GADIS NEGERI SEMBILAN
Oleh: Abdullatip
Suasana di daerah pedalaman ini tenang dan tenteram. Alam di kelilingku di
hiasi dengan pohon-pohon kayu yang segar menghijau. Tidak jauh dari rumah
kediamanku kelihatan sawah yang luas terbentang di pagari oleh Banjaran
Titiwangsa. Aku merasa bertuah dapat mencurahkan khidmat bakti di negeri Adat
Perpatih ini. Keramahan penduduknya dan keindahan alam semula jadinya
menjadikan aku merasa bahagia bertugas di sini.
Namun aku sedar, sejak aku menjejakkan kaki di sebuah perkampungan yang
letaknya jauh di pedalaman ini, hati ibuku kerap dilanda perasaan bimbang. Dia
bimbang jika anak kesayangannya terpikat dengan gadis Negeri Sembilan.
Kerana itulah, sejak aku menerima surat tawaran bertugas di kawasan pedalaman
ini, ibuku melambakkan pesanan supaya aku berhati-hati jangan sampai terpikat
dengan gadis negeri Adat Perpatih.
" Teruk sangatkah Gadis negeri sembilan itu,?" tanyaku sekadar memancing
perbualan.
Ibuku yang sedang memasukkan pakaian ke dalam beg kelihatan termenung seketika
sebelum menjawab pertanyaanku. " Mak dah dengar macam-macam cerita mengenai
gadis Negeri Sembilan ni."
Menurut ibuku, sesiapa yang berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan kena ikut
Adat Perpatih. Kena masuk suku, harta pusaka mesti diwarisi oleh orang
perempuan. Jika bercerai, suami kena keluar dari rumah hanya dengan sehelai
sepinggang. Dan apa yang paling menakutkan hati ibuku bila jiran kami Mak Joyah
mengatakan gadis Negeri Sembilan pandai menggunakan ilmu pengasih untuk memikat
jejaka yang berkenan di hatinya.
Kata Mak Joyah lagi, bila sudah berkahwin Gadis Negeri Sembilan pandai
menggunakan ubat guna-guna untuk menundukkan hati suami. Akibatnya suami kena
kontrol oleh isteri. Si suami lupa hendak balik ke rumah orang tuanya dan takut
hendak menghulurkan duit gaji kepada orang tua atau adik beradiknya.
Sesungguhnya, itulah yang paling membimbangkan hati ibuku. Dia takut sungguh
kalau aku berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. Bagi ibu kalau boleh biarlah
aku berkahwin dengan gadis pilihan hatinya. Gadis yang sudah dikenal hati budi
dan jurai keturunannya. Kerana itu siang malam, pagi petang ibu berdoa semoga
aku tidak berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. Dan setiap kali aku balik ke
rumah bila cuti ibu tidak lupa memberi nasihat kepada aku, anak kesayangannya.
Kata ibuku, pandai-pandailah menjaga diri bila berada di negeri orang. Mulut
jangan celupar, berhati-hati memilih kawan, berwaspada bila makan minum di
rumah orang dan paling penting, kata ibu berulangkali, jangan berkawan rapat
dengan gadis Negeri Sembilan.
Selalunya bila diberi nasihat oleh ibu, aku hanya tersenyum sambil mengatakan
Insyaallah. Memang begitu sikapku tidak banyak cakap bila berhadapan dengan
ibu. Apatahlagi membantah kata-katanya. Tambahan pula aku tak mahu jadi anak
derhaka kerana aku tahu anak derhaka tidak dapat mencium syurga. Sikap dan
pengakuanku itu dapat meredakan perasaan ibu. Tetapi berlainan pula dengan
ayahku. Dia selalu membela aku.
" Anak kita tu bukannya budak-budak. Dia sudah dewasa dan ada pelajaran.
Fikirannya sudah matang untuk merancang masa depannya. Lebih lagi dalam hal
memilih pasangan hidupnya. Kita doakan sahaja semoga dia hidup bahagia dunia
dan akhirat." Kata ayah sambil matanya terus menatap akhbar Jawi di tangannya..
