LAMAN MARHAEN (marhaen.kelatedaily.net)
 


KENYATAAN MEDIA (31 Januari 2006)
Jabatan Pembangunan Mahasiswa Dewan Pemuda PAS Pusat (JPMDPPP)

 
Saya merujuk kepada kandungan semua akhbar utama tanahair pada hari Sabtu, 28/1/2005 yang telah melaporkan pengumuman yang dibuat oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak bercadang untuk memansukhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (‘AUKU’). Menurut laporan akhbar itu lagi, pengumuman tersebut dibuat sebagai respon beliau terhadap memorandum yang diserahkan oleh kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Negara bersempena dengan sidang Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
 
JPMDPP merasa amat kecewa dan kesal dengan pengumuman tersebut. JPMDPP melihat pengumuman ini sebagai satu usaha licik kerajaan untuk menutup terus sebarang ruang perbincangan oleh mana-mana pihak berhubung dengan kerelevanan peruntukan-peruntukan di dalam AUKU. Memorandum yang diserahkan MPP-MPP IPTA pula bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebagaimana yang diketahui umum, kesemua MPP-MPP IPTA sekarang dikuasai oleh kumpulan ASPIRASI yang pro BN yang jelas mendapat banyak manfaat dari peruntukan dan perlaksanaan AUKU yang tidak demokratik, bertentangan dengan hak asasi manusia dan berat sebelah pula dari segi penguatkuasannya. Lihat sahaja cara bagaimana kumpulan ASPIRASI ini memenangi pilihanraya kampus IPTA dengan memperalatkan segala macam jentera universiti dan kerajaan (termasuk juga kerjasama dengan UMNO dimana wakil Pemuda dan Puteri UMNO turut hadir berkali-kali di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Pilihanraya peringkat Kemeterian pengajian Tinggi), serta sudah tentu dengan ‘berperisaikan’ AUKU sebagai senjata ampuh untuk mengugut dan menekan pelajar-pelajar yang tidak sehaluan dengan mereka.
 
Jika ditinjau dari segi sejarah, perjuangan menentang AUKU bukanlah hanya disuarakan oleh parti-parti politik pembangkang sahaja. Bahkan pelbagai pihak telah lama menyuarakan desakan yang serupa. Pengumuman terbaru ini jelas meggambarkan betapa tidak prihatinnya kerajaan dengan tuntutan dan desakan yang dibuat oleh gerakan pelajar, ahli akademik, tokoh politik, NGO-NGO sivil terutamanya sejak dari AUKU ini dipinda pada awal 1975 sebagai reaksi keras kerajaan terhadap Demonstrasi Baling 1974. Pengumuman ini juga jelas bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato Dr Shafie Mohd Salleh beberapa bulan dahulu bahawa kementeriannya sedang menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji  peruntukan-peruntukan tertentu di dalam AUKU setelah perkara yang sama dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat samada dari kerajaan mahupun pembangkang di dalam persidangan Dewan Rakyat tidak lama dahulu. Persoalan utama yang mesti dijawab oleh Kementerian Pengajian Tinggi ialah, apakah janji YB Menteri untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji AUKU secara keseluruhannya akan diteruskan selepas dari pengumuman terkini dari Timbalan Perdana Menteri?
 
