PETIKAN : http://laman-seri.blogspot.com Hati yang sejahtera - Part
3<http://laman-seri.blogspot.com/2010/05/hati-yang-sejahtera-part-3.html>

  <http://laman-seri.blogspot.com/2010/05/hati-yang-sejahtera-part-3.html>

<http://4.bp.blogspot.com/_oV1RUxbNq84/S86uD-U0L6I/AAAAAAAAEEg/8r08mMvn44Y/s1600/hati+yg+sejahtera+part+3.jpg>
Assalamualaikum warahmatullah,

Semua orang inginkan kejayaan, tetapi tidak ramai yang tahu jalan untuk
mencapainya dan bagi mereka yang tahu, tidak ramai pula yang sanggup
membayar harganya. Usaha untuk berjaya akan tersasar jika konsep kejayaan
yang difahami itu sendiri tidak tepat.

Ada yang menganggap kejayaan bergantung kepada nasib, atau kepada peluang,
kepada kuat bekerja, kepada perhubungan (cable), kepada pengiktirafan dan
pelbagai lagi.

Kejayaan itu sebenarnya bukan suatu destinasi atau kedudukan yang diidamkan.
Kejayaan adalah peningkatan kualiti hidup setiap hari secara istiqamah dalam
semua aspek kehidupan. Peningkatan kualiti hidup hanya boleh berlaku apabila
seseorang itu berupaya membangunkan dirinya dalam semua aspek secara
istiqamah pada setiap hari.

Usaha membangunkan diri secara istiqamah hanya boleh berlaku apabila
seseorang itu mampu membuat pilihan yang baik dan tepat setiap hari dan
mampu melaksanakan setiap keputusannya sehingga mencapai apa yang
diinginkan. Mengikut kajian, seseorang manusia purata membuat 200 hingga 300
keputusan setiap hari.

Apakah faktor yang menentukan sama ada keputusan yang dibuat itu tepat atau
tidak? Kalau pun tepat, tepat mengikut kehendak siapa? Untuk membolehkan
seseorang membuat keputusan yang tepat, perlu diselaraskan terlebih dahulu
keinginannya dengan kehendak Penciptanya yang bersifat Maha Mengetahui
terhadap keperluan diri manusia.

Hidup untuk beribadah

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mereka menyembah (beribadah) kepada-Ku.” (Surah
adz-Dzaariyaat [051] ayat 56)

Tujuan manusia itu diciptakan hanya sanya, semata-mata untuk beribadah
kepada Allah SWT, tiada tujuan yang lain. Ulama membahagikan ibadah kepada
tiga bentuk iaitu :

   1. Ibadah asas, yakni kepercayaan kepada enam rukun iman dan penghayatan
   kepada lima rukun Islam
   2. Ibadah sunat, iaitu segala amalan sunat dan
   3. Ibadah umum, iaitu semua aktiviti selain daripada ibadah asas dan
   sunat


Ketiga-tiga bentuk ibadah ini mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia.
Dalam erti kata lain, keputusan tepat yang perlu dibuat oleh seseorang
adalah menentukan setiap pilihan selaras dengan tujuan dia diciptakan. Jika
manusia memilih untuk tidak berfungsi mengikut tujuan dia diciptakan, maka
dia telah merosakkan dirinya secara tidak sedar.

Biasanya manusia bertindak bukan atas dorongan apa yang difikirkan baik,
benar dan betul, tetapi mereka bertindak atas dorongan apa yang diinginkan,
apa yang tersentuh di hatinya; apa yang dirasa baik, benar dan betul pada
pandangannya. Hati manusia ditempa oleh apa yang lazim difikirkan, apa yang
lazim diucapkan, dilihat, didengar, dialami dan apa yang biasa dilakukan.
Kalau input yang masuk itu baik, maka baiklah keinginan hatinya, sebaliknya
kalau yang masuk itu tidak baik, tidak tepat, maka tidak baik dan tidak
tepat pula keinginan hatinya; justeru mendorong kepada tindakan yang salah.

Rasulullah SAW bersabda, “Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Bila
baik daging itu, baiklah seluruh jasad. Bila rosak dan busuk daging itu
jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.” (Hadis riwayat Muslim)

Hati yang sejahtera

Dalam kehidupan di dunia ini, Allah SWT yang bersifat Maha Bijaksana telah
mensyaratkan supaya manusia berusaha untuk memiliki hati yang sejahtera,
untuk layak diterima sebagai hamba-Nya di akhirat kelak.

Para hukama ada menyebut : “Hendaklah anda membenarkan ucapan dengan amalan.
Membenarkan amalan dengan niat dan ikhlas. Membenarkan niat dan ikhlas
dengan membersihkan batin dan meluruskan hati, kerana hati itu adalah asal
dan punca segala perkara.”

Memiliki hati yang sejahtera sepatutnya menjadi agenda utama setiap Muslim.
Lantaran iatu mengetahui dan memahami gambaran hati yang selamat sejahtera
itu merupakan suatu perkara yang sangat kritikal. Ulama telah mejelaskan
hati yang sejahtera adalah hati yang bebas daripada syirik dalam apa jua
bentuk. Hati yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT, yang berakhlak sesama
manusia, hati yang dapat memberi respons positif terhadap semua perkara,
walaupun negatif.

Hati yang begini, adalah hati yang kenal mana yang baik, yang kurang baik;
mana yang tepat, yang kurang tepat. Hati yang begini mampu membuat pilihan
yang tepat dalam kehidupannya dan mampu pula untuk menggerakkan dirinya
untuk mengambil tindakan terhadap keputusan yang telah dibuat.

Sebaik-baik manusia

Peningkatan diri seseorang bermula daripada keupayaan membuat pilihan yang
baik dan tepat pada setiap hari. Daripada keputusan yang baik dan tepat dan
keupayaan melaksanakan keputusan itu untuk membolehkan dia memiliki tabiat
yang baik pula.

Apabila seseorang dapat memiliki tabiat yang lebih baik, ini bererti dia
berjaya memiliki akhlak yang lebih baik. Orang yang berjaya memiliki akhlak
yang lebih baik, bererti telah berjaya menjadikan dirinya lebih berharga.
Seseorang yang berupaya menjadikan dirinya lebih berharga, menjadikan dia
memberi dan menyumbang kebaikan dengan lebih banyak. Lebih banyak seseorang
itu dapat memberi dan menyumbang kebaikan kepada manusia lain, lebih
berjayalah kehidupannya di dunia ini dan berjaya pula di akhirat, insya
Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia, manusia yang
paling banyak dapat memberi manafaat kepada orang lain.”

Sumber : Hj Ahmad Salim Omar (Solusi Kompilasi)

Capaian entry berkaitan :

   1. Hati yang sejahtera - Part
1<http://laman-seri.blogspot.com/2010/04/hati-yang-sejahtera-part-1.html>
   2. Hati yang sejahtera - Part
2<http://laman-seri.blogspot.com/2010/04/hati-yang-sejahtera-part-2.html>


--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman-seri.blogspot.com
http://little-kiosk.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing
himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan
dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya
untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak
dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.
Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih
tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga
kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya
seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul
mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah
segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat
Muslim)
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke