Kisah Dr Harun Din Islamkan Mubaligh Angkuh...

by MTD KOTA LAMA on Sunday, May 29, 2011 at 12:42pm

.

Kisah Dr Harun Din Islamkan Mubaligh Angkuh Lelaki India berbadan tegap itu 
menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. 
Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya 
bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu 
makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan 
sehinggalah habis waktu pejabat.



 

Lelaki itu menghidupkan TV dan kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana 
Ehwal Islamsedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama 
terkenal, Dato' Dr. Haron Din.

 

Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah 
asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga 
tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, 
dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, 
secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan 
lebih baik.

 

Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak 
apabila mendengar Haron Din mengatakan: "Bandingan segala kebaikan amal dan 
usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang 
diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh 
sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu 
menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh 
daripada kebenaran."

 

Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah 
menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan 
hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang 
dilakukan oleh orang bukan Islam?

 

Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh 
orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah 
dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak 
diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika 
begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.

 

Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India 
itu tekad untuk berjumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama 
tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang 
tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di 
negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.

 

Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak 
peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan 
bagaimana untuk bertemu dengannya. Setelah beberapa bulan memendam niat untuk 
bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang 
dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu 
dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. 
Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis 
malam Jumaat, seminggu sekali.

 

Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di 
hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan

Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, 
Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya 
menjadi panas.

 

Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan 
Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul 
tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih 
terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.

 

Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan 
marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula 
surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.

 

Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas 
itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, 
kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta 
kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia 
rasa amat terpegun.

 

Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam 
dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki 
berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih 
menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan 
untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu 
berdebat dengannya.

 

Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. 
Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya 
terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.

 

Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada 
dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din 
ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum 
Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.

 

Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk 
mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan 
terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam 
dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.

 

Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron 
Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin lama 
mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. 
Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan 
mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi 
sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya 
pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.

 

Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. 
Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah 
berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.

 

Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, 
lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang 
Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? 
Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, 
menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?

 

Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya 
amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam 
tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam 
tidak berapa lama dulu.

 

Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; " Untuk memudahkan 
saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba 
dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala 
kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.

 

"Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana 
yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba 
di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, 
adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, 
sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?

 

"Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan 
kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana 
manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi 
balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan 
bukan untuk Dia?"

 

Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas 
pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah 
dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh 
Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung 
perasaannya sebagai orang bukan Islam.

 

 

Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron 
Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati 
lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi 
lelaki India tersebut memeluk Islam.

 

Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk 
Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan 
seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak 
puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.

 

Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu saya 
tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir 
tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum 
balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja 
saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir."

 

Mohammad Fitri Abdullah  

 

"Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun 
pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan 
kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang 
membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam," jelas Mohammad Fitri 
Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.

 

Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri 
Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah 
biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.

 

"Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dengan 
Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, 
apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam 
saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau," 
jelasnya.

 

Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap 
agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak 
aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain 
itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun 
kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan 
ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.

 

"Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan 
yang satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa 
yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar 
di dalam kitab.

 

"Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam 
Tuhan, selain dari Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan Banting, 
Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan 
agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia 
belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang 
dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata 
bercanggah sama sekali.

 

"Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, 
saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah 
beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya 
mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan 
yang Allah berikan pada Haron Din," kata Fitri lagi.

 

Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman 
yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke 
hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.

 

Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini 
Fitri masih tetap begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas 
landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada 
saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar 
dari Islam. Murtad.

 

"Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman 
mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya 
lalui sebelum ini.

 

"Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah 
anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, 
sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah 
ini," ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.

 

Ustaz Harun Din adalah ulama yang amat disegani dan saya sungguh sedih melihat 
ulama seperti beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat kita. Sungguh 
sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen sedangkan ilmu yang 
beliau miliki amat penting untuk kita sama-sama kongsi, pelajari dan amalkan. 
Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik minat penonton Islam termasuk bukan 
Islam kerana kita kehilanagan ulama-ulama seperti Ishak Baharom, Badrul Amin, 
Harun Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di gam? Disekat terus menerus? 
Mengapa? 
Sent from my BlackBerry®
powered by Sinyal Kuat INDOSAT

-- 
.
* Posting yg berasal dari Palanta RantauNet, dipublikasikan di tempat lain 
wajib mencantumkan sumber: ~dari Palanta R@ntauNet 
http://groups.google.com/group/RantauNet/~
* Isi email, menjadi tanggung jawab pengirim email.
===========================================================
UNTUK DIPERHATIKAN, melanggar akan dimoderasi:
- DILARANG:
  1. E-mail besar dari 200KB;
  2. E-mail attachment, tawarkan di sini & kirim melalui jalur pribadi; 
  3. One Liner.
- Anggota WAJIB mematuhi peraturan serta mengirim biodata! Lihat di: 
http://forum.rantaunet.org/showthread.php?tid=1
- Tulis Nama, Umur & Lokasi disetiap posting
- Hapus footer & seluruh bagian tdk perlu dlm melakukan reply
- Untuk topik/subjek baru buat email baru, tdk mereply email lama & mengganti 
subjeknya.
===========================================================
Berhenti, bergabung kembali, mengubah konfigurasi/setting keanggotaan di: 
http://groups.google.com/group/RantauNet/

Kirim email ke