KEISTIQAMAHAN, KETELADANAN DAN KELUHURAN Dr HAMKA
19/05/2008 oleh terasmelayu 

KEISTIQAMAHAN, KETELADANAN DAN KELUHURAN

SYAHSIAHNYA

M AKTIFANUS JAWAHIR

mantan wartawan Maj.Panji Masyarakat

kini penerbit/penulis bebas


LATAR BELAKANG

Abdul  Malik bin Abdul Karim Bin Amrullah, Amrullah anak kepada Saerah
Binti Abdullah  Arif Tuanku Pauh Pariaman, lahir pada 17 Februari 1908
bersamaan  14  Muharram  1326 Hijrah di Sungai Batang, pinggiran Danau
Maninjau,   Kabupaten   Agam  Sumatra  Barat-Ranah  Minangkabau.  Dari
pasangan  Haji Abdul Karim Amrullah dan Siti Safiyah. Danau atau Tasik
Maninjau  dengan  alam  sekitarnya  yang indah, cantik dan menakjubkan
amat  bertepatan  sebagai  kampung subur  melahirkan orang-orang besar
yang  menentukan  corak,  dinamika dan bentuk sejarah Indonesia.Bahkan
mantan  presiden  Sukarno  menulis  sebait  pantun   Jika adik memakan
pinang, makanlah dengan sirih hijau, jika adik datang ke ranah Minang,
jangan  lupa  singgah ke Maninjau  Sebutlah nama-nama besar yang lahir
disekitar  danau ini Mr Asa at, Ketua Senat (Komite Nasional Indonesia
Pusat-KNIP)  yang  pertama diawal Indonesia merdeka, pemangku presiden
Indonesia,  dikala  presiden  Sukarno  tidak  ada,  Ahmad Rasyid Sutan
Mansur  (murabbi  dan  guru  agung kepada banyak toko pergerakan Islam
Indonesia,  untuk satu tokoh ini akan disebut agak panjang dalam paper
ini), Laksamana Laut M Nazir, pengasas tentera laut Indonesia, Prof Dr
Bahder  Djohan,  mantan  menteri  pendidikan dan kebudayaan dan rektor
universiti  Indonesia-Jakarta Djamaluddin Datuk Singo Mangkuto, peguam
hebat  di  zaman  Sukarno/Suharto,  Jusoef Syuib, KHM Isa Anshari, dua
nama  terakhir adalah penulis produktif buku Islam yang syumul dan Isa
Anshari  adalah   singa  podium pemidato  handal,  tokoh  Masyumi yang
sangat  digeruni  oleh  Sukarno, juga kalangan nasionalis dan komunis.
Bahkan Dr Mohammad Natsir, mantan perdana menteri dan ketua umum parti
Islam Masyumi/pemimpin dunia Islam yang disegani, orangtua beliau juga
berasal  dari  sini,  walaupun beliau sendiri lahir di Alahan Panjang,
Kabupaten Solok, Sumatra Barat.

Kampung  Sungai  Batang  memang  terkenal sebagai kampung orang cerdik
pandai  dan  ahli berdebat, sebagaimana umumnya orang Minang yang kaya
dengan  petatah  petitih.  Abdul Malik yang kemudian kita kenal dengan
nama populer Hamka, moyangnya adalah Tuanku Pauh Pariaman, ulama besar
dan  salah  seorang panglima perang di waktu perang Padri (Kaum Putih)
melawan  penjajahan  Belanda, diawal abad 18 yang dipimpin oleh Tuanku
Imam  Bonjol,  Hamka  sendiri  adalah  juga  keturunan  bangsawan Adat
Minangkabau,  yang lahir dari suku Tanjung pada usia yang masih belia,
beliau  diangkat  sebagai penghulu warisan suku kaumnya dengan gelaran
Datuk  Indomo  (di  Minangkabau  terkenal petatah kenek bagala, gadang
banamo,  kecil  diberi  nama,  bila dewasa diberi gelar).Kegetiran dan
kesusahan  yang  mewarnai  hidupnya  semenjak  kecil, terutama setelah
ayah-ibunya  bercerai,  ikut  membentuk  kekuatan  pribadinya, sebagai
tanda  protes  terhadap  keadaan orangtuanya, si kecil Malik cenderung
hidup agak liar.

Walau dalam usia 6 tahun dibawa ayahnya ke Padang Panjang, pada umur 7
tahun  dimasukkan  ke  sekolah  desa  dan malam harinya mengaji Qur an
dengan  ayahnya, pada umur 8 tahun sahingga 15 tahun dia belajar agama
di  sekolah-sekolah   Diniyah  School  dan Sumatra Thawalib  di Padang
Panjang   dan   Parabek,   guru-gurunya   adalah  Syekh  Ibrahim  Musa
Parabek,Engku  Mudo  Abdul  Hamid  dan  Zainuddin Labay el Yunussiyah.
Padang  Panjang masa itu terkenal dengan ramainya pelajar menunut Ilmu
Islam  , dibawah pimpinan ayahnya Hamka. Sebagai tanda protes itu tadi
umur  14  tahun  Hamka  mengembara  ke  Bengkulu  seorang  diri.  Coba
bayangkan  negara  masih  dijajah  zaman  perang,  kurangnya kemudahan
perhubungan,  Hamka  juga  sudah  merantau ke Jawa pada umur 16 tahun,
belajar tentang Islam dan pergerakannya, bermula di Yogya Hamka kursus
dengan   HOS  Tjokroaminoto,H  Fakhruddin,RM  Suryopranoto  dan  abang
ipar-guru utamanya AR Sutan Mansur di Pekalongan.

Dengan dorongan kawan-kawannya, pada umur 19 tahun tanpa sepengetahuan
ayahnya  Hamka  berangkat  menunaikan  ibadah haji melalui Medan, wang
yang  ada  dipoket hanya cukup untuk teket kapal pulang dan pergi, dia
akhirnya  tinggal  setahun dan bekerja di Mekkah. Setahun kemudian dia
pulang,  itupun setelah dijemput oleh adik ayahnya Haji Yusuf Amrullah
di  Medan   Ayahnya  sampai  menitikkan  air mata ketika tahu si Malik
sudah  jadi  haji , padahal sang ayah pernah bertekad untuk menghantar
anaknya  ke  Mekkah  pada  umur  10  tahun, namun tidak menjadi kerana
hubungannya   yang  kurang  mesra   dengan  ayahnya.  Ingat akan tekad
ayahnya  itulah  Hamka  ke  Tanah Suci disamping semangat dan kekuatan
hatinya, yang membuat ayahnya terharu dan menitiskan air mata.

KEISTIQAMAHAN

Melihat  latar  belakang  salsilah  dan  keturunan  keluarganya, Hamka
memang  lahir  dari  keturunan ulama dan orang besar, ayahnya Dr Syekh
Abdul  Karim  Amrullah,  salah  seorang  ulama  pembaharu  mujahid dan
mujadid  di  zamannya,  termasuk  salah seorang ulama Minangkabau yang
belajar  di  Mekkah,  diantara  gurunya  di  Mekkah adalah Syekh Ahmad
Chatib  al  Minangkabauwy, imam besar Masjidil Haram yang juga berasal
dari  Ampek  Angkek, Bukit Tinggi Sumatra Barat. Ayahnya yang mendapat
gelar  kehormatan Ustaziah Fakhiriah (Doktor Kehormat) dari Universiti
Al  Azhar,  Mesir,  sebagaimana  anaknya  dikemudian  hari  yang  juga
mendapat  penghormatan  yang  sama,  ayahnya yang lebih dikenal dengan
Inyik  Dr  (Atuk  Doktor)  ini,  adalah  ulama yang luas ilmunya tegas
dengan pendirian dan mempertahankan prinsip yang diyakininya.

