulisan rumi [antara hujah mewajarkan tindakannya ini ialah aksara Arab tidak dapat melambangkan setiap bunyi perkataan Turki, misalnya, perkataan alif-wau-nun membawa empat bunyi dan makna yang berlainan on (sepuluh), "n (hadapan), un (tepung), dan n (kemasyhuran, suara, bunyi)].
Seperti orang Turki, bangsa Melayu juga mempunyai bahasa yang menggunakan pelbagai aksara sebelum kedatangan Islam ke rantau ini. Aksara ini berubah apabila Islam diterima di Kepulauan Melayu. Para pendakwah - orang Arab dan orang Parsi yang tentunya menguasai bahasa Arab yang menjadi paksi utama dalam Islam - dengan bijak dan tepat memilih bahasa Melayu untuk digunakan. Bermulalah era pengislaman, termasuklah bahasa Melayu itu sendiri. Lalu diperkenalkan aksara baru, aksara Arab atau lebih terkenal sebagai tulisan jawi. Menurut sejarah, jawi di sini merujuk kepada Pulau Sumatera (maksud umum Kepulauan Melayu) dan bukanlah Pulau Jawa. Sesungguhnya, tulisan jawi dapat mempertaut perpaduan satu bahasa yang meliputi seluruh golongan bangsa Melayu. Malah orang Melayu sendiri menamakan bahasanya "bahasa jawi" (tidak sekadar jawi merujuk kepada tulisannya - misalnya, di halaman sebuah buku klasik, tertera: Inilah kitab yang bernama Hidayat al-Salikin - karangan Syeikh Abdus Samad Falambani dibahasakan bahasa Jawi ). Ini memberi erti bahawa orang Melayu ketika itu menamakan bahasanya menurut nama tulisannya. Tulisan jawi bermula sejak abad ketujuh Masihi lagi. Tentulah sepanjang masa ini, banyak bukti yang dapat diketengahkan. Pada zaman dahulu, tulisan jawi digunakan pada prasasti atau batu bersurat (misalnya: Batu Bersurat Terengganu bertarikh 702H/1303M), batu hidup (ditemui di Pangkalan Kempas, Negeri Sembilan), batu nisan (misalnya, di pemakaman raja-raja Aceh di Banda Aceh), mata wang (khasnya wang emas dan perak, terukir di situ misalnya nama Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mansur Syah), surat kiriman diraja (antara Raja Melayu dengan raja bukan Melayu, seperti raja Portugal dan raja Inggeris, juga dengan wakil raja atau pembesar asing yang ada atau datang ke negeri Melayu), kitab dan buku (misalnya `Aqa id oleh al-Nasafi yang bertarikh 998 H/1590M), surat perjanjian antara raja dengan negara di Alam Melayu, catatan pemilikan dan perdagangan, terutamanya di pelabuhan dan kapal perdagangan. Kitab lama dahulu pastilah ditulis dalam bentuk manuskrip. Tentang penggunaan tulisan jawi dalam pelbagai manuskrip abad ke-17, pengkaji Barat, seperti van Rongkel, van Elbinck, Robinson, Gerth v. Wijk, Werndly, van der Wall, Cohen Stuart, de Hollander, van der Tuuk, Pijnappel, Klinkert, dan Wilkinson pernah menyatakan rasa kagumnya terhadap keseragaman ejaan jawi dalam manuskrip yang berkenaan. Penggunaan tulisan ini diluaskan lagi buat dua abad terakhir ini. Bahan bacaan, seperti surat khabar (misalnya al-Imam - yang terbit di Singapura - 1906) dan majalah (seperti Bustan Arifin yang terbit di Melaka - 1236H/1821M) terus menggunakan tulisan jawi. Begitu juga piagam dan teks pemasyhuran, antaranya pemasyhuran kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1957). Dapat dirumuskan bahawa tulisan jawi yang disentuh tadi terbukti dalam hasil kesusasteraan dan kebudayaan orang Melayu. Hal ini semakin maju dan membesar, ia melepasi batas berkenaan, sehingga terbukti dalam kegiatan kesenian pula. Tentulah perkara ini berhubungan dengan seni khat. Ternyata, orang Melayu sejak dahulu peka terhadap perkembangan seni khat, meskipun sehingga kini kita masih tidak dapat menandingi hasil seni khat bangsa Arab, Iran, dan Turki, misalnya. Oleh sebab itu, tulisan jawi yang indah-indah dapat