IBADAH MELONJAKKAN AKAL ADAN ILMU

 

Rukun Islam yang lima tidak akan terlaksana tanpa akal dan ilmu. Islam amat mementingkan akal kerana tanpanya manusia akan jatuh ke tahap binatang. Untuk memelihara akal segala bahan yang memabukkan, seperti arak, diharamkan oleh agama. Begitu seriusnya Islam di dalam aspek pemeliharaan akal, sehingga mereka yang melanggar larangan ini dan meminum arak, akan dihukum dengan sebatan 40 rotan ataupun lebih. Salah satu golongan yang dipuji oleh Allah ialah golongan yang bergelar ulil albab berdasarkan firman Allah di dalam surah Ali-Imran ayat 190 yang bermaksud, “Sesungguhnya tentang penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab.” Di dalam Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa menyatakan bahawa ulil albab bermaksud “golongan yang menggunakan akal”.

 

Perlaksanaan rukun Islam yang lima akan menyedarkan umat Islam tentang betapa pentingnya akal dan ilmu di dalam Islam. Sebagai contoh, di peringkat awal Islam sebelum minuman arak diharamkan, umat Islam dilarang bersolat di dalam keadaan mabuk kerana ia mengganggu pemikiran. Allah berfirman di dalam surah An-Nisak ayat 43, “Janganlah kamu hampiri solat ketika sedang mabuk..” Di samping itu, sesuatu ibadah boleh menjadi tidak sah jika dilakukan tanpa ilmu. Di dalam kitab fikah Zain At-Talib dijelaskan, “Hendaklah seseorang (yang melakukan solat) tahu membezakan di antara yang fardu dan yang sunat, di samping mengetahui cara (kaifiat) melakukan solat. Sekiranya seseorang melakukan solat tanpa mengetahui rukun-rukunnya, solatnya dianggap tidak sah”.

 

Demikian juga di dalam konteks puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa wajib diketahui. Di dalam konteks zakat, nisab dan peratus harta yang wajib dikeluarkan zakat wajib diketahui dan di dalam konteks haji, rukun dan wajib haji juga wajib diketahui. Ketika melaksanakan solat jemaah, imam yang memimpin solat hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berilmu. Nabi s.a.w bersabda, “Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih tahu tentang Al-Quran. Jika kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah dari kalangan yang lebih memahami sunnah..” (Riwayat Muslim dan Ahmad)

 

Kadangkala imam terlupakan sesuatu di dalam solatnya, justeru, Islam mengarahkan agar makmum yang berdiri hampir dengan imam adalah dari kalangan mereka yang berilmu. Nabi s.a.w bersabda, “Hendaklah mereka yang baligh lagi pandai bersolat dekat dengan ku, kemudian mereka yang seumpama mereka, kemudian mereka yang seumpamanya..” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tarmuzi)

 

Di dalam kitab Nailul Authar dijelaskan, “An-Nuha pada hadis ini bermaksud mereka yang berakal... Nabi s.a.w mahukan mereka ini berada di saf hadapan agar mereka dapat menjadi mubaligh (iaitu orang yang menyambung suara imam) di dalam solat, boleh mengganti imam di samping dapat menegur imam ketika ia diperlukan”.

 

Melalui ibadah yang dilakukan, umat Islam dididik tentang kepentingan akal dan ilmu di dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan ini, Nabi s.a.w bersabda, “Sebaik-baik agama kamu ialah yang mudah dan sebaik-baik ibadah kamu ialah kefahaman agama.” (Riwayat Ibn Abdil Birr)

 

Denis Waitley di dalam Empires of the Mind telah mengatakan sesuatu yang ada kebenarannya pada hari ini, iaitu, “kami berkeyakinan bahawa empayar yang tidak akan runtuh pada abad kedua puluh satu ialah empayar yang dibina berasaskan akal”.

 

Di dalam kitab Ihya Ulumuddin diriwayatkan, Fathul Mausuli berkata, “Tidakkah jika seseorang yang sakit tidak menjamah makanan dan minuman, dia akan mati? Demikianlah juga dengan hati, jika tidak diberikan hikmat dan ilmu selama tiga hari, ia juga akan mati.”

 

Dari "Empayar Minda Muslim"

Oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Alexandria)

Terbitan PTS Publication

Laman Web: http://www.formulacemerlang.com./



///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke 
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke 
            [EMAIL PROTECTED]



Yahoo! Groups Sponsor
ADVERTISEMENT
 
Will you help a needy child?
· It only costs .60¢ a day · It's easier than you think.
· Click here to meet a waiting child you can sponsor now.


Yahoo! Groups Links

<<attachment: Glacier Bkgrd.jpg>>

Kirim email ke