Konspirasi Melumpuhkan keADILan

Pedas-pedas Cili Api
(4hb Mei 2001)
  

Cili Api memang sudah duga. Mula-mula dulu kes Azmin Ali dibuang tanpa beliau dipanggil untuk membela diri. Pihak Peguam Negara dan polis tidak puas hati. Oleh kerana itu pihak mereka membuat rayuan melalui pendakwa raya. Rayuan didengar di hadapan hakim Wahab Patail, adik-beradik dengan Gani Patail. Keputusannya? Wahab memerintah supaya Azmin dibicarakan semula.

Di hadapan pengadil mana pula Azmin dibicarakan? Kalau masih belum tahu, namanya Akhtar Tahir. Di hadapan Akhtar ini jugalah Rahim Noor, kaki pukul yang mengaku sebagai ketua lanun, dibicarakan. Akhtar tidak boleh melepaskan kaki pukul itu, kerana segala bukti sudah jelas daripada laporan Suruhanjaya yang menyiasat tenang peristiwa mata lebam Anwar.

Dia cuma boleh pastikan hukuman ke atas kaki pukul yang jadi ketua kepada semua polis tidak akan berat sangat. Itulah sebabnya kaki pukul ini dikenakan hukuman penjara dua bulan, dua bulan saja, dan denda cuma sebanyak RM2000 saja. Setelah 31 bulan, barulah lanun kaki pukul dimasukkan ke dalam penjara.

Tetapi Akhtar ini juga menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Azmin Ali. Azmin dibenarkan ikat jamin, Akan tetapi si Akhtar ini menaikkan pula jumlah jaminan daripada RM10,000 yang dikenakan dulu kepada RM20,000. Cili Api dengar, pengadil yang kurang adil ini telah menaikkan jumlah jaminan dengan tidak payah diminta oleh pihak pendakwa.

Sekiranya rayuan Azmin nanti ditolak, dan kemungkinan besarnya ini akan berlaku, maka Azmin akan hilang kerusinya dalam Dewan Undangan Selangor dan tidak boleh bertanding dalam tempoh lima tahun akan datang. Inilah yang dikehendaki oleh PM Dr M @ Cek Det. Dan inilah yang akan dilakukan oleh kroni-kroni yang dikuasainya dalam mahkamah. Cek Det hendak pastikan keADILan menjadi lumpuh.

Cili Api percaya ini adalah permulaan daripada beberapa kes akan datang. Tidak lama lagi tentu ada pula wakil rakyat lain yang dikemukakan ke mahkamah. Mereka tidak semestinya dari keADILan saja. Tetapi, kali ini tumpuan Cek Det dan kroni-kroninya dalam Kamar Peguam Negara ialah terhadap pemimpin-pemimpin keADILan. Sebabnya, Cek Det senantiasa dihantui oleh bayang-bayang Anwar Ibrahim, dan khabarnya dia tidak lelap tidur, walaupun didodoi oleh Siti Hasmah.

Sebelum ini, kita sudah ketahui, Cek Det menggunakan ISA untuk menahan 10 orang pemimpin keADILan serta aktivis reformasi. Siapa hendak percaya pada Dolah Badwi yang mendakwa kononnya penahanan mereka ini tidak bermotifkan politik. Wahai Dolah Badwi, jangan sangka rakyat sebodoh sesetengah pemimpin UMNO. Sekarang ini kita tidak tahu apa yang sedang dibuat oleh polis ke atas tahanan ISA ini.

Suhakam dan keluarga masih belum dapat berjumpa dengan mangsa ISA. Polis kata mereka belum habis siasat lagi. Atau adakah sebenarnya mereka belum habis mendera semua tahanan politik ini supaya mereka mengaku bersalah atas segala tuduhan palsu yang dibuat oleh Ketua Polis Negara? Atau adakah polis hendak tunggu sampai semua bukti deraan yang ada pada tahanan ISA ini itu hilang dulu?

Cili Api lihat Cek Det, mahafiraun ini akan terus menggunakan ISA dan hakim-hakim untuk melaksanakan segala kehendak dan cita-cita mahazalimnya.

Kirim email ke