" Saya takut Amri berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan," kata ibuku pula.
" Jodoh pertemuan Allah yang menentukan. Jika ditakdirkan Amri bertemu jodoh
dengan gadis Negeri Sembilan, apa boleh buat. Kita terima sajalah!," ayah juga
tak mahu mengalah. Aku faham benar sikap ayah. Dia suka berterus terang dan
bersikap terbuka.
Tetapi ibuku masih berkeras. Ibu mengatakan dia tidak mahu aku berkahwin dengan
gadis Negeri Sembilan. " Saya pun tahu jodoh pertemuan Allah yang menentukan.
Tetapi Allah beri peluang untuk kita berusaha. Dan saya akan berusaha supaya
anak kita tidak beristerikan gadis Negeri Sembilan."
Hari demi hari yang berlalu terasa begitu cepat peredarannya. Di siang hari aku
menghabiskan masa mencurahkan ilmu mendidik anak bangsa yang hauskan ilmu
pengetahuan. Di malam hari aku ke masjid solat berjemaah atau menghadiri majlis
ilmu untuk bekalan akhirat. Kini sudah genap satu tahun aku bertugas di Negeri
Sembilan. Dan apa yang paling ditakuti oleh ibuku sudah menjadi kenyataan.
Kepulanganku pada pagi hari minggu itu membawa berita yang sungguh tidak
menyenangkan hati ibu. Aku melahirkan hasrat di hati untuk menyunting gadis
Negeri Sembilan.
" Saya berkenan pada dia, Mak. Kami dah sama-sama jatuh cinta," kataku berterus
terang.
" Kalau dia dah suka, kita ikut sahaja. Baik kata dia, baiklah kata kita. Sebab
yang nak kahwin, dia, bukannya kita," Seperti yang kuduga, ayah akan
menyebelahi aku.
" Saya tak setuju dengan gadis pilihan anak kita itu," bentak ibuku.
" Mak tak setuju kerana dia gadis Negeri Sembilan?" tanyaku pula dengan nada
suara yang lembut.
" Gadis Negeri Johor ni apa kurangnya. Gadis macam mana berkenan di hati kau?.
Hendak yang kulitnya putih melepak, nak yang hitam si tampuk manggis, yang
kurus atau yang gemuk semuanya ada. Serahkan saja kepada mak untuk mencarinya,"
kata ibuku.
" Kenapa kamu ni benci sangat dengan gadis Negeri Sembilan?. Bukankah mereka
juga manusia seperti kita, bangsa Melayu dan beragama Islam..." kata ayah
dengan nada suara yang masih ditahan-tahan.
Sebenarnya aku juga ingin menanyakan perkara yang sama. Tetapi ayah yang
mendahuluinya. Lagipun masih ada perasaan hormatku terhadap ibu. Sesungguhnya
aku ingin menjadi anak yang baik. Seingatku sejak kecil tidak pernah menyakiti
hati ibu. Cuma kali ini sahaja mungkin sikapku telah menyakiti hatinya.
" Saya takut anak kita kena kontrol nanti. Sebab orang Negeri Sembilan
berpegang kepada Adat Perpatih yang bertentangan dengan syariat islam," ibuku
meluahkan kebimbangannya.
" Mana awak tahu Adat Perpatih bertentangan dengan syariat Islam?" tanya ayah
pula.
" Memang betul, bang. Contohnya dalam pembahagian harta pusaka. Mereka tak ikut
hukum faraid. Anak lelaki lansung tak dapat mewarisi harta pusaka sebab yang
berhak menerimanya orang perempuan sahaja," jawab ibu sambil melahirkan rasa
kesalnya.
" Sebenarnya, begini, Mak...." Aku cuba meredakan suasana. Paling aku bimbang
jika terjadi pertengkaran antara ibu dengan ayah disebabkan aku. " Selama
setahun sayang bertugas di Negeri Sembilan, saya dapat memahami adat istiadat
mereka termasuk sistem adat perpatih."
" Betul ke Adat Perpatih tu bertentangan dengan hukum Islam?" tanya ayah pula.
