Bicara Kes Altantuya Ditangguh 18 Jun, Jaminan Razak Baginda Ditolak
SHAH ALAM, 4 Jun (Bernama) -- Perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia 
Altantuya Shaariibuu yang bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini 
ditangguh kepada 18 Jun dan dijangka berlarutan sehingga Ogos memandangkan 
jumlah saksi pendakwaan yang ramai akan memberi keterangan.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin menetapkan tarikh itu selepas mendengar 
permohonan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengambil 
alih pendakwaan kes berkenaan.

Beliau berkata perbicaraan akan diteruskan juga sekiranya semua saksi 
pendakwaan belum selesai memberi keterangan pada bulan Ogos.

Sebelum ini, perbicaraan itu ditetapkan selama empat minggu berturut-turut 
mulai hari ini.

Hakim Mohd Zaki turut menolak permohonan peguam bela Wong Kian Kheong supaya 
penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, yang dituduh 
bersubahabat dengan dua anggota polis membunuh Altantuya, 28, dibenarkan ikat 
jamin.

Apabila perbicaraan bermula pagi ini, Tun Abdul Majid memberitahu mahkamah 
bahawa beliau baru dilantik semalam oleh Pejabat Peguam Negara dan memerlukan 
masa untuk meneliti kenyataan lebih 100 orang saksi.

Beliau yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, menggantikan pendakwa 
sebelum ini, Ketua Unit Kes Terkelas dari Jabatan Peguam Negara Sallehuddin 
Saidin dan Timbalan Pendakwa Raya Noreen Badaruddin.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit 
Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan 
lot 16735, Mukim Bukit Raja, dekat Shah Alam, antara pukul 10 malam 19 Okt dan 
1 pagi 20 Okt tahun lepas.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh dikenakan hukuman mati mengikut 
Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam penuh sesak dengan orang ramai terdiri daripada 
keluarga tertuduh, wakil media tempatan dan asing, serta pemerhati yang mahu 
mengikuti perbicaraan kes berprofil tinggi itu.


       
____________________________________________________________________________________Ready
 for the edge of your seat? 
Check out tonight's top picks on Yahoo! TV. 
http://tv.yahoo.com/

Kirim email ke