PAS akan pastikan Islam, Melayu terbela dalam Pakatan 
http://bm.harakah.net.my/index.php/headline/18964-pas-akan-pastikan-islam-melayu-terbela-dalam-pakatan
 

Harakahdaily, 04 Mei 2013 
KUALA LUMPUR*: PAS memberi jaminan akan mempastikan Islam dan Melayu terbela 
sepenuhnya dalam Pakatan Rakyat jika ia mendapat mandat mentadbir negara 
selepas pilihan raya umum ke 13 ini.

Jaminan ini diberikan oleh dua pemimpin tertinggi PAS iaitu Mursyidul Am Tuan 
Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Nik 
Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan berasingan mereka.

"Saya dengan ini, memberi jaminan seutuhnya sekiranya Pakatan Rakyat menguasai 
Putrajaya, maka PAS akan terus menjunjung kemuliaan Islam dan memastikan 
kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai tunjang kepada sistem Raja 
Berperlembagaan," kata Tuan Guru Nik Aziz dalam kenyataannya.

"PAS akan memastikan kepentingan Melayu dan Islam terjaga dengan baik dalam 
Pakatan Rakyat tanpa sedikitpun mengganggu atau bertindak tidak adil kepada 
mana-mana pihak," kata Tuan Guru Abdul Hadi pula dalam kenyataannya.

"Maka kewujudan agensi dan entiti seperti UITM, MARA, Tabung Haji dan 
lain-lainnya akan terus diperkukuhkan sesuai dengan tuntutan masa untuk 
menghadapi cabaran yang semakin sengit di dunia luar," tegas beliau lagi.


Berikut adalah kenyataan penuh mereka berdua:


 *KENYATAAN MEDIA MURSYIDUL AM PAS*

Bismilllahir-Rahmanir-rahim.

Assalamu’alaikum waramatullahi wa barakatuh.

Saudara saudari pengundi sekelian,

Dalam masa kurang dari 48 jam dari sekarang, kita akan melalui satu proses 
demokrasi bagi menentukan parti manakah yang akan memegang tampuk pemerintahan 
negara untuk tempoh 5 tahun akan datang.

Pada penghujung tempoh berkempen ini, saya yakin saudara saudaritelah menerima 
pelbagai bentuk maklumat mengenai tawaran-tawaran dari Barisan Nasional mahu 
pun dari Pakatan Rakyat, sama ada melalui media arus perdana atau media baru 
seperti Facebook, Blog, Twitter dan sebagainya.

Berdasarkan perkembangan kempen selama dua minggu ini, maka saya dengan rendah 
hati merayu agar saudara saudari sekalian dapat mengundi calon-calon Pakatan 
Rakyat. Jika di Dun/Parlimen itucalon PAS, maka undilah PAS. Begitulah di mana 
Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding, undilah PKR dan di mana ada calon DAP, 
maka undilah DAP.

Atas semangat pemuafakatan tahaluf siasi, PAS, PKR dan DAP sedia menjadi 
pilihan terbaik dari apa yang Barisan Nasional lakukan selama 55 tahun 
memerintah Malaysia.

Justeru PAS sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan politik Islam, 
sudah tentu PAS tidak akan berganjak seinci pun dalam memelihara kesucian agama 
Islam. Atas penegasan ini, maka PAS sedia menawarkan peranan yang lebih besar 
bagi menjamin kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. PAS sedia memastikan 
kedudukan Islam dimartabatkan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam 
Perlembagaan Negara. Ini telah dibuktikan sepanjang sejarah perjuangan PAS 
sejak dari dahulu lagi––PAS tanpa rasa kekok atau apologetik––PAS sentiasa 
meletakkan kesucian Islam pada kedudukan yang paling tinggi di dalam perjuangan 
kami.

Saya dengan ini, memberi jaminan seutuhnya sekiranya Pakatan Rakyat menguasai 
Putrajaya, maka PAS akan terus menjunjung kemuliaan Islam dan memastikan 
kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai tunjang kepada sistem Raja Berperlembagaan. 
Hal ini penting, tatkala Sistem Beraja dicabar oleh beberapa pindaan 
Perlembagaan sejak 80-an lagi, PASlah satu-satunya parti yang konsisten di 
dalam mempertahankan sistem

Raja Berperlembagaan ini di hadapan rakyat. Natijahnya, PAS sedia memastikan 
institusi Raja terus disanjung, seiringan dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu 
sebagai institusi bersejarah di tanah air tercinta ini.

Oleh itu PAS akan terus memelihara keluhuran Perlembagaan sebagai undang-undang 
dasar yang paling tinggi di dalam sistem pemerintahan Negara, dan tidak rela 
perlembagaan itu dimanipulasikan oleh mana-mana pihak demi agenda politik 
tertentu. Tekad PAS adalah untuk terus menjuarai usaha-usaha untuk melindungi 
dan mempertahankan hak-hak rakyat, khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera 
sebagaimana termaktub di dalam Perkara153 Perlembagaan Malaysia. PAS tidak akan 
segan silu untuk menjadi jurubicara rakyat dalam Perkara ini, dan dalam masa 
yang sama, memberikan hak-hak yang adil dan saksama kepada seluruh kaum-kaum 
lain sebagaimana peruntukan yang ada.

Akhir sekali, saya memberi jaminan bahawa PAS akan terus berjuang untuk 
membebaskan penjawat awam dari cengkaman politik dan mempastikan tiada seorang 
pun kakitangan awam menjadi mangsa politik walaupun mereka mempunyai kefahaman 
politik yang berbeza.

Kita memberi jaminan bahawa tidak ada seorang pun penjawat awam, termasuklah 
15,000 kakitangan KEMAS dan 10,000 kakitangan JKKK di seluruh negara yang akan 
dibuang kerja jika Pakatan Rakyat memerintah negara selepas PRU-13 nanti.

Undilah PAS. Undilah calon-calon Pakatan Rakyat. Ini kalilah! Ubah!
Kekal Kelantan Ubah Putrajaya.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS
merangkap Menteri Besar Kelantan

-----------------------------------

 *KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS*
Sabtu 4 Mei 2013/23 Jamadil Akhir 1434

“JAMINAN PAS TERHADAP KEPENTINGAN MELAYU-ISLAM DI MALAYSIA”

1. Penubuhan suatu gagasan besar yang bernama Pakatan Rakyat (PR) oleh Parti 
Islam SeMalaysia (PAS), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat 
(PKR) adalah untuk membawa Malaysia ke satu era baru, iaitu menolak politik 
berasaskan perkauman yang sekian lama di monopoli oleh parti-parti yang 
membentuk Barisan Nasional dan untuk menolak kerosakan yang telah membarah 
dalam negara kita ini.

2. Pakatan Rakyat telah bergerak dengan begitu teguh, di mana kebersamaannya 
adalah di asaskan oleh perkara yang dipersetujui bersama di antara PAS, DAP dan 
PKR yang telah diperincikan menerusi deklarasi-deklarasi Konvensyen PR, Buku 
Jingga dan Manifesto yang tidak menindas hak mana-mana bangsa, agama ataupun 
jantina. Hasilnya, PR telah menjadi suatu muafakat politik yang mampu untuk 
menggantikan Barisan Nasional yang sudah semakin bermasalah untuk menguruskan 
negara kita ini.

3. Sehubungan dengan mandat besar yang kita perlukan dari rakyat dalam PRU-13 
ini, PAS sekali lagi ingin memberikan jaminan bahawa institusi awam yang 
berkait rapat dengan kedudukan orang Melayu beragama Islam dalam negara ini 
sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan 
terjejas sedikit pun.

4. PAS akan memastikan kepentingan Melayu dan Islam terjaga dengan baik dalam 
Pakatan Rakyat tanpa sedikitpun mengganggu atau bertindak tidak adil kepada 
mana-mana pihak. Maka kewujudan agensi dan entiti seperti UITM, MARA, Tabung 
Haji dan lain-lainnya akan terus diperkukuhkan sesuai dengan tuntutan masa 
untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit di dunia luar.

5. Berasaskan jaminan PAS ini, maka rakyat Malaysia yang menjadi pengundi dalam 
PRU-13 pada 5 Mei 2013 ini tidak perlu merasa ragu lagi untuk memberikan undi 
mereka kepada Pakatan Rakyat, menerusi lambang PAS, DAP dan PKR. PAS akan 
membalas amanah rakyat untuk bersama Pakatan Rakyat memuliakan Islam, 
meluhurkan Perlembagaan serta berkebajikan untuk rakyat.


Selamat Mengundi.

MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN
PAKATAN HARAPAN RAKYAT

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

PERINGATAN:* *Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik 
peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan 
TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi 
tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan 
bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur 
perkauman.*

<<"">>

Kirim email ke