Black 505: Salleh jangan risau, tidak perlu tentera 
<http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/20187-black-505-salle\
h-jangan-risau-tidak-perlu-tentera>

Harakahdaily, 20 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan  Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganggap
cadangan Pengarah  Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman
Awam, Datuk Seri  Salleh Mat Rasid yang mahu menggunakan bantuan tentera
jika keadaan  memerlukan dalam menangani pelbagai perkara terutamanya
Himpunan Black  505 pada Sabtu ini sebagai tidak rasional dan relevan.





Bagi  DPPWP, cadangan Salleh keterlaluan kerana menganggap perhimpunan 
tersebut sebagai suatu ancaman kepada negara dan dengan menggunakan 
tentera bererti nyawa dan keselamatan rakyat terutama peserta himpunan 
dalam keadaan bahaya.



"Mungkin  kenyataan Salleh hanya  suatu provokasi bagi
menakut-nakutkan rakyat agar menjauhi perhimpunan  aman yang dijadualkan
pada Sabtu ini," ujar Timbalan Ketuanya, Mohamad  Suhaimi Abdul Aziz
dalam satu kenyataan.



Justeru, tanya  beliau apakah pihak polis tidak pernah menangani
perhimpunan-perhimpunan  aman yang diadakan sebelum ini sehingga
terfikir untuk menggunakan  khidmat tentera.



"Bukankah negara ini meriah dengan  pelbagai siri perhimpunan aman
sejak dahulu lagi dan kesemuanya itu  berakhir dengan aman tanpa
sedikitpun pertumpahan darah?" tanya beliau  lagi.



DPPWP menegaskan peserta perhimpunan bukannya pengganas atau penjenayah
berbahaya yang mahu menjajah negara.



Katanya, kesemua peserta himpunan hadir dengan santai bersama keluarga
tanpa senjata.



Negara ini pula, ujar beliau bukannya berada dalam keadaan darurat
sehingga memaksa tentera turun campurtangan.



"Salleh  tidak perlu risau dengan perhimpunan ini kerana rakyat
bukannya  pemberontak yang tidak tahu undang-undang dan hak mereka,"
ujarnya lagi.



Tambahnya, semua pihak menghormati perlembagaan, undang-undang dan
sistem pilihan raya yang diguna pakai di negara ini.



Bahkan, jelasnya pemimpin perhimpunan berikrar tidak akan menggulingkan
kerajaan melalui jalan raya.



Menurutnya,  rakyat hanya mahukan keadilan dalam sistem pilihan raya
yang telah  ditipu dan SPR perlu bertanggungjawab terhadap kesemua
dakwaan ini.



"Rakyat  hanya mahukan kerajaan mengambil langkah menangani segera
isu  penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya dengan rombakan
terhadap  SPR serta penambah baikan agar PRU14 dijalankan dengan adil
dan bersih,"  katanya.



DPPWP mengharapkan, cadangan tersebut hanya tinggal cadangan dan tidak
akan dilaksanakan menjelang himpunan Sabtu ini.



Katanya,  rakyat menyanjung tinggi pasukan keselamatan terutama pasukan
tentera  yang begitu setia dan ikhlas berkhidmat untuk negara dan wajar
tenaga  mereka digunakan buat membendung jenayah dan pengganas yang
menjadi  ancaman sebenar kepada negara.

PERINGATAN: Komentar  yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah
milik peribadi akaun  laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar
yang disiarkan TIDAK  menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang
disiarkan menjadi  tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar
dinasihatkan  bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar
melampau dan berbaur  perkauman.

Kirim email ke