" Masyarakat Melayu di Negeri Sembilan juga seperti kita. Beragama Islam dan
mengamalkan ajaran islam. Sembahyang mereka, puasa mereka dan pegangan agama
mereka sama seperti kita."
" Bagaimana pulak dengan pembahagian harta pusaka?. Apakah mereka ikut hukum
Islam?. Hukum agama kita?" tanya ibuku.
" Dalam sistem Adat Perpatih diutamakan hak kaum wanita. Tujuannya supaya nasib
kaum wanita itu terpelihara dan terjamin masa depannya. Kerana itu kebanyakan
wanita di negeri sembilan tidak ada yang teranianya kerana dilindungi oleh
keluarga mereka."
" Aida anak Pak Cik Seman kau tu apa kurangnya. Dia bersopan santun dan berbudi
bahasa. Orangnya pun cantik. Mak berkenan sangat dengan budak tu. Kalau Amri
bersetuju mengambil dia menjadi isteri, biar mak yang menguruskan segalanya,"
Ibuku cuba mengalih tajuk perbualan.
" Ini soal masa depan saya, Mak. Berilah peluang kepada saya untuk memilih
siapa ibu kepada anak-anak saya. Apa yang penting, bakal isteri saya tu orang
yang saya cintai. Dan dia menyintai saya. Apa gunanya perkahwinan jika tidak
ada rasa saling cinta mencintai antara satu sama lain." kataku berterus terang.
" Benar kata kau tu, Amri. Tetapi mak tidak kenal siapa gadis pilihan kau tu.
Entah macam mana hati budinya. Siapa keluarga dan bagaimana keturunannya.
Semuanya perlu kita selidiki kerana mak tidak mahu kau menyesal di kemudian
hari nanti," ibu masih tidak berputus asa memujuk aku.
" Saya sudah lama berkawan dengan Hayati, Mak. Tambahan pula kami bekerja di
tempat yang sama. Saya sudah tahu hati budinya dan saya sudah kenal rapat
dengan keluarganya. Percayalah bahawa Hayati itu baik orangnya dan dia daripada
keturunan yang baik pula," kataku cuba meyakinkan ibu.
" Masa bercinta ni semua nampak baik. Tetapi bila sudah berkahwin nanti barulah
kau tahu keadaan yang sebenarnya. Mak tidak mahu kau menyesal nanti kerana
berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan," balas ibu.
" Kenapa perkara itu yang mak nak persoalkan?. Bukankah mereka juga ada
pegangan agama. Punya hati dan perasaan seperti kita. Apakah bezanya antara
gadis Negeri Sembilan dengan gadis di negeri lain?" aku masih cuba meyakinkan
ibu.
" Mereka dikongkong oleh Adat Perpatih. Mak sudah banyak mendengar cerita
tentang keburukan mereka yang berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan!" ibu
masih tidak mengubah fikirannya.
" Jangan dengar cerita orang, Mak," pujukku. " Saya sudah lama bergaul dengan
masyarakat Negeri Sembilan. Mereka tidak seburuk seperti yang mak sangkakan.
Percayalah cakap saya ni."
" Amri sudah besar. Biarlah dia buat pilihan sendiri. Baik katanya, baiklah
kata kita. Dia bahagia, kita tumpang gembira," balas ayah.
" Nampaknya abang bersetuju dengan gadis pilihan anak kita tu?" tanya ibuku
pula.
" Kita nak buat macam mana kalau orang yang punya diri sudah berkenan dengan
budak tu. Amri yang nak berkahwin, bukannya kita. Lagipun anak kita tu sudah
besar panjang. Sudah mampu mendirikan rumah tangga. Biarlah dia sendiri memilih
calun isterinya. Baik kata Amri, baiklah kata saya. Orang nak mendirikan
masjid, berdosa kalau kita menghalangnya." kata ayah.
" Tetapi, saya takut kalau Amri salah membuat pilihan. Banyak benar yang saya
dengar tentang cerita gadis Negeri Sembilan. Itulah yang membuatkan saya susah
hati. Menyesal kemudian tidak ada faedahnya." kata ibuku pula.
