Demo intifadah anti Israel-AS lepas solat Jumaat esok! 
Mohd Rashidi Hassan 
Thu | Jan 08, 09 | 12:57:25 pm MYT  
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat,
Salahuddin Ayub mengarahkan seluruh anggota pemuda PAS dan mengajak
umat Islam menyertai demonstrasi intifadah besar-besaran di hadapan
kedutaan Amerika Syarikat (AS) esok. 


Iklan   

    
    
Dalam kenyataan yang diberikan sebentar tadi, beliau berkata, umat
Islam tidak harus membiarkan AS, yang secara terang-terangan menjadi
pelindung kepada kekezaman tentera zionis Israel terhadap umat Islam
Palestin. 


Katanya, beliau beserta AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad
Nawawi beserta pimpinan PAS yang lain, bergegas pulang ke ibu kota dari
kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, untuk menyertai demonstrasi
selepas solat Jumaat esok. 
"Kita akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan kita akan berarak 
daripada situ ke kedutaan AS," tegasnya. 
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh umat Islam dan rakyat
Malaysia yang prihatin dengan nasib rakyat Palestin, untuk sama-sama
bangkit menyatakan bantahan terhadap AS. 
Katanya, dewan-dewan Pemuda PAS di peringkat Negeri dan Kawasan
diarahkan untuk membawa sepanduk, kain pemidang dan placard (poster)
sebagai bantahan ke atas sokongan AS terhadap kezaliman tentera Yahudi. 
Terdahulu daripada itu, Syed Azman yang juga Pengerusi Lujnah
Hal Ehwal Luar dan Antarabangsa PAS Pusat berkata, pihaknya akan
menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang menjadi medan berdarah
akibat di bom Israel. 
Katanya, selain daripada umat Islam membaca qunut nazilah pada
setiap solat untuk mendoakan kekuatan umat Islam Palestin menghadapi
kekejaman Yahudi, pihaknya turut melancarkan dana sumbangan yang akan
dihantar seberapa segera. 
"Sebelum ini pun kita (PAS), terus menerus memberikan sumbangan
yang termampu untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat
Palestin. 
"Jika ada yang sudi membantu, sila salurkan sumbangan anda
melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan Rakyat Palestin atas nama PARTI
ISLAM SEMALAYSIA di akaun Maybank 564070703248," ujarnya. - mks._  


      

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke