Bagaimana? Bagaimana mencintai orang yang tidak dicintai?

Soalan itu ditujukan kepada ku berkali-kali. Aku cuba tersenyum sambil
memalingkan wajah ke luar. Ladang gandum dan bunga-bunga kuning telah
bertukar menjadi tanah emas disimbah cahaya mentari petang yang
gemilang. Aku pasti. Perjalanan jauh dari Paris ke selatan Perancis ini
akan menjadi perjalanan yang sarat dengan beban dan soalan yang tidak
berjawab. Dan aku masih punya lima jam untuk memikirkan sama ada mahu
menjawab atau tidak soalan itu!



Namun gadis di sebelah ku itu hanya tersenyum. Wajahnya manis. Dan mata
birunya menambah cantik pada rambut coklat kehitaman yang ikal. Rambut
separas bahu. Dengan sinar mata yang menusuk kalbu.



Kata gadis itu, dia terpaksa melakukan pengembaraan ini untuk mengenali
dirinya. Untuk mencari di mana letak kebahagiaan itu. Adakah mengalah
pada keadaan atau meneruskan pencarian ini?



Sudah lebih dari lapan tahun sejak daripada kejadian itu tetapi aku
masih lagi mengingatinya. Dan soalan yang dilemparkannya itu: Bagaimana
mencintai orang yang tidak dicintai?



Persoalan inilah yang ku gunakan untuk menjustifikasikan tema
Garis-Garis Deja Vu (GGD, terbitan Jemari Seni akan terbit 15 MAC 2008).
Perjalanan untuk mencari jawapan kepada soalan yang lazim kepada
manusia. Tentang setiap langkah dan perancangan yang kita ambil di masa
hadapan. Adakah ia akan membawa bahagia atau mengundang derita?



GGD membawa pembaca merentasi dua benua dan tiga negara di dalam
pengembaraan penuh misteri dan aneh untuk mencari erti kebahagiaan itu.
Dan definisi cinta di dalam GGD adalah lebih bersifat spiritual dan
magis. Bukan sahaja cinta di antara lelaki dan wanita. Tetapi juga cinta
di antara keluarga, anak kepada ayah dan ibunya, suami isteri, sahabat
dan yang lebih penting lagi, cinta di antara hamba dan Penciptanya.



Perjalanan mencari Tuhan Yang Satu.



Aku harap GGD akan membawa pengajaran yang berguna kepada sesiapa yang
membacanya. Bukan sekadar pembacaan kosong tetapi dapat mengingatkan aku
dan pembaca GGD bahawa pada suatu hari nanti, kita akan kembali kepada
Dia di sana. Yang memegang kekuasaan tujuh petala langit dan tujuh
petala bumi.



Dan kepada yang mencari cinta, pasti ada bahagia yang menunggu di akhir
rindu... J



Oh, ya... aku terlupa, apakah jawapan yang ku berikan kepada soalan
perempuan yang keseorangan di dalam kereta api itu? Bagaimana mencintai
orang yang tidak dicintai?



Kalian akan menemuinya di dalam Garis-Garis Deja Vu nanti...



John Norafizan

http://www.johnnorafizan.com <http://www.johnnorafizan.com/>



John Norafizan adalah penulis novel:

Sempadan Tanpa Seri (Creative Enterprise, 2003)

Tunjukkan Aku Satu Bintang (Creative Enterprise, 2005)

Cinderella Cinta (Creative Enterprise, 2007)

Garis-Garis Deja Vu (Akan terbit 15 MAC 2008, terbitan Jemari Seni)

http://www.johnnorafizan.com <http://www.johnnorafizan.com/>





Kirim email ke