dilihat dalam pelbagai objek, seperti masjid (termasuklah mihrab, dinding, tiang, pintu besarnya), batu nisan, bangunan yang berhubungan atau tidak dengan hal keagamaan, batu nisan, sijil syahadah, kepala surat, nama jalan, takwim, kain pemidang, pengikat kunci, lukisan, dan ukiran yang terpahat, sama ada pada batu, kayu, logam, tembikar, atau marmar. Dengan menggunakan pelbagai jenis khat yang menarik, seperti kufi, thuluth, nasakh, farisi, dan raq ah, terbukti tulisan jawi memberi sumbangan yang sungguh bermakna demi mengayakan dan mengagungkan lagi kebudayaan dan kesenian bangsa Melayu. Sesungguhnya, tulisan jawi digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan bangsa Melayu sejak berkurun-kurun dahulu. Sehingga tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa nadi bangsa Melayu bergantung sangat pada tulisan jawi, apatah lagi apabila tulisan jawi dihubungkaitkan dengan al-Qur an yang menjadi ikutan utama kaum Muslimin. Hasil penelitian terhadap ribuan manuskrip Melayu akan membawa pengkaji yang jujur dan objektif untuk menyimpulkan bahawa tulisan jawi berjaya memelihara kemurnian dan ketinggian bahasa Melayu tulisan/persuratan. Selanjutnya, martabat bahasa Melayu haruslah dipertahankan melalui tradisi penulisan yang lebih baik lagi murni. Berdasarkan yang telah berlaku dan yang disumbangkan, sukar untuk menafikan bangsa Melayu amat bergantung pada tulisan jawinya. Malah, tulisan jawi menjadi identiti bangsa Melayu pula. Sampai ketikanya, perubahan rasa berlaku. Lalu Angkatan Sasterawan 50 mengesyorkan: " sudah sepatutnya tulisan rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan jawi sehingga masa akan menentukannya". Cadangan ini diterima oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Singapura/Johor Bahru (1956), di samping mencadangkan pembentukan satu badan untuk mengkaji cara memelihara tulisan jawi dan menyamakan ejaan jawi di Malaya dan di Indonesia. Hasil saranan kongres ini masih jauh daripada kenyataan hinggalah sekarang. Sejak itu, berlakulah perkembangan yang tidak sihat ini. Kalau di Turki, tulisan jawi dihapuskan oleh anak bangsanya sendiri (malah pelbagai aspek undang-undang Islam diubah kepada kanun Barat), kita juga hampir kepada suasana itu. Pada tahun 1960-an, mulalah pengajaran tulisan jawi di sekolah diabaikan. Ada pula yang berhujah dengan melihat kelemahan sistem ejaan dalam tulisan jawi itu. Tulisan jawi tidak dapat melambangkan bunyi/sebutan perkataan sepenuhnya. Memang kita akui, sejak sistem ejaan jawi belum lagi dibaiki sepenuhnya, perkataan kaf-mim-ba-nga membawa tujuh bunyi: kembang, kambing, kumbang, kembung, kambung, kambang, dan kombang. Sehinggalah kita ada Ejaan Jawi yang Disempurnakan, masih ada gejala yang sama, perkataan ba-ya-lam-ya-qaf membawa dua bunyi: bilik dan belek. Namun, hal ini usahlah dibesar-besarkan. Tambahan pula, konteks ayat akan membimbing pembaca membunyikan perkataan dengan betul, di samping sering kedengaran perkataan berkenaan. Janganlah dengan alasan serapuh itu, kita sanggup menghapuskan tulisan jawi yang telah kita warisi berabad-abad dan berjasa besar dalam kehidupan kita. Akibatnya, dalam konteks keagamaan, seperti yang lumrah di Turki kini, sudah ada orang Melayu mempelajari ayat untuk sembahyang berdasarkan tulisan ruminya sahaja! Gejala buta tulisan jawi semakin buruk. Mangsa sistem persekolahan dasawarsa 60-an membuktikannya. Sungguh sedih! Ketika dalam pemerintahan British, kita bebas menggunakan tulisan jawi sehingga dalam wang kertas pun ada tulisan jawi (setelah kita merdeka, hanya beberapa tahun sudah tercetak tulisan jawi dalam wang kertas RM2). Sebelum itu