SASTERA-BERITA HARIAN




    Dunia Buku: 13 Mei 1969 versi penjajah
    Oleh Nazmi Yaakub
na...@bharian.com.my



    
            
    
 
    caption image1


    
               
    Pendedahan mengejutkan, tapi kaca mata neokolonialisme


13 Mei: Dokumen-dokumen Deklasifikasi mengenai Rusuhan 1969
Malaysia karya Dr Kua Kia Soong dan terjemahan Seah Li Ling, meninjau
kembali rusuhan perkauman yang menggegarkan negara ini pada 13 Mei
tahun terbabit, berpandukan dokumen sebelah pihak, iaitu British yang
dibuka di Pejabat Rekod Awam, London.


Pembukaan dokumen itu selaras dengan Peraturan Arkib yang
mengkehendaki fail sulit dan rahsia dibuka selepas mencapai tempoh 30
tahun bagi membolehkan orang awam membacanya.







    Buku ini dibahagikan kepada lima bab meliputi Bab 1:
Formula Perikatan Bersifat Perkauman; Bab 2: Pilihan Raya 1969; Bab 3:
Rekod Rusuhan; Bab 4: Penilaian Negara Asing tentang Pertukaran Regim
dan Bab 5: Kelas Pemerintahan Melayu Baru, selain bahagian Pendahuluan:
Mempersoalkan Sejarah Versi Kerajaan serta Kesimpulan: Ke Arah
Perdamaian Negara.


Bahagian pendahuluan buku ini menjelaskan dokumen yang menjadi
rujukan dalam buku ini, membabitkan perutusan rasmi oleh Pegawai
Suruhanjaya Tinggi British yang membuat pemerhatian terhadap rusuhan
kaum dan perutusan rasmi Pejabat Luar Negeri dan Komanwel (FCO) yang
bertanggungjawab terhadap perkembangan negara di Pasifik Barat Daya
termasuk Australia, New Zealand, Indonesia serta Singapura.


Antara dokumen lain yang turut dipetik dalam buku ini ialah
laporan daripada media asing dan kenyataan akhbar oleh Persatuan Palang
Merah Malaysia yang menerangkan kesan rusuhan terbabit, khususnya
membabitkan kematian serta kecederaan.

  



    
                    
     
    Kua Kia Soong


    

                    

    Buku
ini turut berpandukan catatan sulit yang memperlihatkan reaksi
Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia Barat dan Timur serta laporan
kepada London, selain penilaian Jabatan Kabinet British, Pejabat Luar
Negeri dan Komanwel serta Kementerian Pertahanan.


Maklumat yang menjadi sandaran dalam penulisan buku ini turut
dikumpul melalui catatan dalam mesyuarat diplomat dan catatan risikan
daripada Kedutaan British, selain turut mengambil kira reaksi
masyarakat ekspatriat British di ibu negara.


Perlu ditegaskan laporan yang dikumpulkan dalam penulisan buku
ini adalah berpunca daripada satu pihak, iaitu British yang pernah
menjajah negara ini dan sudah tentu boleh menimbulkan wasangka terhadap
penilaian pegawai negara bekas imperialis berkenaan yang boleh
dihubungkan dengan maksud neokolonialisme.


Pandangan media dan masyarakat ekspatriat pula sudah tentu
terhad kepada kejadian yang berlaku dalam jangkauan mereka dan mungkin
dipengaruhi oleh pandangan tidak objektif daripada bangsa bekas kuasa
imperialis berkenaan.


    
                        

    Hal
ini boleh dilihat daripada laporan media dengan penggunaan perkataan
yang mungkin bersifat hiperbola seperti kumpulan pengganas seramai
lebah atau penceroboh, yang sudah tentu maksudnya jauh berlainan
sekiranya pembaca cuba membandingkannya dalam konteks hari ini.


Berdasarkan dokumen deklasifikasi dan laporan media terbabit
itulah, buku ini menganggapnya sebagai petunjuk kepada rancangan untuk
menghimpun ‘penjahat muda’ di kediaman Menteri Besar Selangor serta
menyimpulkan pihak keselamatan gagal menjalankan tugas dengan baik
untuk mengekang rusuhan berkenaan.


Buku ini turut memetik pandangan pemimpin dan media daripada
negara jiran serta negara asing yang terkandung dalam dokumen
deklasifikasi itu, sekali gus turut mendedahkan pandangan sinis bekas
Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.


Pandangan lancang Lee itu termuat dalam telegram FCO yang
menganggap Tunku Abdul Rahman sebagai ‘seorang tua yang bodoh, tetapi
beliau ialah seorang tokoh bapa’, manakala Tun Abdul Razak pula dicemuh
dengan mengatakan, ‘Razak menjadi semakin menyerupai seorang setan yang
pintar’.


Ia disebut dalam telegram yang dihantar Diplomat British di
Singapura, Sir A de la Mare yang bertemu dengan Lee dan kemudian
menghantar telegram berkenaan pada 2 Jun 1969.


Judul buku ini mungkin provokatif dengan maksud memancing
minat pembaca kerana menggambarkan penulisannya berdasarkan dokumen
sulit dan rahsia yang dibuka serta diturunkan tarafnya, tetapi dokumen
terbabit tidak dapat lari daripada pandangan tipikal pegawai tinggi,
perisikan, wartawan dan ekspatriat bekas kuasa imperialis kepada negara
bekas jajahannya.


Kebenaran di sebalik peristiwa 13 Mei sudah tentu tidak boleh
dan tidak wajar ditentukan dengan hanya berlandaskan laporan asing,
sebaliknya perlu diimbangi dengan penyelidikan daripada pengkaji dan
sejarawan tempatan.


Sekiranya buku setebal 165 halaman terbitan Suara Rakyat
Malaysia (Suaram) Komunikasi ini menimbulkan keterujaan pembaca dengan
bahagian yang mempersoalkan sejarah versi kerajaan, maka ia juga
sepatutnya turut mempersoalkan sejarah versi ‘bekas kerajaan penjajah’.





Orang ekonomi, sosiologi minati politik


DR KUA Kia Soong yang dilahirkan di Batu Pahat, Johor, ada 1950
adalah cucu kepada pengasas Bank Batu Pahat dan bekas Pengetua Kolej
New Era yang dikendalikan oleh gerakan pendidikan bahasa Cina, Dong
Jiao Zong.


Beliau melanjutkan pengajian di Universiti Manchester, United
Kingdom (UK) dan menyelesaikan Sarjana Muda Ekonomi pada 1975; Sarjana
Ekonomi (1976) dan doktor falsafah dalam Sosiologi (1981).


Selepas pulang ke tanah air, Dr Kua menyertai gerakan Dong
Jiao Zong pada 1983 sebagai penasihat pendidikan dan kemudian dilantik
sebagai Pengarah Penyelidikan Huazi Resource & Research Centre
apabila ia ditubuhkan oleh 15 pertubuhan Cina Malaysia Utama pada 1985.


Pada 1987, Dr Kua ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) ketika Operasi Lalang dan selepas dibebaskan pada 1989,
beliau turut menjadi pengasas kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan
sehingga kini masih aktif sebagai Pengarah Suaram.


Pada Pilihan Raya Umum 1990, beliau bertanding dan memenangi
Kerusi Parlimen Petaling Jaya atas tiket DAP, selain pernah dipilih
sebagai Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pada 1991.


Dr Kua gagal mempertahankan Kerusi Parlimen Petaling Jaya pada
Pilihan Raya Umum 1995 apabila borang penamaan calonnya ditolak kerana
kesilapan teknikal apabila saksi kepada pencadang tidak menurunkan
tandatangan pada salah satu daripada tiga dokumen diperlukan,
membolehkan calon Barisan Nasional (BN), Vincent Lim Kuo Phau,
diisytiharkan memenangi kerusi terbabit..





INFO


13 Mei: Dokumen-dokumen Deklasifikasi tentang Rusuhan 1969 Malaysia


Tulisan: Dr Kua Kia Soong


Terjemahan: Seah Li Ling


Tebal: 165 halaman


Penerbit: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Komunikasi




      Menambah banyak teman sangatlah mudah dan cepat. Undang teman dari 
Hotmail, Gmail ke Yahoo! Messenger sekarang! 
http://id.messenger.yahoo.com/invite/

Kirim email ke