Dari laman web Malaysiakini
Proses perkahwinan yang digalakkan oleh Islam sewajarnya dipermudahkan agar 
generasi muda tidak liar dan kemaruk nafsu, lalu terjebak dalam kancah seks 
bebas, kata ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan.

Menurut, langkah memudahkan proses perkahwinan boleh dilakukan oleh pihak 
berwajib, antaranya dengan:

- Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin.
- Memberi insentif sebagai galakan berkahwin.
- Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan.
- Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma.
- Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan.
- Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan.
- Merendahkan hantaran perkahwinan.

"Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ialah Nikah Khitbah atau dalam 
bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai nikah gantung," kata Nasrudin 
dalam satu kenyataan hari ini.

Cuma bezanya, tegas beliau, ialah pasangan pengantin tidak tinggal serumah 
dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti:

# Masih menuntut di kolej atau univerisiti.
# Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah.
# Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga.

 
Nasrudin berkata, kelebihan nikah gantung ialah mereka adalah pasangan suami 
isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. 

"Andainya dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, belajar bersama, 
bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, mka apa yang 
mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.

"Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak 
gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan).

"Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana 
keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah," 
tambahnya .

Menurutnya lagi, kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah 
ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari 
pasangan terbabit. 

"Malah mereka juga takut untuk kembali ke pangkuan keluarga justeru mereka 
mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan 
terlarang. Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . 

"Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi 
tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa 
mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial 
negara," tegasnya lagi. 
 
 http://malaysiakini.com/news/140859  



      

Kirim email ke