Ulasan Garis-Garis Deja Vu dari blog di internet si kunang-kunang <http://si-kunang-kunang.blogspot.com/2008/04/garis-garis-dejavu.html> . Sungguh! Ia buat aku mahu menulis yang lebih baik selepas ini! [:)]
aku mula membaca karya John Norafizan dengan novel keduanya `Tunjukkan Aku Satu Bintang' dan sesuatu yang berjaya memancing ku untuk menghabiskan novel itu adalah kekuatannya dalam mendalami watak-watak di dalam bukunya dan berjaya menggambarkan peristiwa yang berlaku dengan jelas. Dan aku juga seolah-olah terkejut dengan kehadiran watak antagonis yang paling terkesan pernah aku temui sepanjang aku membaca novel-novel berbahasa Melayu. Yang aku maksudkan adalah Father Thomas Rodriguez, yang jelas membuat kita rasa gelisah dengan segala tindak-tanduknya yang melampaui batas kemanusiaan. Dan kemudiannya aku semakin teruja untuk mencari novel pertama John, Sempadan Tanpa Seri yang jelas terlalu sukar untuk mendapatkannya. Tanpa aku jangkakan, sebenarnya Father Thomas Rodriguez sudah pun wujud di dalam novel pertama itu. Cuma watak-watak utama di dalam kedua-dua novel tiada kaitan melainkan watak Asnawi yang jalan takdir hidupnya seiringan dengan watak lelaki keparat itu. Seolah-olah Ilahi sudah menetapkan yang Asnawi perlu ada bagi mengawasi segala tipu daya dan sikap kejam Thomas Rodriguez. Aku mula mengenali John secara dekat apabila aku mula memberi komentar di blog beliau dan kunjungan balas itu merapatkan kami. Seingat aku, ketika itu beliau masih menulis rangka bagi novel ketiga, "Cinderella Cinta". Dan sesuatu yang menarik perhatian, John seolah-olah menulis sesuatu yang dekat di hatinya, sama ada mungkin watak-watak itu wujud sepertimana wujudnya Manchester dan Johor Bahru di dalam kesemua novel-novelnya. Lalu setelah keluarnya novel ketiga itu, aku jadi teruja untuk bertanya, apakah novel seterusnya. Jelas, John menjawab yang dia ingin menyelesaikan apa yang ada seolah-olah tergantung di dalam novel-novelnya. Dan seingat aku sebelum munculnya `Garis-garis Deja vu' di pasaran, aku yang jelas sudah tidak sabar menunggu bertanya apakah latar belakang novel terbarunya itu. Dan aku begitu terkejut, bila dia mengatakan novel ini masih berkisar tentang Father Thomas Rodriguez lagi! Seperti novel-novel terdahulu John, dunia seperti tidak lagi aku hiraukan lagi dan untuk `Garis-garis Deja vu', aku hanya memerlukan kurang lebih 4 jam untuk menghabiskan bacaan. Dan aku membuat kesimpulan begini : John akhirnya berjaya menamatkan satu trilogi penulisan yang mungkin sudah dirangkanya sejak awal lagi dengan penuh bergaya. Sesuatu yang menarik dalam ketiga-tiga novel ini, walaupun mempunyai jalan cerita dan watak-watak yang berlainan, namun kesemuanya menemukan kita pada satu titik permulaan yang nyata. Semuanya menjerumuskan pembaca untuk memahami dan mengenali watak Father Thomas Rodriguez dengan lebih terperinci. Hubungannya bukan hanya beberapa watak-watak utama masyarakat Malaysia (di England) tetapi di dalam `Garis-garis Deja vu', kebinasaannya itu melepasi sempadan dan bersifat antarabangsa. Bagi sesiapa yang belum lagi membaca karya-karya John, kamu masih lagi boleh membaca novel terbarunya ini tanpa merasa ketinggalan kerana masih tidak membaca karya-karya terdahulu. Setiap novelnya berdiri tersendiri di atas watak-watak yang ada. Dan aku pasti jika sesiapa yang mula mengenali John apabila membaca `Garis-garis Deja vu', pasti akan mencari `Tunjukkan Aku Satu Bintang' dan `Sempadan tanpa Seri'. Mengulas kepada `Garis-garis Deja vu' banyak unsur-unsur baru yang diceritakan oleh John. Bukan sahaja soal percintaan yang lain dari cinta yang pernah kamu temui dari penulis-penulis yang lain. Cinta terhadap Tuhan itu dinyatakan dalam watak Suraya yang sudah kehilangan arah dalam mencari kebenaran dan kekuasaan Ilahi. Tentang seorang Muslim yang telah lama murtad atas nama cinta, dan terus beralih kepada Kristian, seterusnya hilang punca lalu menidakkan kuasa yang Maha Esa. Dan dari penceritaan secara monolog yang disampaikan oleh John, kita akan merasakan bagaimana resah gelisahnya seorang manusia yang hanya memikirkan tentang keresahannya tanpa sebarang kepercayaan. Kerana beberapa rentetan yang berlaku di sepanjang hidupnya, dia kini dalam kesesatan. Cinta juga menjadi persoalan utama bagi watak Ashraf yang terhimpit dengan kisah cintanya di masa lampaunya yang membuatnya rasa cukup bersalah dan cuba menebus semua kesilapannya dalam menangani permasalahan perkahwinan pertamanya dahulu. Maka bermulalah pengembaraan Ashraf ke tanah tandus kering bumi Jordan untuk mencari kepastian dan jawapan atas segala teka-teki atas nasib bekas isteri pertamanya yang ditinggalkannya. Bagaimana kesalnya dia melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah. Cinta yang terlarang yang menjadi kekesalan yang besar oleh seorang isteri juga menjadi inti pati Garis-garis Deja vu . bagaimana rasa kekesalan kerana berlaku curang membuatkan seorang isteri mencari si suami yang entah menghilang ke mana. Dan bagaimana cinta itu sendiri tidak mengenal batasan bangsa apabila Nini dan Numair dipertemukan dalam satu situasi yang penuh ketegangan akibat keganasan antarabangsa yang semakin menular di zaman ini. Begitu unik cinta yang terlahir begini, dan bagaimana dilema Nini yang tidak mampu membalas cinta itu kerana dia sendiri belum pasti tentang untung nasib diri sendiri dan bayi dalam kandungannya. Dan perlu aku tabik kepada John kerana hubungan Nini dan Numair ini adalah kekuatan bagi novel ini dan aku menghayati gerak rasa cinta tanpa suara yang harus tunduk kepada keadaan yang berlaku di sekeliling mereka. Terlalu sarat John mencipta kisah-kisah cinta dalam `Garis-garis Deja vu'. kisah anak kecil berusia 10 tahun, Damien yang terlalu mengharapkan kasih sayang ibu yang sedang koma di hospital dan perhatian ayahnya yang telah menghilang diri. Dan atas dasar mencari belaian ibu dan ayahnya, Damien dan Jenny telah mencari jalan untuk menjejaki ayahnya. Bukan sahaja watak Damien ini sahaja, kita juga dipersembahkan dengan watak Sulaiman yang turut mencari ayah kandungnya yang tidak pernah dia temui seumur hidup selepas Ashraf diwasiatkan oleh datuknya untuk membantu anak malang itu. Dan sesungguhnya pelbagai bentuk cinta yang tersurat di dalam `Garis-garis Deja vu' dan setiap satunya mempunyai kekuatan sendiri. Dihuraikan dengan begitu teliti dan hidup. Apa kekuatan novel `Garis-garis Deja vu'? aku kira, secara dasarnya, penceritaannya adalah elemen kekuatan yang utama. Kisah-kisah yang berlaku di dua benua, tiga negara digarap begitu baik dengan setiap watak utama berpeluang bercerita secara monolog tentang apa yang difikirkan, apa yang dirasakan. Ashraf, Nini, Damien dan Suraya menunjangi keseluruhan cerita dalam novel ini, dibantu dengan kehadiran watak-watak sokongan yang menguatkan penceritaan itu. Dan dengan beberapa persoalan cinta berjalan serentak, kita jadi tidak bosan dan tidak sabar untuk mengetahui peristiwa yang akan terjadi. Dan yang paling mendebarkan apabila peristiwa ketika di dalam pesawat yang aku kira sesuatu yang terlalu baru dalam penulisan novel di Malaysia. Mungkin agak berlebihan jika aku katakan John sudah mencapai tahap novel antarabangsa, tetapi babak-babak itu cuma hanya akan kita jumpa di dalam novel-novel ciptaan Robert Ludlum atau Tom Clancy. Seperti yang aku perkatakan tadi, pelbagai kisah cinta dipersembahkan. Tidak seperti novel-novel lain yang hanya memusatkan perhatian pembaca kepada satu kisah cinta utama sahaja, novel ini sebaliknya memperkenalkan beberapa kisah cinta yang berkisar tentang cinta dan kerinduannya, tentang cinta dan pengorbanannya serta cinta dan pencariannya. Jangan pula pembaca mengharapkan adanya ungkapan-ungkapan cinta yang terlalu melankolik, ianya sukar untuk kamu cari dalam novel ini. Kisah di mana kita diajak untuk berfikir betapa realiti dalam bercinta itu adalah sesuatu yang harus difahami dan dikupaskan secara ilmiah. Ini adalah kekuatan kedua yang harus ditimbangkan untuk membezakan penulisan John yang begitu kreatif. Kesinambungan kisah ini yang bermula dan berlaku di sekitar Manchester semenjak wujudnya Father Thomas Rodriguez di sana dalam `Sempadan Tanpa Seri', hingga membawa kepada pengembaraan Ashraf yang cuma pertama kali menjejak kaki di bumi Inggeris, merupakan kekuatan ketiga novel ini. Dan bagi aku yang mengikuti novel-novel terdahulu, ini merupakan pengembaraan terakhir yang harus ditempuhi. Makanya, ikatan antara `Sempadan Tanpa Seri' dan `Tunjukkan Aku Satu Bintang' dipererat lagi dengan munculnya `Garis-garis Deja vu'. Ini aku namakan keseronokan dan keterujaan apabila membaca, seperti mana berlaku kepada peminat setia siri `Harry Potter'. Kekuatan yang hanya akan dirasakan oleh pengikut setia John Norafizan dan akan turut dirasai oleh peminat-peminat barunya nanti. Secara keseluruhan, `Garis-garis Deja vu' membawa kita mengembara ke seluruh pelosok dunia, mengenali kebudayaan yang wujud di merata dunia. dan ianya bukan hanya menghasilkan unsur cinta yang berbeza, juga mempunyai unsur mistik yang membawa kita menyedari yang setiap apa yang berlaku itu sesungguhnya adalah di bawah kekuasaan Nya. John masih lagi mahu membuka mata kita tentang konsep mengenali Allah dengan sudut pandangannya yang penuh firasat. Tahniah atas kejayaan ini, dan teruslah melahirkan sesuatu yang berbeza dan tidak terbelenggu dengan penulisan arus perdana. http://www.johnnorafizan.com John Norafizan adalah penulis Sempadan Tanpa Seri (2003) Tunjukkan aku Satu Bintang (2005) Cinderella Cinta (2007) Garis-Garis Deja Vu (2008)
