Kalaulah semua kita , dari pemerintah hingga ke rakyat mempunyai sikap macam 
posmen ini, pasti aman negara. 

******************* 
Keluar wang sendiri pasang nombor rumah 

Harian Metro 5 Mei 2010 

KUALA KANGSAR: Seorang posmen layak digelar pekerja paling komited ketika 
bertugas kerana dia bukan saja memenuhi skop kerjanya dengan menghantar surat 
dari rumah ke rumah sebaliknya sanggup mengeluarkan wang sendiri bagi membuat 
nombor pendaftaran untuk setiap rumah di kawasan tugasannya.

Bagi Mohamad Kalib Awang, 50, usaha murni itu dilakukan bagi memudahkannya 
menghantar surat milik penduduk tanpa sebarang kerumitan dan kelewatan kerana 
kebanyakan kediaman penduduk di Kampung Ngok Beluru dan Kampung Ribu berdekatan 
Beluru, di sini, tiada nombor pendaftaran rumah.

Kebiasaannya, setiap sampul surat tertera alamat sebuah rumah dan apa yang 
menjadi masalah ialah posmen sukar mencari rumah pemilik surat dengan tepat 
kerana pemilik gagal menampal atau melekatkan nombor rumah mereka.

Mohamad Kalib berkata, sejak dua minggu lalu, dia sudah menyiapkan kira-kira 20 
nombor pendaftaran rumah milik penduduk kampung dan akan melengkapkan 20 lagi 
rumah di kawasan sama dalam masa terdekat.

Katanya, dia mengeluarkan wang poket RM50 bagi membeli peralatan membuat nombor 
pendaftaran rumah itu seperti kad manila membuat ruangan nombor, tin semburan 
cat dan pelekat nombor untuk ditampalkan pada petak ruangan yang disembur.

"Saya akan menyembur cat hitam pada satu ruangan petak pada dinding luar rumah 
penduduk sebelum menampal pelekat nombor pendaftaran tertentu yang berwarna 
putih bagi mewakili setiap rumah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, dia sudah bertugas dengan Pos Malaysia Bhd selama 19 tahun dan 
masalah ketiadaan nombor pendaftaran rumah sentiasa berlaku terutama di kawasan 
pedalaman.

Mohamad Kalib berkata, kadangkala, dia juga pernah dimarah penduduk kerana 
kelewatan surat yang dihantar disebabkan nombor pendaftaran rumah yang tidak 
lengkap. Menurutnya, jika posmen tidak berjaya menghantar surat ke alamat yang 
tepat, surat berkenaan dikembalikan ke pejabat pos terdekat dan tindakan itu 
menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk.

Katanya, dia menyedari tugas membuat nombor pendaftaran rumah itu bukan 
tanggungjawabnya, sebaliknya berharap ia memudahkan posmen yang ditugaskan di 
kawasan itu menjalankan tugas tanpa masalah.

Sementara itu, Ketua Kampung Beluru, Mior Taha Shaharim, 65, berkata sikap 
bertanggungjawab seperti ditunjukkan Mohamad Kalib harus dipuji dan boleh 
dijadikan contoh baik kepada masyarakat.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keluarwangsendiripasangnomborrumah/Article
  



      

Kirim email ke