BINGKISAN SUARA RAKYAT [20]

4 November 2000 

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT

 MEMOHON REDHA DAN PERLINDUNGAN ALLAH

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,

166.        Esok, 5 November 2000 insya’ Allah kita akan sama-sama berjumpa dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat di Jalan Kebun, Shah Alam. Saya menyeru saudara-saudara yang beragama Islam menunaikan solat hajat pada malam ini memohon kepada Allah agar pertemuan kita diredhai dan diberkati-Nya. Sama-samalah kita memohon agar cuaca esok baik, segalanya berjalan lancar dan semua yang hadir selamat datang dan selamat pulang ke rumah masing-masing.

167.        Saya merayu agar saudara-saudara yang datang berkenderaan menggunakan lebuhraya memandu dengan berhati-hati, patuh kepada peraturan lalu lintas dan bertimbang rasa terhadap pemandu-pemandu lain.

168.        Bagi yang beragama Islam, penuhilah masa dalam perjalanan dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan bukannya perkara-perkara yang sia-sia. Perbanyakkanlah zikir, berselawat dan membaca ayat-ayat suci Al-Qur’an.

169.        Saya cadangkan saudara-saudara memperbanyakkan membaca Surah Al-Ikhlas. Sematkan dalam-dalam pengertian surah tersebut dalam hati dan jiwa saudara-saudara. Insya’ Allah, saudara-saudara akan merasakan satu kekuatan dalam diri saudara-saudara. Jika kekuatan daripada Allah meliputi saudara-saudara, insya’ Allah tiada kekuatan daripada mana-mana makhluk-Nya akan berdaya mengatasi saudara-saudara sekalian.

170.        Bagi saudara-saudara yang akan membawa anak-anak kecil, pastikan mereka dipakaikan dengan tag nama, kain tanda di pergelangan tangan atau sebarang tanda yang membutirkan; nama, alamat atau nombor telefon untuk dihubungi. Jawatankuasa Dasar meminta kerjasama ibu bapa yang membawa anak-anak kecil untuk menjaga dan mengawasi anak-anak masing-masing dengan sebaik-baiknya.

171.         Bagi saudara-saudara yang beragama Islam, ingatlah kita bertemu dan berpisah dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Ini kerana kita mematuhi perintah-Nya agar menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman.

172.        Bagi seluruh rakyat Malaysia pelbagai agama dan kaum, ingatkan kita berhimpun dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat untuk memperjuangkan masa depan rakyat dan negara ini. Kepentingan negara dan rakyat hendaklah kita sama-sama utamakan mengatasi kepentingan mana-mana kelompok mahupun kumpulan. Semoga kita semua berjaya.

173.        Semua rakyat Malaysia, ingat bahawa Perhimpunan 100,000 Rakyat adalah perhimpunan aman. Ikutilah aturcara perhimpunan secara teratur dan pulanglah ke rumah masing-masing setelah aturcara berakhir pada pukul 5:00 petang. Patuhilah arahan daripada penganjur dan petugas-petugas rasmi perhimpunan.

174.        Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia kerana memberi sokongan untuk menjayakan perhimpunan bersejarah ini.

 

 “KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

Hj. Saari Hj. Sungib

Pengerusi, Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat

AJK:

Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

Emel Sekretariat: [EMAIL PROTECTED]

Emel Pengerusi: [EMAIL PROTECTED]

4 November 2000

                                                 

 

 

 

 

 

 

Kirim email ke