Pengundi perlu tamatkan politik perkauman UMNO/BN
    -------------------------------------------------

April 29th, 2013
Masanya sudah tiba untuk rakyat Malaysia menamatkan riwayat politik perkauman 
yang selama ini telah menyebabkan kita hidup dengan penuh rasa takut, gelisah 
dan cemas.
Perubahan akan bermula apabila rakyat Malaysia menolak politik benci dan 
politik suka menakutkan rakyat yang dibawa oleh UMNO-BN. Perubahan akan bermula 
apabila pengundi Malaysia menerima politik bersih, amanah dan bebas rasuah yang 
dibawa oleh Pakatan Rakyat. Perubahan akan bermula apabila kita semua menolak 
politik perkauman.
Saya menyeru pengundi Malaysia supaya menamatkan riwayat politik perkauman yang 
menjadi amalan UMNO-BN kerana ia bukan sahaja bahaya untuk perpaduan kaum, ia 
juga telah digunakan untuk melindungi kezaliman dan salahguna kuasa.

    * Isu lembu dan kondo NFC bukanlah isu ekonomi Bumiputera; ia sebenarnya 
isu salah guna kuasa dan penyelewengan pemimpin BN dan keluarga mereka;
    * Isu penswastaan dan kerugian syarikat penerbangan MAS bukanlah isu ekuiti 
saham Bumiputera; ia soal salah guna kuasa kerajaan dan kegagalan pentadbiran 
kroni;
    * Isu PKFZ bukanlah isu perkauman; ia soal penyelewengan para pemimpin 
kerajaan BN;
    * Isu konsesi tol dan lebuh raya bukanlah isu kemudahan asas rakyat; ia 
adalah soal mengkayakan kroni dan memiskinkan rakyat;
    * Isu Lynas bukanlah isu untuk pelaburan; ia adalah soal keselamatan nyawa 
dan kesihatan rakyat serta pencemaran alam sekitar.
Saya menyeru pengundi Malaysia untuk bersatu memilih Pakatan Rakyat atas 
dasar-dasar bersama menegakkan keadilan, mengutamakan kebenaran, menjamin 
kebebasan, melaksanakan kebajikan, memulihkan demokrasi dan membantu mereka 
yang memerlukan.
Mari kita jadikan tahun 2013 sebagai detik bersejarah untuk menamatkan politik 
perkauman dan amalan-amalan yang mencacatkan demokrasi kita bagi membawa era 
perubahan dan transformasi yang sebenar.
Ubah! Ini kalilah!

<<"">>

Kirim email ke