Kenyataan Akhbar PUM 20 Ogos 2002
KENYATAAN AKHBAR
20 OGOS 2002 / 11 JAMADIL AKHIR 1423
Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dengan ini sekali lagi menyatakan rasa kesal
terhadap gejala menghukum dan menfitnah individu dan pertubuhan tertentu
melalui penghakiman media dan pertuduhan yang berniat jahat, kebencian
politik kepartian yang membuak-buak diluar batas kewajaran syarak ilmu,
keadilan, akhlak dan realiti. PUM juga kesal dengan pandangan Perdana
Menteri Malaysia yang menampilkan dua andaian yang tidak realistik khasnya
apabila beliau menganggap bahawa PUM hanya menjadi badan ulama’ sebenar
apabila PUM menyelar dan mencaci Dato’ Nik Aziz sebaliknya bukan badan ulama
’ sebenar apabila PUM membela beliau (Dato’ Nik Aziz).
PUM dengan ini menegaskan bahawa, sebagai Perdana Menteri Malaysia beliau
harus berlaku adil dan merujuk kaedah-kaedah berfikir yang saksama. Sejarah
serta pembawaan orang seperti Dato’ Nik Aziz perlu diambil kira dan ditela’
ah secara objektif. Beliau adalah seorang ulama’ muktabar yang sudah
berpuluh tahun berdakwah dan mengajar umat Islam mematuhi Allah,
undang-undang dan ajarannya. Tidak pernah ada hukuman dan penghakiman
sebelum ini yang mensabitkan bahawa beliau adalah pencaci tuhan atau
berkelahi dengan Allah oleh mana-mana mahkamah dan individu ulama’ yang
adil.
Sifat warak beliau dan komitmen yang kental untuk membela agama melalui
wadah politik adalah suatu bukti iltizam dan komitmen yang tinggi terhadap
ajaran rasul dan Allah. Amalan ibadat peribadi seperti solat, zikir dan
tasbih memuji Allah siang dan malam bukan suatu rahsia bagi rakyat Kelantan
dan Malaysia amnya. Dalam umur beliau yang lanjut, cabaran-cabaran kesukaran
dan kesusahan yang beliau hadapi dari pelbagai pihak tidak memungkinkan dari
segi rasionalnya beliau berbalah dan berkonfrantasi dengan Allah SAW. Budaya
hidup beliau adalah budaya ilmuan syarak yang senantiasa mengajar dan
belajar ke arah mempertahankan Allah dan Islam.
Motif beliau dalam mengungkapkan sesuatu berkenaan Allah tentulah dapat
dipertanyakan kepada beliau sendiri. Mengapa media massa tidak beri peluang
kepada beliau untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan dan ucapan beliau
ketika mengajar mengenai makna nama-nama Allah. Tindakan simplistic
menghukum dengan tidak berlandaskan kepada ilmu, menyelami niat sebenar dan
kewajipan menghormati alim ulama’ adalah suatu tindakan yang sembrono dan
tidak adil.
Apakah asas-asas rasional, syarak, realiti, serta persepsi objektif yang
menjadi asas kesimpulan Perdana Menteri bahawa Dato’ Nik Aziz adalah
berkonfrantasi dengan Allah SWT sehingga beliau begitu berani dan
serampangan membuat kesimpulan hukum syarak. PUM ragu dengan pemaparan isu
ini dibuat dengan saksama kepada ulama luar negara - seperti yang
dipaparkan -. Lumrahnya, jawapan yang diberikan adalah sama dengan paparan
yang dibuat ke atas isu yang disebutkan. Oleh itu jawapan ulama’ luar negara
belum tentu mewakili keseluruhan hakikat isu ini. Jawapan tersebut berkait
rapat dengan jenis dan cara penyampaian isu itu dibuat.
Mengenai tanggapan bahawa PUM lebih sesuai menjadi sebuah cawangan Pas, PUM
ingin menegaskan bahawa perspektif dan pandangan PUM adalah berlandaskan
kepada faktor-faktor yang telah disebutkan. PUM adalah badan dakwah yang
bebas dan menyokong kerajaan umpamanya dalam konteks mencadangkan sistem
kewangan yang lebih adil berasaskan kepada dinar dan perak. PUM bukanlah
cawangan parti Pas. Mengenai keengganan pihak tertentu mengiktiraf PUM
sebagai badan ulama’ yang sebenar, PUM tidaklah terkilan dengan pendirian
mereka kerana penafian mereka laksana penafian orang cacat penglihatan
terhadap kewujudan matahari. Penafian mereka sudah pasti tidak akan
menghilangkan kewujudannya di alam realiti.
Sebelum membuat sebarang andaian, PUM menyeru agar para pemimpin politikus
Melayu merujuk kepada sumber-sumber al-Quran dan Ulama’ muktabar dalam
mencari pandangan syarak terhadap sesuatu isu. Semoga Allah memberi hidayah
dan petunjuk kepada kita semua.
HJ. ABDUL GHANI SAMSUDIN
Yang Dipertua
Persatuan Ulama’ Malaysia
20 Ogos 2002 / 11 Jamadil Akhir 1423


<>




COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Finance - Get real-time stock quotes

Kirim email ke