JPMDPP melihat bahawa isu asas yang menjadi pendirian PAS, gerakan pelajar, tokoh-tokoh akademik, parti-parti politik, NGO-NGO dan juga ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang membicarakan berkenaan AUKU selama ini, bukanlah berkisar tentang samada AUKU perlu dimansukhkan atau tidak. Tetapi yang kita perjuangkan selama ini ialah supaya beberapa peruntukan tertentu di dalam AUKU yang amatlah tidak demokratik, bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia bahkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan (unconstitutional), dapat dipinda ataupun dimansukhkan terus.  Meskipun di dalam preamble AUKU 1971 jelas memperuntukkan bahawa AUKU adalah bertujuan untuk ‘to provide for the establishment, maintenance and administration of University and University Colleges and for other matters connected therewith’, tetapi kita melihat bahawa banyak peruntukan di dalamnya, terutamanya seksyen-seksyen baru yang dimasukkan selepas pindaan pada tahun 1975 yang dibentangkan oleh Menteri Pelajaran waktu itu, Dr Mahathir Mohamed melalui Akta Pindaan A295, seperti Seksyen 15A, 15B, 15C, 15D, 16A, 16B, 16C dan lain-lain yang jelas bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang. Matlamat utama terhadap pindaan yang dibawa dalam tahun 1975 tersebut yang kekal sehingga kini ialah menghalang
1) penglibatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja,  dan
2) penggabungan di antara badan-badan pelajar.
Antara beberapa peruntukan di dalam AUKU dan juga Kaedah-Kaedah Tatertib Pelajar (merupakan undang-undang kecil yang mengandungi semua peruntukan berkaitan dengan tataertib pelajar-pelajar dan dikuatkuasakan secara seragam di semua IPTA) dimana kaedah ini digubal oleh Lembaga Pengarah Universiti melalui perwakilan kuasa (delegated power) yang diberikan oleh Seksyen 16C (1) AUKU 1971, yang berlawanan dengan hak asasi manusia serta bersifat menindas dan perlu dipinda atau dimansukhkan segera ialah :
1)      Di dalam Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang digunapakai di kesemua IPTA di negara ini dan juga praktis yang menjadi amalan kebanyakan IPTA, bidangkuasa berkenaan dengan hal-ehwal tatatertib pelajar adalah diwakilkan oleh oleh Naib Canselor/Rektor sesebuah universiti kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang kemudiannya akan membentuk Jawatankuasa Tatatertib Universiti/Pihak Berkuasa Tatatertib Universiti. Merujuk kepada AUKU sendiri dan juga Kaedah-Kaedah Tatatertib Universiti, kuasa Jawatankuasa Tatatertib ini adalah amat luas dengan meliputi kuasa
1) menyiasat,
2) menjalankan pendakwaan,
3) mendengar kes tatatertib dan menghakimi kes tersebut dan
4) membuat keputusan serta menjatuhkan hukuman sekiranya pelajar yang dipertuduh itu didapati bersalah.
Perkara ini amatlah bertentangan dengan rules against bias yang menjadi tonggak utama kepada prinsip keadilan semulajadi (natural justice) yang menjadi dasar utama kepada mana-mana adjudicatory body termasuklah mahkamah atau pun mana-mana tribunal. Tidak ada jaminan pelajar yang dipertuduh oleh Jawatankuasa Tatatertib tersebut akan mendapat perbicaraan yang adil oleh kerana komposisi Jawatankuasa Tatatertib adalah terdiri dari orang yang sama yang menjalankan segala kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang. Peruntukan ini juga bertentangan dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak sama rata di sisi undang-undang dan hak sama rata untuk mendapat perlindungan undang-undang.
 
2)   Tidak terdapat pun sebarang peruntukan samada di dalam AUKU mahupun di dalam Kaedah Tatatertib Pelajar yang memberikan hak kepada pelajar yang didakwa di hadapan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar untuk mendapatkan khidmat seorang Peguambela dan Peguamcara bagi mewakilinya di dalam perbicaraan tersebut. Sedangkan bagi kakitangan universiti termasuk pensyarah yang turut di dakwa atas suatu pertuduhan tatatertib, mereka dibenarkan untuk diwakili oleh seorang peguam berdasarkan peruntukan di dalam Statutory Bodies (Discipline and Surcharge) Act 2000. Diskriminasi ini adalah bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan manakala penafian hak untuk diwakili oleh seorang peguam (right to counsel) adalah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. AUKU sepatutnya dipinda bagi memasukkan peruntukkan yang membenarkan seseorang pelajar diwakili oleh peguam pilihannya sendiri jika dia dibicarakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Universiti.
 
