SASTERA-UTUSAN MALAYSIA

 
 
 
ARKIB : 09/08/2009

                
                







.khad1,
.khad1:link,
.khad1:visited,
.khad1:active {
    color:#3366CC;
    text-decoration:underline;
    border-bottom:#3366CC 1px solid;
}

.khad1:hover {
    color:#c03;
    text-decoration:underline;
    border-bottom:#c03 1px solid;
}

.khad2,
.khad2:link,
.khad2:visited,
.khad2:hover,
.khad2:active,
    text-decoration:none;
    border-bottom:none;
}










Pulangnya Burung Merak Jogja
Oleh Ku Seman Ku Hussain



Di Nusantara dia diberi gelaran manis, "Burung Merak Jogja".
Terbangnya ke serata dunia dengan sayap sastera, tidak lekang semangat
Indonesia dan sangat tebal pula protes terhadap arus perdana. Biarpun
usia melewati tujuh dekad, dia masih ampuh berpuisi lantang di pentas
teater.

Dia memilik nama besar selepas dipenjarakan beberapa kali pada era
bekas Presiden Suharto kerana puisi protesnya. Keluar penjara dia tetap
tokoh yang dijulang oleh segenap warga, dari tokoh politik hingga
pelacur-pelacur di kota Jakarta.

Demikian percikan pengaruh puisi kepada sasterawan tersohor
Indonesia, W.S Rendra yang menutup usia 74 tahun pukul 10.22 malam
Khamis lalu di Jakarta Utara. Rendra atau nama sebelum memeluk Islam
Wilibrordus Surendra Broto ini berjuang menerusi wadah sastera; puisi
dan teater. Selepas memeluk Islam, Rendra menukar namanya kepada Wahyu
Sulaiman Rendra atau singkatannya W.S. Rendra.

Pengaruh Rendra sangat digeruni pemerintah, acara deklamasi puisinya
kerap diserbu dan beberapa kali pula Rendra dihumban ke rumah pasung.

Tetapi Burung Merak Jogja ini tidak pernah tewas, sayapnya tidap pernah
patah. Buktinya pada dekad 80-an, acara deklamasi puisi Rendra yang
dikenakan tiket RM30 penuh sesak seumpama konsert artis popular.

Sepanjang hayatnya, Rendra tidak pernah toleran kepada
penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa. Rendra bangun memprotes dan
menjadi suara golongan gelandangan yang hidup di bawah jambatan di
Jakarta. Rendra menjadi sasterawan pertama yang mendapat sokongan hebat
seluruh pelacur-pelacur Kota Jakarta selepas mencipta puisi Bersatulah 
Pelacur-Pelacur Kota Jakarta.

riwayat

Membaca riwayat Rendra, saya begitu teringin untuk menemuinya.
Terlalu terpagut dengan lancang suara dan aksi tatkala berteater. 


Tahun 1985, apabila Rendra mengadakan program bersama Grup Teater
Kreatif, saya dan wartawan Zaini Nasri (kini Pengarah Hal Ehwal Pelajar
Universiti Utara Malaysia) mewawancara Rendra, dari kisah dunia sastera
hingga pergulatan politik Indonesia.
Rendra memperlihatkan ketokohan sebagai pemimpin yang menggerakkan
perjuangan rakyat. Jawapannya penuh yakin dilontarkan dalam suara yang
sangat tenang apabila menggambarkan rejim Suharto sebagai "perompak"
kesejahteraan rakyat.

Wawancara yang berlangsung di Rumah Grup Teater Kreatif itu memberi
peluang kepada saya mengenali karakter dan laras pemikiran sastera
besar yang memilih jalan kiri untuk sampai ke destinasinya. Saya masih
ingat kata-kata Rendra apabila kami berdua mengasak dengan soalan
mengenai rejim Suharto yang banyak menangkap golongan seniman, kata
Rendra, "Mereka boleh penjarakan saya, bukan perjuangan saya."

Lelaki berambut gondrong, seluar jeans dan satu butang baju pasti
terbuka di dada, bukan saja sangat tangkas ketika mendeklamasi puisi
malah bertenaga seperti orang muda. Puisinya pula lebih berupa naratif
yang sangat sukar disampaikan oleh deklamator lain yang tidak mempunyai
stamina yang sama. Rendra mencurahkan lebih separuh daripada usianya
kepada sastera dan teater. Rendra menulis naskhah teater dan melakonkan
sendiri menerusi konsep teater yang dikenali sebagai "mini kata".

Rendra yang dilahirkan di Solo pada 7 November 1935 bukanlah secara
kebetulan terjerumus dalam kancah sastera dan perjuangan golongan kiri
di Indonesia. Selepas tamat sekolah, Rendra memasuki Fakulti Sastera
dan Kebudayaan Universitas Gajah Mada, kemudian melanjutkan pengajian
di American of Academy of Dramatic Art di New York.

Sekembali dari New York tahun 1967, Rendra membangunkan Bengkel
Teater di Jogjakarta. Di situ Rendra menjadi pengasuh kepada golongan
muda yang meminati sastera dan teater. Karya-karya awalnya sudah berbau
protes selepas Rendra terpasung kepada perjuangan mahasiswa yang cukup
hebat pada dekad 70-an. Rendra tidak membuat demonstrasi jalanan tetapi
melontarkan protes dalam karya-karyanya.

Selain memprotes dalam puisi dan teater, Rendra memperlihatkan
pemerhatian tajam kepada gejolak sosial kelas rendah. Dari situ
lahirlah puisi Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta, Pesan
Pencopek Kepada Pacarnya, Blues Untuk Ronnie, State of Emergency, Sajak
Seorang Tua Tentang Bandung Lautan Api dan Mencari Bapak.
Antara karya teater Rendra yang menjadi sebutan ialah Oedipus Rex, Kasidah 
Berzanji, Perang Troya Tidak Akan Meletus dan Kereta Kencana. Prestasi Rendra 
di dunia sastera ditandai dengan banyak penghargaan yang diterimanya. Antaranya 
ialah Achmad Bakrie Award 2006 kerana menunjukkan bentuk yang unik dalam dunia 
puisi Indonesia. 


Dalam berkarya, Rendra mengecualikan dirinya dari arus perdana puisi
Indonesia yang didominasikan oleh puisi-puisi liris. Tetapi puisi
Rendra adalah naratif serta menggali pelbagai segi lain yang terabai
dalam dunia puisi Indonesia.
terdidik

Rendra seorang yang terdidik supaya menyedari landasan hubungan
antara manusia dalam konteks emansipasi individu yang digambarkan dalam
konsep "aku ada kerana kamu, kamu ada kerana aku". Kini Rendra sudah
tiada. Rendra meninggalkan sekian banyak karya yang menjadi khazanah
manusia dan kasih cinta yang tertumpah kepada isterinya, Ken Zuraida.

Ternyatalah Burung Merak Jogja ini bukanlah lelaki yang patah
sayap kirinya. Sayap perjuangan Rendra tidak pernah patah sekalipun
kerap kali dikurung. Semoga perjalanan pulang Rendra dilimpahi rahmat.






      Yahoo! Mail Kini Lebih Cepat dan Lebih Bersih. Rasakan bedanya sekarang! 
http://id.mail.yahoo.com

Kirim email ke