Ini  dapat  dilihat  bagaimana  tegas  dan  kerasnya Inyik Dr, melawan
kebijakan   pemerintah  Belanda,  untuk  mempersempit  pengajaran  dan
pengertian    agama   Islam.   Contohnya   kebijakan   Belanda   dalam
memperkenalkan   Ordonasi   Guru-guru  Islam,  pihak  Belanda  mahukan
guru-guru  Islam  mengajarkan  agama  Islam, ikut keinginan dan sistim
yang ditentukan oleh Belanda, ini dilawan habis-habisan oleh Inyik Dr,
begitu  juga  sikapnya berhadapan dengan penjajahan Jepun, yang dengan
kerasnya   menunjukkan  kekuasaannya  di  Indonesia,  dengan  berbagai
provokasi  dan  propaganda,  baik  halus maupun kasar agar orang ruku 
menyembah  menghala  ke  istana Kaisar Jepun di Tokyo, ada ulama-ulama
yang  lemah  pendirian kerana takut akan ugutan, telah memutarbelitkan
ayat-ayat   Al   Qur an   atau  Hadis-hadis  Nabi  untuk  menghalalkan
penyembahan berhala itu.

Adapula Ulama lain yang tidak mau memutar belitkan hukum Islam, tetapi
kerana  takut  terbawa-bawa  lalu menjauhkan diri dari segala hubungan
dengan  Jepun.  Pada  waktu itu tersebutllah dikalangan awam masa itu,
Inyik  Dr  yang  diundang  hadir dalam beberapa pertemuan rasmi dengan
Jepun,  tidak  mau  ruku   menyembah  (Keirei)  kepada  istana  Jepun.
Jangankan ruku  sedangkan berdiri dari tempat duduknya saja diapun tak
mau.  Kala  itulah  Hamka  bertanya  kepada  ayahnya, yang sehari-hari
dipanggilanya  Abuya   Tidakkah  Abuya  merasa takut akan disiksa atau
dipotong  leher  oleh  kempetai Jepun,  Beliau menjawab Abuya bukanlah
takut  akan dipotong leher, tetapi Abuya takut akan pertanyaan sesudah
leher dipotong  (maksudnya akibat di akhirat nanti).

Sikap  dan  watak  Inyik  Dr  inilah yang diwarisi oleh Hamka, makanya
dalam  kesempatan ini akan diketengahkan bagaimana keistiqamahan Hamka
dalam  menjalani  kehidupannya;  sebagai ulama, pendakwah, aktivis dan
pemimpin   gerakan   Islam,   sastrawan   dan  pujangga,  penulis  dan
sebagainya. Keistiqamahan Hamka dapat dilihat dalam berbagai bidang;

A.YAKIN PEMBANGUNAN UMMAH BERMULA DENGAN PENDIDIKAN
DAN MEMBANGUN SERTA MENGIMARAHKAN MASJID

Ini  dapat  ditunjukkan bagaimana dalam usia yang terlalu muda baru 21
tahun,  Hamka ikut mendirikan Tabligh School kepunyaan Muhammadiyah di
Padang  Panjang,  beliaulah  menjadi  Mudir  pertama sekolah ini, yang
kemudiannya  berubah  menjadi  Kulliyatul  Muballighin  dan Kulliyatul
Muballighat  Muhammadiyah.  Sekolah  ini telah melahirkan banyak murid
orang-orang   kenamaan  di  Indonesia;  pendakwah-pensyarah/ulama  dan
ustaz,  hakim, dan sebagainya. Peranan Hamka kemudian terus berkembang
dalam  dunia  pendidikan;  menjadi  pensyarah Universiti Muhammadiyah,
Perguruan  tinggi  Agama  Islam  Negeri  (PTAIN)  kini berubah menjadi
Institut Agama 3

Islam  Negeri  (IAIN)  dan  kini berubah lagi menjadi Universiti Islam
Negeri  (UIN),  beliau  mengajar  di IAIN dengan taraf sebagai pegawai
tinggi  Kementerian Agama Indonesia, juga mengajar di Universiti Islam
Jakarta,  Universiti  Muslimin  Makassar  dan Universiti Islam Sumatra
Utara  (UISU) disamping tugas pokoknya sebagai penceramah menyampaikan
kuliah  agama Islam, hampir keseluruh Indonesia, bahkan juga sampai ke
Malaysia,  Singapura dan dijemput ke belahan dunia lainnya. Selain itu
suara juga di dengar melalui radio dan ditayangkan dikaca TV.

Sudah  pasti  asas  dan  awal  dari  dakwah Islam itu, tapaknya adalah
masjid.  Maka  pada  awal tahun 1960-an Hamka bersama para sahabatnya,
baik  kalangan  Muhammadiyah,  Masyumi dan juga pegawai tinggi tentera
yang  ada   spirit Islam  bersepakat untuk mendirikan masjid di daerah
elit  Kebayoran  Baru Jakarta Selatan, masjid ini kemudian diberi nama
oleh  Syaikhul Al Azhar Syekh Dr Mahmud Syaltut, tatkala berkunjung ke
Jakarta,   dengan  memberi  nama  Masjid  Al  Azhar,  bersempena  nama
Universiti  Al Azhar di Kaherah, Mesir. Nama Al Azhar kemudian melekat
kepada  Tafsir  yang penuh monomental yang ditulis dan diselesaikannya
dalam  penjara  dan  kemudian  dalam rawatan di Hospital Persahabatan,
Jakarta,  tatkala  beliau  difitnah berkomplot untuk membunuh Presiden
Sukarno dan Hamka dianggap berpihak ke Malaya, waktu konfrontasi dulu.

Masjid  ini berkembang pesat dan maju dengan kepelbagaian aktibitinya;
bukan  hanya  sekedar  kegiatan  shalat berjamaah, ceramah dan program
qiyamullail,  tetapi  di  masjid  inilah  termasuk  bermulanya program
remaja  dan  pemuda  masjid, dengan nama awal Youth Islamic Study Club
(YISC)  yang memberikan berbagai aktiviti untuk remaja-pelajar sekolah
dan  belia/pemuda; kajian-diskusi buku, training nilai-nilai Islam dan
dasar  perjuangan,  memberikan  pengajaran tambahan bagi murid-pelajar
sekolah  menghadapi  peperiksaan,  dalam  bidang-bidang mata pelajaran
yang  diperlukan,  disamping  kursus-training motivasi yang diperlukan
oleh remaja-belia dan orang dewasa. Akhirnya akhir 70-an dan awal-80n-
Persatuan  Remaja  dan  Pemuda  Masjid  ini  berkembang  subur  hampir
keseluruh  Indonesia,  terutama  di  bandar-bandar  dan  kampus-kampus
utama,  inilah  antara  lain yang memunculkan jemaah tarbiyah, gerakan
usrah dan halaqah.

Masjid  Al  Azhar  dengan Yayasan Pendidikan Islam Al Azharnya, dimana
Hamka   menjadi  pengerusi  yayasan  ini  sampai  ke  akhir  hayatnya,
mempunyai  institusi  pendidikan mulai dari tadika sampai ke peringkat
universiti  dengan namanya juga Universiti Al Azhar Indonesia Jakarta,
bahkan  untuk  sekolah  menengahnya  juga  mempunyai  banyak  cawangan
terutama  disekitar  kota Jakarta. Sekolah Menengahnya dikenal sebagai
sekolah Islam elit dengan bayaran masuk dan iyurannya yang agak mahal,
tetapi  hasilnya  dari  segi  syahsiah  dan akademiknya, Alhamdulillah
termasuk yang terbaik di Jakarta.

B.BERDAKWAH MELALUI PERTUBUHAN (JEMAAH)

Sebagaimana  kebanyakkan  ulama  dan  aktivis  Islam, dari dulu sampai
zaman  mutaakhir, dakwah Islamiyah untuk menegakkan Risalah Ilahi ini,
sudah  semestinya melalui gerakan atau jemaah, sebagaimana dalam Ushul
Fiqh  disebut  Malayatimul  Wajib  Ila Bihi Fahuwa Wajib, di Indonesia
dipanggil  dengan  Organisasi  Massa (Ormas). Maka Hamka masuk kedalam
pertubuhan  Islam  Muhammadiyah, mengikut jejak ayah dan abang iparnya
AR  Sutan  Mansur. Pada umur 20 tahun Hamka sudah menjadi ketua lujnah
perpustakaan   dan   tabligh  Muhammadiyah  Cawangan  Padang  Panjang,
kemudian  menjadi  ketua  cawangannya, setelah itu . 1942-1945 menjadi
ketua  majlis  daerah  Muhammadiyah  Sumatra Timur di Medan, dan tahun
1946-1949 ketua pimpinan Muhammadiyah Sumatra Barat.

Dari  tahun  1953  sampai  1971,  dalam  setiap  muktamar Muhammadiyah
namanya  terus  dicalonkan  sebagai  AJK  Pimpinan Pusat Muhammadiyah,
barulah  pada muktamar tahun 1971 di Makassar, dengan alasan kemampuan
dan  kesihatan,  Hamka hanya bersedia menjadi Penasihat Pimpinan Pusat
Muhammadiyah  sampai  ke  akhir  hayatnya.  Sebagai  ulama dan pemikir
Hamka,  dianggap  sebagai  idiolog  dan  peletak  dasar  bagi  gerakan
Muhammadiyah,  dan  setiap  tulisan  atau  bukunya  selalu  disebutkan
pengaruh  gerakan  pembaharuan  dan gerakan salaf, termasuk didalamnya
Muhammadiyah  yang  diinspirasikan oleh pemikiran Syekh Muhammad Abdul
Wahab,  Syekh Muhammad Abduh dan Sayid Rasyid Ridha. Muhammadiyah kini
mempunyai keahlian dan pengikut yang tidak berdaftar berjumlah 30 juta
orang,  dengan  amal-amalnya berupa tadika sampai universiti berjumlah
15 ribu buah, belum lagi ratusan hospital, klinik dan rumah kebajikan,
disamping  memiliki  masjid dan surau yang tersebar dari Sabang sampai
ke Merauke.

C.ISTIQAMAH HANYA DENGAN PARTI ISLAM MASYUMI

Parti  Islam  Masyumi,  yang ditubuhkan berdasarkan keputusan Muktamar
Umat  Islam  Indonesia,  yang dihadiri oleh seluruh pimpinan dan wakil
pertubuhan   Islam   dari   seluruh   Indonesia,  Muktamar  menetapkan
berdirinya  Majlis Syura pusat bagi umat Islam Indonesia, yang disebut
Masyumi   (Majlis   Syura   Muslimin   Indonesia),   Masyumi  dianggap
satu-satunya  parti  politik  bagi  umat  Islam. Tujuan Masyumi adalah
a.menegakkan   kedaulatan   Republik   Indonesia   dan   agama  Islam,
b.Melaksanakan  cita-cita  Islam  dalam  urusan  kenegaraan.  Walaupun
dasarnya  baru  dinyatakan pada tahun 1954 bahawa Masyumi adalah parti
yang  berdasarkan Islam, tujuannya juga diperjelas iaitu terlaksananya
ajaran  dan  hukum  Islam di dalam kehidupan orang-seorang, masyarakat
dan Negara Republik Indonesi, menuju keredhaan Ilahi.

Apa  yang  menarik  dari Parti Masyumi ini adalah tentang keahliannya,
yang  mempunyai dua kategori keahlian 1-Individu (perseorangan) 2-Ahli
Pertubuhan  atau Ahli Istimewa, Ahli individu adalah mereka yang tidak
masuk  dalam  pertubuhan  Islam  kemudian menjadi ahli Masyumi, tetapi
yang   kedua   sesiapa   sahaja   ahli   pertubuhan  Islam  masa  itu;
Muhammadiyah,  Nahdhatul  Ulama  (NU)  Syarikat  Islam (SI), Persatuan
Islam,  Persatuan  Umat Islam, Al Washliyah, Al Ijtihadiah, Al Irsyad,
Wanita  Islam, Nahdhatul Watan di Lombok, Matlaul Anwar di Banten, dan
organisasi   pemuda,  mahasiswa  dan  pelajar  yang  bernaung  dibawah
pertubuhan  itu,  atau  yang  berkecuali  seperti Gerakan Pemuda Islam
(GPI),Himpunan  Mahasiswa  Islam (HMI), Pelajar Islam Indonesia (PII),
semua dikaitkan dengan Masyumi.

Kerana  itulah  secara  otomatik sebagai ahli Muhammadiyah, Hamka juga
adalah  ahli  Masyumi,  walaupun pada masa yang sama Hamka juga adalah
pegawai  tinggi kerajaan, dan sebelum merdeka Hamka pernah masuk Parti
Syarikat  Islam,  kerana pada masa itu tidak ada halangan bagi pegawai
kerajaan  untuk  mendokong  mana-mana  parti yang diyakininya. Kinipun
setelah  reformasi  sesiapa  boleh  menyokong parti apa sahaja, tetapi
kalau  mahu  menjadi  pimpinan atau ahli parlimen dan ADUN, harus cuti
tanpa  gaji,  boleh  aktiv  semula  setelah  tidak  aktif  dalam parti
politik.  Hamka bukan sahaja tampil sebagai juru kempen dan penceramah
utama  parti  Masyumi,  tetapi  pada  pilihan raya umum Indonesia yang
pertama  tahun  1955, yang diadakan dimasa tokoh Masyumi yang masa itu
berumur  38  tahun Mr Burhanuddin Harahap menjadi perdana menteri, ini
dicatit  oleh  sejarah  politik dunia, sebuah pilihan raya yang paling
demokratik,  telus,  jujur  dan  rahsia,  Hamka  terpilih sebagai ahli
parlimen  (Dewan Rakyat) dan ahli konstituante (pembuat dasar negara),
walaupun  berasal  dari Minangkabau-Sumatra Barat, namun Hamka dipilih
mewakili  daerah pemilihan Jawa Tengah. Pada masa yang sama waktu itu,
gabenur  Sumatra  Tengah (sebelum berpisah menjadi Sumatra Barat, Riau
dan  Jambi)  adalah Ruslan Muljohardjo, orang Jawa- tokoh Masyumi dari
Muhammadiyah.  Jadi  sebagai  parti  Islam  yang  sangat terbuka untuk
semua,  soal  kenegerian  bagi orang Masyumi sudah tidak jadi masalah,
bahkan  seorang  Kristian Drs JLW R Rhemrev, bergabung kedalam Masyumi
di Dewan Konstituante.

Hebatnya  Masyumi  masa tiga orang tokohnya menjadi pemerintah sebagai
perdana  menteri,  bermula dengan Mohammad Natsir, kemudian Dr Sukiman
Wirjosandjoyo  dan  terakhir  Mr  Burhanuddin  Harahap,  Masyumi telah
berhasil  menyatukan  kembali Indonesia yang dipecahbelah oleh Belanda
setelah merdeka tahun 1949, melalui  Mosi Integralnya  Mohammad Natsir
di  Parlimen, berhasil menyatukan kembali kedaulatan negara Indonesia,
menstabilkan  harga  keperluan, tiada insflasi dan rasuah, keteladanan
kehidupan  yang  sederhana.  Walau  sebelumnya beberapa ujian dihadapi
Masyumi  tahun  1947  Syarikat  Islam  keluar  menjadi  parti  politik
sendiri, begitu juga NU keluar tahun 1952, menjadi parti NU, persoalan
hanya  kerana jawatan 1 atau 2 kursi menteri, dikala itu Masyumi tidak
mau  berkompromi  dengan Parti Nasional Indonesia (PNI) yang dikaitkan
dengan Sukarno.

Salah satu kehebatan pemimpin dan tokoh Masyumi, ramai diantara mereka
adalah  pemikir  dan  penulis,  mereka  telah dilatih dizaman penjajah
lagi,  untuk  berfikir  kritis dan mampu menganalisa sesuatu persoalan
dengan  tajam,  luas  dan  hujah  yang meyakinkan, disamping kehebatan
mereka  membaca  buku-buku hebat pada masa itu. Tidak hairanlah mereka
begitu produktif dan kreatif melahirkan buku-buku Islam dalam pelbagai
aspeknya,  sebutlah  nama-nama  seperti  H  Zainal  Abidin Ahmad, Prof
Tengku  Hasybie  Ash  Shidiqi, Prof Oesman Ralybi, KH Moenawar Chalil,
Mohd  Natsir  disamping  Hamka  sendiri.  Buku-buku  yang  diterbitkan
berkaitan   dengan   politik,   kenegaraan  dan  eknomi  dalam  Islam,
Kelengkapan  Tarikh  Nabi  Muhammad  SAW,  bahkan mereka sudah menulis
dalam  umur yang terlalu muda, Hamka sudah menulis pada umur 20 tahun,
Natsir  pada  umur  27  tahun  sudah  menghasilkan  buku  besar Capita
Selecta. Sayangnya tradisi berfikir dan menulis bagi kalangan pemimpin
dan  aktivis  gerakan  Islam  tidak diteruskan sepenuhnya ke hari ini,
adalah  sedikit  dari  beberapa  ulama  dan tuan guru, yang sebetulnya
ruang  dan bidang penulisan tentang Islam dalam berbagai aspeknya yang
syumul dan holistik itu, belum sepenuhnya di garap di rantau ini.

Meskipun  parti  Islam  berpecah  pada  PRU 1955, namun Masyumi keluar
sebagai  pemenang  bersama  dengan  PNI,  hampir setiap negeri Masyumi
menang  kecuali  daerah  pemilihan  Jawa Tengah,Jawa Timur, Kalimantan
kecuali Kalimantan Selatan, Sulawesi kecuali Sulawesi Selatan, Masyumi
menang  besar di Aceh, Sumatra Utara, Sumatra Tengah, Sumatra Selatan,
Jakarta  dan Jawa Barat. Di parlimen dan konstituante, bila menyangkut
perjuangan  umat  Islam  dan menginginkan dasar Islam, Masyumi bersatu
dengan  NU,SI  dan  juga  Parti  Islam  Perti. Pada masa sidang-sidang
parlemen  dan  konstituante  inilah kehebatan tokoh-tokoh dan pemimpin
Masyumi  berhujah dikagumi oleh kawan dan lawan, apabila Hamka, Natsir
berhujjah  semuanya  akan  diam dan khusyuk mendengar, ibaratnya jarum
jatuh akan kedengaran. Apabila kalangan Islam mahu menang, Sukarno dan
tentera  begitu  khawatir, ditambah lagi Parti Komunis Indonesia (PKI)
sudah terlalu rapat dengan Sukarno. Akhirnya parlimen dan konstituante
dibubarkan,  Hamka  pada  masa  itu  lebih berminat dengan Masyumi dan
meletakkkan  jawatan  sebagai pegawai tinggi pemerintah, kerana diberi
kata dua oleh Sukarno, Masyumi atau pegawai kerajaan.

Terjadinya   konflik dan perang saudara  antara pemerintahan daerah di
Sumatra   dan  Sulawesi  dengan  pemerintahan  Jakarta,  ada  beberapa
individu  tokoh  Masyumi  terlibat,  walaupun  secara  rasminya  Parti
Masyumi  masih  mengusahakan  dialog  dan  menempuh jalan damai, namun
Sukarno   yang  sudah  mulai  melaksanakan  Demokrasi  Terpimpin  yang
ditentang  oleh  tokoh-tokoh  Islam  dan nasionalis demokrat, termasuk
Hamka,  Sukarno  tetap  menyebut Masyumi terlibat dengan pemberontakan
PRRI.  Makanya  pada  tahun 1960 Sukarno dengan kekuasaan diktatornya,
memaksa  supaya  Masyumi  dan  juga  Parti  Sosialis  Indonesia  (PSI)
pimpinan    bekas   perdana   menteri   Sutan   Sjahrir   mengharamkan
parti-partinya  masing-masing  (bunuh  diri  secara  paksa).Pada  masa
inilah  kemudian  ratusan  tokoh  Masyumi  dan  PSI ditahan dari tahun
1961-1966,  Hamka  sendiri ditahan dari tahun 1964-1966, padahal Hamka
adalah  ulama  dan pujangga yang sangat dikagumi oleh Sukarno. Sebagai
ulama  yang  berjiwa besar, dikala Sukarno meninggal tahun 1970, ramai
ulama  yang  tidak  mahu  mengimamkan jenazahnya, Hamka tampil menjadi
imam menshalatkan jenazahnya Sukarno.

Setelah  Masyumi  diharamkan,  di  zaman  Order  Baru  ada usaha untuk
menghidupkan  kembali  Masyumi,  namun  ditolak oleh Suharto dan ABRI.
Akhirnya   didirikanlah  Parti  Muslimin  Indonesia  (Parmusi),  untuk
menampung   aspirasi  politik  bekas  pendukung  Masyumi,  bagamanapun
Parmusi  juga dirosak oleh Suharto dan ABRI, apabila tokoh yang paling
moderat  dari  Masyumi  Mr  Moehamad Roem, ditolak untuk menjadi ketua
umum   Masyumi,  jadilah  Parmusi   yang  sudah  rusak   itu,  dipaksa
bergabung  menjadi satu dengan NU,SI dan Perti menjadi Parti Persatuan
Pembangunan  (PPP),  parti  rojak  inipun  kemudian  tidak  dibenarkan
beradasar  Islam.  Hamka  tidak lagi berminat dengan politik, meskipun
namanya  digunakan  tanpa  sepengetahuannya  untuk  jadi  juru  kempen
Golkar, yang kemudian dibantah dengan tegas oleh Hamka.

Namun  dalam menyelesaikan masalah-masalah politik tingkat tinggi yang
menyangkut  persoalan  umat,  sudah  pasti Hamka akan turun tangan dan
diminta  pandangannya  oleh pemerintah, termasuklah soal Undang-Undang
Perkahwinan  yang  menghebohkan,  soal  masuknya Kebatinan dalam dasar
pembangunan  negara,  dan  yang  terakhir  fitnah terhadap umat Islam,
dengan  tuduhan  melakukan  keganasan;  seperti  Teror Warman, gerakan
Komando  Jihad  dan  sebagainya,  Hamka berperanan besar menyelesaikan
masalah  itu dengan bijaksana, adakalanya Hamka perlu menemui presiden
Suharto,   atau   bertemu   panglima  ABRI  dan  menteri-menteri  yang
berkenaan.  Sensitiviti  dan  keprihatinan  Hamka, terhadap nasib umat
Islam  diseluruh  dunia,  juga  sangat  jelas,  adakalanya  dinyatakan
melalui  tulisan dalam majalahnya Panji Masyarakat, melalui kolom Dari
Hati  ke  Hati,  melalui majalah yang diasaskannya majalah Islam Panji
Masyarakat  dan  diungkap  melalui ceramah dan khutbah Jum atnya, juga
melalui kedudukannya sebagai ketua MUI.

D.TEGAS MEMPERTAHANKAN AQIDAH DAN MENOLAK PEMURTADAN

Sikap  Hamka  yang  paling  jelas  adalah,  apabila  beliau meletakkan
jawatan  sebagai  pengerusi  (ketua umum) Majlis Ulama Indonesia (MUI)
pada tahun 1981, jawatan yang disandangnya untuk penggal kedua dari 26
Julai  1975,  itulah  pertaruhan Hamka, demi fatwa yang beredar pada 7
Mac  1981  yang  menegaskan  Natal  Bersama Haram hukumnya, Fatwa yang
ditandatangani  Hamka  yang disiarkan kepada media dan aktivis Muslim,
Kementerian  Agama  bagai  dilanda  gempa, menteri agama masa itu Left
Jeneral  (B)  Alamsjah  Ratuperwiranegara  , dengan cepat meminta agar
fatwa  itu  segera  ditarik  balik dan dimansuhkan, atau menteri agama
akan  mundur.  Tetapi  Hamka  memilih mundur, dari pada menjilat ludah
sendiri,  Hamka  rela mundur kerana nasihatnya sudah tidak dipedulikan
pemerintah.  Hamka  meletak  jawatan ribuan ucapan selamat dan tahniah
diterimanya,  padahal  apabila  dilantik  menjadi ketua umum MUI Pusat
1975 tidak adapun orang yang mengucapkan selamat.

Fatwa itu bagaikan nada sumbang di tengah orkestra kejayaan Order Baru
yang   masa  itu  dimainkan  presiden  Suharto,  bersama  CSIS,  Mafia
Barkeley,  Golkar,  ABRI  serta kalangan birokrat, yang sangat memberi
angin kepada Kristianisasi dan Jawanisasi. Natal bersama dengan alasan
menciptakan  keharmonian  antara umat beragama, padahal mengikut Islam
bukan  begitu  caranya.  Terlihat beliau tidak takut terhadap penguasa
yang  zalim, dia hanya takut kepada Allah sahaja, dalam berjuang Hamka
sanggup  menanggung  resiko,  yang akan diterimanya , bahkan Hamka pun
istiqamah  mengatakan  haram  terhadap  pembangunan  kota Jakarta yang
dibiayai  oleh  wang  hasil  judi, saat itu Jakarta dipimpin oleh Left
Jeneral   Marin   (B)  Ali  Sadikin,  termasuklah  kemudian  membantah
pandangan  Ali  Sadikin  agar  mayat-mayat  di Jakarta dibakar sahaja,
kerana kota semakin sempit dengan berkurangnya tanah perkuburan, Hamka
dengan  lantang  mengatakan Islam tidak membenarkan cara itu, akhirnya
Ali  Sadikin  mengalah.  Berkat  ketabahan  dan  kesabaran  Hamka  dan
sahabatnya   Mohd   Natsir  mendakwahi  Ali  Sadikin,  melalui  surat,
mengirimkan  hadiah Qur an dan buku-buku Islam sepuluh tahun kemudian,
Ali  Sadikin  sedar dengan kesalahannya dan ingin bertaubat, mau pergi
haji ke Mekkah bersama Hamka dan M Natsir.

Sebetulnya  sikap  Hamka  ini  bukanlah baru, dan ini hanya meneruskan
pandangan  ulama  silam  yang bersandarkan Al Qur an dan Sunnah, serta
ijmak  dan qiyas, pandangan ulama muktabar berkaitan dengan soal Natal
ini.  Hamka  jelas  menolak  perlunya  diadakan  Natal  dan  Hari Raya
Bersama,  Hamka  menyebut  tradisi Hari Raya bersama bukan menyuburkan
kerukunan  antau  tolak  angsur penganut satu agama dengan agama lain,
tetapi  akan  menyuburkan  kemunafikan.  Disinilah  jelas sikap Hamka,
begitu juga dalam soal penyebaran Kristian dan ajaran Jawa Kuno, Hamka
jelas  tidak setuju biarlah orang sudah beragama, jangan lagi diganggu
aqidahnya, orang-orang Islam yang dipanggil  abangan  sebaiknya diajak
kembali  kepada  Islam yang asal, tidak perlulah ajaran kebatinan yang
karut   marut  itu  dihidup  suburkan.Bagi  Hamka  pembangunan  moden,
bukanlah pembaratan dan bukan pula Kristianisasi.

Begitu pula sikapnya dengan ajaran sesat lain seperti Ahmadiyah, Hamka
dengan  jelas  menulis  Ahmadiyah adalah  agama  bukan aliran. Sebagai
agama  Hamka  melihat  Ahmadiyah  memiliki  aqidah  dan  syari at yang
berbeda  dengan  Islam. Aqidah Ahmadiyah berinti kepada keyakinan akan
kenabian  Mirza  Ghulam  Ahmad.  Sedangkan syari atnya bertumpu kepada
upaya  mengekalkan  kolonialisme Inggeris di India dengan menghapuskan
ajaran  Jihad.  Pada  masa  Hamka  hidup, jaringan Islam Liberal belum
begitu  nampak,  kecuali fikiran-fikiran aneh yang dilontarkan oleh Dr
Nurcholis   Majid.   Seandainya  Hamka  masih  dan  berhadapan  dengan
 seolah-olah hebatnya  Islam  liberal  ini,  sudah  pasti akan dilawan
dengan hujah yang jitu dari Hamka.

SEBAGAI AYAH DAN AKHLAK KEMANUSIAANNYA

Ayah  disini bukan dimaksud, hanya ayah untuk anak-anaknya, namun ayah
bagi  orang  banyak. Untuk anak-anaknya sendiri Hamka jelas memberikan
perhatian  yang  besar,  soal  pendidikan  dan  kehidupan mereka. Anak
sulung   Hamka,   Zaki   Malik   yang  dinilai  agak  lain  dari  pada
adik-adiknya,  hanya  sekedar  menjual  buku-buku  di tangga masjid Al
Azhar,  namun  dia ada kelebihan pandai menulis khat Arab dengan indah
dan  cantik.  Makanya  satu  kali  Hamka  pernah bertanya kepada Zaki,
 mahukah  Zaki  masuk  surga bersama Abuya dengan membuat pahala, kata
Zaki  mahu,  kalau  begitu  tolonglah  tuliskan  khat yang bagus untuk
Tafsir  Al  Azhar   ternyata  Zaki berhasil melakukannya dengan sangat
baik, begitulah cara Hamka dengan anaknya.

Juga   dengan   orang  lain,  beragam  orang  datang  dengan  berbagai
persoalannya, bertemu Hamka, mengadu masaalah, ada yang datang sekedar
berkeluh  kesah, meminta nasihat dan tazkirah masalah rumah tangga dan
kehidupan,  bahkan  meminta  wang  kerana  kesulitan ekonomi, semuanya
diterima  Hamka  dengan  ikhlas  dan  lapang  dada, mereka yang datang
dianggap  sebagai  anak,  bahkan ada persoalan yang terlalu rumit yang
diadukan,  tidak jarang orang yang mengadu itu tinggal di rumah Hamka,
sampai  persoalannya  selesai,  bahkan  orang-orang  bukan  Islam  pun
terutama  dari keturunan Cina, ramai yang berjumpa Hamka sekedar minta
nasihat  dan  pandangan, dan tidak jarang pula yang memeluk Islam, dan
kelebihan  Hamka  selalu merasa dekat dengan semua orang, tidak jarang
orang yang dekat dengannya apalagi yang muallaf dijadikan anak angkat,
diantaranya  Yusuf  Hamka.  Ini  sudah  dilakukan Hamka dari muda lagi
salah  seorang  sahabatnya dari muda adalah Haji Abdul Karim Oei Chong
Hien, yang kemudian juga menjadi aktivis Muhammadiyah dan Masyumi sama
dengan Hamka.

Apa  yang  menarik  dari  apa yang keluar dari ucapannya, setiap Hamka
ditanya  atau  menjawab  persoalan  orang  banyak  adalah,  ucapan dan
jawaban   yang  diberikan  disampaikan  dengan  bahasanya  nan  indah,
bijaksana dan memberikan ketenangan bagi yang mendengar, salah seorang
gadis  Muslim bertanya  Buya bolehkah saya tidak menutup aurat, kerana
saya  merasa  tiada masalah dengan pakaian ini  Hamka menjawab,  tiada
salahnya  ananda  berpakaian  seperti  itu, kerana ananda yakin dengan
cara  itu,  tetapi  alangkah  indahnya ananda menutup aurat kerana itu
adalah  kehendak Allah Swt ,(kerana menutup aurat wajib hukumnya dalam
Islam)  begitulah  cara  Hamka.  Dengan  itu  jelas  sikap Hamka dalam
menunjukkan  keagungan  ajaran Islam, ajaran Islam membolehkan bergaul
dengan semua orang Islam dan bukan Islam, tetapi harus jelas batas dan
hadnya, pada masa yang sama kita memperlihatkan keteladanan dan akhlak
yang agung, bahwa Islam itu rahmat (nikmat, penyelamat, khabar gembira
dan  dirasakan  keindahannya) oleh semua orang, apapun perjuangan kita
adalah  untuk  semua,  namun orbitnya adalah Islam, kerana nilai Islam
itu  adalah  seluruh  alam  semesta,  dunia dan akhirat, sesuai dengan
skrip  dan  senario  yang selari dengan nurani dan fitrah manusia yang
sudah ditentukan oleh pencipta alam Allah Swt.

Selalu  kita  mendengar peribahasa  Kerana Pulut Santan Binasa, Kerana
Mulut  Badan  Sengsara   namun  untuk  Hamka  pribahasa ini kita rubah
 Pulut  Sri Muka Luarnya Berwarna Merah, Tapai Ubi Murah, Ada di Pasar
Merata  Negara,  Dari  Mulut  Hamka  Keluar Mutiara Hikmah, Ramai Hati
Gelisah, Bertukar Bahagia 

Begitu pula dalam soal kebudayaan, yang bagi Hamka pengaruh kebudayaan
asing,  jauh  lebih  berbahaya dibanding persoalan lain. Makanya dalam
penulisannya   buku-bukunya   Hamka   begitu  jelas  akan  mengandungi
nilai-nilai  dakwah  dan ruh Islam, dalam menjalankan tugasnya sebagai
budayawan  dan  pujangga  ini,  sudah  pasti fitnah dan tribulasi akan
menimpa  dan  terjadi.  Begitulah  apabila  komunis begitu berkuasa di
Indonesia,  dengan  organisasinya  Lembaga  Kebudayaan  Rakyat (Lekra)
mempromosikan  kebudayaan  rakyat  yang  pro  kepada  atheisme,  salah
seorang  tokohnya  adalah  Pramoedya  Ananta  Toer, yang menuduh Hamka
dengan  karyanya   Tenggelamnya  Kapal  Van der Wijk  sebagai plagiat,
padahal  masa  itu Hamka adalah juga ahli Lembaga Kebudayaan Nasional.
Namun  kemudian  Hamka  dengan  sabar dan tidak pernah dendam, apabila
anak  Pram  ;  Astuti  dan calon suaminya yang akan masuk Islam, ingin
belajar Islam dari Hamka.

Hamka  menerima  mereka dengan begitu mesra, sebagaimana juga terhadap
tamu  yang lain, sambil bertanyakan khabar tentang ayahnya Pram, Hamka
kemudian  mengajarkan  mereka  dasar-dasar  Islam, kemudian menitipkan
salam  untuk  Pram,  Astuti  akhirnya  menangis  ,  ia tidak menyangka
menerima  pelayanan  yang  begitu  hebat  dari Hamka, seorang tua yang
pernah  dicaci  maki  oleh ayahnya. Bahkan anaknya Rusydi mengingatkan
 lupakah  ayah  siapa  Pramoedya  itu?  Tidak ,  betapapun dia mencaci
kita,  kita  tak  berhak  menghukumnya.  Allah  lah yang Maha Adil dan
diapun  telah  menjalankan  hukuman dari penguasa negara ini. Dan bagi
Hamka  tulisan Pram tidak perlu dilarang, tulisan mesti dilawan dengan
tulisan.  Dan  orangpun  bertanya  kepada Pram kenapa anaknya dihantar
belajar  agama  Islam  dengan  Hamka,   Pram  menjawab,  Hamka  adalah
orangnya yang alim dalam soal tauhid dan ilmu Islam yang lain 

Sebagaimana pengakuan anaknya Rusydi, mengibaratkan ayahnya Buya Hamka
tak ubahnya seperti  dokter perubatan di klinik  di mana pasien selalu
datang  beratur, figur ulama yang kini sudah jarang ada ditengah umat,
sebagai  ulama  Hamka  benar-benar  rapat  dengan  grassroot,  berakar
kebawah,  bersedia hidup dengan suka dukanya rakyat, dan menjadi tokoh
rujukan  untuk  bertanya-menjawab  pelbagai persoalan umat. dan rakyat
banyak  Terakhir bagaimana kebijakan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan
Kabinet  Suharto (1978-1983), melarang cuti sekolah di bulan Ramadhan,
dengan  alasan  bulan  puasa adalah bulan untuk melatih anak-murid dan
pelajar berfikir, disamping beribadah khusus. Padahal sebelumnya sudah
menjadi tradisi di Indonesia, selama bulan Ramadhan sekolah rendah dan
menengah  dicutikan,  bagi  membolehkan  anak-anak;  murid dan pelajar
memperkemas  puasanya,  disamping  banyak  masa  untuk  bertadarus dan
mengikuti  tamrin-training  menghayati nilai-nilai dan prinsip dakwah,
dasar-dasar Islam dan perjuangan menjalakan dakwah dan harakah.

Dalam  hal  ini bagi Hamka, tradisi ini sudah disepakati bersama sejak
begitu  lama,  jadi  tidak boleh seenaknya dirubah oleh menteri. Hamka
berjumpa  menteri  itu, namun Hamka dan rombongannya dari MUI bagaikan
dihina  dan  diperleceh  oleh  menteri,  akhirnya  sudah  jelas kerana
menyangkut  maruah,  harga  diri  dan  martabat umat  kemarahan  Hamka
kepada  menteri  ini  dinyatakan  dalam  khutbah  Jum at  dan  melalui
tulisannya  di Panji Masyarakat. Memang Hamka dan juga sahabatnya Mohd
Natsir   ,   pihak   pemerintah   Indonesia   terutama   pihak  istana
Presiden masih  belum  berminat  memberikan gelaran Pahlawan Nasional,
dan juga nama-nama jalan, padahal terlalu ramai nama tokoh entah siapa
dan  kurang  dikenali diberikan bintang dan dijadikan nama-nama jalan,
Hamka tentu tidak mengharapkan itu kerana beliau adalah pahlawan dunia
dan  akhirat,  bahkan  bagi  dunia  Melayu-rantau Islam Asia Tenggara,
bahkan  juga  dunia  Islam, Hamka bukan hanya sekedar pahlawan, tetapi
lebih                           dari                           sebagai
guru-tokoh-pemimpin-sejarawan-pujangga-mufasir/ulama-pendakwah-filosof
besar  dunia,  yang  sangat  patut  warisan  ilmu-pemikiran  dan jejak
langkahnya  yang  indah, perlu diwarisi-diteladani dan diteruskan oleh
generasi  kini  dan  masa  akan datang, dan sudah pasti nama besar ini
akan selalu diingat dan harum semerbak sepanjang sejarah.

AHMAD RASYID SUTAN MANSUR (1895-1985)

Tidak  lengkap  rasanya  bila  kita  membicarakan  Hamka, dengan tidak
menyebut  nama  guru dan abang iparnya Ahmad Rasyid (AR) Sutan Mansur.
Pribadi agung ini tak banyak dikenal orang, padahal beliau adalah guru
utama  bagi  Hamka,  selain ayahnya. AR Sutan Mansur juga suami kepada
Kakak  kandung  kepada  Hamka  ;  Fatimah  Abdul  Karim  Orangtua yang
meninggal  di  umur  90  tahun ini, dan amat jarang berkacamata sampai
akhirn  hayatnya,  dalam  kehidupannya  yang  dia tidak boleh berpisah
dengannya  adalah  Al  Qur an  dan  kitab  Fathur Rahman, pencari ayat
Qur an.  Apabila masuk Muhammadiyah di Pekalongan, Jawa Tengah , usaha
dagangnya ditinggalkan dia menjadikan dirinya hamba atau khadam kepada
kedua  kitab  itu, mulailah dia berdakwah menyampaikan kehebatan Islam
dan Al Qur an.

Bbeberapa  orang  priyayi Jawa mulai menjadi muridnya dengan mendengar
kuliah dan fatwanya dengan khusyuk dan bersemangat, sebutlah nama-nama
R  Ranuwihardjo  (ayah  kepada  Dahlan  Ranuwihardjo-pendiri  Himpunan
Mahasiswa  Islam  HMI),  R Usman Pudjotomo dan adiknya Moehammad Roem,
yang  kemudian  pernah  menjadi  menteri luar negeri dan menteri dalam
negeri, dikenal sebagai diplomat ulung dari Parti Masyumi.

