http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

ARKIB : 08/08/2010
Susilo terselamat plot pengganas 

JAKARTA 7 Ogos - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, pihak 
polis berjaya menggagalkan rancangan pengganas yang mahu menyerang dirinya 
ketika melawat wilayah Jawa Barat, lapor media rasmi kerajaan hari ini.

"Saya menerima laporan daripada pihak berkuasa malam semalam bahawa terdapat 
beberapa elemen yang berniat jahat berkeliaran di kawasan Ciwidey untuk 
melakukan sesuatu terhadap saya," kata Yudhoyono yang dipetik daripada agensi 
berita Antara.

Menurut Antara, Susilo berkata pengganas tidak akan menang di Indonesia dan 
mereka hanya "mengorbankan mangsa yang tidak berdosa". 

Namun laporan Antara itu tidak memberikan maklumat lengkap mengenai konspirasi 
yang didakwa semasa lawatan presiden itu semalam.

Dua suspek pengganas ditahan dalam serbuan polis di Jawa Barat hari ini, 
menurut media tempatan.

Polis mahu menahan tiga suspek, namun seorang berjaya meloloskan diri ketika 
serbuan di sebuah rumah di daerah kecil Cibiru yang terletak di pinggir 
Bandung, lapor laman web berita Tempo Interaktif yang memetik Ketua Polis Jawa 
Barat, Sutarman.

Dua serangan pengganas di hotel mewah di Jakarta oleh perancang yang telah 
dibunuh, Noordin Mat Top telah mengorbankan sembilan nyawa pada Julai tahun 
lalu.

Noordin yang ditumpaskan dalam serbuan polis di Jawa Tengah pada 2009, 
mengetuai sayap pengganas dalam rangkaian Jemaah Islamiah yang dipersalahkan 
atas beberapa siri serangan di Indonesia. - AFP







[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke