*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

As-Salamualaikum !

Di bawah ni ada satu artikel yg saya kira amat menarik sekali. Selepas 
membacanya para pembaca budiman akan sedar akan kebobrokan pemimpin2 dan 
pak2 hangguk umno yg memomokkan orang melayu sebagai bangsa subsidi.
Umno dan pemimpinnya bukanlah Pembela Bangsa tetapi adalah Petualang Bangsa. 
Jangan marah ya..ini cuma pendapat saya shj. Sila terus membaca...


Siapa masyarakat subsidi?

Penulis Tamu oleh Dr. Mohd. Haflah Piei
SAYA amat tertarik dengan tulisan Awang Sulung bertajuk Masa untuk mengubah 
hak istimewa orang Melayu yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia pada 26 Mei 
2002 lepas. Ini tidak bermakna saya bersetuju sepenuhnya pendapat yang 
dikemukakan oleh beliau dalam rencana tersebut.

Di antara pendapat beliau yang menarik perhatian saya ialah bahawa ``hak 
istimewa itu kini menjadi masalah besar orang Melayu dan bumiputera lain 
kerana membuat mereka mengambil mudah dalam banyak perkara dan membesar 
dengan mentaliti subsidi''.

Pendapat ini menagih sekurang-kurangnya dua persoalan. Persoalan pertama 
ialah berhubung dengan minda dan sikap orang Melayu. Benarkah disebabkan 
minda orang Melayu telah sekian lama dibelenggu oleh jaminan ``hak-hak 
istimewa'' dan subsidi kerajaan, maka mereka bersikap negatif dalam banyak 
perkara?

Kedua, sebanyak mana bantuan, subsidi dan perlindungan yang telah diterima 
oleh orang Melayu dan kaum bumiputera lain sehingga mereka dilabelkan 
sebagai ``masyarakat bermentaliti subsidi''?

Siapa sebenarnya ``masyarakat subsidi'' yang terbesar di Malaysia ini?

Berhubung dengan soalan pertama, penulis amat bersetuju dengan pendapat 
Awang Sulung. Jaminan hak istimewa dan pemberian subsidi kepada orang Melayu 
merupakan satu moral hazard kepada bangsa Melayu.

Disebabkan ``hak istimewa dan subsidi'' sentiasa berada dalam set minda 
orang Melayu, maka mereka tidak berupaya menghasilkan potensi sebenar mereka 
dalam banyak perkara. Soal banyak mana subsidi tersebut atau setakat mana 
hak istimewa tersebut, itu tidak penting.

Yang penting dalam minda orang Melayu, terdapat jaminan dalam bentuk subsidi 
atau hak istimewa bagi mereka sekiranya mereka menghadapi halangan dan 
masalah. Pemikiran sebeginilah yang menghambat kemajuan orang Melayu.

Berhubung dengan soalan kedua, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa 
orang Melayu dan kaum bumiputera lain untuk sekian lama telah banyak 
menerima bantuan, keistimewaan serta perlindungan daripada kerajaan dalam 
pelbagai aspek.

Ini meliputi pendidikan, pekerjaan, pemilikan saham modal dan lain-lain aset 
perniagaan, pembiayaan dan sebagainya. Semua ini dilaksanakan dalam konteks 
Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang bertujuan untuk 
membasmi kemiskinan dan menstruktur semula masyarakat demi mencapai matlamat 
perpaduan nasional. Namun, wajarkah orang Melayu dilabelkan sebagai 
masyarakat subsidi? Siapakah sebenarnya masyarakat subsidi yang terbesar di 
Malaysia?

Dalam hal ini, penulis masih tetap berpendirian bahawa adalah tidak tepat 
dan tidak wajar untuk menuduh orang Melayu sebagai masyarakat subsidi 
terbesar di negara ini.

Ada golongan lain yang terus-menerus menerima subsidi dan perlindungan yang 
jauh lebih besar lagi tetapi hakikatnya ia tidak ditonjolkan - jauh sekali 
oleh masyarakat itu sendiri. Kaum mana yang ingin mengakui kelemahannya 
selain daripada kaum Melayu?

Dalam tiga dekad yang lepas, sememangnya kerajaan membelanjakan sejumlah 
peruntukan yang besar bagi membangunkan tahap sosio-ekonomi orang Melayu 
terutama di luar bandar.

Pelbagai projek, skim, dan rancangan pembangunan telah dilaksanakan termasuk 
projek penempatan semula FELDA, pendidikan dan sebagainya. Tetapi tidak 
semua perbelanjaan tersebut adalah dalam bentuk subsidi atau gran percuma.

Bagi peneroka FELDA, sebahagian besar daripada kos pembangunan sesebuah 
FELDA termasuk kos pembangunan infrastruktur, kebun dan ladang, rumah 
peneroka dan lain-lain adalah ditanggung sendiri oleh peneroka dalam bentuk 
pinjaman yang dibayar semula oleh peneroka melalui potongan bulanan hasil 
daripada ladang dan kebun mereka.

Sebahagian besar daripada pinjaman tersebut telah dijelaskan.

Pada suatu ketika dulu, golongan pekebun kecil getah (PKG) merupakan 
golongan isi rumah miskin yang terbesar sekali di Malaysia. Walaupun mereka 
didakwa mendapat pelbagai bentuk ``subsidi'' terutama apabila mereka menanam 
semula getah mereka, namun sebenarnya sebahagian besar daripadanya bukanlah 
subsidi seperti yang kita fahami. Gran tanaman semula getah yang mereka 
terima adalah wang mereka sendiri yang dikumpulkan dalam Tabung B, Peraturan 
Tabung Industri Getah (Penanaman Semula, 1952) yang disumbangkan sendiri 
oleh PKG.

Bagi setiap sekilogram getah yang dihasil serta dieksport oleh PKG, sebanyak 
9.9 sen dikutip sebagai ses tanaman semula yang dikumpulkan dalam Tabung B 
dan digunakan apabila tiba masanya untuk penanaman semula. Pendek kata 
kesemua kos perbelanjaan tanaman semula dibiayai sepenuhnya oleh PKG 
sendiri. Elemen subsidi hampir tiada dalam aktiviti ini.

Malah, pada suatu ketika dahulu (sehingga awal 1980-an) golongan PKG ini 
merupakan golongan yang paling berat dicukai. Mereka dikenakan pelbagai 
bentuk cukai termasuk duti eksport, duti tokok (export surcharge), ses 
tanaman semula, ses penyelidikan, ses pembangunan dan ses pendidikan.

Pada keseluruhannya mereka terpaksa membayar cukai sekitar 30-40 peratus 
bagi setiap sekilogram hasil yang mereka eksport. Siapakah yang membayar 
cukai 30-40 peratus daripada pendapatan tahunannya?

Mereka adalah terdiri daripada golongan yang mempunyai pendapatan boleh 
cukai sebanyak sekurang-kurangnya RM30,000 setahun iaitu lebih daripada enam 
kali ganda pendapatan tahunan PKG.

Layakkah PKG dianggap masyarakat subsidi apabila mereka membayar cukai yang 
hampir sama dengan mereka yang mempunyai pendapatan yang jauh lebih tinggi 
daripada mereka?

Satu golongan lagi yang kerap dianggap sebagai masyarakat subsidi ialah 
penanam padi. Berapa banyakkah bantuan dan subsidi yang mereka peroleh 
sehingga ia dianggap sebagai masyarakat subsidi?

Untuk pengetahuan umum, bantuan yang diberikan khusus untuk golongan petani 
ini adalah sebanyak RM844 juta, RM730.3 juta dan RM994.9 juta pada tahun 
1996, 1997 dan 1998. Jumlah yang terbesar ialah untuk sokongan harga dan 
harga minimum terjamin padi sebanyak RM411.1 juta, RM420 juta dan RM416 juta 
pada 1996, 1997 dan 1998 dan juga subsidi baja sebanyak RM90 juta, RM114.9 
juta dan RM131 juta pada tahun-tahun yang sama.

Bantuan dan subsidi ini dianggap sebagai strategik untuk memastikan 
keselamatan makanan (food security) bagi negara dan sebahagian daripadanya 
dapat dinikmati bersama seluruh rakyat Malaysia dalam bentuk harga beras 
yang munasabah. Adilkah jika golongan yang menyuapkan kita makanan setiap 
hari dianggap sebagai golongan subsidi?

Jika golongan yang dinyatakan tadi yang majoritinya terdiri daripada orang 
Melayu tidak wajar dilabelkan sebagai masyarakat subsidi, siapa sebenarnya 
masyarakat subsidi ini?

Pada pendapat saya, mereka adalah golongan yang terdiri daripada ahli-ahli 
industrialis, pengilang, pelaburan, perdagangan serta perniagaan yang 
berpusat di kawasan-kawasan urban di negara ini. Sebahagian besar terdiri 
daripada bukan bumiputera.

Merekalah yang membangun di sebalik perlindungan yang diberikan oleh 
kerajaan selama ini. Walaupun konsep perlindungan ini tidak dipanggil 
subsidi tetapi dari segi fungsinya ia adalah sama dengan subsidi.

Dari mula Malaysia melancarkan dasar perindustrian penggantian import pada 
pertengahan tahun 1960-an sehinggalah sekarang, mereka terus-menerus menagih 
layanan istimewa dan bantuan kerajaan.

Di antara bantuan tersebut termasuklah perlindungan tarif, kuota, sekatan 
serta pelesenan import bagi melindungi aktiviti pengeluaran mereka daripada 
saingan oleh import yang lebih murah.

Selain daripada itu mereka diberi pelbagai insentif seperti yang terdapat 
dalam Akta Galakan Pelaburan, 1968 dan kemudian ditambah lagi melalui Akta 
Galakan Pelaburan 1986 termasuk taraf perintis yang melibatkan pengecualian 
daripada membayar cukai korporat kepada kerajaan dalam satu jangka waktu 
agak lama. Dari segi fungsi, insentif tersebut adalah sama dengan subsidi.

Tujuannya adalah untuk melindungi ``industri-industri muda'' yang masih 
lemah serta tidak mampu bersaing dengan industri yang telah lama membangun 
serta import lebih murah. Tanpa perlindungan tarif dan insentif yang diberi 
oleh kerajaan, adalah amat sukar bagi golongan ini membangun dan menjadi 
kaya-raya.

Jika hendak diukur nilai perlindungan ini, kita akan dapati jumlahnya adalah 
jauh lebih besar daripada jumlah yang diperoleh orang Melayu dan kaum 
bumiputera lain.

Jumlah ini termasuklah keuntungan yang diperoleh daripada sekatan tarif yang 
nikmati, pelepasan cukai pendapatan dan cukai korporat, subsidi eksport bagi 
mereka yang mengeksport barangan mereka, pelepasan cukai ke atas duti import 
barang-barang modal dan perantaraan serta sebagainya.

Kesemuanya ini boleh diukur tetapi dalam rencana ini cukup sekadar 
menyenaraikannya sahaja. Malah dasar perlindungan industri ini bias negatif 
terhadap sektor pertanian dan luar bandar yang diceburi sebahagian besarnya 
oleh orang Melayu.

Daripada huraian yang ringkas ini, jelaslah bahawa masyarakat subsidi yang 
sebenarnya ialah golongan tersebut dan bukannya orang Melayu atau 
bumiputera. Walau bagaimanapun, kepada golongan saki-baki orang Melayu yang 
masih bermentaliti subsidi perlu diingatkan amalan pemberian subsidi tidak 
boleh lebih lama lagi dipertahankan.

Ini bukan disebabkan tuntutan dan tekanan daripada dalam negara tetapi 
adalah komitmen negara terhadap proses globalisasi serta liberalisasi di 
bawah naungan AFTA dan WTO yang Malaysia sama-sama memeterainya.

- Dr. Mohd. Haflah Piei ialah Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan 
Ekonomi Malaysia (MIER). E-mel: [EMAIL PROTECTED]




_________________________________________________________________
Send and receive Hotmail on your mobile device: http://mobile.msn.com


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "pakar rujuk" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke