Hamas lahirkan 15,000 kanak-kanak tahfiz 
Azamin Amin 
Thu | Feb 12, 09 |  4:48:48 pm MYT

  
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - "Pemimpin kami mendapat tarbiyah daripada Masjid 
Al-Aqsa dan kami pula mengajar anak-anak Palestin.  Musim luruh lalu, kami 
berjaya lahirkan 15,000 anak-anak Palestin yang hafaz al-Quran."

Iklan   

   
    
Demikian antara petikan kata-kata pemimpin Hamas
Sami Abu Zuhri yang menceritakan antara kejayaan perjuangan pertubuhan
Islam itu selain membebaskan bumi Anbia itu daripada rejim Zionis
Israel.

Beliau dengan tegas mengulangi pendirian Hamas yang tidak akan
menerima sebarang syarat yang dikenakan oleh Israel bagi melakukan
gencatan senjata di Palestin sedangkan sudah berpuluh tahun rejim itu
mengganasi penduduk sehingga orang awam yang tidak berdosa terbunuh.

Katanya Hamas cukup dibenci dan digeruni oleh Israel kerana
sentiasa berjuang untuk menegakkan dan mempertahankan Islam sebagai
cara hidup.

"Agenda Israel adalah menghancurkan umat Islam di sini
daripada segala segi seperti pendidikan, ekonomi dan pentadbiran dan
paling utama cuba hancurkan agama Islam itu sendiri," katanya berbahasa
Arab.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Rayuan Gaza dan pemberian
sumbangan dana Tabung Kemanusiaan Harakah yang dianjurkan Harakah di
Hotel Putra, Kuala Lumpur tengah hari tadi. Beliau kini dalam lawatan
bertemu pemimpin Islam seperti PAS dan NGO Islam yang lain selain
memberi ceramah kepada para mahasiswa di Malaysia.

Turut Hadir dalam Majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS Ustaz
Ahmad Awang, Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali, Pengarah Urusan
Harakah Dato' Kamaruddin Jaffar, Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah
Salleh, Ahli Parlimen PAS Dr Hatta Ramli dan Dr Lo' Lo' Ghazali.

Selain itu, majlis turut dihadiri para penyumbang dana terdiri
daripada NGO Islam, pemimpin PAS kawasan, Kelab Penyokong PAS, Kijang
Care dan individu-individu, tidak terkecuali lapisan masyarakat bukan
Islam yang turut bersimpati dengan penderitaan rakyat Palestin.

Sementara itu dalam sidang media selepas majlis itu Sami turut
mengulas keputusan pilihan raya Israel diantara tiga parti iaitu
'Kadima', 'Likud' dan 'Yisrael Beitena' yang disifatkan akan terus
dengan dasar memusnahkan dan bertindak kejam kepada penduduk Palestin.

Dilaporkan pilihan raya Israel menunjukkan, parti Kadima yang
dipimpin oleh Tzipi Livni mengungguli parti Likud, parti yang dipimpin
oleh Benjamin Netanyahu manakala Beitena menempati posisi ketiga
kemudian disusuli dengan Parti Buruh. 
"Bertukar wajah tidak memberi apa-apa makna. Semua Israel
adalah penjenayah. (Changes faces does not mean anything. All Israel
are criminal)," katanya yang diterjemahkan melalui seorang jurubahasa
Hamas, Eman Hassan

Beliau sambil itu menyelar kumpulan Fatah yang sedang
mengadakan perbincangan dengan Hamas di Kaherah kerana telah
memenjarakan ratusan pejuang-pejuang Hamas di penjara Mahmood Abbas di
Palestin yang dianggap tindakan Fatah sebagai mengkhianati perjuangan
untuk membebaskan bumi Palestin.

"Mereka mesti membebaskan semua pejuang kami yang telah diseksa
dan didera di penjara itu. Semalam salah seorang pejuang kami telah
terbunuh di penjara itu kerana diseksa," kata Sami kepada para wartawan
yang hadir. 
Beliau juga mahu dan menggesa seluruh masyarakat antarabangsa
termasuk Malaysia mengheret Isreal kemuka pengadilan dan menghentikan
serta merta kezaliman yang dilakukan selama puluhan tahun.

Sungguhpun Hamas tidak begitu optimis dengan pentadbiran
Presiden Amerika yang baru Barrack Obama namun berharap pemimpin itu
dapat menjernihkan suasana konflik yang berlaku sekaligus menukar
polisinya terhadap Palestin.
"Hamas bersedia untuk mengadakan dialog dengannya," katanya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Harakah dan rakyat
Malaysia, Sami yang merupakan jurucakap rasmi Hamas menyeru supaya
rakyat Malaysia tidak 'tersalah' menyumbang derma kepada pihak-pihak
atau agensi yang tidak betul kerana khuatir sumbangan itu tidak sampai
kepada penduduk Palestin.
Beliau menerima sumbangan Tabung Kemanusiaan Harakah berjumlah
RM500,000 manakala daripada pelbagai NGO, individu dan PAS kawasan
berjumlah lebih RM400,000.00 yang turut disampaikan dalam majlis yang
sama.

"Kami seru supaya serahkan dana kepada agensi yang beramanah
dan bertanggungjawab atau anda datang terus ke Gaza, untuk sampaikan
sendiri kepada penduduk di sana," katanya yang juga merupakan seorang
pensyarah daripada Universiti Islam Palestin. 
Beliau sedang menyiapkan tesisnya di Damsyik dalam pengajian
sejarah Pejuang Salahuddin Al-Ayubi. Bagaimanapun Universiti tersebut
telah musnah akibat serangan jahat Israel baru-baru yang turut
mengorbankan lebih 1,3000 penduduk Gaza. - azm
_  

Kirim email ke