3)      Seksyen 15D pula menjadi ancaman utama kepada pelajar, terutamanya kepada pelajar yang sedang dipertuduh di bawah sebarang kesalahan jenayah diluar, di mana pelajar terbabit hendaklah digantung pengajian hinggalah kesnya selesai. Peruntukan ini jelas berlawanan dengan prinsip ‘a man is innocent until proven guilty’ kerana pelajar terbabit telahpun ‘dihukum’ sedangkan kesalahannya belum dibuktikan lagi. Jika didapati bersalah pelajar terbabit secara automatik akan dipecat dan sekiranya didapati tidak bersalah, akan diterima kembali untuk menyambung pengajian. Tetapi kita semua maklum bahawa sesuatu kes di mahkamah akan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.  JPMDPP berpendirian peruntukan Seksyen 15D ini sepatutnya dimansuhkan serta merta.
 
4)      Berdasarkan kepada Kaedah Tatertib Pelajar-Pelajar, mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas sesuatu kesalahan boleh dikenakan mana-mana satu atau gabungan dua atau lebih hukuman yang sesuai yang berikut, iaitu :
a) amaran;
b) denda;
c) dilarang daripada mana-mana bahagian atau bahagian-bahagian tertentu Universiti bagi tempoh yang ditetapkan;
d) digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi tempoh yang ditetapkan;
e) dipecat dari universiti.
Apa yang menjadi masalah, peruntukan ini adalah umum dan ianya tidak menentukan urutan hukuman yang mesti diikuti. Bentuk hukuman yang hendak dijatuhkan adalah berdasarkan kepada budibicara Jawatankuasa Tatatertib tanpa dipandu oleh apa-apa peraturan tertentu. Oleh sebab itu soal proportionality (kesetimpalan) juga boleh dipertikaikan di mana dalam beberapa kes, terdapat pelajar yang terus dikenakan hukuman dipecat dari universiti meskipun didapati bersalah melakukan kesalahan kali pertama dan kesalahan tersebut bukanlah kesalahan yang besar sepertu jenayah rompak ataupun rogol.
Selain dari perkara-perkara yang dinyatakan di dalam Perenggan 1-4 di atas, sebenarnya terdapat beberapa lagi peruntukan di dalam AUKU yang perlu dipinda atau dimansukhkan. Saya sendiri secara peribadi, sewaktu memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM), pernah membangkitkan hal ini secara terbuka dihadapan Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamed di dalam satu konvensyen pemimpin-pemimpin pelajar tanahair yang diadakan pada tahun 2001 di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Naib-Naib Canselor serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan. Perdana Menteri kemudiannya sewaktu menjawab persoalan yang saya kemukakan, tidak membantah sedikit pun hujah-hujah yang saya beri bahkan beliau berjanji untuk meneliti perkara tersebut. Namun sehingga hari ini tidak ada tindakan diambil sehinggalah YAB Timbalan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang jelas lari dari persoalan sebenar serta kelihatan cuba untuk menutup terus isu ini dari dibincangkan..
 
Justeru, JPMDPP mendesak kerajaan supaya meneliti perkara ini secara cermat dan mendalam. Kenyataan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, pada hemat JPMDPP, adalah satu kenyataan yang gopoh tanpa berasakan kepada pengkajian yang teliti. JPMDPP  tetap dengan pendirian bahawa AUKU 1971 perlu dikaji semula secara keseluruhannya di samping beberapa peruntukan di dalamnya perlu dipinda atau dimansuhkan sama sekali. Sekian.
Yang benar,
 
ABDULLAH HAJI ABDUL KARIM
Pengarah,
Jabatan Pembangunan Mahasiswa
Dewan Pemuda PAS Pusat
Bertarikh : 31hb Januari 2006/1hb Muharam 1427H.


Anda ber-Yahoo!?
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/


Subscribe: [EMAIL PROTECTED]
Unsubscribe: [EMAIL PROTECTED]
Digest message: [EMAIL PROTECTED]
HarakahDaily: http://www.harakahdaily.com
PAS Homepage: http://www.parti-pas.org

HarakahDaily.com disclaims any liability whatsoever or however arising from the posting of e-mails herein. Authors of the emails are advised to ensure that the contents of their e-mails do not attract any liability, civil or criminal.




SPONSORED LINKS
Malaysia florist Florist malaysia Malaysia flower
Malaysia flower shop Malaysia phone card Malaysia calling card


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke