Nasional-BERITA HARIAN Cetak . Emel Rakan . Bangunan tinggalan syarikat lombong timah kurun ke-19
2010/07/12 BATU GAJAH: Stor tempat simpanan bijih timah yang menjadi lokasi kejadian tiga pelajar terbunuh dan seorang lagi parah selepas dihempap bumbung konkrit bangunan lama itu di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Changkat Tin, dekat sini, malam kelmarin dipercayai berusia lebih 50 tahun. Ia berdasarkan sejarah perlombongan bijih timah di Perak terutama sekitar Batu Gajah yang wujud sejak kurun ke-19, yang mana ketika itu industri berkenaan sudah diusahakan penduduk Melayu. Difahamkan, Tanjung Tualang satu ketika dulu dikenali kerana mempunyai beberapa lombong bijih timah yang beroperasi pada skala besar. Antara syarikat multinasional yang pernah bertapak serta beroperasi di Tanjung Tualang ialah Lower Perak Tin Dredging, Southern Kinta Consolidated, Southern Malayan Tin Dredging, Austral Amalgamated Tin, Osborne & Chapple, Pernas Chartered Management dan Malaysian Mining Corporation. Kebanyakan syarikat berkenaan membina tempat penyimpanan bijih timah masing-masing sebagai tempat simpanan bahan mentah itu sebelum diproses. Ketua Perhubungan RELA Tanjung Tualang, Ahmad Redwan Arif, berkata berdasarkan maklumat penduduk setempat, stor simpanan bijih timah sudah berusia lebih 50 tahun dan dibiarkan dalam keadaan asal kerana dianggap tinggalan sejarah. "Tempat itu (stor) memang dijadikan sebagai tempat simpanan bijih kerana berdasarkan lokasi kejadian, ia hanya terletak kira-kira 10 meter dari kawasan lombong tinggal. "Stor berkenaan memang sentiasa dijadikan sebagai tempat bermain dan membaiki basikal oleh sebahagian kanak-kanak di kawasan itu, selain tempat berteduh," katanya. Tinjauan Berita Harian di lokasi kejadian turut mendapati stor berkenaan mempunyai rekahan serius di struktur dinding, dan bumbung konkrit, selain kawasan berkenaan dikelilingi belukar kecil. Turut difahamkan, bahagian atas stor itu dilitupi separuh bumbung konkrit, manakala sebahagian lagi dibiarkan terbuka. Bahagian bumbung konkrit itu yang dikatakan runtuh dan menghempap empat pelajar terbabit.