Oleh Idris Musa dan Muhd Izawan Baharin
a...@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Elemen kepercayaan terhadap alam ghaib termasuk membabitkan 
malaikat yang menjadi perisian terkini permainan konsol PS3 dan Xbox 360 
dikesan semakin diminati generasi muda kerana memberikan keseronokan ekstrem 
kepada pemainnya.

PERSENDA AGAMA...dua permainan konsol yang memerlukan pemain berinteraksi 
dengan perkara ghaib. Melalui permainan itu, sesiapa saja boleh menikmati 
pengalaman baru dengan menatap wajah ‘malaikat maut’ sambil meneroka syurga, 
malah mengalami situasi mencemaskan apabila menjelajah sembilan lapisan neraka.

Namun, ia mempunyai unsur mempersendakan agama apabila permainan dibangunkan 
syarikat antarabangsa seperti Darksiders itu menggambarkan malaikat seperti 
manusia yang bersenjata, bersayap dan berbaju perisai, malah boleh dibunuh 
sesuka hati, sekali gus bertentangan prinsip kepercayaan Islam.

Dante’s Inferno pula berkaitan misinya yang dilakukan dalam neraka membolehkan 
pemain membuat pilihan sama ada mahu memusnah atau menyucikan roh manusia 
dikutuk menggunakan cahaya salib untuk dihantar ke syurga.

Permainan konsol yang menceritakan era Perang Salib itu juga dikesan berunsur 
lucah kerana turut memaparkan karakter musuh wanita separuh bogel melakukan 
gerakan tarian lucah sebelum menyerang watak pemain.

Tinjauan Harian Metro mendapati cakera video digital (DVD) permainan konsol 
terbabit dijual secara bebas di kedai permainan video, malah tanpa sekatan 
untuk dibeli remaja dan kanak-kanak.
Walaupun tertera amaran permainan itu untuk golongan matang pada kulit DVD 
terbabit, tiada jaminan golongan bawah umur tidak membeli dan berseronok 
dengannya kerana tiada pemantauan terhadap penjualannya.

Malah, pada harga kira-kira RM10 hingga RM12 bagi DVD cetak rompak konsol Xbox 
360 membolehkan sesiapa membelinya, berbanding DVD tulen yang mencecah ratusan 
ringgit. Difahamkan, kedua-dua tajuk itu bersama beberapa lagi permainan konsol 
yang dibangunkan syarikat ternama dunia diharamkan dijual di Timur Tengah 
kerana penggunaan elemen agama secara melampau.

Elemen agama sebelum ini kerap digunakan syarikat pembangun permainan video 
untuk pelbagai platform permainan video yang memerlukan pemain berinteraktif 
dengan perkara ghaib umpamanya syurga, neraka, malaikat, syaitan dan iblis, 
yang digambarkan berdasarkan imaginasi.

Bagi ibu bapa, ia membimbangkan walaupun ia sekadar permainan, namun memberi 
kesan di bawah sedar terhadap anak mereka seperti wajah malaikat, keupayaan 
membunuh malaikat maut yang mahu mengambil nyawa selain keadaan di dalam syurga 
dan neraka.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) 
dan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Ilmu 
Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr 
Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata permainan seumpama itu hukumnya haram.

“Ia haram dibeli dan haram dimainkan orang Islam. Jadi, umat Islam terutama 
generasi muda dinasihatkan supaya berhati-hati dengan permainan terbabit 
terutama membabitkan persoalan akidah.

“Permainan seperti itu jelas boleh merosakkan akidah kerana mempermain-mainkan 
malaikat. Ini cara musuh Islam untuk merendahkan Islam,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kawalan Media, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia 
(Jakim), Mazlan Abdullah, berkata pihaknya belum menerima sampel permainan 
terbabit dan belum meneliti kandungannya.

“Saya minta pihak pengeluar dan pengedar menghantar sampel terbabit kepada kami 
untuk diteliti kandungannya sebelum diputuskan sama ada dibenarkan atau tidak 
untuk dijual di pasaran terbuka,” katanya.

Beliau berkata, penjualan terbuka permainan seumpama itu tidak wajar kerana 
dikhuatiri menggugat akidah orang Islam.
“Sesetengah orang Islam tahap keimanan mereka berbeza. Kami tidak mahu benda 
itu nanti apabila dijual secara terbuka merosakkan akidah, sebab yang di dalam 
syurga kita tidak tahu kerana ia alam ghaib.

“Kami minta, rujuk dengan kami sebelum mengambil keputusan menjual bahan 
terbabit dan kami akan nilai sama ada bercanggah dari segi teks dan huraian,” 
katanya.


      
_______________________________________________________________________________
New Email addresses available on Yahoo!
Get the Email name you've always wanted on the new @ymail and @rocketmail.
Hurry before someone else does!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/my/

Kirim email ke