Pembaca dijemput memberi komen artikel ini di http://www.detikdaily.net/m3



     Rafidah Aziz idola Pengarah BPR Perak, apa yang peliknya?
 Posted on Monday, February 12 @ 00:41:45 CST by reformis
  
Saya terkejut  membaca wawancara Samsiah kerana saya rasa Pengarah BPR Perak 
itu sendiri telah meletakkan dirinya dalam kurungan. Apa tidaknya? Bagaimana 
mungkin seorang pegawai tinggi badan siasatan terhadap penyakit yang begitu 
kronik dalam negara kita - rasuah - boleh meletakkan seorang menteri kanan yang 
terpalit teruk dengan dakwaan salahguna kuasa sebagai idolanya? 



 Oleh Ahmad Lutfi Othman

Samsiah Abu Bakar, 48, Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perak yang dilantik 
2 Februari lalu, terkenal kerana kritikan kerasnya terhadap ketua-ketua jabatan 
di negeri itu yang tidak mengambil tindakan tatatertib ke atas kakitangan awam 
yang menerima rasuah.


Kata Samsiah, sekurang-kurangnya 21 kes yang disyorkan oleh BPR supaya 
dikenakan tindakan,  tidak diambil endah sejak 2001 lagi. Beliau juga mencipta 
sejarah apabila dipilih sebagai Pengarah BPR Perak ke-14, pertama kali daripada 
kalangan wanita. Sebelum itu, Samsiah turut menjadi wanita pertama memegang 
jawatan Pengarah Latihan BPR Malaysia.


Bagaimanapun saya lebih tertarik dengan wawancara Mingguan Malaysia, 11 
Februari, dengannya.  Latar belakang ibu tunggal ini daripada keluarga miskin. 
"... Jadi apabila musim hujan ayah saya tidak boleh menoreh getah. Kami 
sekeluarga hanya mampu makan nasi dicampur jagung," ceritanya. 


"Arwah emak saya tanam jagung tepi sungai. Dia ambil jagung itu lalu hiris 
nipis-nipis isinya untuk dicampur dengan beras agar nasi dimasak menjadi 
banyak."


"Bila tak ada jagung, mak ambil pisang abu atau pisang emas potong kecil-kecil 
untuk dicampur dengan nasi. Tetapi kami adik beradik tidak pernah pernah 
mengeluh makan," ujarnya lagi.




Walaupun amalan rasuah membahayakan negara dan semua pihak, Samsiah mengakui ia 
sukar dibanteras kerana rasuah sebenarnya satu perbuatan yang menguntungkan 
orang yang beri dan turut menguntungkan orang yang menerima.


"Saya menyeru orang ramai jangan sekali-kali terlibat dengan rasuah dan 
bekerjasamalah dengan BPR membanterasnya. Kita jadikan Malaysia sebuah negara 
yang 'Corrupt Free Society',"  tegasnya ketika menjawab soalan ke-22 daripada 
wartawan Aggelina Sinyang.


Soalan seterusnya, yakni soalan terakhir, membuatkan saya tergerak untuk 
memberikan respons ringkas terhadap jawapan Samsiah.

Minggguan Malaysia: Di dunia ini termasuk Malaysia ada banyak wanita berjaya, 
siapakah kalangan mereka yang menjadi inspirasi tuan? 

Samsiah: Saya orang Kuala Kangsar, jadi semestinya  idola saya Datuk Seri 
Rafidah Aziz. Saya memang dari dulu lagi memintai beliau sebab saya, Rahmah Mat 
Akit merupakan bekas Ketua Wanita Umno Ulu Kenas yang memang mengundi Rafidah. 
Saya bila tengok Rafidah berkempen dan bercakap saya selalu kata 'aku nak jadi 
macam dia'. Saya tengok beliau berani kerana menyuarakan perkara benar dan 
tidak nampak kredibilitinya boleh dipersoalkan. Beliau adalah contoh terbaik 
bagi wanita. 


Nah! Saya pasti sebahagian pembaca sudah dapat menelah apa yang mahu saya 
sampaikan selepas ini. 


Ia tidak ada kena mengena dengan latar belakang keluarga Samsiah daripada segi 
politik. Soal sama ada arwah bapanya bekas ketua Umno Kampung Ulu Kenas, atau 
dia "selalu ikut ayah nak basikal pergi berkempen pilihan raya" juga adalah 
cerita biasa. 


Bagaimanapun, apabila Samsiah meletakkan idolanya adalah Rafidah Aziz dan 
menyimppulkan bahawa Ketua Wanita Umno itu "tidak nampak kredibilitinya boleh 
dipersoalkan," dan Rafidah dianggap "contoh terbaik bagi wanita", maka saya 
agak terkedu dan berkerut dahi memikirkannya.
 
Dalam ramai-ramai orang, boleh orang seperti Rafidah menjadi idolanya?


Sengaja saya menukilkan semula cerita Samsiah tentang kehidupannya yang susah 
di waktu kecil bagi mengingatkannya bahawa sampai hari ini cerita ranjau perit 
hidup rakyat bawahan bukan dongeng, malah ada yang makin terjerut dengan 
kenaikan harga barangan asas dan kos hidup pula kian tinggi.


Jurang pendapatan antara kaya dan miskin semakin melebar. Yang susah papa 
kedana, yang senang giat bina istana. Setinggan diusir mudah, tanah-tanah 
bernilai tinggi berlegar di kalangan elit pemerintah. Dan antara faktor yang 
mendorong hal ini berlaku adalah soal korupsi, salahguna kuasa dan penyakit 
sosial seumpamanya. 


Namun, sungguh menyedihkan apabila seseorang pemimpin atau penjawat awam yang 
lahir daripada keluarga susah, sebahagiannya lebih miskin berbanding famili 
Samsiah, tetapi apabila diberikan kuasa, mereka langsung tidak terfikir atau 
cuba berusaha untuk membantu golongan tertindas itu.


Tapi jangan silap faham. Saya tidak menuduh Samsiah seperti itu, cuma mahu 
mengingatkan bahawa ramai pemimpin politik pemerintah dan juga pembuat polisi 
yang berpengalaman merasai sendiri keperitan hidup di masa lampau, apabila 
diberikan amanah, mereka pula yang merancang

 
dan melaksanakan dasar yang lebih menguntungkan golongan kaya, serta menindas 
golongan tidak bernasib baik.


Usahlah bertanya saya siapa orangnya, masing-masing boleh meneliti sendiri.

Mengenai BPR, saya turut prihatin dengan kekangan pegawai-pegawai kanan badan 
yang sepatutnya bebas dan berwibawa itu. Pengalaman saya turun naik ibu pejabat 
BPR di Putrajaya dan BPR Selangor di Shah Alam, empat tahun lalu, khususnya 
ketika bersembang panjang dengan beberapa pegawai yang tidak lokek berkongsi 
cerita, sudah cukup untuk menggambarkan bahawa ada tangan-tangan ghaib 
mengongkong mereka.


Faham benar saya dengan lingkungan yang menekan itu.

Apa pun, saya terkejut apabila membaca wawancara Samsiah kerana saya merasakan 
Pengarah BPR Perak itu sendiri telah meletakkan dirinya dalam kurungan.


Apa tidaknya? Bagaimana mungkin seorang pegawai tinggi badan siasatan terhadap 
penyakit yang begitu kronik dalam negara kita - rasuah - boleh meletakkan 
seorang menteri kanan yang terpalit teruk dengan dakwaan salahguna kuasa 
sebagai idolanya? 


Dan yang membangkitkan soal rasuah Rafidah ini bukannya setakat pembangkang 
tetapi juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Benar, Rafidah tidak 
diheret ke mahkamah tetapi dokumen rahsia, bertarikh 14 Mac 1995, yang 
menyebabkan Ezam Mohd Nor dipenjarakan, jelas menunjukkan Jabatan Peguam Negara 
sudahpun menyiapkan lima pertuduhan rasuah terhadap Menteri Perdagangan 
Antarabangsa dan Industri.


Ia ada kaitan dengan peruntukan saham khas Bumiputera dua syarikat tersenarai 
Leader Universal Holdings Bhd (1,500,000 unit saham) dan First Allied 
Corporation Bhd (8,000,000 unit saham) kepada menantu Rafidah, Fazrin Azwar Md 
Nor. Nilainya tentulah tinggi kan? Kisah terperinci kes rasuah Rafidah ini 
boleh kita butirkan di tenpat lain kerana mungkin ramai pembaca sudah maklum 
mengenainya.


Malah, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, apabila bercakap soal 
penyalahgunaan kuasa melambakkan permit import (AP) kereta kepada dua tiga 
kerat individu yang rapat dengan Miti, sebenarnya meletakkan sasaran kritikan 
tajamnya kepada Rafidah.
 
Secara tegas Dr Mahathir menegaskan, jika beliau masih menjadi Perdana Menteri, 
maka yang pasti dipecat sebagai menteri ialah Rafidah memandangkan kes 
salahguna kuasanya cukup menjolok mata.


Tup tup, Pengarah BPR Perak, meletakkan Rafidah sebagai idolanya, apa cerita ni 
cik puan .... 


Secara peribadi, di peringkat awal, melihatkan kenyataan beraninya mengkritik 
sikap ketua-ketua jabatan Perak yang tidak mengambil tindakan atas syor BPR 
kepada kakitangan awam di negeri itu yang terbabit rasuah, saya beranggapan ia 
bagai 'cahaya di hujung terowong' tapi bila membaca perenggan terakhir 
wawancara Mingguan Malaysia dengan Samsiah semalam, saya kembali ke alam 
realiti.

Perang rasuah rupanya belum  pun bermula.


                
---------------------------------
 All New Yahoo! Mail – Tired of unwanted email come-ons? Let our SpamGuard 
protect you.

Kirim email ke