" Dengar suara enggang, makan buah beluluk. Dengar cerita orang, awak nanti
yang masuk lubuk," kata ayah sambil ketawa.
" Janganlah ketawa. Saya susah hati ni," ujar ibuku.
" Kalau anak kita dah berkenan awak nak buat macammana?. Awak nak minta tolong
kepada dukun Mamat supaya Amri membenci gadis Negeri Sembilan tu?" tanya ayah.
" Tidak sekejam itu hati saya ni, bang. Saya masih tahu hukum hakam agama kita.
Cuma yang saya kuatir kalau benar seperti cerita yang saya dengar tu."
" Abang tidak kisah siapa orang yang dipilih oleh Amri untuk menjadi isterinya.
Asalkan dia bahagia, sudah."
" Habis tu, macam mana saya nak buat, bang?" tanya ibu. Dia nampak gusar.
" Suruh Amri bawa budak tu ke rumah kita pada hari Ahad depan ni. Nanti kita
sama-sama tengok bakal menantu kita tu. Lepas tu baru awak buat keputusan. Ini
belum apa-apa lagi awak dah kata tidak setuju!" jawab ayah.
" Baiklah," kataku pula sambil tersenyum. " Hari Ahad depan saya bawa gadis
pilihan saya tu. Mak dan ayah boleh bertemu bual dengannya. Saya yakin mak dan
ayah mesti berkenan dengan gadis Negeri Sembilan tu."
Paaada pagi Ahad itu ayah dan ibuku tidak keman-mana. Mereka menanti kedatangan
Gadis Negeri Sembilan. Masing-masing seolah tidak sabar lagi hendak melihat
tetamu istimewa yang akan berkunjung ke rumah kami.
Tepat jam 11 pagi kereta yang kami naiki sampai di halaman rumah. Ayah dan ibu
segera datang menyambut kami. Ibuku merenung Hayati seolah sedang membuat
penilaian.
"Saya perkenalkan, inilah Hayati bakal isteri Amri," kataku memperkenalkan
Hayati kepada ayah dan ibu.
" Apa khabar Mak Cik," tanya Hayati sambil mencium tangan ibuku.
" Baik..." jawab ibu sambil matanya terus merenung gadis di hadapannya.
" Kenapa biarkan mereka tercegat saja di laman rumah. Jemputlah tetamu kita tu
naik," kata ayah pula.
Ibu menjemput Hayati naik ke rumah. Kami duduk di ruang tamu. Dan sejak tadi
mata ibu masih tidak pernah lekang mengawasi gerakgeri Hayati. Mungkin ibu mahu
melihat keburukan atau menilai kebaikan bakal menantunya. Tetapi aku yakin ibu
tidak nampak cacat celanya gadis Negeri Sembilan yang menjadi pilihanku.
Orangnya nampak baik dan berbudi bahasa. Dan hati ibuku merasa senang bila
Hayati membantunya membuat kerja-kerja di dapur. Hayati juga yang menyediakan
masakan tengahhari.
Ibu dan ayah nampak berselira menikmati makanan tengah hari. Gulai masak lemak
cili api yang dimasak oleh Hayati benar-benar membuka selera. Selesai makan
Hayati juga yang ke dapur membasuh dan mengemas pinggan mangkuk. Kemudian
Hayati membantu mengemaskan rumah. Selesai menunaikan sembahyang Asar barulah
kami meminta diri untuk pulang. Hayati sekali lagi bersalaman dengan ibuku.
" kalau begini baik budi bahasanya, mak setuju Hayati menjadi isteri kamu,"
kata ibu ketika aku dan Hayati masuk ke dalam kereta.
" Alhamdulillah...minggu depan giliran kami pulak ke rumah kamu, Hayati," balas
ayah pula.
Itulah saat yang aku rasa paling gembira.
TAMAT
MENJELANG HARI PERKAHWINAN
Benarkah perkahwinan itu satu perjudian?. Jika bernasib baik akan bahagia
tetapi jika tersalah pilih akan merana seumur hidup. Benarkah begitu?.
Sesungguhnya dia tidak pasti kerana dia belum berkahwin. Tetapi saat bahagia
itu akan menjelang tidak lama lagi.
Pagi itu dia bangun dari tidur lalu melihat wajahnya dalam cermin.
Dia terkejut kerana wajahnya nampak hodoh. Mukanya pucat, bibirnya kering,
rambutnya mengerbang kusut masai dan mulutnya berbau masam.
Dia berfikir sejenak. Bagaimana kalau suaminya melihat wajahnya dalam
keadaan begini?. Mungkinkah kasih sayangnya akan pudar?. Selama ini setiap kali
pertemuan dia akan menghiasi wajahnya dengan alat-alat solek. Dia menjaga tutur
katanya supaya sentiasa sopan. Dia mengawal tingkah lakukan supaya disenangi
oleh tunangnya. Tetapi setelah mereka menjadi suami isteri nanti, semuanya
akan terserlah dan tidak ada lagi yang dapat disembunyikan. Dia menjadi cemas
bila memikirkan semua itu.
Dia bergegas keluar lalu berkereta menuju ke rumah tunangnya. Dia
berdiri di depan pintu dengan dada yang berdebar sambil memberi salam. Apabila
pintu terbuka dia dan tunangnya sama-sama terkejut.
"Kenapa engkau datang ke rumah aku dipagi begini dan dalam keadaan
begini?" tanya tunangnya.
"Aku perlu berjumpa engkau," jawabnya.
"Untuk apa?" tanya tunangnya lagi.
"Jemputlah aku masuk dulu."
"Jemputlah masuk tapi maaf kerana aku baru bangun dari tidur."
Dia masuk lalu duduk di sofa.
"Engkau belum menjawab pertanyaanku," kata tunangnya.
"Aku tidak mahu menipu engkau lagi."
"Menipu? Apa maksud awak?"
"Lihatlah wajahku ini. Aku mahu engkau melihat wajahku yang
sebenar."
Tunangnya tiba-tiba ketawa. "Aku sudah melihat wajah awak sejak
pertama kali kita bertemu."
" Tetapi itu bukan wajahku yang sebenar. Setiap kali kita bertemu
aku solek wajahku supaya nampak cantik. Sekarang aku datang dengan wajah aku
yang sebenar."
"Aku masih tidak faham. Berterus teranglah."
"Selama ini bila kita bertemu aku solek wajahku supaya engkau
terpesona. Aku wangikan badanku supaya engkau terpukau. Sekarang aku tak mahu
menipu lagi. Engkau lihatlah diriku yang semula jadi."
"Sekarang baru aku faham," kata tunangnya sambil tersenyum. "Awak
juga boleh melihat keadaan diriku selepas bangun dari tidur. Aku juga belum
mandi dan masih berseluar pendek. Adakah saya nampak hodoh?"
" Awak masih tampan."
" Awak juga masih cantik."
Dia dan tunangnya tertawa terbahak-bahak,.
Negeri Sembilan, 20hb Februari 2003
TAMAT.
--~--~---------~--~----~------------~-------~--~----~
===============================================================
Website: http://www.rantaunet.org
===============================================================
UNTUK SELALU DIPERHATIKAN:
- Hapus footer dan bagian yang tidak perlu, jika melakukan reply.
- Posting email besar dari >200KB akan di banned, sampai yang bersangkutan
menyampaikan komitmen akan mematuhi Tata Tertib yang berlaku.
- Email attachment, DILARANG! Tawarkan kepada yang berminat dan kirim melalui
jalur pribadi.
===============================================================
Jika anda, kirim email kosong ke >>:
berhenti >> [EMAIL PROTECTED]
Cuti: >> [EMAIL PROTECTED]
digest: >> [EMAIL PROTECTED]
terima email individu lagi: >> [EMAIL PROTECTED]
Webmail Mailing List dan Konfigurasi keanggotaan lihat di:
http://groups.google.com/group/RantauNet/subscribe
Dengan terlebih dahulu mendaftarkan email anda pada Google Account di
-~----------~----~----~----~------~----~------~--~---