Selain  itu  ikut  belajar  perantau  dan  pedagang  Minang,  yang ada
disekitar Pekalongan. Dalam diri Sutan Mansur; Qur an suci itu rupanya
telah  meresap  ke  dalam  segenap  urat  nadinya,  keseluruh pembuluh
darahnya,  murid-muridnya  keturunan  Arab  di  Pekalongan  membelikan
puluhan  buku buat ditelaah, tetapi tidaklah sehebat perhatiannya yang
begitu  besar  terhadap Al Qur an, kerana jiwanya sudah terikat dengan
wahyu Ilahi ini, dia diutus Muhammadiyah ke Sumatra Barat, ke Aceh dan
banyak  tempat  yang  lain,  insya  Allah  tempat yang dipijaknya akan
meninggalkan kesan Muhammadiyah akan subur dan berkembang sesudah itu,
makanya  orang menyebut; Muhammadiyah dilahirkan di Kauman Yogyakarta,
tetapi  dibesar  dan  disuburkan  oleh  Kauman  Padang  Panjang, salah
seorang penggerak utamanya adalah AR Sutan Mansur.

Dengan  AR  Sutan  Mansurlah  Hamka,  banyak belajar tentang kehebatan
ilmu-ilmu  Islam,  selain ikut kawan-kawannya seperti Marzuki Yatim, M
Zain  Djambek,  anak  ulama  besar  sahabat ayah Hamka, Syekh Muhammad
Djamil  Djambek, bahkan ulama-ulama yang masyhur dengan tafsirnya kala
beliau  datang  ke Medan, iaitu Ustaz Abdul Halim Hasan, Zainal Arifin
Abbas  dan  A  Rahim  Haitami (ayahnya Dr Ir M  Imaduddin  Abdulrahim)
akan  pergi  mendengar  syarahan  dan  pengajian  tafsir dari AR Sutan
Mansur,  setelah itu ulama-ulama besar itu mengaku sebagai pengikut AR
Sutan Mansur. Jika dia membaca Qur an , dengan lagunya yang khas, lagu
yang  datang  dari  hati nuraninya yang dalam, yang tidak boleh ditiru
orang  lain,  bila  kita  mendengar  lagu  Qur annya  jiwa  kita sudah
disentuhnya,  jiwa  yang melagukan Al Qur an. Murid-murid Sutan Mansur
dituduh   fanatik  dan  terlalu  disiplin   dalam  Muahmmadiyah, bukan
fanatik,  namun  jiwa  Qur an  yang  ada pada Sutan Mansur itulah yang
mengikat mereka.

Tidak  hairanlah, apabila terjadi perbalahan dalaman Muhammadiyah atau
konflik  dalam  Masyumi,  Sutan  Mansur  datang semuanya akan selesai.
Sebab   pendekatan   Sutan   Mansur   dengan  Aqidah  yang  mukhlisin,
menceritakan  kehebatan  ciptaan  Ilahi  dan  kebesaran syariahNya dan
pribadinya  menampakkan  Akhlak  yang  patut diteladani, makanya dalam
dakwahnya  AR  Sutan  Mansur  tidak  pernah  menyentuh  soal furuk dan
khilafiyah,  baginya  adalah persatuan umat dan mengangkat umat kepada
martabat  iman  yang  mulia  dengan memahami ilmu Islam yang luas itu.
Sukarno  banyak  belajar  darinya,  dan pernah berdebat dengan Sukarno
selama  7 malam. Dia awal Indonesia merdeka Sukarno bila bicara Islam,
akan  banyak  dipengaruhi  oleh  pemikiran  Sutan  Mansur,  namun pada
akhirnya  setelah perdebatan itu kemudian Sukarno berkata  Benar Kanda
tentang  hebatnya  Islam,  namun  dalam  jiwa  saya sudah ada campuran
nasionalis, agama dan komunis  AR Sutan Mansur menjawab,  kalau begitu
Bung akan jatuh dalam keadaan hina  sejarah kemudian terbukti, Sukarno
jatuh disaat dia dibenci oleh rakyat banyak, terutama mereka yang anti
dengan komunis.

Pada  satu  kali  AR  Sutan Mansur, sebelum dipilih menjadi ketua umum
Pusat   Muhammadiyah  (1953-1959)  ingin  membangun  Desa  Percontohan
Masyarakat  Islam,  di  Saningbakar  Solok,  Sumatra Barat, tinggal di
kampung  ini selama 6 bulan. Waktu itulah setiap habis kuliah subuh di
masjid  atau  surau; pengajian tafsirnya tidak panjang, namun apa yang
disentuhnya  dari  huraian  Qur an  itu  akan  terus diamalkan, secara
bergotong  royong  ;  membangun  dan  memperbaiki  saliran  air  untuk
sawah-sawah,  membuat  jembatan,  membantu  penghidupan jangka panjang
orang miskin, janda dan anak yatim, dan menggerakkan nelayan menangkap
ikan  di  Danau (Tasik) Singkarak, sambil tidak lupa mengadakan shalat
berjamaah  dan  tazkirah,  di surau pinggiran danau itu. Datuk saudara
pembentang sampai menyebut jika tidak berdosa, saya lihat Sutan Mansur
ini tarafnya sudah dibawah Nabi .


Makanya  dalam  kehidupan  Sutan  Mansur, tidak mahu apa itu yang nama
jawatan  dan  pangkat,  pernah  dia  diminta  Sukarno  jadi  penasihat
presiden,  dia  terima  dengan syarat tiada surat pelantikan dan tidak
mahu  digaji, Sukarno tentu tidak mahu dia mahunya semua serba formal.
Akhirnya  tawaran  naib  presiden  Dr  M  Hatta,  diterimanya  sebagai
penasihat  agama  tentera dengan pangkat yang tidak disukainya Jeneral
Mayor  Tituler,  kerana Hatta tidak membuat surat pelantikan dan hanya
memberikan  honorarium  sekedarnya. Namun pemikiran Sutan Mansur dalam
soal  dunia,  politik  dan  pemerintahan  begitu  jelas;  Qur an harus
memimpin  dunia, kerana Qur an itu adalah untuk alam semesta, pemimpin
Islam  harus memimpin negara dan memerintah mengikut kehendak Al Quran
dan  Sunnah  Nabi,  kalau  ragu  dan  khawatir dengan ujian kekuasaan,
pemimpin  gerakan  Islam  harus mampu menguasai orang yang memerintah,
dengan  menjadikan  mereka  sebagai tempat rujukan pihak berkuasa. Dan
setiap  umat  difitnah  dari mula merdeka, tahun 1958-1965, jiwa Sutan
Mansur   selalu   resah  dan  gelisah,  bagaimana  katanya  umat  yang
memerdekakan  dan yang punya negara ini, tetapi tetap sahaja dipencil,
difitnah, dizalimi dan dihina.

Begitu  jugalah  sikap  dan  suara Sutan Mansur, dalam setiap ceramah,
apabila  fitnah  terus melanda umat di Indonesia, tahun 1974, 1978 dan
1983,  apabila  rejim  Suharto  tidak  membenarkan Islam sebagai dasar
parti politik dan pertubuhan-pertubuhan Islam, hanya wajib berdasarkan
asas tunggal Pancasila. Sutan Mansur berkata dimana-mana  awas apabila
Islam  dibuang,  Allah  Swt  dijauhi,  azab dan malapetaka akan datang
menimpa,  kesengsaraan  dan kenistaan akan datang melanda, sampai kita
bertobat  dan  kembali  kepada  Islam  Sepanjang hidupnya Sutan Mansur
adalah  tempat  bertanya,  belajar  dan mengaji banyak pemimpin Islam,
disamping  yang  disebut  namanya  diatas, yang ikut belajar dengannya
adalah  Mohd  Natsir,  Prof  Dr  Mr Kasman Singodimedjo dan ramai lagi
tokoh  Masyumi,  pemimpin  Muhammadiyah  dan pemimpin pertubuhan Islam
lain, mesti ada yang belajar dengan Sutan Mansur.

Namun  bagi  banyak orang kelemahan Sutan Mansur, adalah sifatnya yang
terlalu  pemurah,  padahal  itu kehebatan, kelebihan dan kebesarannya.
Bila  dia sudah mengumpulkan bahan-bahan untuk membuat rumah di Padang
Panjang,  namun  datang  orang  ingin membuat rumah kerana keluarganya
sangat   memerlukan   tempat  tinggal  untuk  berteduh,  Sutan  Mansur
memberikan semua bahan itu kepada orang berkenaan. Malahan ada wang di
poket  dan  ingin  pulang untuk memberi belanja dapur untuk isteri dan
anak-anaknya,  belum  sampai  di  rumah  sudah  ada bertemu orang yang
sangat  memerlukan  bantuan,  Sutan Mansur menyerahkan wang itu semua,
tidak ingat keluarganya juga sangat memerlukan. Penulis sendiri pernah
menyaksikan  bagaimana  muridnya  yang  sudah  lama  tidak bertemu dan
perlukan  bantuan  Sutan  Mansur,  isterinya  diminta mencarikan jalan
bagaimana  untuk  membantu orang ini, diberikanlah apa yang ada, namun
beberapa  hari kemudian datang pula muridnya yang lain yang juga sudah
lama,   tidak   bertemu   memberikan   wang   yang  banyak,  begitulah
keikhlasannya,  dan  wang  itu  sudah tentu akan berpindah tangan lagi
kepihak  lain  yang  amat  memerlukan. Begitulah pribadi, syahsiah dan
akhlaq  Sutan Mansur, tidak mengenal erti kemewahan, wang yang banyak,
yang   selalu  disebutnya  adalah  bagaimana  kasihnya  Nabi  Muhammad
Rasulullah SAW kepada orang lemah-miskin dan tidak berpunya, Nabi akan
berikhtiar untuk membantu, bahkan baju satu-satunya penutup aurat Nabi
juga  akan  diberikan  kepada  yang  meminta,  namun tidak jadi kerana
datang teguran dari langit.

TERAKHIR PUISI HAMKA UNTUK NATSIR

Di  ruang  sidang  konstituante  13  Nopember  1957, setelah mendengar
pidato  Mohd Natsir di Majlis Konstituante, Hamka menulis puisi dengan
judul  Kepada Saudaraku M.Natsir 

Meskipun bersilang keris di leher
Berkilat pedang dihadapan matamu
Namun yang benar kau sebut juga benar
Cita Muhammad biarlah lahir

Bongkar apinya sampai bertemu
Hidangkan di atas persada nusa
Jibril berdiri sebelah kananmu
Mikail berdiri sebelah kiri

Lindungan Ilahi memberimu tenaga
Suka dan duka kita hadapi
Suaramu wahai Natsir, suara kaum-mu
Kemana lagi, Natsir kemana kita lagi

Ini berjuta kawan sefaham
Hidup dan mati bersama-sama
Untuk menuntut Ridha Ilahi
Dan aku pun masukkan

Dalam daftarmu (senaraimu)  !


Begitulah  Hamka, cintanya kepada Islam dan juga cinta kasihnya kepada
sahabat  dan  pemimpinnya Mohd Natsir. Kesimpulannya warisan pemikiran
dan  jejek  langkah yang telah diwariskan dan diteladankan oleh Hamka,
Sutan  Mansur  dan  Mohd Natsir, patut diwarisi generasi kini dan akan
datang,  membangun  generasi rabbani dan Qurani, dan sudah tentu dasar
dan  asas  pembangunan  yang  diletakkan oleh Islam, mesti berfaksikan
Tauhid, menghidupkan gerak syariah yang terlalu luas itu dan tercermin
dengan keagungan Akhlaq masyarakatnya, barulah tamadun baru yang indah
dan      terunggul      dapat     dibangunkan     semula,     mottonya
Iman-Ilmu-Syariah-Amal  Saleh-Akhlaq  dan Keikhlasan hanya untuk Allah
Swt semata. Amin .

RUJUKAN

Hamka, 2007. Ayahku, Shah Alam Selangor : Pustaka Dini
Hamka, Rusydi, 2008. Hamka Pujangga Islam, Shah Alam : Pustaka Dini
Hamka, 1995.Tasauf Moderen,Jakarta : Pustaka Panjimas
Hamka, 1994.Falsafah Hidup, Jakarta : Pustaka Panjimas
Deliar Noer, 1987. Partai Islam di Pentas Nasional, Jakarta : Grafiti Pers
Bajasut, Saleh Umar, 1972.Alam fikiran dan djedjak perdjuangan Prawoto
Mangkusasmito,Surabaja : Documenta
Islam, Majalah Februari 2008. Sabili, Jakarta : PT Bina Media Sabili
Islam, Majalah No.4 tahun ke 1 2008. Dakwah, Jakarta : Dewan Dakwah Islamiyah
Indonesia
Berita Mingguan, Majalah 03-09 April 2008, Gatra, Jakarta : PT Era Media 
Informasi
Harian, Suratkabar, 28 April 2008, Jawa Pos, Surabaya : PT Jawa Pos.
Perbincangan ringkas dan silaturrahmi dengan anak ke 6/putri ke 2 Hamka, Dr 
Aliyah
Hamka di Jakarta, 6 Mac 2008.



DATA RINGKAS PEMBENTANG

Muhammad  Aktifanus  Jawahir,  lahir  1  November 1958 di Saningbakar,
Solok,  Sumatra  Barat,  anak pertama dari almarhum Imam Jawahir Datuk
Bandaro  Aceh,  murid  Hamka  di  Kulliyatul  Muballighin Muhammadiyah
Padang Panjang, 1946-1948.

Belajar   di   Sekolah   Rendah(   1966-1971),   Madrasah   Tsanawiyah
Muhammadiyah  dan  Kulliyatul  Muballighin Muhammadiyah Padang Panjang
(1972-1977).  Terakhir belajar di Fakulti Ilmu Sosial dan Ilmu Politik
Universiti  Muhammadiyah  Jakarta  1978-1981, pernah kuliah di Fakulti
Adab   IAIN   Syarif  Hidayatullah  Jakarta.  Aktivis  Ikatan  Pelajar
Muhammadiyah, Pemuda Muhammadiyah dan Ikatan Mahasiswa Muhammadiyah.

Mula menulis tahun 1976, kemudian di Jakarta pernah menulis di Pelita,
Harian   Merdeka,   Panji   Masyarakat   dan  wartawan  majalah  Suara
Muhammadiyah   Yogyakarta  di  Jakarta  1979-1986,  terakhir  wartawan
majalah  Islam  Panji  Masyarakat  Jakarta di Kuala Lumpur, 1986-1995,
kini  penulis  freelance  dan  penerbit.  Menikah dengan bekas aktivis
Helwa ABIM dan mempunyai 4 orang anak laki-laki.



source
 
http://temanteras.wordpress.com/2008/05/19/keistiqamahan-keteladanan-dan-keluhuran-dr-hamka/




--~--~---------~--~----~------------~-------~--~----~
.
Posting yg berasal dari Palanta RantauNet ini, jika dipublikasikan ditempat 
lain harap mencantumkan sumbernya: ~dari Palanta r...@ntaunet 
http://groups.google.com/group/RantauNet/~
===========================================================
UNTUK DIPERHATIKAN, melanggar akan dimoderasi/dibanned:
- Anggota WAJIB mematuhi peraturan serta mengirim biodata! Lihat di: 
http://groups.google.com/group/RantauNet/web/peraturan-rantaunet
- Tulis Nama, Umur & Lokasi pada setiap posting
- Hapus footer & seluruh bagian tdk perlu dalam melakukan reply
- Untuk topik/subjek baru buat email baru, tidak dengan mereply email lama 
- DILARANG: 1. Email attachment, tawarkan disini & kirim melalui jalur pribadi;
2. Posting email besar dari 200KB; 3. One Liner
===========================================================
Berhenti, kirim email kosong ke: [email protected] 
Untuk melakukan konfigurasi keanggotaan di: 
http://groups.google.com/group/RantauNet/subscribe
-~----------~----~----~----~------~----~------~--~---

Kirim email ke