pemerintah British menggunakan tulisan jawi dalam perutusan mereka. Janganlah pula sampai kita menemui sarjana bahasa Melayu (khasnya dari bangsa Melayu) yang tidak menguasai tulisan jawi. Oleh sebab kesan pengabaian tulisan jawi ini semakin teruk dan membimbangkan, pada tahun 1985, Kementerian Pendidikan Malaysia mewajibkan tulisan jawi di sekolah rendah agama. Tindakan setakat ini tidaklah memadai. Kita harus berwaspada, sekiranya tulisan jawi diketepikan - apalagi dikuburkan - maka mutiara dari Dunia Melayu ini akan hilang, sirnalah ciptaan kreativiti datuk nenek kita dari Alam Melayu. Sejak abad ketujuh Masihi lagi, dalam pelbagai khazanah tamadun Melayu, daripada falsafah, ilmu, hukum-hakam, ubat-ubatan, teknologi silam, hinggalah bermacam-macam bidang ilmu (baik dalam bentuk prosa mahupun puisi), tulisan jawi digunakan dan ia cukup berjasa. Malah tulisan ini menjadi identiti bangsa Melayu. Maka tidak hairanlah seorang sarjana asing, Dr. Kang Kyoung Seock dari Korea, yang mengkaji (untuk tesis Sarjananya) sejarah tulisan jawi, menegaskan bahawa baginya tulisan jawi lebih banyak bersifat kemelayuan daripada rumi. Bahasa yang menggunakan dua aksara terlalu sedikit. Maka itu kita harus berbangga dengan penggunaan tulisan jawi dan rumi, khasnya di Malaysia. Namun, janganlah kita mengabaikan tulisan jawi ini. Jangan sampai kerana tidak dapat menilainya dan menghargainya, seseorang itu dengan mudah (mungkin pula bangga di samping menghina!) menolaknya ke tepi. Pada tahun 1995, dua orang teman saya dari Tajikistan menyatakan bahawa di negara mereka yang menggunakan bahasa Tajik (cabang bahasa Parsi), muncul semula hasrat untuk menggunakan tulisan jawi setelah tujuh dasawarsa dipaksa oleh pemerintahan Soviet menggunakan aksara siriliknya. Suasana ini berbeza daripada alam kita. Kita mempunyai kuasa menetapkan, maka terletaklah di atas bahu kita sendiri untuk membuat tindakan yang sewajarnya. Sesungguhnya, setiap lapisan masyarakat Malaysia harus berusaha ke arah mengembalikan penggunaan tulisan jawi dan meletakkannya semula seperti pada zaman kegemilangannya dahulu. Mesti ada rasa penghargaan dahulu, barulah kita dapat menghormatinya dan seterusnya mempertahankannya, memupuk kelangsungannya dan kelestariannya dalam bahasa dan kebudayaan Melayu. Marilah kita teliti peringatan bekas Menteri Pelajaran, Datuk Abdullah Ahmad Badawi, bahawa tulisan jawi masih terus dipegang oleh orang Melayu meskipun tidak dihiraukan oleh orang ramai. Tulisan ini menjadi warisan yang tidak ternilai harganya bagi masyarakat Melayu. ---------------------------------------------------------------------- --~--~---------~--~----~------------~-------~--~----~ =============================================================== Website: http://www.rantaunet.org =============================================================== UNTUK SELALU DIPERHATIKAN: - Hapus footer dan bagian yang tidak perlu, jika melakukan reply. - Posting email besar dari >200KB akan di banned, sampai yang bersangkutan menyampaikan komitmen akan mematuhi Tata Tertib yang berlaku. - Email attachment, DILARANG! Tawarkan kepada yang berminat dan kirim melalui jalur pribadi. =============================================================== Berhenti (unsubscribe), kirim email kosong ke: [EMAIL PROTECTED] Webmail Mailing List dan Konfigurasi keanggotaan lihat di: http://groups.google.com/group/RantauNet/subscribe Dengan terlebih dahulu mendaftarkan email anda pada Google Account di: https://www.google.com/accounts/NewAccount =============================================================== -~----------~----~----~----~------~----~------~--~---
