Petugas BN maut selepas dua hari koma
3 Mei 2013 
KULIM - Seorang petugas Barisan Nasional (BN) yang terlibat dalam kejadian 
langgar lari dua hari lepas meninggal dunia di Hospital Kulim hari ini.

Mohd Faiz Ismail, 17, yang koma sejak kemalangan meninggal kira-kira 2.30 pagi.

Jenazahnya dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamiul Makmur kira-kira 
11.30 pagi tadi yang turut dihadiri calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen 
Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan calon bagi kerusi Dewan 
Undangan Negeri Kulim, Chua Theong Gee.

Mohd Faiz dan tiga rakannya dilapor dirempuh sebuah kereta di Jalan Mohd Asaad 
kira-kira 3.45 pagi.

"Sebelum itu kami berempat memasang bendera di sekitar kawasan Kulim dan kami 
habis kerja kira-kira tengah malam. Selepas selesai makan dan dalam perjalanan 
pulang, kami lihat beberapa lagi rakan kami sedang membetulkan bendera yang 
dipasang.

"Kami memberhentikan motosikal kami di bahu jalan untuk melihatnya, tetapi 
tidak sampai lima minit, tiba-tiba sebuah kereta yang datang dari Taman Selasih 
menuju pekan Kulim merempuh kami hingga menyebabkan Mohd Faiz, saya dan seorang 
lagi rakan tercampak di atas jalan, manakala rakan yang membawa motosikal yang 
dibonceng Mohd Faiz terseret beberapa meter," kata salah seorang daripada 
mereka Ahmad Saberin Mohd Sabri, 21.

Mohd Faiz yang cedera di kepala dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sementara yang 
lain menerima rawatan sebagai pesakt luar.

Abdul Aziz berkata BN bahagian Kulim/Bandar Baharu membiayai urusan 
pengkebumian Mohd Faiz dan menghulurkan sumbangan RM5,000 kepada keluarganya. - 
Bernama

<<"">>

Kirim email ke