Ulul Albab: Hukum khusus bagi Nabi tak boleh
dikongsi<http://laman-seri.blogspot.com/2010/03/ulul-albab-hukum-khusus-bagi-nabi-tak.html>

<http://laman-seri.blogspot.com/2010/03/ulul-albab-hukum-khusus-bagi-nabi-tak.html>
 Oleh Abdurrahman Haqqi

*Pernikahan Rasulullah dengan Aisyah yang di bawah umur dijelas dalam Surah
al-Ahzab*

IMAM al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, al-Jami’ li Ahkam al-Quran yang
berjumlah 20 jilid besar itu menyatakan: “Perkara ke 16, Allah SWT
mengkhususkan untuk Rasul-Nya hukum hakam syarak yang tidak dikongsi oleh
umatnya sama ada yang berkaitan dengan hukum wajib, haram mahupun halal
sebagai kelebihan Baginda di atas umatnya. Ada hukum yang diwajibkan ke atas
Baginda tetapi umatnya tidak diwajibkan; begitu pula ada yang diharamkan ke
atas Baginda sedangkan ia tidak diharamkan ke atas umatnya; dan ada juga
perkara yang dibenarkan untuk Baginda, manakala umatnya tidak dibenarkan
melakukannya.

Bagaimanapun, hukum-hakam ini ada yang disepakati oleh ulama mengenainya dan
ada juga perbezaan di kalangan mereka.” (Jld 14 m.s 211). Kemudian
al-Qurtubi dalam dua muka surat berikutnya menyenaraikan kewajipan, larangan
dan kebenaran yang khusus untuk Junjungan berkenaan yang disebutkan perkara
yang wajib ada sembilan, perkara yang haram ada 10 dan perkara yang
dibenarkan ada 16.

Perbincangan hukum-hakam syarak yang khusus untuk Nabi ini dibincangkan oleh
al-Qurtubi ketika dia membahaskan tafsir ayat 50 Surah al-Ahzab yang
bermaksud: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isterimu
yang engkau berikan mas kahwinnya, dan hamba perempuan yang engkau miliki
daripada apa yang dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan
(Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupumu iaitu): anak perempuan
bapa saudaramu (daripada sebelah bapa) serta anak perempuan emak saudaramu
(daripada sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (daripada
sebelah ibu) serta anak perempuan emak saudaramu (daripada sebelah ibu) yang
telah berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu)
mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk
dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin
dengannya; perkahwinan *yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan
bagi orang yang beriman umumnya*; Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa
yang Kami wajibkan kepada orang mukmin mengenai isteri mereka dan hamba
perempuan yang mereka miliki supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan
(ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Dalam ayat di atas yang menerangkan hukum penghalalan perkahwinan bagi Nabi
yang disenaraikan ada disebut dengan jelas *‘perkahwinan yang demikian
adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang yang beriman umumnya’*.
Bunyi asal ayatnya ’khalishatan lak’ (khas bagimu semata-mata). Ketika
mentafsir kata-kata ini, al-Qurtubi dan ahli tafsir yang lain menyatakan
bahawa ia khas untuk kahwin hibah iaitu perempuan datang kepada Nabi
menyerahkan dirinya untuk dinikahi Baginda tanpa wali, dua orang saksi dan
mahar.

Jika Baginda berkenan maka sahlah perkahwinan itu. Konteks ayat tidak
melarang kita untuk memahami bahawa *‘khas bagimu semata-mata’* boleh
dikeluarkan hukum yang menetapkan *ada perkara yang khas untuk Nabi saja dan
umat Islam tidak berkongsi di dalamnya*.

Walaupun tidak disenaraikan Imam al-Qurtubi dalam 16 perkara yang dihalalkan
bagi Nabi tetapi penetapan kesaksian seorang sahabat Baginda bernama
Huzaimah sama dengan kesaksian dua orang saksi juga menjadi hukum khas bagi
Nabi, orang lain tidak berkongsi dengannya. Perkara ini tidak ada yang
mempertikaikan, semua ulama bersepakat mengenainya. Jadi tidak timbul
sebarang permasalahan.

Ada satu pertanyaan yang boleh ditimbulkan di sini iaitu mengapa ulama tidak
menyatakan bahawa perkahwinan dengan anak di bawah umur adalah dilarang oleh
agama dengan pengertian bahawa perkahwinan berkenaan haram hukumnya dan
tidak sah serta orang yang melakukan demikian akan berdepan dengan
undang-undang negara dan agama?

Sedangkan hujah yang diguna pakai dalam membenarkan perkahwinan berkenaan
dengan merujuk kepada kisah perkahwinan Nabi dengan Aisyah r.a. boleh kita
tafsirkan semula dengan melihat kepada falsafah hukum syarak dan konsep
ajaran Islam yang umum serta prinsip asasnya yang *adil, fleksibel dan
sesuai sepanjang masa*.

Antaranya kita boleh berhujah bahawa *perkahwinan Nabi dengan Aisyah adalah
khas untuk Nabi yang tidak boleh dikongsi oleh umatnya* seperti yang kita
sebutkan di atas asal permasalahannya.

Penghujahan ini diselarikan dengan penerimaan bahawa hadis mengenai umur
Aisyah ketika berkahwin dengan Nabi adalah sahih. Tetapi kalau mahu dikaji
semula, maka sememangnya ada yang meragui Saidatina Aisyah dikahwinkan di
bawah umur.

Jika yang terakhir ini kita pilih, permasalahan akan mudah diselesaikan
iaitu dengan cara menggunakan perundangan negara yang menetapkan batas umur
dibenarkan perempuan berkahwin. Ketetapan ini *wajib ditaati oleh umat Islam
* sebagai pelaksanaan atas ajaran Islam yang mewajibkan kita taat kepada
ulil amri, manakala jika yang pertama dipilih maka permasalahan sememangnya
tidak pernah wujud kerana agama pada dasarnya melarang perkahwinan dengan
perempuan di bawah umur.

Di samping dalil syarak yang menetapkan demikian dengan jelas, begitu pula
dalil akal menguatkan apa yang ditetapkan syarak dengan jernih seperti
pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi kalau *dalil nafsu yang dikedepankan,
maka yang baik akan menjadi buruk dan yang buruk akan menjadi baik* seperti
pegangan ahli hawa nafsu.

Wallahualam.

Sumber : BHarian
14/03/2010<http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UlulAlbab_HukumkhususbagiNabitakbolehdikongsi/Article/index_html>


--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman-seri.blogspot.com
http://little-kiosk.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing
himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan
dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya
untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak
dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.
Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih
tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga
kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya
seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul
mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah
segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat
Muslim)
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke