PETIKAN :  http://laman-seri.blogspot.com

Lihatlah dengan mata
hati<http://laman-seri.blogspot.com/2010/07/lihatlah-dengan-mata-hati.html>
 <http://laman-seri.blogspot.com/2010/07/lihatlah-dengan-mata-hati.html>

<http://2.bp.blogspot.com/_oV1RUxbNq84/TE5hK95a98I/AAAAAAAAFY8/TA6TWk_zKwk/s1600/innocent+girl.jpg>~
gambar hiasan ~

Lihat dengan hati kerana pandangan mata selalu gelap, tak mampu menilai
hakikat

MATA suka memandang dan mempengaruhi hati supaya menjatuhkan hukuman
terhadap orang yang dipandang. Walaupun baru sekali berjumpa, ada yang sudah
bijak menilai orang lain semata-mata dengan asas prasangka
buruk<http://laman-seri.blogspot.com/2009/04/hindari-buruk-sangka.html>
.

Orang itu jahil, si polan fasik, jiran kamu sombong, kawan kamu penipu,
suami kamu pembohong, beliau yang dihormati itu sebenarnya zalim, saudara
kamu munafik, khianat, penjenayah, perampas hak orang dan segala kejahatan
hanya milik mereka yang hadir dalam kehidupannya. Itulah mata jahat yang
bersatu dengan hati busuk.

Tetapi kadang-kadang mata dan hati boleh tertipu oleh rupa paras dan tingkah
laku orang yang dilihatnya. Baru sekali duduk minum dan mendengar tutur
bicara halus dan idea bernas, terus percaya kepada orang di hadapannya itu
umpama malaikat.

Semua baik, tidak ada cacat dan celanya. Akhirnya tertipu oleh imej palsu
yang dilihat dengan cermin mata suram. Bertolak daripada kebaikan dan
keburukan yang dilihat melalui mata zahir maka manusia terus mencari jalan
tengah supaya dia dapat membuat penyesuaian dengan persekitaran secara
selamat.

Sikap terbaik ketika menjalinkan hubungan dengan orang lain ialah ambil
manfaat daripada kebaikannya saja, usah peduli dengan aib orang itu dan
berhati-hati supaya diri tidak dimanipulasi. Namun begitu kita berasa diri
diperhati tanpa mahu mengaku bahawa kita juga suka memerhati orang lain.

Sebenarnya sikap suka memerhati ini boleh memberi kesan positif dalam diri
iaitu dengan syarat, perhatian itu hanya kepada mutiara kebaikan saja.
Adapun keburukan orang lain, cukuplah dijadikan sempadan tanpa disertai
celaan kepada orang itu kerana tiada siapa yang sempurna di dunia ini.

Jika setiap orang mengenal dirinya sendiri dengan sedalam-dalamnya nescaya
tiada seorangpun tergamak menghina keaiban orang lain kerana dia masih
melihat kelemahan yang banyak dalam dirinya sendiri. Alangkah eloknya jika
kita menumpukan perhatian kepada kelebihan dianugerahkan Allah kepada orang
lain untuk mengambil faedah daripadanya. Antara manfaatnya ialah:

1. Menghilangkan rasa ujub pada diri sendiri.

Hati manusia berubah-ubah, ada kala hari ini baik, esok pula belum tentu,
hari ini angin yang bertiup itu sepoi-sepoi bahasa, namun tidak mustahil
boleh bertukar menjadi puting beliung yang mengganas.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan
kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau
jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” (Surah ali Imran ayat 8)

Oleh itu, semua penilaian mengenai seseorang itu sifatnya relatif, boleh
berubah-ubah seperti kenyataan Rasulullah SAW yang mengakui bahawa manusia
dicipta dengan hati yang berbolak-balik sehingga Baginda mengajarkan umatnya
supaya berdoa dengan sabdanya yang bermaksud: “Wahai Tuhan yang
membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada agama-Mu.” (Hadis riwayat
Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)

Manusia adalah makhluk yang relatif berubah, sehingga tidaklah boleh dinilai
secara mutlak. Jika kita mahu mengambil manfaat daripada orang lain maka
ambillah teladan daripadanya ketika dia berada di atas kemuncak kebaikannya.

Jangan sesekali melihat ketika dia jatuh, lemah, berdosa, penuh aib dan cela
kerana jika kita suka melihat saat dia di bawah maka rasa ujub akan
menguasai diri. Boleh jadi kita akan berkata: “Alangkah baiknya agamaku,
amal dan ilmuku, keluarga dan kehidupanku jika dibanding dengan dirinya!
Betapa buruk perangai orang itu, zalim sungguh tangannya, tamak dan kedekut
sifatnya, kasar dan kurang ajar perangainya, tidak ada kebaikan langsung
berbanding diriku!”

2. Menyuntik semangat berlumba-lumba ke arah kebaikan.

Orang yang suka memerhati potensi saudaranya tidak seharusnya melahirkan
rasa dengki, cemburu dan iri hati. Hanya orang yang berjaya saja yang boleh
menjadikan kehebatan potensi orang lain sebagai inspirasi dan penyuntik
semangat untuk lebih berjaya.

Al-Quran menyindir perangai orang yang suka mendengki terhadap kehebatan
orang lain seperti Rasulullah SAW pernah menjadi mangsa kedengkian mereka.
Firman Allah yang bermaksud: “Orang kafir dari Ahli Kitab dan orang musyrik
tidak suka kiranya diturunkan kepadamu sesuatu kebaikan daripada Tuhanmu.
Padahal Allah berhak menentukan rahmat-Nya kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya dan Allah jugalah yang mempunyai kurnia yang amat
besar.”(Surah Al-Baqarah, ayat 105)

Ayat itu memberi amaran kepada diri kita yang mungkin sedikit sebanyak
menyimpan dengki. Betapa seseorang itu menjadi hamba yang membangkang atas
keputusan Allah memilih orang lain untuk diberi anugerah.

Maka pandanglah dengan hati kerana pandangan mata itu selalunya gelap tidak
mampu melihat hakikat, sedangkan hati yang suci suka memandang dengan
pandangan Tuhannya. Apa yang baik menurut Allah itulah yang baik baginya dan
sebaliknya.

3. Sumber inspirasi, muhasabah diri.

Sesiapapun boleh menjadi sumber inspirasi. Jangan pedulikan keburukan orang
di sekitar kita dan terus perhatikan kebaikan mereka. Suami boleh menjadi
cermin kepada isteri tanpa menafikan kelemahannya. Ibu menjadi cahaya bagi
anaknya walaupun dirinya tidak berpelajaran tapi jiwanya cukup arif
membahagi cinta.

Guru menjadi penyelamat anak yang bodoh, lembap dan bingung sehingga mereka
menemukan jalan terang walaupun guru juga memiliki kekurangan peribadi
tetapi jangan dinafikan merekalah sebenarnya paling berpengaruh mewujudkan
cita-cita setiap insan.

Siapapun yang berjasa, berbuat baik dan berjaya mereka tidak terlepas
daripada cacat cela. Tetapi untuk apa mempersoalkan yang negatif jika yang
positif itu mampu menghapus yang negatif? Tiada insan sempurna, berilah
peluang kepada siapapun di sekitar kita untuk menjadi sumber inspirasi dalam
hidup.

Jika kita sudah mengambil manfaat daripada kelebihan orang lain, bagaimana
pula menjadikan keburukan dan aib mereka sebagai sempadan?

Seorang Muslim bukanlah mereka yang memilih untuk diam apabila melihat
kemungkaran berlaku di sekeliling mereka. Mereka bukan orang yang penakut,
takut menyatakan yang salah itu salah dan yang benar itulah hakikatnya.
Mereka tidak takut menyuarakan jalan inilah yang Allah reda dan jalan itu
sebaliknya. Seorang Muslim berkewajipan memandang, menilai dan menasihati
saudaranya jika berbuat silap seperti tuntutan agama yang mahu amar makruf
dan nahi munkar ditegakkan.

Apabila melihat aib orang lain, berusaha membantu diri sendiri kemudian
orang lain ke arah kebaikan. Langkah pertama ialah pastikan diri kita sudah
berada di jalan yang benar, lurus dan diredai Allah kemudian barulah kita
boleh menuntun tangan saudara kita ke sana.

Apa yang disampaikan mestilah diamalkan terlebih dulu. Lidah, hati dan amal
perbuatan mesti selari, sehati dan sejiwa langsung tiada unsur
munafik<http://laman-seri.blogspot.com/2010/04/adakah-kita-muslim-sejati-atau-munafik.html>.
Prinsip amar makruf nahi munkar yang betul ialah buat dulu kemudian suruh
orang lain.

Allah amat membenci perangai orang yang cakap tidak serupa amal ini melalui
firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman, kenapakah kamu mengatakan
sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa
kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah al-Shaff, ayat 2-3)

Ada pula yang bermulut manis dan menyatakan pujian di hadapan saudaranya
tapi di belakang mengata lain, bermuka-muka dan menikam dari belakang.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kamu melihat orang yang
suka memuji (mengampu) di hadapan kamu, maka taburkanlah debu tanah di
mukanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebaik-baiknya setiap Muslim berhati-hati dengan pemuji yang melampau ini
kerana mereka akan mencela dengan melampau juga. Menggunakan ayat penuh
rahmat bukan ayat kesat dan menyimpan emosi negatif. Mengapa nasihat yang
kita beri kepada isteri, anak dan saudara kita tidak berjaya? Puncanya
kerana tiada hubungan kasih sayang kerana Allah.

Kaedah dan cara menasihat pun tidak mengikut petunjuk Allah dan Rasul-Nya.
Di samping itu, faktor emosi yang susah dikawal sehingga melahirkan nasihat
berunsur kemarahan, kritikan pedas dan sindiran tajam menjadi penghalang
keikhlasan dalam memberi nasihat.

Nyata begitu susahnya bergaul dengan manusia di sekeliling kita. Bukan hanya
kesabaran dituntut tetapi keberanian untuk merasai sakit juga diperlukan
dalam menjalinkan persaudaraan. Mungkin itulah sebabnya mengapa ramai
memilih menyendiri dan tidak pedulikan orang lain. Tetapi sampai bila kita
boleh bertahan? Pastinya yang terbaik ialah mencari kekuatan diri dalam
persaudaraan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang bergaul dengan
manusia dan bersabar atas gangguan mereka lebih baik daripada orang mukmin
yang tidak bergaul dan tidak bersabar atas gangguan mereka.” (Hadis riwayat
Al-Bukhari)

Adaptasi adalah suatu proses membentuk rasa cinta dan kasih sayang. Sesiapa
yang tidak sabar melaluinya dia tidak akan merasai kenikmatan menjalinkan
hubungan sesama insan. Waspadalah dengan sikap antisosial. Ia boleh
menghalang seseorang mendapat rahmat Allah. Adapun tanda seseorang mendapat
rahmat-Nya adalah ketika manusia tertarik dengan keperibadiannya.

Renung-renungkan....

Rujukan : Dr Juanda Jaya [jua...@msu.edu.my]

--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman-seri.blogspot.com
http://little-kiosk.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing
himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan
dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya
untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak
dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.
Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih
tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga
kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya
seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul
mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah
segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat
Muslim)
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke