Suami sebagai
pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kretif dalam mendidik isteri.
Allah bekalkan kepada kita kaum lelaki kekuatan akal yang rasional?
tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak
mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini
dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran
serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami akan
menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. Firman Allah yang
bermaksud:

"lelaki
adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah
melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah
menafkahkan sebahagian daripada hartanya."

Tercetusnya
kebahagiaan rumahtangga ialah apabila suami dapat menggunakan kekuatan
akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri -
makhluk yang kuat perasaannya.

Secara
mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita
adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan
suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita,
lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri
sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira
di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.

Kaum
wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding
dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang
dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang
menyebabkan seseorang itu mudah tidak sabar, mudah prasangka, pemarah,
pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendekata,
hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita.
Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri
wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal.
Atas dasar inilah wanita mesti dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar
segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.

Sembilan
nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan
keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu
tidak mahu suami terpaksa belajar sedikit sebanyak ilmu untuk
menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan
ilmu syariat. Barulan nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam
mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang
mencabar kesabaran kita.

Kebijaksanaan
mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada
seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan sumi menurut
saja kemahuan isteri sehingga isteri besar kepala. Manakala
kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan
nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh membahayakan
isteri. Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan
akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika
kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan
bepandukan ilmu tasauf. 

Contoh
bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada
satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah saw.
Tatkala Rasulullah saw lalu di sebelah rumahnya dia akan membaling
sampah kepada Rasulullah saw. Adakalanya dia menaburkan sampah dan
serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah saw.
Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Rasulullah lalu di
sebelah rumahnya. Tetapi sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda
Rasulullah saw.

Suatu
hari Rasulullah rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi
lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang
dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya jiran
perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu baginda naik
ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah bertanyakan
khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah
terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Rasulullah sanggup
menziarai dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan
sifat sabar Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu menyebabkan
terbuka hatinya memeluk Islam.

Pada
masa yang lain, pernah Rasulullah melintasi sekumpulan kaum perempuan,
lalu baginda memberi salam. Tetapi tiada siapa pun yang menjawab salam
baginda. Baginda memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga.
Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri salam, barulah mereka
menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut
salam yang pertama dan kedua mereka menjawab, "Kami sengaja mahu
Rasulullah saw mendoakan untuk kami."

Begitu
Rasulullah saw mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran
baginda rasanya tercabar, tetapi Rasulullah masih dapat menunjukkan
akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum
perempuan yang pendek akalnya, kita kaum lelaki mudah naik angin.
Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk
memahami sesuatu perkara. Tetapi kita kaum lelaki mestilah menyedari
hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh
itu, kita kaum lelaki mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan
penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.

Suatu
ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah dan bertanya
tentang mendi hadas. Rasulullah menjawab, "Ambillah sepotong kain perca
yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya." Perempuan itu
terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia
mengulangi lagi pertanyaannya, "Bagaimana saya hendak berwuduk dengan
itu?" Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi
perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah
meminta kepada Siti Aisah supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka
Siti Aishah pun berkata, "Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu
letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah
berhenti,"

Yang
dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah
sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada
itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri
pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin.

Ada
waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, kita hendaklah
merendahkan sifat ego kita. Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah
tatkala bersama Siti Aishah. Sewaktu Rasulullah dinikahkan dengan Siti
Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan
mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa
melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan
sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti
Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang dalam perlumbaan
tersebut. Bermakna sewaktu bersama isteri adakalanya Rasulullah melayan
kehendak isterinya tanpa menjatuhkan mertabatnya sebagai seorang suami
yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa
tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai
terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri. Di sinilah
perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam
perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan
sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan
terpaksa diketepikan.

Sebagai
orang yang ditua-tuakan dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk
mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh
kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka
adakalanya apabila fikiran terganggu emosinya juga terikut sama.
Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan
diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar,
mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami. Memang satu sifat
yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala dia sedang marah.
Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu
kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan
Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain).

Bagaimana
sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang
dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai
kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya
setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan
prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang
mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan
perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal
kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja
sehingga perasaan marahnya kendur. Ada kalanya demi keharmonian
rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya
diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan
isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Saya bukanlah menggalakkan suami
mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di
belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak
bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin
ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk
menerimanya.

Hal
ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah saw. Suatu hari
isteri-isteri datang menemui baginda dan Siti Aishah, yang mewakili
mereka semua, bertanya, "Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri
Rasulullah, yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?" Rasulullah
tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya.
Bahkan baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji
akan memberikan jawapannya kemudian.

Bagaimana
harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang
tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil.
Ini diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai memainkan
peranannya supaya jangan ada dikalangan isteri-isteri yang tersinggung
perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang lain.

Berbalik
kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah saw mendatangi
isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun
tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya
sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahi
sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada
isteri-isteri yang lain. Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah saw
menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi
jawapan kepada persoalan yang dikemukakan.

Maka
berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di
antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa
pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara
mereka. tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda pun berkata,
"Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin
kepadanya." Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap
seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah
sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran
isteri.

Satu
perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang
kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak
menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi
sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit
jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu
sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang
sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi
kendur barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada
tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang
disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah juga pernah
berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah
tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan
tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah
diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja
dan melupakan perkara tersebut.

Tidak
semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami
yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pangasih terhadap suami dan
anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya
untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai
penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami
sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan
sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya bahkan dia
akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah
saw yang bermaksud:

"Barangsiapa  memiliki isteri yang solehah maka sesungguhnya ia telah memiliki 
separuh dari  agamanya."

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: 

"Dunia adalah  hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang  
solehah."

Apabila
wanita dapat dididik dengan betul maka ia dapat memberi kebaikan kepada
seluruh umat kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan
datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah
akan membahagiakan seluruh isi alam.

Firman
Allah swt, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di
dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang
ingat-mengingati dengan kesabaran." Surah Al-Ashr

Dari Abdullah bin 'Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda: "  Sampaikanlah 
pesanku biarpun satu ayat..."



www.lamanmotivasi.blogspot.com 
Inspirasikan dan motivasikanlah hidup anda untuk mencapai tujuan
atau cita-cita yang anda inginkan.Jangan jadikan dugaan,cubaan dan
rintangan mematahkan semangat anda. 

   




__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke